Browsing Tag

Tanda-tanda puasa diterima ALLAH

Israk Mikraj: Perjalanan penuh hikmah, berikut empat pengajaran daripadanya
Berita Semasa,

Ini tanda-tanda puasa kita diterima oleh ALLAH SWT

“ADA orang yang berpuasa, dia langsung tak dapat apa-apa kecuali hanya lapar dan dahaga saja. ”

Bait-bait kata-kata itu boleh dikatakan kerap kali kita dengar tidak kiralah sama ada di corong radio, televisyen mahupun tazkirah daripada para agamawan.

Bunyinya saja sudah cukup membuatkan kita bimbang. Apa tidaknya, sudahlah penat berpuasa seharian, tapi bukan pahala yang dikutipnya.

Memang sia-sia jika kita berpuasa dalam keadaan itu. Walhal, bulan Ramadan ada banyak kelebihan hinggakan ALLAH SWT menjanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda buat mereka yang berpuasa dan menghidupkan bulan penuh barakah itu.

Ya ALLAH, ruginyalah andai itu yang berlaku. Tapi mengeluh dan menyesal tanpa apa-apa saja tindakan tidak cukup.

Apa pun, kita kena ambil tahu juga apakah tanda-tanda ALLAH SWT menerima puasa kita. Hanya dengan cara ini kita dapat perbaiki puasa kita yang masih lagi berbaki 23 hari.

Jom kita tengok apakah tanda-tanda amalan puasa yang kita lakukan diterima oleh ALLAH SWT.

1. Berterusan melakukan ketaatan kepada ALLAH SWT

– Menurut Imam Ibn Rajab al-Hanbali, sesiapa yang melakukan ketaatan kepada ALLAH dan selesai melaksanakannya, antara tanda diterima amalan itu, seseorang akan berterusan melakukan ketaatan yang lain selepas itu.

– Akan tetapi, antara tanda tertolaknya suatu amalan adalah apabila amalan itu diikuti dengan sesuatu maksiat.

– Ketahuilah bahawa apa sahaja kebaikan yang dilakukan selepas kejahatan akan menghapuskan kejahatan tersebut dan sudah pasti yang terbaik adalah melakukan kebaikan selepas membuat kebaikan yang lain.

2. Melazimi puasa

– Kata Ibn Rajab, mereka yang diterima amalan puasanya akan melazimi dirinya untuk berpuasa walaupun selepas bulan Ramadan.

– Sesungguhnya ALLAH SWT jika menerima suatu amalan daripada seorang hamba, maka ALLAH SWT akan memberinya taufik untuk melakukan amal soleh setelahnya.” (Lihat Lata’if al-Ma’arif, hlm. 244)

– Bahkan, Nabi Muhammad SAW pernah menyebut bahawa amalan yang baik paling adalah yang berterusan sebagaimana sabda baginda: “Amalan yang paling dicintai oleh ALLAH adalah amalan yang berterusan walaupun ia sedikit.” (Riwayat Muslim)

3. Menjadi lebih baik

– Orang yang diterima amalannya juga akan menjadi lebih baik dari sebelumnya dan sentiasa merasakan amal soleh yang dilakukannya masih belum sempurna.

– Sehinggakan orang yang benar-benar mengenal ALLAH, kata Ibn al-Qayyim dalam kitabnya Madarij al-Salikin menyatakan, mereka sentiasa beristighfar selepas selesai melakukan ibadah.

Semoga ia boleh menjadi panduan kita untuk memperbaiki puasa masing-masing.

Mudah-mudahan kita diberikan kekuatan dan istiqamah untuk melaksanakan segala perintah ALLAH dan bermujahadah melawan nafsu daripada melakukan perkara yang ditegah-NYA.

Siapa tahu Ramadan dalam norma baharu ini akan memberi ‘sinar’ yang pasti akan dikenang sepanjang hayat kita.

(Sumber: Irsyad al-Fatwa Khas Ramadan Siri ke-152: Tanda-tanda Penerimaan Amalan Puasa, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)

Foto: Freepik