Browsing Tag

Tasu’a

Lafaz sumpah
Berita Semasa,

Puasa Hari Asyura singkirkan dosa-dosa silam? Berikut perinciannya

HARI Asyura iaitu 10 Muharam bakal tiba tidak lama lagi. Mengikut kalendar, ia jatuh pada hari Isnin depan iaitu 8 Ogos 2022.

Lazimnya, ramai yang tidak akan melepaskan peluang untuk berpuasa sunat pada hari berkenaan. Masakan tidak, ia merupakan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Ia sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas RA: “Apabila Nabi Muhammad SAW datang ke Madinah, baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura, lalu baginda bertanya: “Apakah ini?” Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang baik di mana ALLAH telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa, lalu baginda SAW bersabda: “Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu, maka baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Selain itu, dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Aisyah RA bahawa: “Hari Asyura adalah suatu hari yang mana orang-orang Quraisy berpuasa padanya ketika jahiliyyah. Dan Rasulullah SAW juga berpuasa pada hari tersebut. Ketika sampai di Madinah, Nabi Muhammad SAW berpuasa pada hari Asyura dan baginda menyuruh umat Islam berpuasa pada hari tersebut. Namun apabila difardukan puasa Ramadan, baginda bersabda mafhumnya: “ Sesiapa yang hendak, maka berpuasalah ia (pada hari Asyura) dan sesiapa yang tidak mahu, tinggallah ia (puasa Asyura).” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Baca juga Jangan Lepaskan Peluang Berpuasa Pada Hari Asyura

Melihat ungkapan hadis berkenaan, jelaslah bahawa umat Islam disunatkan berpuasa pada 10 Muharam ini.

Hari Asyura

SIAPA yang berpuasa pada Hari Asyura, dosa-dosanya akan diampunkan oleh ALLAH SWT.

Malah, dalam sebuah hadis, ada dinyatakan bahawa puasa sunat berkenaan akan menghapuskan dosa setahun yang lalu.

Daripada Abu Qatadah al-Ansari bahawa: “Rasulullah SAW ditanya mengenai puasa pada hari Asyura. Maka, baginda menjawab: “Puasa itu menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Begitupun, menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, para ulama berselisih pendapat tentang dosa-dosa yang dihapuskan sama ada ia merangkumi dosa kecil atau besar.

DR ZULKIFLI

“Berdasarkan kepada perbahasan ulama, kami berpendapat bahawa dosa-dosa yang dimaksudkan akan dihapuskan bagi sesiapa yang berpuasa pada Hari Asyura adalah merujuk kepada dosa-dosa kecil.

“Sementara itu, dosa-dosa besar itu pula hanya dapat dihapuskan dengan taubat atau rahmat daripada ALLAH SWT serta limpah kurnia-NYA. Inilah pendapat jumhur ulama,” ungkapnya sebagaimana dipetik menerusi laman web maktabahalbakri.com.

Baca juga Usah batalkan puasa ganti sesuka hati, ini penjelasannya

Bagi mereka yang tiada dosa kecil melainkan dosa-dosa yang besar sahaja, agamawan itu menjelaskan, diringankan bagi individu tersebut dosa-dosa berkenaan berdasarkan kadar amalan sunat itu.

“Sementelah, mereka yang tiada dosa-dosa kecil dan besar, akan semakin bertambah timbangan kebaikannya serta diangkat kedudukannya.

“Hal ini kerana ALLAH SWT sama sekali tidak akan mensia-siakan ganjaran pahala daripada amalan-amalan kebaikan yang dikerjakan oleh hamba-hamba-NYA,” jelas beliau.

Baca juga Puasa sunat hari Asyura hari ini. Boleh ke hanya puasa 10 Muharam saja. Ini penjelasannya… 

Bukan sahaja pada 10 Muharam, umat Islam juga dianjurkan untuk berpuasa sunat pada 9 Muharam yang dikenali sebagai Hari Tasu’a.

Hari Asyura

ALLAH SWT tidak akan mensia-siakan ganjaran pahala daripada amalan-amalan kebaikan yang dikerjakan oleh hamba-hamba-NYA.

Menerusi laman web mais.gov.my, dalam sebuah hadis ada dinyatakan bahawa: “Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada Hari Asyura dan menyuruh orang ramai berpuasa, maka para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah! Asyura adalah hari yang diagung-agungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani”. Maka, baginda bersabda: “Jika datang tahun hadapan, kita akan berpuasa pada hari Tasu’a (hari ke-9 di dalam bulan Muharam)”. (Berkata Ibn Abbas, maka belum tiba tahun hadapan, Rasulullah SAW telah wafat.” (Hadis Riwayat Muslim dan Abu Daud)

Jika berkesempatan dan berkemampuan, ambillah peluang yang ada untuk berpuasa pada 9 dan 10 Muharam ini.

Semoga segala amalan yang dilakukan diterima oleh ALLAH SWT.

Foto: SinarPlus, 123rf & Freepik