Browsing Tag

Tak habis puasa enam

Niat puasa
Hukum,

Tidak habis puasa sunat enam Syawal, apa yang perlu dilakukan?

BULAN Syawal akan menutup tirainya pada hari ini. Bagi sesiapa yang berjaya puasa sunat enam, alhamdulillah kerana mengharunginya dengan baik.

Namun, kepada mereka yang masih belum penuh puasanya termasuk pada hari ini, usahlah berdukacita.

Ini kerana para ulama berselisih pendapat berkenaan puasa enam Syawal yang dilakukan pada bulan berkenaan disebabkan oleh keuzuran mahupun faktor tertentu sehingga ia tidak dapat dilangsaikan pada bulan yang sama.

Demikian komentar Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang dipetik menerusi maktabahalbakri.com.

DR ZULKIFLI

Baca juga Jom tunaikan puasa sunat 6 Syawal, ganjarannya umpama berpuasa sepanjang tahun

Jelas beliau, terdapat tiga pandangan para ulama dalam hal itu iaitu:

i. Sebahagian ulama Malikiyyah dan Hanabilah berpendapat, fadilat puasa enam hari pada bulan Syawal boleh diperoleh jika orang melaksanakannya pada bulan berkenaan atau bulan selepasnya.

Menurut pandangan berkenaan, hadis yang menyebut tentang bulan Syawal itu hanya untuk menjadikannya lebih mudah untuk semua orang. Ini kerana puasa selepas Ramadan lebih mudah berbanding selepas Syawal.

ii. Sebahagian ulama Syafi’iyyah pula berpendapat, sesiapa yang lewat berpuasa enam hari pada bulan Syawal boleh mengqadakannya pada bulan Zulkaedah.

Begitupun, pahalanya adalah lebih sedikit berbanding orang yang berpuasa pada bulan Syawal. Maka sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian diikuti puasa enam hari pada Syawal, ia sama seperti berpuasa selama setahun.

Berbeza pula dengan orang yang berpuasa pada bulan Ramadan, kemudian diikuti dengan enam hari dalam bulan selain Syawal, maka dia akan memperoleh pahala puasa Ramadan dan puasa sunat.

iii. Tidak mendapat fadilat dan kelebihan kecuali dengan berpuasa enam hari pada bulan Syawal.

Ia adalah pandangan Hanabilah.

Puasa sunat enam

SELAIN berpuasa enam Syawal, lazimkan diri untuk berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis serta hari putih.

Dr Zulkifli yang juga mantan Mufti Wilayah Persekutuan kemudian menukilkan pandangan yang pernah dikemukakan oleh bekas Mufti Besar Arab Saudi bahawa: “Tidak disyariatkan menggantikan puasa enam hari Syawal di luar bulan Syawal. Hal ini kerana ia adalah sunnah yang telah berlalu masa dan tempatnya, sama ada dengan alasan yang syarie atau tidak.”

“Beliau berkata kepada seseorang yang telah berpuasa empat hari pada bulan Syawal dan tidak menyempurnakannya sehingga enam hari kerana beberapa syarat: “Puasa enam hari di bulan Syawal adalah ibadah yang sunnah dan tidak wajib dilakukan, maka kamu akan mendapat pahala yang sempurna, jika yang menghalangi kamu daripada puasa itu adalah sebab-sebab yang syarie.”

Bagi yang tidak sempat menyelesaikan puasa sunat enamnya dalam bulan Syawal, Dr Zulkifli menitipkan pesan agar mereka boleh terus menyelesaikan baki puasanya pada bulan Zulkaedah sebagai ganti atas kelewatannya pada bulan Syawal.

“Ketahuilah bahawa ia perbuatan yang baik. Semoga ia masih mendapat pahala dengan rahmat dan fadilat-NYA,” ungkapnya.