Browsing Tag

Takbir

Takbir
Berita Semasa,

Dua jenis takbir ketika Aidiladha

ALUNAN takbir pasti akan bergema saat tibanya Hari Raya Aidilfitri mahupun Aidiladha. Demikianlah anjuran Islam supaya kita memperbanyakkan ungkapan mulia itu pada kedua-dua hari berkenaan.

Masakan tidak, laungan yang sarat dengan lafaz puji-pujian kepada ALLAH SWT itu sebagai tanda kita menzahirkan rasa kesyukuran atas segala nikmat kurniaan-NYA yang tidak terhitung.

Memetik artikel daripada laman web mius.gov.sg, melaungkan takbir pada hari raya sebenarnya merupakan syiar Islam.

Baca juga Sambutan Hari Raya Aildiladha lebih istimewa, bermakna daripada meraikan Aidilfitri

Dari segi hukumnya, ia adalah sunnah. Malah, takbir Aidiladha secara jelas disebutkan dalam al-Quran.

ALLAH SWT berfirman: “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama ALLAH, pada hari-hari yang tertentu, di atas kurniaan-NYA kepada mereka, yang berbentuk binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); Dengan yang demikian, makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.” (Surah al-Hajj, ayat 28)

Takbir

TAKBIR hari raya dilakukan sebagai menzahirkan kesyukuran kita atas segala nikmat kurniaan ALLAH SWT.

Selain itu, ALLAH SWT juga berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 203 yang bermaksud: “Dan ingatlah ALLAH (dengan bertakbir) dalam beberapa hari tertentu.”

Berdasarkan nas berkenaan, jelaslah bahawa ada sebab mengapa kita disunatkan berbuat demikian.

Baca juga Hikmah daripada tarikh-tarikh penting sepanjang Zulhijjah 1443Hijrah

Bercerita tentang takbir, ada perbezaan dari segi masa untuk takbir Hari Raya Aidiladha dan Aidilfitri. Untuk hari raya haji, ia terbahagi kepada dua jenis iaitu:

i. Takbir Mutlak atau Mursal.

Pelaksanaannya tidak terikat dengan waktu solat. Waktunya bermula apabila tenggelamnya matahari pada malam Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri sehingga takbiratulihram solat sunat hari raya.

Sepanjang tempoh berkenaan, kita disunatkan untuk bertakbir sepanjang masa.

Bagaimanapun, dalam hal itu, para ulama menetapkan bahawa pelaksanaan takbir mursal bagi Hari Raya Aidilfitri lebih ditekankan berbanding Aidiladha.

2. Takbir Muqayyad.

Ia hanya dilaungkan selepas menunaikan setiap solat fardu oleh orang yang tidak menunaikan haji. Takbir tersebut bermula selepas solat Subuh pada 9 Zulhijah sehinggalah selepas solat Asar pada 13 Zulhijah.

Pendek kata, umat Islam disunatkan bertakbir selama lima hari dan empat malam.

Takbir

WAKTU takbir Hari Raya lebih panjang jika dibandingkan dengan Hari Raya Aidilfitri.

Antara dalilnya, daripada Ali dan Ammar RA bahawa: “Rasulullah SAW sentiasa bertakbir pada Hari Arafah selepas solat al-Ghadah (Subuh) dan menghentikan selepas solat Asar hari terakhir bagi Hari-Hari Tasyrik.” (Hadis Riwayat al-Hakim)

Baca juga Jauhi 11 larangan ini pada Zulhijah

Bagi para jemaah haji pula, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, mereka disunatkan untuk bertakbir bermula gelincirnya matahari iaitu masuk waktu Zuhur pada Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijah) sehingga terbitnya fajar sadiq iaitu masuk waktu Subuh pada 13 Zulhijah. Pun demikian, andai mereka sudah selesai bertahallul yang kedua, maka jemaah tadi boleh bertakbir sehingga waktu Asar, sama seperti orang lain.

Melihat kepada jenis dan waktu takbir berkenaan, sememangnya terdapat perbezaan dengan takbir ketika Hari Raya Aidilfitri.

Meskipun berbeza, tetapi tujuannya tetap sama iaitu mengagungkan ALLAH SWT pada hari yang digalakkan oleh syarak untuk meraikannya.

Foto: Bernama