Browsing Tag

tangguh

Asharq Al-awsat
Jendela Dunia,

Arab Saudi Tangguh Sesi Pembelajaran Sekolah Rendah

no comment

HANYA dua minggu saja lagi jika mengikut perancangan awal, sesi pembelajaraan pelajar sekolah rendah di seluruh Arab Saudi akan bermula.

Namun, Kementerian Pendidikan negara itu telah mengumumkan bahawa mereka akan meneruskan sesi pembelajaran dari jarak jauh sehingga diberitahu lebih lanjut, menurut laporan Saudi Press Agency, semalam.

Cadangan pembukaan sekolah yang sepatutnya bermula 31 Oktober untuk pengajaran secara langsung telah ditunda atas alasan keselamatan.

Kata kementerian itu, pihak mereka memerlukan data epidemiologi lebih lengkap mengenai situasi Covid-19 daripada kerajaan bagi menilai risiko sebelum keputusan dapat dibuat mengenai pembukaan sekolah secara langsung bagi kanak-kanak di bawah usia 12 tahun.

“Kementerian akan meneruskan usaha untuk menawarkan pembelajaran secara maya kepada golongan usia melalui ‘Madrasati’ (platform dalam talian) untuk peringkat sekolah rendah dan ‘Rawdaty’ untuk peringkat prasekolah,” katanya.

Kerajaan menawarkan pembelajaran secara maya kepada golongan kanak-kanak melalui ‘Madrasati’. Gambar: Zawya

Kementerian Kesihatan dan Pendidikan telah bekerjasama bagi memastikan keputusan untuk membuka sesi persekolahan bagi sekolah rendah dan menengah di buat dengan betul-betul bersedia tanpa sebarang risiko.

Pada Ogos lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan bahawa, mengikut peraturan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, pelajar yang divaksinasi sepenuhnya pada usia 12 tahun ke atas akan kembali ke sekolah.

Mereka yang tidak diberi vaksin sepenuhnya akan terus belajar dari jarak jauh, dengan tugasan kelas akan dimuat ke platform Madrasati yang diperkenalkan oleh kementerian.

Pada 12 Oktober, Kementerian Pendidikan mengeluarkan arahan yang mendesak pihak berkuasa pendidikan di seluruh negara untuk memastikan semua pelajar diberi vaksin sepenuhnya dan tiada yang terkecuali untuk belajar dari rumah. Pelajar diberi masa dua minggu dari awal semester untuk menyelesaikan proses vaksinasi.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Arab Saudi, semalam melaporkan sebanyak 49 kes baharu Covid-19 dicatatkan dan dua kematian akibat wabak itu.

Angka itu menjadikan jumlah setakat ini dicatatkan sebanyak 548,018 kes dan jumlah kematian keseluruhan iaitu 8,767 orang.

Pegawai kesihatan mengatakan pada masa ini terdapat 2,214 kes aktif, di mana 90 orang pesakit berada dalam keadaan serius dan kritikal.

Di antara kes yang baharu dilaporkan, iaitu Riyadh (16 kes), Jeddah (9), Jubail (3), dan Al-Darb serta Makkah masing-masing dua kes.

Kementerian juga mengumumkan bahawa 38 pesakit telah pulih dengan jumlah keseluruhan setakat semalam iaitu sebanyak 537,037 kes.

Sebanyak 45,275 ujian tindak balas rantai polimerase telah dilakukan dalam 24 jam terakhir, yang bermaksud bahawa hingga kini lebih dari 29.8 juta pemeriksaan PCR telah dilakukan di negara itu.

Sementara itu, sebanyak 44.8 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan sejak kempen imunisasi Kerajaan dimulai dan lebih 20.8 juta orang kini telah lengkap divaksinasi sepenuhnya.

 

Sumber: Arab News