Browsing Tag

Tadbir urus dana awam

Tadbir urus dana awam
Muamalah,

Penting Tadbir Urus Yang Baik Lebih-Lebih Lagi Jika Melibatkan Dana Awam

no comment

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

TADBIR urus yang baik sangat dituntut dalam Islam. Dengan mempraktikkan amalan sedemikian, ia dapat meningkatkan keyakinan pihak yang berkepentingan terhadap keupayaan sesuatu pihak seperti kerajaan, institusi, pertubuhan dan sebagainya dalam melaksanakan apa yang diamanahkan kepada mereka.

Selain itu, pendekatan tersebut juga bertujuan untuk mengekalkan akauntabiliti dalam menguruskan sesuatu perkara yang diamanahkan. Secara keseluruhan, terdapat empat ciri tadbir urus yang baik iaitu integriti, bertanggungjawab, amanah dan telus.

Dalam industri kewangan Islam, demi memastikan Institusi Kewangan Islam (IKI) yang berada di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) berkeupayaan menjalankan tanggungjawab dengan baik sebagaimana yang diharapkan oleh pihak yang berkepentingan, BNM telah mengeluarkan Dokumen Polisi Tadbir Urus Korporat 2019 dan Dokumen Polisi Tadbir Urus Syariah 2019.

Dengan adanya kedua-dua polisi dokumen itu, keyakinan dan kepercayaan pihak yang berkepentingan terhadap keupayaan IKI dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya akan meningkat.

Begitulah yang berlaku dalam industri kewangan Islam dari aspek tadbir urusnya.

Baca juga Telus Isytihar Jumlah Kos Pengurusan Jika Libatkan Wang Sumbangan Orang Ramai

Namun, mungkin perkara sebaliknya berlaku dalam dunia lain terutama yang melibatkan pengurusan dana awam oleh pertubuhan atau persatuan. Kutipan dibuat daripada orang ramai untuk disumbangkan kepada mereka yang memerlukan bantuan.

Saya berkata mungkin perkara sebaliknya berlaku dalam dunia lain kerana sejak akhir-akhir ini, banyak pihak mendesak dan meminta pihak yang menguruskan dana awam agar mendedahkan secara telus apa-apa yang berkaitan dengan dana berkenaan sama ada dari aspek jumlah kos pengurusan yang diambil, jumlah dana terkumpul dan bagaimana dan ke mana dana tersebut disalurkan.

Logiknya, permintaan sebegitu timbul apabila terdapat ketidakyakinan awam terhadap pihak yang menguruskan wang sumbangan mereka.

Melihat kepada realiti yang berlaku pada hari ini, adalah menjadi satu yang amat penting bagi pihak yang yang mengurus dana awam untuk mewujudkan garis panduan tadbir urus dalam organisasi mereka.

Ia perlu merangkumi aspek tugas dan tanggungjawab semua pihak yang terlibat dalam pengurusan dana awam. Konsep integriti, bertanggungjawab, amanah dan telus berserta mekanisme untuk merealisasikan semua itu hendaklah dinyatakan dengan jelas.

Tadbir urus dana awam

PIHAK pengurus dana perlu mewujudkan garis panduan tadbir urus dalam organisasi mereka supaya mendapat kepercayaan masyarakat yang menghulurkan sumbangan. -Gambar hiasan

Selain itu, fungsi kawalan yang terdiri daripada pengurusan risiko, semak semula dan audit perlu dinyatakan peranan mereka secara jelas.

Garis panduan berkenaan sangat penting untuk meningkatkan keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap pihak yang mengurus dana bahawa wang sumbangan mereka akan diurus dengan penuh jujur.

Pada pandangan saya, sudah sampai masanya orang ramai mengambil sikap yang lebih bijak dalam menyalurkan sumbangan kepada pihak yang mengurus wang sumbangan mereka. Mereka sepatutnya hanya menyerahkan wang sumbangan kepada pihak yang mempunyai tadbir urus yang baik sahaja.

Mereka juga perlu membuat semakan dan meminta maklumat lanjut daripada pihak yang mengurus sumbangan seperti laporan berkaitan wang masuk dan wang keluar, bagaimana wang tersebut disalurkan kepada mereka yang memerlukan dan maklumat lain yang perlu.

Itu semua bagi memastikan pihak yang mengurus dana tersebut benar-benar berkelayakan dan dipercayai mampu menjalankan tugas dengan telus dan bertanggungjawab.

Jika orang ramai mengambil sikap suka menyemak latar belakang pihak pengurus dana terlebih dahulu dan memilih yang terbaik sahaja dalam aspek tadbir urus, sudah tentu ia akan menjadi satu desakan kepada pihak berkenaan untuk mewujudkan satu garis panduan tadbir urus yang baik dalam organisasi mereka.

Oleh itu sebagai penyumbang, kita kena bijak dan tegas agar sumbangan kita sampai kepada mereka yang memerlukan. Wallahua’lam.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Unsplash