Browsing Tag

Tabung masjid

tabung masjid
Hukum,

Tabung wang tidak patuh syariah, ketahui hukumnya di sisi Islam.

SEMALAM, satu hantaran telah dimuatnaik oleh pengacara dan personaliti televisyen terkenal, Ahmad Fedtri Yahya di laman Twitter beliau mengenai tabung wang tidak patuh syariah di salah sebuah masjid di Sungai Penchala, Damansara.

Menerusi hantaran gambar itu juga dapat dilihat, pihak masjid turut meletakkan makluman mengenai tabung wang tidak patuh syariah itu.

“Sebarang bentuk pendapatan atau perolehan hasil daripada perbuatan atau transaksi yang bertentangan dengan HUKUM SYARAK”

“Klasifikasi wang tidak patuh syariah adalah seperti riba atau faedah, judi atau pertaruhan, pengeluaran atau penjualan barang tidak halal, insuran konvensional, jual beli sekuriti yang tidak halal, aktiviti yang tidak selaras dengan syariah dan dividen atau bonus yang tidak patuh dengan syariah”

Baca Juga Ini caranya ‘cuci’ atau lupuskan wang haram

Rata-rata netizen yang melihat ciapan tersebut terus mempersoalkan apa hukum wang tersebut, dan ke saluran manakah ia akan diinfakkan, adakah untuk kebajikan atau boleh dijadikan sebagai derma.

Berkaitan perkara ini, Sinar Islam Plus telah merujuk laman Mufti menerusi artikel Al-Kafi #1480 : Hukum Menerima Sedekah Daripada Harta Riba dan menjelaskan, pada asalnya harta yang diperolehi daripada sumber yang diharamkan oleh syarak, seperti daripada transaksi riba, perniagaan judi dan arak adalah tidak boleh digunakan.

jumpa duit tepi jalan

PEMEGANG amanah perlu mengagihkan derma sumbangan masyarakat awam kepada golongan yang telah disasarkan dan dijanjikan.

Jelasnya lagi, jika hasil pendapatan tersebut semata-mata daripada sumber rezeki yang haram, maka jadilah harta tersebut haram, manakala jika ia bercampur antara sumber rezeki halal dan haram, maka jadilah harta itu harta syubhah.

“Begitu juga dengan isu yang ditimbulkan ialah mengambil sedekah daripada harta yang haram atau syubhah. Justeru, hukum menerima sedekah atau hadiah daripada harta haram atau syubhah adalah diharuskan di sisi syarak.

Baca Juga Benarkah isteri tidak boleh membelanjakan lebih sepertiga harta peribadi tanpa izin suami?

Turut Disyorkan Sedekah harta suami tanpa izin, ini hukumnya yang wajib diketahui

“Ini adalah pandangan daripada salah satu riwayat Ibnu Sirin seperti yang dinyatakan oleh Imam Ibnu Rejab Al-Hanbali dan pandangan daripada Ibn Taimiyah.

“Perkara dasar yang amat penting untuk kita fahami dalam urusan muamalat ialah kita perlu jelas tentang harta atau barang yang kita terima atas dasar apa.

“Seandainya seseorang itu menerima wang daripada hasil jualan arak atau atas kemenangan judi atau atas transaksi riba yang dia sendiri lakukan maka hukumnya adalah haram.

Selit duit dalam al-Quran

ELAKKANLAH menyelit duit di celah-celah mushaf al-Quran dan kitab agama. -Gambar hiasan

“Tetapi seandainya seseorang itu menerima wang atas dasar jual beli, bayaran hutang, sedekah atau hadiah yang dia tidak terlibat dengan kegiatan haram maka ia pada asalnya adalah halal.

“Hal ini bertepatan dengan firman ALLAH SWT “Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap orang itu melainkan orang itu sahaja yang akan menanggung dosanya.” (Surah al-An’am ayat 164)

“Imam Ibnu Kathir mentafsirkan ayat ini “bahawa setiap jiwa itu akan diberi ganjaran berdasarkan setiap amalannya. Jika baik amalannya, maka baiklah pembalasannya. Dan jika buruk amalannya, maka buruklah pembalasannya. Ini kerana, setiap jiwa (manusia) itu tidak akan memikul kesalahan (dosa) orang lain. Hal ini membuktikan akan keadilan ALLAH SWT”.

ARTIKEL BERKAITAN 

“Berdasarkan dalil di atas, seseorang tidak akan menanggung dosa seseorang yang lain. Dalam konteks bermuamalat dengan harta yang haram, dosa si pelaku perbuatan haram adalah ditanggung olehnya sahaja dan tidak ditanggung oleh pihak lain yang bermuamalat dengannya.

“Ibnu Mas’ud ketika ditanya tentang hukum menerima jemputan dan hadiah daripada jiran yang merupakan pengamal riba, mereka membenarkan untuk menerima jemputan tersebut dengan alasan dosa akan ditanggung oleh pelaku riba,” terangnya di laman berkenaan.

RASUAH terdapat dalam dua bentuk iaitu perbuatan yang boleh dilihat dan tidak nampak, namun kedua-duanya tetap memberikan implikasi yang buruk kepada organisasi mahupun negara.

Setelah meneliti perbahasan di atas, Mufti menyimpulkan isu ini kepada beberapa perkara:

1.Orang yang menggunakan harta daripada sumber rezeki yang haram seperti penjualan arak, judi, riba atau pelacuran yang dia terlibat dengannya maka hukumnya adalah haram.

2.Menginfakkan harta daripada sumber rezeki yang haram menjadi kewajipan pemilik harta tersebut untuk memisahkan dirinya daripada harta tersebut dan bukannya bertujuan untuk meraih pahala daripada serahan itu. Tetapi dengan syarat hendaklah bertaubat dan tidak mahu mengulangi perbuatan maksiat itu lagi.

3.Orang yang menerima harta yang haram atau syubhah atas dasar jual beli, bayaran hutang, sedekah atau hadiah yang dia tidak terlibat dengan urusan kegiatan haram, maka mereka halal menerimanya dan tidak perlu mengembalikannya.

4.Dengan syarat mereka tidak terlibat secara langsung dalam mempromosikan aktiviti haram seperti riba, perjudian dan arak kerana hal tersebut menunjukkan sikap reda kepada maksiat.

sophia-muller-q5uLzR1A_-8-unsplash
Berita,

Dipercayai mahu elak riak, jemaah lelaki selit not RM100 dalam gulungan wang kertas RM1 lama

ACAP kali kita dengar orang di sekeliling berkata, dalam rezeki yang kita peroleh, ada rezeki orang lain.

Hakikatnya, benar pernyataan tersebut. Ia bukan omongan kosong semata-mata. Maka, sebab itulah diwajibkan ke atas setiap umat Islam untuk menunaikan zakat.

Bahkan, ibadah zakat itu juga termasuk dalam Rukun Islam. Ia juga merupakan sedekah wajib yang perlu ditunaikan.

Begitupun, kita masih lagi boleh menunaikan sedekah sunat iaitu sumbangan lazim yang kita berikan bagi membantu golongan yang memerlukan termasuklah menderma di masjid.

Sesungguhnya, sedekah itu amalan yang terpuji dan disukai oleh ALLAH SWT. Namun, ia suatu yang berat untuk dilakukan. Apatah lagi jika sifat diri yang sukar berkongsi apalagi jika diri sedang dihimpit dengan kesempitan.

Lazimnya, kebanyakan dalam kalangan kita suka bersedekah di rumah ALLAH. Masakan tidak, rata-rata masjid dan surau akan menyediakan tabung bagi memudahkan para jemaah untuk berbuat demikian.

Setiap kali ingin memasukkan duit dalam tabung berkenaan, kita akan melipat atau menggulungkan rapi not tersebut sebaik mungkin. Bukan apa, khuatir dikatakan riak jika orang melihat jumlah yang disumbangkan.

Barangkali kerana tanggapan sebegitu, seorang jemaah di sebuah masjid di Besut, Terengganu mengambil pendekatan yang sama. Bezanya di dalam not yang digulung itu, ada satu lagi wang kertas lain yang lebih besar nilainya di dalamnya.

Demikian kisah yang dikongsikan oleh anak kepada bendahari masjid berkenaan yang hanya mahu kenali sebagai Aidil kepada SinarPlus ketika dihubungi baru-baru ini.

Ujar beliau, jemaah itu sering kali menyelitkan not RM100 dalam wang kertas RM1 lama yang digulung kemas.

“Pertama kali melihat duit gulung ketika mengira tabung masjid, saya tertarik untuk membuka duit yang bergumpal itu. Bila buka duit RM1 lama itu, rupa-rupanya ada not RM100.

“Saya terkejut sebab kali pertama tengok. Namun, tidak pada ahli jawatankuasa masjid yang lain. Mereka menyatakan, duit berkenaan selalu ada sejak tahun lalu dengan pendekatan yang sama.

“Sejak itu, setiap kali mengira tabung masjid, pasti saya akan cari duit gulung tersebut,” katanya membuka bicara.

Ujar beliau, hampir setiap minggu sumbangan duit gulung RM100 pasti ada dalam tabung masjid yang dipercayai disumbangkan oleh individu sama.

“Kadangkala ada seminggu dua, tiada duit gulung RM100 itu. Kami agak gusar, takut jemaah itu sakit atau ada perkara lain yang menyebabkan dia tidak dapat hadir ke masjid. Mungkin juga dia menunaikan solat di masjid lain,” katanya.

Sekalipun pandemik Covid-19 memberikan impak dari segi ekonomi individu, namun jelas Aidil, jemaah itu tidak berganjak untuk terus menunaikan sedekah berkenaan.

Baca juga Sedekah ketika wabak, kalaulah kita tahu ganjarannya…

“Pada saya, jemaah itu benar-benar ikhlas. Mungkin dia gunakan pendekatan sedekah begitu untuk elakkan orang ambil duit berkenaan, sekali gus mengelak kecurian tabung masjid.

“Barangkali juga, itu cara dia untuk mengelak orang berkata dirinya riak,” katanya.

Sekalipun bapa Aidil sudah meletakkan jawatan di masjid pada bulan November lalu atas faktor kesihatan, tetapi jejaka itu sering menitipkan doa agar penderma misteri tersebut dan penderma-penderma lain terus dilimpahkan rezeki melimpah-ruah oleh ALLAH SWT.

Subhanallah, begitu mulianya hati insan tersebut. Semoga kisah ini memberi inspirasi kepada kita untuk melakukan amal soleh dengan penuh keikhlasan.

Seperkara lagi, usah sesekali diungkit sedekah yang telah diberikan.

Renungkanlah firman ALLAH SWT ini: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti perasaan si penerima, seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riak kepada manusia dan dia tidak pula beriman kepada ALLAH.” (Surah al-Baqarah, ayat 264)

Video: Instagram aaidil.zainudin1.0

Foto: aaidil.zainudin1.0, Bernama & Unsplash

Berita Semasa,

Boleh ke guna tabung masjid bantu ahli kariah yang terkesan akibat PKP?

HAMPIR sebulan kita berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak ia dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu. Hari ini bermulanya fasa ketiga PKP yang bakal berakhir 28 April ini.

Sepanjang tempoh ini, bukan semua orang bernasib baik. Ada orang yang terkesan dari segi punca pendapatan hinggakan terputus bekalan makanan.

Ya, tiada siapa yang menginginkan keadaan begitu. Namun, seandainya begitulah yang dihadapi mereka, kita yang berupaya dan berkemampuan ini, berusahalah cuba membantu golongan kurang bernasib baik ini.

Tidak dinafikan memang ada pihak yang mewujudkan tabung bantuan khas kepada mereka yang terkesan akibat PKP yang bertujuan untuk memutuskan rantaian penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Dalam kes di luar jangkaan ini, bolehkah pihak masjid menggunakan dana masjid hasil kutipan sedekah atau sumber-sumber lain untuk membantu ahli kariah dan pihak yang terkesan tersebut?

Bukan apa, segelintir orang menanggap bahawa ia merupakan tabung masjid khas untuk kegunaan rumah ALLAH dan aktiviti yang berkaitan dengannya.

Sebelum memperincikan jawapannya, kita perlu fahami bahawa sumbangan derma kepada pihak masjid menerusi apa sahaja saluran seperti tabung masjid atau secara dalam talian termasuk dalam kategori tabarru’.

Ia sebagaimana yang dinyatakan oleh para fuqaha. Tabarru’ adalah usaha seorang mukallaf mengeluarkan harta atau manfaat kepada selainnya pada masa sekarang atau pada masa akan datang tanpa sebarang balasan dengan niat berbuat kebajikan dan kemakrufan. (Rujuk Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah (10/65)

Ayat itu jelas menunjukkan bahawa si penderma tadi tidak mengharapkan balasan duniawi untuk dirinya, melainkan semata-mata mengharapkan ganjaran dan pahala.

Pada masa sama, penderma membuat sumbangan itu demi memberikan manfaat kepada orang lain sama ada pada masa sekarang atau akan datang.

Maka, pihak pentadbiran dan pengurusan masjid dalam hal ini bertindak sebagai pihak yang mengawal selia aturan dan saluran duit-duit tersebut. Mereka perlu memastikan ia digunakan untuk kemaslahatan dan kebajikan umat Islam setempat khususnya dan umat Islam sejagat umumnya.

Dalam isu menggunakan dana masjid bagi membantu golongan yang terkesan sepanjang tempoh PKP ini, pihak masjid dan surau boleh menggunakan dana hasil sumbangan derma bersifat umum yang diperoleh daripada pelbagai pihak untuk disalurkan kepada ahli-ahli kariah yang memerlukan.

Dari segi bentuk dan kadar bantuan pula, terserah kepada kebijaksanaan pengurusan masjid untuk melaksanakannya. Namun begitu, mereka perlu mengambil kira beberapa faktor dan mengikut kemampuan pihak masjid.

Justeru, pihak jawatankuasa masjid tidak perlu lagi ragu-ragu dalam menggunakan tabung masjid untuk membantu mereka yang terkesan akibat PKP.

Akan tetapi, mereka perlu memastikan bahawa dana kutipan itu adalah hasil sumbangan umum, bukan daripada tabung khas seperti tabung wakaf, pembinaan masjid, anak yatim dan sebagainya.

Mudah-mudahan segala usaha murni yang dilakukan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban kesusahan ahli kariah masjid dan surau berkenaan.

Semoga amal kebajikan yang dilakukan seluruh umat Islam ini akan digantikan oleh ALLAH SWT dengan melepaskan umat-NYA daripada ujian musibah Covid-19.

(Sumber: Irsyad Al-Fatwa Siri ke-477: Bolehkah Dana Masjid Digunakan bagi Membantu Umat Islam yang Terkesan Ekoran Covid-19, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)

Foto: 123rf