Browsing Tag

Tanda mati jiwa

Tanda mati jiwa
Panduan,

4 tanda mati jiwa yang menjauhkan kita dengan ALLAH SWT

SEMUA orang mengidam-idamkan pengakhiran yang baik dalam kehidupan masing-masing. Demikianlah fitrah manusia yang sememangnya sukakan kebaikan.

Begitupun, ada segelintir orang begitu liat sekali hatinya untuk berhijrah. Apatah lagi mahu bertaubat atas kesilapan dan dosa lampau yang pernah dilakukan.

Malah, dirinya semakin dilekakan dengan kesibukan dunia yang hanya bersifat sementara dan sekadar tempat persinggahan semata-mata. Alam akhiratlah destinasi yang kekal abadi.

Na’uzubillah, mohonlah kepada ALLAH SWT agar kita dijauhkan daripada dibuai keasyikan dunia itu. Bukan apa, kita tidak mahu terus hanyut dengan duniawi sehingga terlupa kepada bekalan ukhrawi.

Berdoalah bersungguh-sungguh agar YANG MAHA ESA sentiasa membuka pintu hidayah-NYA buat kita dan melorongkan jalan kebaikan. Ia bagi menghidupkan jiwa kita kembali kepada fitrah Islam dan terus istiqamah dengan ajaran agama suci itu.

Ketahuilah bahawa jiwa yang mati boleh menyebabkan kita jauh daripada ALLAH SWT.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan, dalam al-Quran dan hadis, ada diberikan beberapa petunjuk tentang jiwa yang mati menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

DR AHMAD SANUSI

Berikut adalah perinciannya:

1. Tidak mengingati ALLAH SWT tanda hati mati.

Rasulullah SAW memberi gambaran bahawa salah satu tanda hati yang mati adalah apabila jiwa tidak mengingati ALLAH SWT.
Sabda baginda SAW: “Perumpamaan orang yang mengingati ALLAH dengan orang yang tidak mengingati ALLAH adalah seumpama orang yang hidup dengan orang yang mati.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Baca juga La Hawla wa la Quwwata illa billah: Penyerahan jiwa raga kepada Yang Maha Kuasa

2. Tidak tersentuh apabila mengingati ALLAH SWT.

Dalam al-Quran, ALLAH SWT membayangkan bahawa orang yang beriman mudah tersentuh apabila mengingati-NYA. Sebaliknya, jiwa yang kaku apabila mengingati Sang Pencipta memberikan petanda bahawa ‘rohnya’ lesu.
ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama ALLAH gementarlah hati mereka…” (Surah al-Anfal, ayat 2)

3. Tidak tersentuh dengan al-Quran.

Memang menjadi sifat orang beriman hatinya mudah dijentik apabila menghayati al-Quran kerana jiwa mereka hidup dengan kalamullah itu.

Tanda mati jiwa

BERPEGANG teguhlah kepada al-Quran yang menjadi manual kepada kehidupan manusia.

Ia dapat dibuktikan apabila al-Imam al-Qurtubi menjelaskan, para sahabat menangis apabila ayat 60, Surah an-Najm diturunkan.
Firman ALLAH SWT: “Apakah kamu merasa hairan dengan keterangan al-Quran ini? Dan kamu tertawa dan tidak menangis (menginsafi peringatan yang disampaikan).” (Surah an-Najm, ayat 59-60)

4. Tidak menangis apabila teringat dosa.

Baca juga Jauhi Maksiat Dan Dosa Dengan 3 Amalan Ampuh Ini

Bibit-bibit penyesalan pasti akan meruntuhkan tembok air mata akibat dosa-dosa silam. Masakan tidak, ia begitu berbekas dalam sanubari apabila hidayah datang menjemput.

Mengertilah, hati yang keras tidak tersentuh apabila individu berkenaan terkenangkan dosanya.

Diriwayatkan bahawa al-Hasan al-Basri pernah terjaga pada suatu malam dan tiba-tiba sahaja beliau menangis. Lalu, ahli keluarganya bertanya: “Kenapa engkau menangis?”

Beliau menjawab: “Aku teringatkan akan dosaku, lalu aku menangis.” (al-Tabsirah, Ibn al-Jauzi)
Begitulah tanda-tanda jiwa seseorang itu mati sehinggakan kalis daripada sebarang perasaan dan perbuatan yang mendekatkan diri dengan ALLAH SWT.

Justeru, Dr Ahmad Sanusi menitipkan pesanan agar kita sentiasa memohon kepada-NYA supaya dikurniakan hati yang sejahtera.

“Berdoalah agar kita dapat bertemu ALLAH SWT dengan jiwa yang sejahtera juga,” ungkapnya.

Foto: Freepik & Pexels