Browsing Tag

Tanam durian

Tanam durian
Isu,

Ceroboh Tanah Milik Orang Lain Untuk Tanam Durian Demi Kaut Keuntungan, Ini Hukumnya

no comment

BAGI peminat raja buah, sekarang merupakan detik-detik yang begitu dinanti-nantikan untuk mendapatkan dan menjamah durian kegemaran masing-masing.

Masakan tidak, musim durian seakan menjadi ‘pesta’ bagi golongan yang ‘hantu durian’. Malah, ada yang tidak kisah berbelanja sakan demi mendapatkan buah bermusim itu.

Di sebalik kerancakan musim durian, ada cerita kurang enak didengar. Terdapat pihak tertentu yang meneroka tanah secara haram untuk menanam durian bagi mengaut keuntungan.

Umpamanya, kes yang berlaku di Pahang mutakhir ini yang menyebabkan kerajaan negeri itu kerugian RM30 juta hasil cukai tanah akibat isu pencerobohan tersebut di Raub. Nilai kerugian tersebut dianggarkan berdasarkan kadar terendah pajakan dan cukai tanah untuk tempoh 10 tahun.

Tanam durian

MENEROKA tanah orang lain menyebabkan pemilik tanah kerugian.

Untuk rekod, dianggarkan seluas 4,400 hektar kawasan diusahakan secara haram untuk penanaman durian di daerah berkenaan.

Baru-baru ini, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menahan 18 orang yang disyaki pekebun haram durian Musang King ketika operasi di Hutan Simpan Kekal Batu Talam, Raub.

Baca juga Arab Saudi Lulus Pelan Rancangan Kecemasan untuk Tunai Haji

Isu pencerobohan berkenaan dikatakan sudah lama berlaku. Malah, sebelum ini lagi Kerajaan Negeri Pahang sudah pun memberi amaran untuk bertindak tegas terhadap individu yang menceroboh tanah bagi aktiviti pertanian secara haram mengikut lunas undang-undang.

Segelintir pihak mempertikaikan tindakan berkenaan yang dianggap zalim kerana dilakukan ketika pokok-pokok berkenaan sedang berbuah.

Bahkan, ada pihak yang mencadangkan supaya mempertimbangkan cadangan dalam isu kebun haram berkenaan. Antaranya menunggu durian Musang King gugur terlebih dahulu sebelum pokoknya ditebang.

Apa jua penyelesaian yang diambil, ketahuilah bahawa Islam menyediakan garis panduan dalam perkara tersebut.

Sebenarnya, tindakan Kerajaan Negeri Pahang yang mahu mengambil penguatkuasaan tegas itu tepat dan tiada salahnya menurut Islam, kata pendakwah Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

PU SALMAN

Ujar beliau, perkara itu ada dinyatakan jelas dalam sebuah hadis sahih.

Rasulullah SAW bersabda: “Pokok yang ditanam secara zalim (di tanah bukan miliknya), penanam tiada hak ke atas pokok tersebut.” (Riwayat Abu Daud)

Pendakwah itu kemudian menceritakan kisah di sebalik hadis berkenaan yang berlaku ketika zaman Nabi Muhammad SAW.

Ketika itu, ada seorang lelaki yang menanam pokok di atas tanah milik orang lain sebagaimana disebut dalam Sunan Abi Daud.

Diceritakan bahawa Urwah bin Zubair berkata: “Sahabat yang meriwayatkan hadis ini telah menceritakan bahawa dua orang lelaki telah mengadu perbalahan mereka kepada Rasulullah. Salah seorang mereka telah menanam pokok kurma di tanah seorang lagi. Nabi Muhammad SAW memberikan semula tanah kepada tuan tanah dan penanam pokok kurma tadi disuruh untuk mengeluarkan pokok tersebut dari tanahnya.”

“Kata sahabat perawi: “Aku melihat kejadian itu di mana pangkal pokok kurma itu ditebang dengan kapak-kapak dalam keadaan pokok kurma yang sempurna (buahnya) sehingga terkeluar pokok daripada tanah.” (Riwayat Abu Daud – sahih lighairih)

Tanam durian

JIKA ingin menanam tanaman di atas tanah milik orang lain, sebaiknya minta izinlah daripada tuan tanah tersebut dan membayar sewa kepadanya.

Bahkan, dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang tanam ditanah orang lain tanpa izin, maka dia tidak berhak mendapat apa-apa daripada tanamannya dan dia berhak mendapat upah pembiyaan pokok tersebut.” (Riwayat Abu Daud)

Dalam hal itu, PU Salman turut memetik pandangan Ibnu Rusyd menerusi Bidayatul Mujtahid dan Nihayatul Muqtasid yang menyatakan, ulama bersepakat bahawa sesiapa yang menanam kurma atau buah-buahan dan tanam-tamanan pada bukan tanah miliknya, dia disuruh untuk mencabutnya.

“Melihat kepada hadis dan pernyataan itu, jelaslah bahawa upah mencabut pokok berkenaan dibayar oleh pihak yang menanam durian tadi dan bukannya kerajaan.

“Malahan, para ulama juga mewajibkan penanam durian yang menceroboh tadi supaya membayar sewa selama 10 tahun kerana menggunakannya tanpa hak.

“Bahkan, Imam al-Nawawi menyatakan, apabila perampas mengembalikan tanah seperti sedia kala dan tiada kekurangan, maka tiada ganti kerugian. Sebaliknya, perampas tadi mesti membayar upah semasa hingga tempoh pemulangan tanah tadi,” jelasnya.

Mudah kata, PU Salman menjelaskan, dalam isu pencerobohan tanah kerajaan untuk penanaman durian tersebut, Kerajaan Pahang hanya perlu membayar upah tanam dan penjagaan pokok.

“Bagi pekebun haram pula, mereka perlu membayar upah cabut pokok tersebut dan sewa semasa sepanjang mereka menggunakan tanah berkenaan tanpa izin. Demikianlah yang ditetapkan oleh syarak,” katanya.

Tanam durian

ULAMA memfatwakan haram makan buah hasil daripada tanah yang dirampas atau milik orang lain.

Apakah hukum memakan durian yang ditanam daripada tanah yang haram?

Menjawab persoalan itu, PU Salman menjelaskan, ulama memfatwakan haram makan buah hasil daripada tanah yang dirampas atau milik orang lain.

Ia sebagaimana disebutkan dalam firman ALLAH SWT: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah…” (Surah al-Baqarah, ayat 188)

“Melihat kepada tindakan tegas yang diambil oleh Kerajaan Pahang pada hari ini, mereka sebenarnya cuba menyelamatkan kita daripada makan benda yang haram,” ujarnya.

Foto: Freepik