Browsing Tag

tabung

Simpanan
Antarabangsa,

Simpanan haji dimakan anai-anai, lelaki warga Indonesia reda dengan ujian-NYA

RAMAI yang berusaha membuat simpanan haji semata-mata untuk beribadah kepada ALLAH SWT di Tanah Suci. Masakan tidak, memang menjadi impian setiap umat Islam seantero dunia untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Andai ia berjaya ditunaikan, terasa seperti telah lengkap melaksanakan seluruh Rukun Islam dengan sempurna.

Namun begitu, tidak semua berupaya berbuat demikian kerana pelbagai kekangan berbangkit. Ini kerana untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu, kita hendaklah berkemampuan. Salah satunya dari sudut kewangan.

Disebabkan itu tidak hairanlah jika kita melihat ramai yang berusaha menyimpan wang bertahun-tahun lamanya untuk menunaikan ibadah haji.

Perkara sama turut dilakukan oleh seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Jawa Tengah, Indonesia. Lelaki yang dikenali sebagai Samin turut menyimpan duit bagi menunaikan ibadah haji bersama isteri dan dua anak mereka.

Malangnya, puluhan juta rupiah yang disimpan beliau di dalam dua bekas simpanan plastik di rumahnya selama dua tahun setengah musnah sekelip mata sahaja.

Bayangkan not kertas yang berjumlah hampir 100 juta Rupiah (RM30,354) itu dimakan anai-anai.

Simpanan

SAMIN reda duit simpanan untuk menunaikan haji bersama isteri dan dua anaknya dimakan anai-anai. Semoga beliau diberi kekuatan untuk kembali mengumpul duit bagi menunaikan Rukun Islam kelima di Tanah Suci suatu hari nanti. -Gambar hiasan

Baca juga Yang ada emas dan wang simpanan, jangan lupa bayar zakat

“Saya berhasrat untuk mendaftar haji. Rezeki yang saya peroleh sedikit demi sedikit saya masukkan ke dalam bekas simpanan tersebut lebih kurang dua tahun setengah sebelum Covid-19 lagi,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal Kompas.com.

Tiga hari sebelum itu, lelaki berusia 53 tahun tersebut ada meminta isterinya untuk membuka tabung tersebut yang diletakkan di tempat tidur mereka kerana isinya sudah penuh.

Namun, dek kerana tidak punya kesempatan masa, bekas simpanan tersebut baru sahaja dibuka pada Selasa, tetapi tidak menyangka mereka pula menerima kejutan lain.

“Jam 9 pagi tadi (semalam) ketika mahu masukkan wang, macam bunyi runtuh. Setelah dibuka tabungnya, keluar anai-anai. Wang yang dimakan anai-anai itu berada dalam tabung berwarna hijau. Kondisi duit sudah tidak berapa utuh dan rosak. Ada sekitar 50 juta Rupiah (RM15,177) di dalamnya.

“Sedangkan dalam tabung berwarna ungu pula, sebahagian besar not itu masih utuh meskipun ada yang dimakan anai-anai. Wang di dalam itu ada dalam sekitar 48 juta Rupiah (RM14,570),” katanya yang menabung hasil titik peluhnya berjualan makanan ringan di kantin sekolah tempat kerjanya.

Baca juga Tak boleh pergi haji, tapi ada 10 amalan yang ganjarannya seperti pahala haji

Sejak tahun 2019, Samin mengakui, beliau tidak pernah gagal menyimpan wang antara 100,000 Rupiah (RM30.35) hingga 200,000 Rupiah (RM60.71).

“Gaji yang yang diterima sebagai pengawal sekolah digunakan untuk keperluan seharian, manakala hasil berjualan di kantin dan membuat minuman guru sekolah pula untuk tabungan.

Simpanan

SEMUA wang simpanan Samin adalah hasil keringat beliau berjualan di kantin dan membuat minuman guru sekolah.

“Saya ingatkan simpan wang dalam tabung itu lebih selamat. Lagipun, sedikit saja tabungan yang diperoleh. Setiap kali dapat rezeki, mudah untuk saya masukkan dalam tabung, tidak terfikir mahu ke bank,” katanya yang reda dengan ujian tersebut.

Dalam pada itu, portal berita Kompas.com turut mendapatkan Ketua Pejabat Perwakilan Bank Solo Indonesia, Nugroho Joko Prastowo mengulas tentang insiden duit rosak berkenaan.

Baca juga Sambut orang balik haji, antara sunnah yang dilupakan

Jelas beliau, pertukaran wang rosak boleh dilakukan dengan syarat duit berkenaan diperakui keasliannya. Wang berkenaan mestilah dua pertiga daripada saiz asal not.

“Biasanya hanya dua bahagian sahaja dikira sebagai polisi khas iaitu wang bersaiz dua pertiga daripada asal, kita akan gantikan dengan wang baru.

“Kalau wang itu terpisah dan disambungkan, ia akan dihitung secara manual mahupun imbasan. Andai saiznya sekurang-kurangnya dua pertiga, duit itu akan segera digantikan,” katanya.

Foto: Republika, Kompas.com & Freepik