Browsing Tag

tanggungjawab ketua keluarga

Suami dan bapa
Isu, Pilihan Editor,

Ingatan Untuk Para Suami Dan Bapa, Ramai Yang Lakukan Dosa Ini Tanpa Sedar

no comment

SAAT lafaz ijab dan kabul meluncur keluar dari bibir seorang lelaki, maka bermulalah satu amanah baharu buat mereka untuk mengemudi bahtera rumah tangga yang dibina.

Perkahwinan atas dasar cinta itu harus disempurnakan dengan tanggungjawab. Baik suami mahupun isteri, kedua-duanya perlu memainkan peranan masing-masing supaya matlamat pernikahan menuju sakinah dan mawaddah dalam meraih keredaan ALLAH SWT dapat dicapai.

Pendakwah Mohamad Wadi Annuar Ayub menjelaskan, ALLAH SWT meletakkan beban yang berat ke atas suami dan bapa. Antara tanggungjawab besarnya adalah menyediakan nafkah untuk isteri dan zuriat hasil perkongsian hidup bersama.

WADI ANNUAR

Bahkan, Rasulullah SAW pernah mengingatkan kewajipan berkenaan yang mana baginda bersabda: “Cukuplah seorang lelaki itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawabnya ke atas sesiapa yang berada di bawah penjagaannya.” (Riwayat Ibn Hibban dan al-Hakim dalam al-Mustadrak)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, ujar pendakwah yang sinonim dipanggil sebagai Ustaz Wadi Annuar, jelaslah betapa besarnya dosa seorang suami dan ayah yang mengabaikan nafkah kepada isteri dan anak-anaknya.

“Dalam bahasa mudahnya, hadis itu memberitahu dosa yang satu itu sudah cukup jika dilakukan oleh seorang ketua keluarga.

“Saya terpanggil untuk mengingatkan perkara ini kerana suasana umat Islam di Malaysia pada hari ini yang sangat membimbangkan.

“Apa tidaknya, bilangan suami yang tidak menunaikan kewajipan tertinggi mereka selain daripada mengajarkan agama kepada isteri dan anak-anak, golongan itu juga tidak memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anak,” jelasnya dipetik menerusi perkongsian video yang bertajuk Banyak Suami Yang Terlibat Dengan Dosa Ini di laman sosial Facebook miliknya pagi tadi.

Suami dan bapa

SUAMI yang memberi nafkah kepada isteri dan anaknya umpama bersedekah dan melakukan kebaikan.

Baca juga Ini Dia Peranan Bapa Sepertimana Yang Disebutkan Dalam Al-Quran

Hakikatnya, ketahuilah bahawa setiap kali seorang isteri dan anak-anak menyuap nasi masuk ke dalam mulut masing-masing, Nabi Muhammad SAW menyebut, ia adalah satu kebaikan kepada suami atau bapa, ungkapnya.

“Apa sahaja kegembiraan yang diberikan kepada isteri dan anak-anak kita termasuk memudahkan urusan mereka dikira sebagai sedekah dan kebaikan sehinggakan apa yang kita masukkan dalam mulut isteri juga adalah sedekah.

“Bayangkan satu pinggan makanan, isteri makan 20 suap. Sehari pula, sekurang-kurangnya tiga kali kita makan. Sudah 60 suapan kesemuanya.

“Setiap 60 kali isteri suap makanan tadi, maka 60 kalilah suami bersedekah. Demikianlah yang ALLAH SWT kira buat si suami tadi. Jika kita ada tiga orang anak, makin berganda kebaikan yang dikira setiap hari,” jelasnya.

Dalam pada itu, Wadi Annuar turut menegur sikap sebilangan ketua keluarga yang memandang remeh, malah ada juga yang kuramg menitikberatkan tentang tanggungjawab yang satu itu.

Bukan itu sahaja, katanya, semakin ramai suami yang menjadi beban dalam pelbagai versi situasi seolah-olah menjadi trend pada hari ini. Antaranya suami tidak bekerja dan segalanya ditanggung oleh isteri.

Suami dan bapa

SUAMI dan isteri perlu menjalankan tanggungjawab masing-masih dalam melayari alam rumah tangga.

“Sementelah, terdapat pula suami yang bekerja, namun urusan perbelanjaan rumah dan keluarga yang sepatutnya ditanggung oleh ketua keluarga dibahagi-bahagikan dengan isteri. Yang itu isteri bayar dan yang ini pula dia bayar. (Tindakan) ini juga salah.

“Paling teruk sekali, suami tak bekerja langsung, semua isteri yang tanggung. Bayangkan kalau satu hari, dia tidak memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anaknya, Rasulullah SAW sudah memberi ingatan bahawa dosa itu sudah cukup untuk melayakkan si suami masuk ke neraka dan membebankan perjalanan hidupnya di padang mahsyar kelak.

“Apatah lagi ada dalam kalangan suami, tiga hari tak bagi nafkah. Kalau tiga hari, ini bermakna, dia sudah membuat dosa sebanyak sembilan kali atau enam kali dosa. Ini kerana suami wajib memberi isterinya makan sekurang-kurangnya sehari sebanyak dua kali.

“Ini belum lagi kita bahaskan tentang nafkah lain seperti tempat tinggal, pakaian dan sebagainya,” katanya.

Menyambung hujahnya, agamawan itu kemudian menceritakan kelebihan apabila para suami dan bapa menyempurnakan bab nafkah dengan baik.

Seandainya kita berjaya solat 1,000 rakaat sekalipun, tetapi mengabaikan nafkah isteri dan anak-anak, beliau menegaskan, apa yang dilakukan itu tidak akan memberikan manfaat apabila tiba di pasang mahsyar untuk dihitung kelak.

Malah, dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Satu dinar yang kau infakan di jalan ALLAH, satu dinar yang kau infakkan untuk membebaskan seorang hamba, satu dinar yang kau sedekahkan untuk orang miskin, dan satu dinar yang kau keluarkan untuk menafkahi keluargamu, maka yang paling besar pahalanya adalah yang kau keluarkan untuk menafkahi keluargamu.“ (Riwayat Muslim)

Suami dan bapa

UTAMAKAN nafkah kepada keluarga dahulu kerana ia adalah yang paling utama.

Meskipun nas tersebut terang-terangan menyebut kelebihan tentang sikap suami dan bapa memberikan nafkah, malangnya kata Wadi Annuar, masih ada lagi sebilangan kaum Adam yang berkira untuk berbelanja untuk isteri dan anak masing-masing.

Malah, ada yang lebih rela menggunakan wangnya untuk belanja rakan atau orang lain berbanding keluarganya.

“Justeru, ayuh bersama kita renungkan tentang perkara ini.

“Semoga kita dapat membelanjakan harta yang dimiliki pada jalan yang tepat iaitu yang diredai oleh ALLAH SWT,” katanya mengakhiri bicaranya.

Foto: Freepik