Browsing Tag

tasawuf

Tasawuf
Isu,

Dalami tasawuf, petua jalan-jalan kebaikan

Dalami tasawuf, petua jalan-jalan kebaikan

TASAWUF merupakan ilmu mendekatkan diri kepada ALLAH SWT dan pengamalan agama secara nilai dalaman. Ia dipelajari kerana telah pun dinaskan kandungannya dalam al-Quran dan as-Sunnah. Meminggirkan diri daripada mempelajarinya akan menyebabkan jiwa jauh daripada mengingati ALLAH, miskin daripada usaha kebaikan dan mengundang sifat mazmumah.

Kandungan tasawuf amat sinonim dengan ‘petua’ jalan-jalan kebaikan. Manakala usaha memanfaatkan ilmu tasawuf akan menyemarakkan perkara berpahala.

Baca juga Biarlah kebaikan yang dibuat kecil di mata manusia, tapi berterusan. Itulah yang paling dicintai ALLAH

Firman ALLAH yang bermaksud: “Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran ALLAH serta mematuhi kebenaran (al-Quran) yang diturunkan? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik.” (Surah al-Hadid, ayat 16)

Berdasarkan kitab-kitab muktabar, inti tasawuf melibatkan tiga perkara iaitu:

Pertama: Mengenali dan mengamalkan akhlak tuntutan Islam yang amat berbeza dengan ajaran moral.

Tasawuf

AMALKAN akhlak yang diajar oleh Islam dengan sebaiknya. Itu antara inti dalam tasawuf. -Foto: 123rf

Kedua: Mengetahui dan mempratikkan sifat-sifat terpuji dalam sanubari (sifat mahmudah) dan berusaha membersihkan diri daripada penyakit batin (sifat mazmumah).

Ketiga: Mempelajari dan menghayati kaedah yang dapat menyemarakkan lagi rasa kehambaan kepada Tuhan menerusi kaedah kerohanian seperti uzlah (memencil diri daripada kesibukan dunia yang keterlaluan), suluk (usaha bersungguh-sungguh untuk beribadat), menjalankan jihad (aktif menyuruh kebaikan dan menyanggah kemungkaran) dan sentiasa menekuni ibadat sunat.

Cemerlang raih reda ALLAH

Imam al-Ghazali di dalam Ihya’ ‘Ulumuddin menegaskan, mempelajari ilmu berhubung akhlak adalah perkara wajib bagi setiap Muslim. Ilmu ini wajib diketahui sebagaimana pengetahuan tentang asas akidah dan syariah.

Baca juga 4 cara raih rahmat ALLAH SWT. Nampak mudah, tapi ramai yang tak ambil peluang lakukannya

Seseorang Muslim hendaklah mempelajari ilmu akidah dan syariah tanpa terpisah antara satu sama lain. Pengamalan gabungan ilmu Islam ini akan menjana insan beriman yang berjaya di dunia dan akhirat. Ia tidak akan menjadi orang yang rosak akidah, bahkan telah cemerlang meraih reda Tuhan.

Tanpa kesepaduan syariat dan tasawuf, kehidupan Muslim akan pincang, sebagaimana pesanan Imam Malik agar usah sesekali mengabaikan ilmu teras ini.

Imam al-‘Adawi salah seorang ulama Mazhab Maliki meriwayatkan bahawa Imam Malik berkata: “Sesiapa yang bertasawuf tetapi tidak mengamalkan tuntutan fiqh maka ia terkeluar daripada agama. Barang siapa yang menjalankan tuntutan fiqh tetapi tidak mengamalkan tasawuf maka ia berkeadaan berdosa. Barang siapa yang mengabungkan kedua-duanya, maka ia berada pada keadaan yang benar.”

Imam al-Ghazali menekankan bahawa menceburkan diri dalam ilmu tasawuf adalah fardu ain iaitu perkara yang dituntut bagi setiap individu Muslim mukalaf. Apabila diabaikan, akan mendatangkan dosa disebabkan individu terbabit tidak mengetahui apakah larangan dalam konteks akhlak dan perasaan sanubari.

Tasawuf

MENCEBURKAN diri dalam ilmu tasawuf adalah fardu ain iaitu perkara yang dituntut bagi setiap individu Muslim mukalaf. -Foto: 123rf

Muslim yang jahil berpotensi untuk tegar mengamalkan penyakit hati seperti riya, sombong, tamak dan sebagainya. Ia juga boleh muncul sebagai seorang Mukmin yang zahir setia beribadat namun ‘persembahannya’ kerana mengharapkan reda manusia.

Elak tragedi negatif

Untuk mengelak ‘tragedi’ negatif, tasawuf mengetengahkan perbincangan takutkan ALLAH dalam perkara zahir dan batin.

Baca juga Tok Ku Paloh ulama hebat dalam ilmu tasawuf sehingga mencapai darjat al-Kashaf

Keabsahan aliran tasawuf bergantung kepada sejauh mana objektif kerohanian yang sering diwar-warkan oleh guru mursyid dan bahan rujukannya.

Antara objektifnya ialah membawa semua pihak kembali tunduk hanya kepada ALLAH serta mengangkat peribadi Rasulullah SAW.

Objektif kerohanian ada terkandung dalam firman ALLAH yang bermaksud: “Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya. Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawanya kepada bertakwa. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih menjadi bertambah-tambah bersih.” (Surah asy-Syams, ayat 7-9)

Justeru, untuk mendalami ilmu tasawuf, peruntukkan waktu menghadiri kuliah pengajian di masjid, surau atau pusat pengajian yang diiktiraf. Mantapkan diri dengan menyertai kuliah yang membincangkan kandungan kitab-kitab muktabar karangan tokoh kerohanian seumpama Imam al-Ghazali, Imam Ata’Illah al-Sakandari, Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Syeikh ‘Abd al-Samad al-Falimbangi dan sebagainya.

Hasilnya, kita akan sedar akan hakikat bahawa setiap manusia memiliki kekurangan peribadi dan amalan ibadat melainkan para nabi. Dalam pada itu, terdapat golongan para wali, ulama dan orang soleh yang turut mendapat keistimewaan di sisi Tuhan lantaran usaha amal soleh.

Hasil didikan tasawuf juga, khalayak marhain juga akan terdorong untuk turut menjejaki langkah mereka. Inilah sebahagian urusan Mukmin yang amat bermanfaat untuk mencapai reda ALLAH di dunia dan akhirat.

***Artikel ditulis oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia merangkap Panel Hakam Kehakiman Syariah Negeri Sembilan, Dr Muhammad Yusry Affandy Md Isa al-Hafiz

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Tok Ku Paloh
Personaliti,

Tok Ku Paloh ulama hebat dalam ilmu tasawuf sehingga mencapai darjat al-Kashaf

Oleh SARRAH MOHSIN

JIKA menyebut tentang ilmuan Islam, pastinya cendekiawan terkenal dari zaman kegemilangan Islam seperti Ibnu Sina dan al-Farabi menjadi gambaran pertama yang timbul di fikiran.

Di Malaysia, kita juga memiliki tokoh ulama Islam tersendiri yang telah memainkan peranan besar dalam mencorak perkembangan dan pendidikan agama Islam di rantau Nusantara.

Antaranya ialah Tok Ku Paloh. Mungkin ada yang mengenalinya dengan panggilan Engku Sayyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik atau Syaikh al-Islam Terengganu. Beliau adalah seorang ulama dari Terengganu yang dikenali dengan jasanya dalam bidang dakwah, politik dan pendidikan di negeri tersebut pada pertengahan kurun ke-19 Masihi.

Pemilik nama penuh Syed Abdul Rahman bin Syed Muhammad ini dilahirkan di Kampung Chabang Tiga, Kuala Terengganu pada tahun 1817. Berketurunan Ahlul Bait.

Tok Ku Paloh menerima didikan Islam sejak kecil lagi. Selain diasuh oleh ayahnya, Tok Ku Tuan Besar, beliau juga dididik oleh Tok Sheikh Duyung sebelum melanjutkan pengajian ke Mekah selama 10 tahun. Kedua-dua gurunya adalah ulama terkemuka di Terengganu.

Sekembalinya ke Terengganu, beliau mengajar di Chabang Tiga seketika sebelum membuka madrasah di Kampung Paloh.

Menurut catatan, Kampung Paloh didatangi orang daripada pelbagai jurusan, bukan sahaja sekitar Kuala Terengganu, bahkan dari Pahang dan Patani yang ingin menuntut ilmu daripadanya. Antara anak muridnya yang terkenal termasuk Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut dan Sultan Zainal Abidin III.

Tok Ku Paloh

ILUSTRASI Tok Ku Paloh

Serba boleh dalam pelbagai cabang agama

Tok Ku Paloh paling mahir dalam ilmu tasawuf. Kitab tasawuf karangannya, Ma‘arij al-Lahfan li al-Taraqqi ila Haqaiq al-‘Irfan masih diamalkan sehingga ini. Arifnya beliau dalam ilmu tasawuf sehingga mencapai darjat al-Kashaf, iaitu orang yang dapat melihat perkara ghaib dan mengetahui rahsia yang tersembunyi.

Atas kemasyhuran ilmu dan ketinggian akhlak yang ada pada Tok Ku Paloh, Sultan Terengganu, Sultan Zainal Abidin III telah menjadikan beliau sebagai guru dan penasihat pentadbiran negeri.

Diceritakan bahawa British juga pernah cuba berunding dengan agamawan ini untuk mendapatkan Bukit Besar, tetapi gagal.

Baca juga Daripada seorang hamba, Al-Khazini menempa nama sebagai antara cendekiawan Islam terulung

PROFIL

Nama: Syed Abdul Rahman bin Syed Muhammad

Gelaran: Tok Ku Paloh Asal: Kuala Terengganu, Terengganu

Tahun kelahiran: 1817 Masihi (bersamaan 1233 Hijrah)

Tahun kematian: 1918 Masihi (bersamaan 1337 Hijrah)

Sumbangan:

  • Melindungi pejuang Islam dan Melayu pada zaman penjajahan
  • Naskhah beliau berjaya meniupkan semangat antipenjajah dalam masyarakat setempat
  • Mengembangkan Islam di nusantara sebagai Sheikhul Ulama
  • Karya agung: Ma‘arij al-Lahfan li al-Taraqqi ila Haqaiq al-‘Irfan

Sumber & Foto: Facebook, The Patriots, Qulamirulhakim.blogspot.com & Ummah Today