Browsing Tag

tanyalah ustaz

759817d6-2769-4cd1-8d3d-1e7399cd626d
Gaya Hidup,

Empat Kaedah Menangani Ibadah Tergendala Akibat Pandemik

SEJAK tahun lalu lagi umat Islam bukan saja di negara ini malah seluruh dunia tidak lagi merasa tenteram, resah, tertekan apabila rutin kehidupan mereka tidak lagi seperti biasa. Segala pergerakan terbatas dan dihalang akibat ujian yang diturunkan ALLAH berupa wabak Covid-19 menyebabkan ibadah mereka tergendala.

Setiap ujian yang ALLAH berikan kepada kita adalah untuk menilai sejauh manakah pergantungan kita kepada ALLAH selain mengajar kita untuk bersedia menempuh ujian akhir zaman sebagaimana yang dipesan Rasulullah SAW.

Firman ALLAH di dalam Surah Ar-Rum ayat 41 yang maksudnya: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana ALLAH hendak mereka merasakan sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang telah mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Program Tanyalah Ustaz di TV3 dan TV9 pada 20 September 2021 dengan topik Ibadah Tergendala.

Mengupas mengenai topik Ibadah Tergendala yang disiarkan menerusi Program Tanyalah Ustaz di TV3 dan TV9 pagi ini, pandemik yang diturunkan ALLAH untuk memberikan umatNya kebaikan dan kasih sayang menerusi hikmah tanpa kita sendari.

Menurut Penceramah Bebas, Ustaz Azam Al-Kankari berkata umat Islam tidak diajar untuk bersangka buruk terhadap ALLAH kerana setiap ujian yang diturunkan itu nescaya akan digantikan dengan kebaikan dan kasih sayangNya.

Beliau turut berkongsi sebuah hadis Rasululluh SAW yang diriwayatkan oleh Iman Al Bukhari, ‘Siapa yang ALLAH menghendaki kepadanya kebaikkan nescaya ALLAH akan menguji mereka’.

Ustaz Azam menambah, apa saja ujian yang ALLAH turunkan, hendaklah kita sentiasa bersangka baik dan bersyukur serta memohon keampunan kepadaNya.

“Umat Islam tidak perlu bimbang sekiranya ujian itu telah menghalang kita daripada dapat melakukan ibadah kepadaNya secara selesa kerana sekiranya kita sentiasa beriman kepada ALLAH, kita akan mencari jalan lain untuk melakukan tanggungjawab kita melakukan ibadah.

“Di sini saya sertakan empat kaedah yang boleh kita lakukan agar dapat memberi kembali motivasi dan semangat untuk kita tidak meninggalkan amal ibadah kita walaupun dihalang oleh wabak yang sangat merbahaya ini.

“Pertama kita haruslah sentiasa berusaha untuk menghidupkan ibadah di mana saja kita berada khususnya di rumah. Walaupun kita tidak dapat pergi ke masjid atau surau untuk berjemaah, mengikuti kelas agama, menghadiri majlis ilmu, namun semua perkara itu boleh kita lakukan dengan usaha kita sendiri ketika berada di rumah bersama keluarga,” katanya.

Seterusnya Ustaz Azam mengajak umat Islam berusaha mencari alternatif sendiri untuk mencari ilmu dengan memanfaatkan segala teknologi yang ada di rumah. Ia seperti menonton program-program agama yang banyak disiarkan di saluran televisyen negara mahupun luar negara.

“Carilah ilmu di mana saja kita berada. Dalam dunia yang penuh dengan teknologi ini semua maklumat boleh kita dapatkan di hujung jari saja. Bagi mereka yang sering amalkan bersedekah di masjid atau surau, kini kita boleh terus melakukan amalan baik kita itu untuk bersedekah menerusi atas talian. Carilah maklumat yang tepat dan diyakini agar sedekah kita itu sampai kepada mereka yang sangat memerlukan dalam situasi ramai yang sedang susah ketika ini.

“Selain itu kaedah ketiga, jadikanlah ulamak dan umarak sebagai rujukan, menghormati badan autoriti pejabat mufti jangan dipertikaikan apa yang telah difatwakan. Ia merujuk kepada beberapa SOP yang dikeluarkan oleh pejabat mufti dan telah diperdebatkan alim ulamak kita bukan untuk menyusahkan umat Islam tetapi demi kebaikan agama, masyarakat dan negara.

“Dan yang terakhir hendaklah kita sentiasa berdoa kepada ALLAH untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat Islam dan negara. Berdoalah agar kepada ALLAH untuk diangkat kembali wabak ini segera agar agar kita dapat menjalani kehidupan seperti biasa seterusnya dapat melaksanakan ibadah kita dengan sempurna serta tidak lagi tergendala,” katanya.

Jika kita merenung dan bermuhasabah dengan apa yang berlaku maka kita akan mengetahui bahawa setiap yang berlaku adalah disebabkan perbuatan kezaliman kita sendiri.

Justeru, musibah yang diturunkan ALLAH menerusi wabak dan penyakit yang membahayakan ini tidak ada sesiapa yang mampu untuk menghalangnya melainkan dengan izin ALLAH.

Firman ALLAH di dalam Surah Yunus ayat 107: “Dan jika ALLAH mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Dia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurnia-Nya.