Browsing Tag

tanggungjawab kerajaan

Harga barang
Muamalah,

Pemerintah Wajib Kawal Kenaikan Harga Barangan Agar Rakyat Tidak Terus Dibebani

no comment

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

BARU-BARU ini, rakyat Malaysia dikejutkan dengan satu berita tentang kenaikan harga barang keperluan harian  sebanyak sekali ganda. Di celah-celah masalah kewangan yang dihadapi oleh rakyat akibat daripada pendemik Covid-19 selama lebih kurang setahun lebih dan sekarang ini masih lagi belum pulih sepenuhnya, rakyat terpaksa menghadapi derita kedua apabila barang keperluan harian naik sekali ganda.

Apa yang terjadi sekarang boleh diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga. Rakyat yang sudah sedia menderita, ditambah deritanya dengan kenaikan barang keperluan harian yang bukan sedikit kenaikannya. Saya yakin harga makanan di restoran atau di gerai akan dinaikkan berganda-ganda atau mungkin juga dikurangkan bahan yang menyebabkan kualitinya berkurang.

Dalam situasi sekarang, pihak kerajaan perlu memainkan peranan demi menjaga kepentingan rakyat. Kawalan harga perlu dilakukan agar penjual atau pembekal tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga.

Dalam Islam, kawalan harga atau disebut tas’ir adalah diharuskan. Tidak dinafikan ada sebuah hadis yang menunjukkan bahawa Rasulullah SAW menolak permintaan para sahabat yang meminta dikawal harga barang yang naik ketika itu.

Dari Anas bin Malik berkata: “Harga pada zaman Rasulullah SAW menjulang tinggi”. Lalu orang ramai berkata: “Wahai Rasulullah, harga menjulang tinggi, tetapkanlah harganya”, beliau menjawab: “Sesungguhnya ALLAHLAH YANG MAHA MENENTUKAN HARGA dan MAHA MEMBERI REZEKI. Aku ingin menghadap ke hadirat ALLAH, sementara tidak ada satu orang pun yang menuntutku kerana suatu kezaliman yang aku lakukan kepadanya, dalam masalah darah dan harta.” (Riwayat Abu Daud, Tirmizi, Ibn Majah dan Ahmad)

Harga barang

Namun, pemahaman sesuatu hadis bukan sekadar meneliti lafaz zahir atau matan hadis semata-mata, tetapi perlu lihat sebab didatangkan hadis berkenaan (asbab al-wurud) atau latar belakang hadis tersebut. Sebagaimana yang disebut oleh Ibn al-Qayyim dalam Kitab al-Turuq al-Hukmiyyah dan Ibn Qayyim  dalam Kitab al-Hisbah, hadis ini adalah khusus untuk situasi ketika itu dan ia bukanlah umum untuk semua keadaan. Pada ketika itu, kenaikan harga barang bukanlah disebabkan oleh tindakan para peniaga untuk menyorok barang bagi membolehkan mereka menjual dengan harga tinggi (monopoli atau ihtikar), tetapi kenaikan harga adalah disebabkan kekurang bekalan secara semula jadi.

Baca juga Kepentingan ketelusan dalam muamalat kerana di situlah tertakluknya persetujuan pihak yang berkontrak

Kembali kepada isu kawalan harga, saya ingin sebutkan satu kaedah fiqh yang membawa maksud ‘Tindakan pemerintah (hendaklah) sentiasa ke arah membawa kebaikan (maslahah) kepada orang ramai.’

Oleh itu pihak kerajaan ada tanggungjawab untuk mempastikan kepentingan rakyat. Dalam situasi sekarang, kawalan harga perlu dipertimbangkan agar rakyat tidak dibebani dengan masalah demi masalah.

Pihak kerajaan ada tanggungjawab untuk membuat penyiasatan mengapa harga barang keperluan tiba-tiba melambung naik? Adakah ia ada unsur campur tangan penjual atau pembekal dan bukannya kerana kekurangan bekalan secara semula jadi seperti hasil tanaman yang tidak menjadi atau seumpamanya?

Harga barang


KAWALAN harga barang keperluan yang dilakukan biarlah selari dengan Maqasid Syariah demi maslahat semua rakyat.

Jika kenaikan harga itu adalah hasil campur tangan penjual/pembekal, pihak kerajaan ada kewajipan untuk menetapkan harga siling barang keperluan. Kawalan harga pada ketika ini bukan lagi sekadar harus, tetapi jatuh kepada wajib. Pihak kerajaan berdosa jika keadaan ini dibiarkan berterusan.

Kerajaan wajib menetapkan harga yang adil iaitu harga yang membawa konsep win-win situation yang mana hak penjual/pembekal untuk dapat keuntungan tidak dinafikan dan hak rakyat untuk dapatkan barang keperluan dengan harga yang munasabah juga tidak dinafikan.

Sebagai kesimpulan, kawalan harga adalah selari dengan Maqasid Syariah iaitu mendatangkan maslahat dan menolak kerosakan. Wallahualam.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Unsplash & Pexels