Browsing Tag

tahun

Hati
Gaya Hidup,

Nabi hijrah pada bulan Safar, tapi kenapa Muharram menjadi pemula Tahun Baru Islam?

PADA tahun ini umat Islam akan menyambut Tahun Baru Hijrah pada 1 Muharram 1445 Hijrah bersamaan 19 Julai 2023 Masihi.

Menyelak lembar sejarah Islam, kita akan temui satu anekdot menarik, iaitu penghijrahan Rasulullah berlaku sekitar malam 27 Safar pada tahun ke 14 selepas dilantik menjadi Nabi, bersamaan 12 atau 13 September 622M.

Persoalannya, kenapa kita meraikan Tahun Baru Hijrah pada bulan Muharram sedangkan Baginda berhijrah pada bulan Safar? Anda akan dapat jawapannya menerusi soal jawab berikut.

1. Siapakah yang mula menggunakan Kalendar Hijrah secara rasmi?

Orang pertama yang memerintahkan agar Kalendar Hijrah digunakan secara rasmi ialah Khalifah al-Rashidin Kedua, yakni Saidina ‘Umar al-Khattab.

 

Anda mungkin meminati tajuk-tajuk ini:

2. Kenapa Kalendar Hijrah ini digunakan sedangkan sebelum itu ia tidak digunakan secara rasmi pada zaman Nabi SAW dan Saidina Abu Bakar?

Pada zaman Saidina ‘Umar ketika Islam tersebar kian meluas, terdapat sekurang-kurangnya tiga riwayat tentang faktor kenapa ia digunakan:

Gabenor di Basrah Iraq iaitu Saidina Abu Musa al-Ash’ari pernah mengutuskan surat kepada Khalifah al-Rashidin Kedua, Saidina ‘Umar al-Khattab yang tertulis: “Kami telah menerima surat daripada anda (Saidina ‘Umar al-Khattab) yang tiada padanya tarikh surat.” Jadi, sukar untuk melaksanakan arahan khalifah jika tiada tarikh spesifik.

Pendapat lain menyatakan bahawa Saidina ‘Umar telah diberi suatu dokumen kewangan (sokkun) yang tertulis bulan Sha’ban namun tidak diketahui sama ada ia Sha’ban tahun sebelumnya atau tahun semasa atau tahun berikutnya. Maka, Kalender Hijrah perlu dibuat secara rasmi untuk memudahkan masyarakat mengetahuinya.

Pendapat lain menyatakan bahawa seseorang lelaki Yaman memberitahu Saidina ‘Umar tentang amalan orang Yaman dalam penggunaan kalendar khusus. Maka, beliau beranggapan amalan ini adalah baik dan Kalendar Hijrah rasmi perlu dibuat.

Maka, Saidina Umar mengumpulkan para sahabat untuk berbincang tentang bulan dan tahun bermulanya Kalender Hijrah.

Hijrah Rasulullah SAW menuju destinasi baru, Kota Yathrib (Madinah) melalui pelbagai cabaran termasuk dikejar dan diancam pihak musuh musyrikin Makkah.

 

Saidina ‘Umar memilih pandangan ia bermula dengan tahun penghijrahan Nabi kerana hijrah tersebut melambangkan pemisahan antara hak dan batil

3. Apakah cadangan para sahabat ketika memilih tahun bermulanya Kalendar Hijrah?

Ada banyak cadangan, antaranya ada cadangan tahun hijrah bermula dengan tahun pengutusan baginda SAW sebagai Nabi yakni pada tahun Nabi SAW terima wahyu di Gua Hira’ iaitu bersamaan tahun 610 Masihi.

Ada yang cadangkan bermula dengan tahun penghijrahan Rasulullah dari Makkah menuju ke Madinah. Akhirnya Saidina ‘Umar memilih pandangan ia bermula dengan tahun penghijrahan Nabi kerana hijrah tersebut melambangkan pemisahan antara hak dan batil. Ia bersamaan dengan tahun ke-14 setelah Nabi SAW dilantik menjadi Nabi dan Rasul.

4. Adakah bulan apa yang menjadi permulaan Kalender Hijrah turut dibincangkan?

Ya, ini pun ada banyak cadangan, antaranya cadangan ia bermula pada bulan Ramadan atau bermula dengan bulan Nabi SAW berhijrah yakni bulan Safar/Rabiul Awwal atau bulan Muharram. Akhirnya Saidina ‘Umar al-Khattab pilih bulan Muharram sebagai bulan pertama dalam Kalendar Hijrah.

5. Kenapa Saidina ‘Umar pilih bulan Muharram sedangkan Nabi SAW mula berhijrah pada bulan Safar?

Benar, menurut Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri, Nabi SAW mula berhijrah pada sekitar malam 27 Safar pada tahun ke 14 selepas dilantik menjadi Nabi, bersamaan 12 atau 13 September 622M.

Nabi SAW dan Saidina Abu Bakar berada di gua Jabal Thur terlebih dahulu kemudian pada bulan Rabiul Awwal barulah mereka tiba di Madinah. Namun, Saidina ‘Umar lebih memilih bulan Muharram berbanding bulan Safar atau Rabiul Awwal sebagai permulaan bulan bagi kiraan Kalendar Hijrah kerana jemaah haji pulang pada bulan Muharram dan pandangan ini telah disepakati para sahabat.

Difahami dari pandangan ini bahawa kepulangan dari mengerjakan rukun Islam terakhir itu menjadi permulaan kepada hijrah baru.

Menurut pandangan lain, bulan Muharram dipilih kerana ia berdasarkan peristiwa Bai’ah ‘Aqabah (Perjanjian Aqabah) yang berlaku pada bulan Zulhijjah.

Bai’ah tersebut merupakan perjanjian berat yang perlu dilaksanakan dengan penuh keazaman. Bulan Muharram pula adalah bulan setelah bulan Zulhijjah yang menjadi simbolik kepada permulaan suatu keazaman penghijrahan itu dilaksanakan.

Maka, disebabkan inilah bulan Muharram menjadi pilihan Saidina ‘Umar al-Khattab. Dapat difahami bahawa Kalender Hijrah diawalkan permulaan kiraannya sekitar satu atau dua bulan kerana asalnya adalah bulan Safar atau Rabi’ul Awwal kemudian diawalkan sambutannya pada bulan Muharram.

Tokoh Muslimah

Bersedia untuk memulakan hari baru pada Tahun Baru Hijrah dengan azam untuk sentiasa bermuhasabah, bermujahadah dan terus mengejar impian demi kebahagian dunia hingga akhirat.

Ibrah dari sejarah penetapan Kalendar Hijrah.

6. Bilakah pula Saidina ‘Umar menggunakan Kalender Hijrah secara rasmi?

Kalendar Hijrah mula digunakan secara rasmi sekitar pada tahun ke-17 Hijrah yakni sekitar empat tahun setelah Saidina ‘Umar dilantik sebagai Khalifah al-Rashidin Kedua. Ini bermakna, dalam sejarah Islam, Kalendar Hijrah telah digunakan secara rasmi sejak sekitar 1425 tahun yang lalu.

7. Apakah rujukan kitab kepada jawapan bagi semua soalan di atas ini?

Antara kitab yang dirujuk dan boleh dirujuk untuk tahu sejarah hijrah Nabi SAW dan sejarah penggunaan Kalendar Hijrah ialah al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitab Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn al-Kathir dalam kitab al-Bidayah wan-Nihayah, Imam al-Munawi dalam kitab Faid al-Qadir dan Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri dalam kitab al-Rahiq al-Makhtum.

8. Apakah pengajaran di sebalik Tahun Baru Hijrah ini?

Antara ibrah (pengajaran) yang boleh dikutip daripada sejarah penetapan Kalendar Hijrah ini ialah, pada bulan Zulhijjah sepatutnya kita sudah bersedia untuk bermuhasabah, menyatakan tekad, azam dan janji peribadi untuk tahun berikutnya.

Manakala bulan Muharram merupakan permulaan kepada pelaksanaan tekad baru tersebut. Atau setelah seseorang itu mengerjakan haji pada bulan Zulhijjah dan pulang ke tempat-tempat masing-masing pada bulan Muharram, maka bulan itu merupakan permulaan baharu baginya untuk menjadi seseorang Muslim yang lebih baik bagi tahun berikutnya.

krisis makanan
Antarabangsa,

Dunia Islam turut menanti solusi lebih tuntas depani krisis kemanusiaan sejagat pada 2023

KEADAAN dunia yang lebih kelam pada 2022 – disebabkan konflik bersenjata berpanjangan; krisis kebuluran; soal pelarian yang tidak menarik kepedulian tuntas; kemelesetan ekonomi sejagat; soal inflasi yang memburuk; kekurangan sumber makanan sedunia; dan pandemik Covid-19 yang berlarutan, dijangka akan terus ‘menguasai’ keadaan dan melaratkan lagi kehidupan rakyat di negara-negara miskin.

Dalam pada itu, perubahan iklim dirasakan akan mempercepatkan krisis kemanusiaan di seluruh dunia pada 2023.

Ini tentunya akan meningkatkan lagi bebanan yang harus dipikul masyarakat sedunia sedang ia baru sahaja bersiap untuk meraikan ketibaan tahun baru dengan harapan kehidupan yang lebih baik.

Kajian oleh Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa NGO (IRC) – sebuah agensi yang berpangkalan di New York – dan diketuai oleh bekas ahli politik Britain, David Miliband, menunjukkan, jumlah orang yang memerlukan bantuan kemanusiaan telah meningkat dalam dekad yang lalu, menghampiri 339.2 juta berbanding 81 juta yang dilihat pada 2014.

Perubahan iklim adalah antara faktor utama mempercepatkan kecemasan kemanusiaan, kata IRC, walaupun pada hakikatnya 20 negara dalam senarai pemerhati kecemasannya – seperti Haiti dan Afghanistan – menyumbang hanya 2 peratus kepada pelepasan karbon dioksida (CO2) sejagat.

“Tahun 2022 telah menunjukkan bahawa peranan perubahan iklim dalam mempercepat krisis kemanusiaan sejagat tidak dapat dinafikan,” kata laporan itu.

 

Negara dunia perlu melabur secara proaktif

Ia menunjukkan tempoh hujan yang panjang, yang telah ‘membawa bencana ketidakcukupan makanan kepada Somalia dan Habsyah’, dan banjir di Pakistan tahun lalu sahaja menjejaskan lebih 33 juta orang dan mengorbankan lebih 1,700 rakyat negara itu.

IRC juga menyatakan perlunya negara-negara sedunia lebih ‘melabur secara proaktif dalam pencegahan dan mitigasi perubahan iklim.’

Ketidakcukupan makanan sudah berleluasa berikutan konflik yang semakin meningkat serta krisis ekonomi yang dicetuskan oleh pencerobohan Russia ke atas Ukraine dan wabak koronavirus, katanya.

Selain itu, jurang antara keperluan kemanusiaan dan pembiayaannya telah meningkat kepada defisit sejagat sebanyak AS$27 bilion ($36.5 bilion) pada November 2022.

“Hasilnya ialah, masyarakat yang terjejas oleh krisis tidak dapat mengakses perkhidmatan yang mereka perlukan untuk terus hidup, pulih dan membina semula.”

Negara Islam seperti Somalia dan Habsyah, yang kedua-duanya adalah negara dalam lingkungan Afrika dan diketahui mengalami kemarau dan konflik berpanjangan, akan menjadi negara paling membimbangkan pada 2023, menurut Senarai Pemerhatian tahunan yang dikeluarkan oleh kumpulan bantuan Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa pada minggu lalu.

Laporan itu juga menyenaraikan 20 negara, 11 daripadanya di Afrika, yang dikatakan berisiko paling besar dalam menghadapi krisis baru atau berdepan permasalahan semakin teruk tahun depan dan menjadi rumah kepada 80 peratus daripada semua orang yang menghadapi masalah kekurangan makanan yang teruk – walaupun hanya menyumbang 13 peratus daripada populasi sejagat.

Senarai teratas untuk pertama kalinya ialah Somalia, dan ia menjadi mangsa gabungan kesan kemarau sepanjang dua tahun, pemberontakan dan militan serta kenaikan harga makanan sejagat hingga menyebabkan kekurangan makanan yang teruk yang meragut nyawa rakyat termasuk kanak-kanak.

Malangnya keadaan yang dihadapi di Somalia dijangka akan bertambah buruk. Kumpulan militan Al- Shabaab diketahui menghalang akses kemanusiaan, dan meningkatnya pertempuran antara kumpulan militan itu dengan tentera Somalia pada akhir 2022 menunjukkan konflik domestik ini dijangka berterusan sehingga 2023, kata IRC.

Menurut Miliband, berjuta-juta rakyat Somalia kini kelaparan dan negara kaya tidak seharusnya menunggu sehingga pengisytiharan rasmi kebuluran untuk menutup jurang pembiayaan $1 bilion dalam rayuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Somalia.

“Kekurangan dana bagi rayuan itu adalah satu demonstrasi yang jelas bahawa dunia berpendapat ia bukan saat yang mendesak. Itu satu kesilapan,” kata Miliband kepada Reuters dalam temu bual menjelang keluaran Senarai Pantauan minggu lalu.

Miliband, berkata banyak negara kaya terlalu tertumpu kepada diri mereka sendiri dan ini tidak betul sama ada dari segi moral atau strategik.

“Keterpencilan, pandangan kepada keperluan sendiri yang terlampau dilakukan oleh negara-negara terkaya di dunia menyebabkan terlalu banyak bahagian termiskin di dunia terpaksa membela diri dengan cara yang tidak mampu mereka lakukan,” katanya. – Reuters.