Browsing Tag

taufik

Hidayah
Isu,

Hidayah perlu dicari, masih ramai yang tidak tahu tentang perkara ini

HIDAYAH ALLAH SWT sering kali dikaitkan dengan titik perubahan melakukan suatu penghijrahan. Ketahuilah bahawa petujuk daripada-NYA tidak datang bergolek.

Sebaliknya, pendakwah Ustaz Mohamad Hadi Ahmad Talhah menjelaskan, hidayah itu perlu dicari sepertimana kita menggali ilmu dan mendapatkan rezeki.

Dalam sebuah hadis qudsi, Rasulullah SAW bersabda, ALLAH SWT berfirman: “Wahai hamba-KU, setiap kamu adalah sesat melainkan orang yang AKU berikan hidayah. Maka, carilah hidayah, nescaya AKU akan berikan kepada kamu hidayah…” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, ujar beliau, jelas bahawa hidayah itu milik ALLAH dan sebagai hamba, kita mesti mencari, meminta dan tekun berdoa untuk meraihnya.

USTAZ MOHAMAD HADI

“Hidayah itu bukan setakat digelar Muslim, tetapi ia mesti disyukuri dan dijaga. Pada masa sama, sentiasa memohon kepada ALLAH agar terus dikurniakan petunjuk-NYA.

“Hidayah itu mesti berterusan dan bertambah sehingga akhir hayat. Sebab itu, setiap kali solat, kita akan meminta kepada ALLAH agar menunjukkan jalan yang lurus (menerusi bacaan Surah al-Fatihah) agar tidak tergolong dalam kalangan orang yang sesat dan lalai.

Baca juga Hidayah Buat ‘Pembenci’

“Justeru, berusahalah bersungguh-sungguh dan berjihad untuk mendapatkan hidayah ALLAH yang sudah tentu sumber utamanya ialah al-Quran dan as-Sunnah,” katanya.

Kepada satu soalan, Ustaz Mohamad Hadi menjawab: “Pandangan bahawa kita kena berubah pada usia 40 tahun dengan mengaitkan peristiwa Nabi Muhammad diangkat sebagai Rasul pada usia berkenaan adalah tidak boleh diterima sama sekali.

“Usia 40 tahun bukan prasyarat yang ditetapkan ALLAH untuk seorang nabi menjadi rasul, tetapi semua itu berlaku atas kehendak-NYA. Berbalik kepada persepsi segelintir pihak untuk berhijrah pada usia 40, itu suatu tanggapan yang patut ditolak.

“Hakikatnya, setiap amalan yang dilakukan sudah dikira pahala dan dosa apabila seseorang Muslim itu baligh dan menjadi mukalaf. Justeru, kita perlu berubah dari sekarang, bukan menunggu sehingga usia 40, 50 atau 60 tahun kerana kita semua tidak tahu sampai bila hayat masing-masing di dunia ini.”

Hidayah

BERHIJRAHLAH ke arah yang lebih baik kerana ia mendekatkan diri kita kepada Sang Pencipta.

Dalam pada itu, agamawan tersebut menyeru agar setiap umat Islam melakukan perubahan diri secara menyeluruh dengan mengambil kira kebaikan duniawi dan ukhrawi.

“Pada masa sama, peliharalah hubungan dengan ALLAH dan sesama manusia. Perubahan itu tidak boleh memfokuskan kepada akhirat saja tanpa mempedulikan orang lain. Kedua-duanya kena seimbang.

Baca juga Mengapa hati mudah goyah ketika hijrah?

“Bahkan, kalau kita mahu menunaikan haji atau berzakat, mesti berkemampuan dari segi ekonomi. Maknanya, kita mesti mencari rezeki dan gigih berusaha untuk mendapatkan pendapatan tinggi bagi menjadi manusia yang ‘pemberi’.

“Ini bermakna, kita tidak boleh meninggalkan duniawi kerana dunia ini adalah jambatan untuk akhirat. Cuma jangan sampai dunia melekakan kita,” nasihatnya.

Satu perkara yang menarik perhatian apabila Ustaz Mohamad Hadi menekankan betapa pentingnya menambah ilmu setelah berhijrah.

“Ia sangat signifikan kerana dapat membantu seseorang istiqamah dengan penghijrahannya,” jelas beliau.

Foto: Freepik