Browsing Tag

Tangguhkan amalan

afiq-fatah-_xJsyhwPzlA-unsplash
Isu,

Jangan suka tangguhkan amalan. Ini sebabnya…

JIKA kita sudah berniat atau berazamkan sesuatu, pasti apa yang dihajatkan tadi akan cuba diusahakan dengan sebaiknya.

Masakan tidak, jika tidak dilaksanakan, tindakan kita berazam tadi seolah sia-sia. Lebih memalukan jika orang tahu niat kita, tetapi apabila ia tidak dilakukan, orang akan mengata kita seorang yang cakap tidak serupa bikin pula.

Lazimnya, apa yang diniatkan itu pastilah melibatkan sesuatu perbuatan yang baik. Umpamanya, hendak pergi ke masjid, membantu orang dan sebagainya.

Begitupun, sekadar niat sahaja tidak cukup jika kita menangguh-nagguhkan amalan berkenaan. Namun, masih ada segelintir masyarakat yang lebih gemar mengambil pendekatan sedemikian apatah lagi selepas berkali-kali ditegur oleh orang lain supaya tidak menangguhkan amalan.

Tangguhkan amalan“Nantilah aku taubat, sedekah banyak-banyak. Ada banyak masa lagi nak buat semua ini.”

Barangkali itu yang terlintas dalam fikiran mereka. Hakikatnya, kita tidak boleh menangguh-nangguhkan amalan kebaikan tersebut.

Pendakwah Elyas Ismail menjelaskan, ada implikasi akibat daripada sikap kita itu ketika di akhirat kelak iaitu semasa meniti titian sirat.

ELYAS

Ketahuilah, pada masa itu, ada golongan yang begitu pantas meniti titian sirat berkenaan. Ada juga yang sebaliknya, ungkapnya.

“Ada golongan sepantas kilat dan sekelip mata melaluinya seperti burung dan kuda.

“Namun, paling menyedihkan, ada manusia yang terlalu lambat. Lambatnya dia meniti titian itu seolah-olah dirinya mengengsot dengan perut,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di Instagram miliknya baru-baru ini.

Baca juga Beramal tanpa ilmu dan kefahaman, betul ke amalan kita tak akan diterima…

Pada masa itu, ujar Elyas, hamba ALLAH berkenaan bertanyakan kepada ALLAH mengapa dirinya lambat melalui titian berkenaan.

“Ya Tuhan, kenapa ENGKAU melambatkan aku? Kenapa ENGKAU melambatkan pergerakan aku di atas titian sirat ini?

“Lalu, ALLAH SWT menyebut: “AKU tidak melambatkanmu, akan tetapi amalan-amalanmu yang telah melambatkan pergerakanmu pada hari ini”,” ceritanya.

Melihat ungkapan itu, Elyas meminta kita mengambil pengajaran daripada kisah berkenaan.

Ujar beliau, ulama mengatakan bahawa sesiapa yang menunda-nunda amalan ketika hidup di dunia, maka lambatlah kelak dirinya di atas titian sirat.

Tunda amalan“Apabila disuruh pakai tudung, dia kata nantilah. Jika disuruh bersedekah, dia kata nantilah. Berjaga-jagalah, kita kena ingat implikasinya di akhirat kelak,” katanya.

Justeru, usahlah menangguh-nagguhkan amalan di dunia ini. Lagipun, kita sendiri tidak tahu berapa lama masa yang kita ada untuk melayari kehidupan di alam yang fana ini.

Sumber: Instagram @ustazelyasismail

Foto: Freepik & Unsplash