Browsing Tag

tabung haji

TABUNG HAJI
Istimewa Panggilan Baitullah,

Waspada pakej visa furada yang meragukan – TH

Waspada pakej visa furada yang meragukan – TH

UMAT Islam diingatkan agar sentiasa berwaspada dengan pelbagai promosi meragukan berkait tawaran pakej menunaikan haji menggunakan visa furada pada musim ibadah kali ini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata iklan pakej itu lazimnya akan muncul menjelang waktu kemuncak ibadah haji dengan berjuta-juta jemaah dijangka berwukuf di Arafah pada 27 Jun ini.

Beliau menasihatkan umat Islam mengambil iktibar daripada laporan saban tahun mengenai ramai jemaah terkandas dan gagal menunaikan haji selepas membayar harga tinggi mencecah puluhan ribu ringgit untuk mendapatkan tawaran pakej sedemikian.

Baca Juga 22,000 pekerja baharu diambil bantu lancar ibadah haji tahun ini

Katanya, mana-mana individu, agensi pelancongan atau badan yang mempromosi, menawarkan, mengurus atau mengendalikan pakej haji tanpa kelulusan Lembaga Tabung Haji (TH), adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

“Umat Islam di Malaysia diharap lebih berhati-hati serta teliti terhadap promosi atau iklan ditawarkan pelbagai pihak tidak dilesenkan oleh TH untuk pakej menunaikan ibadah haji menggunakan visa furada”.

DATUK Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Ketua Rombongan Haji Malaysia.

“Antara contoh ialah kes pada tahun lalu di mana jemaah dilaporkan terkandas selepas membayar antara RM40,000 hingga RM80,000 untuk mendapatkan pakej sedemikian”.

“Tahun ini, jika ada sudah tentu harga tawaran pakej seumpama itu dijangka meningkat atas alasan kos semakin tinggi,” katanya kepada BH di Ibu Pejabat TH di Makkah, Abraj Al-Janadriyah.

Baca Juga Pusat Rawatan TH Madinah miliki fasiliti lengkap sedia berkhidmat untuk jemaah

Baca Juga Amaran hujan lebat, ribut petir tidak jejas aktiviti jemaah haji

Pada Julai tahun lalu, media melaporkan hampir 400 jemaah terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan berkait penggunaan visa furada untuk menunaikan haji tanpa melalui TH.

Syed Saleh yang juga Pengarah Eksekutif Haji TH, berkata tawaran menunaikan haji menggunakan visa furada tidak termasuk dalam kuota rasmi bilangan jemaah Malaysia.

“Sebaliknya, ia adalah budi bicara serta hak mutlak Kerajaan Arab Saudi untuk mengeluarkan visa furada kepada mana-mana pihak yang difikirkan sesuai dan juga atas permohonan tertentu”.

JULAI tahun lalu, media melaporkan hampir 400 jemaah terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan berkait penggunaan visa furada. 

“Bagaimanapun, jemaah yang mahu mengerjakan haji menggunakan visa furada, dinasihatkan membeli pakej disediakan 22 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) dilesenkan TH supaya tidak berlaku penipuan sebagaimana sering dilaporkan”.

“Mereka boleh yakin dengan pakej PJH berbanding syarikat tidak dilesenkan oleh TH dan tidak diketahui sejauh mana kesahihan tawaran visa furada ataupun keseluruhan pengendalian ibadah itu,” katanya.

Beliau berkata, senarai 22 PJH terbabit itu boleh disemak melalui laman sesawang TH dan pelbagai platform disediakan agensi itu.

Baca Juga Aura ibadah haji – Seruan jihad ke jalan ALLAH

Syed Saleh berkata, TH tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak dikesan melanggar Akta 535, malah laporan sudah dibuat terhadap kes terdahulu dan sedang dalam tindakan polis.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Syed Saleh mengadakan lawatan ke semua pejabat operasi haji di Abraj Al-Janadriyah dan beramah mesra dengan petugas, termasuk di Unit Pentadbiran, Pejabat Konsul Haji, Unit Operasi Maktab, Unit Operasi Bimbingan, Unit Farmasi, Unit Operasi Masyair, dan Unit Media.

panggilan haji
Berita Semasa,

Wanita tolak panggilan haji, alasan diberi cukup mengharukan

Wanita tolak panggilan haji, alasan diberi cukup mengharukan

MENJADI impian setiap umat Islam seluruh dunia untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji.

Mana tidaknya, ibadah mulia itu turut menjadi penutup bagi lima Rukun Islam. Andai ia berjaya ditunaikan, terasa seperti salah satu tanggungjawab sebagai seorang Muslim lengkap dilunaskan.

Pun begitu, menerusi satu perkongsian di media sosial baru-baru ini, seorang wanita bernama Noraini Ismail memberitahu, dia termasuk golongan bertuah menerima panggilan haji tetapi memilih untuk menolak tawaran itu.

“Saya dapat panggilan haji, tetapi saya tolak. Kenapa tolak? ‘Orang lain ada yang merayu kerana nak pergi sangat tunai haji, tetapi awak tiba-tiba melepaskan peluang keemasan itu’,” tulisnya di laman sosial Facebook.

Baca juga Ingin haji mabrur, amal 7 adab saranan al-Ghazali

Turut disyorkan Memang perlu ada kemampuan untuk kerjakan haji, tetapi kita tak diwajibkan simpan wang untuk tujuan itu

panggilan haji

PASTINYA impian umat Islam seluruh dunia adalah untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji. Foto: 123RF

Tambahnya, dia telah pun melakukan solat istikharah sebelum membuat keputusan itu. Malah, keluarganya juga menasihatkan dia agar tidak menyahut panggilan haji tersebut.

“Sebenarnya sebelum saya tolak, saya terlebih dahulu buat solat istikharah. Saya juga mendapat nasihat daripada kakak supaya melepaskan peluang itu,” jelas wanita itu.

Baca juga Buat istikharah berkali-kali, tapi masih tiada jawapan…rupanya ini sebabnya

Turut disyorkan Mengapa jenazah meninggal di Makkah, wajah tidak bertutup dan diselimut kain berbeza warna?

Dedah Noraini, panggilan haji itu sebenarnya adalah kali kedua baginya. Sebelum ini, dia pernah menunaikan haji pertamanya beberapa tahun lalu.

Lantas, wanita berkenaan menolak tawaran daripada pihak Tabung Haji untuk memberi peluang kepada orang lain yang belum pernah menunaikan ibadah haji, terutamanya bagi golongan berumur.

“Saya tolak kerana saya nak beri peluang orang yang belum menunaikan haji mengisi kekosongan itu. Saya teringat pak saudara saya di kampung dah berusia 70-an masih belum mendapat tawaran tunai haji,” ujarnya.

Baca juga 10 Amalan Soleh Yang Boleh Dilakukan Pada Bulan Zulhijah

Dalam pada itu, Noraini turut berkata, umat Islam hanya difardukan mengerjakan haji sekali seumur hidup. Oleh itu, peluang menunaikan ibadah tersebut sebaik-baiknya diberikan kepada orang yang belum pernah melaksanakannya.

“Kalau dah terlebih mampu, apa salahnya beri ruang itu kepada mereka yang masih menunggu peluang pertama untuk menunaikan haji.

“Tabung Haji juga patut utamakan yang belum menunaikan haji untuk dimasukkan dalam senarai bakal jemaah mereka,” tulisnya sebagai penutup bicara.

Turut disyorkan Tabung Haji rangkul anugerah Perkhidmatan Bimbingan Haji Terbaik Dunia Islam

Sepanjang hayat Rasulullah SAW, baginda hanya pernah mengerjakan haji hanya sekali sahaja yang dikenali sebagai Haji Wada’. Foto: Freepik

Baca juga Masjid Namirah, khutbah terakhir Nabi SAW kepada umatnya di sini

Nabi SAW kerjakan haji hanya sekali seumur hidupnya

Benar, umat Islam dituntut melaksanakan haji hanya sekali seumur hidup. Bahkan Nabi Muhammad SAW sendiri pernah mengerjakan haji sekali sahaja sepanjang hayat baginda.

Menurut catatan, Nabi SAW menunaikan ibadah tersebut pada tahun kesepuluh Hijrah ketika Islam telah teguh dan para Muslimin bersatu daripada pelbagai bangsa dan kasta.

Kata Abu Qatadah, “Aku bertanya kepada Anas bin Malik berapa kali baginda SAW melaksanakan Haji?” Dia menjawab, “Satu kali dan berumrah sebanyak empat kali iaitu sekali di bulan Zulkaedah, umrah Hudaibiyah, umrah bersama haji dan umrah Ji’ronah tatkala membahagi harta perang Hunain” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Peristiwa Rasulullah SAW menunaikan ibadah haji sekali dalam hidupnya turut disebut oleh Zaid bin Arqam yang menyatakan bahawa baginda telah berperang sebanyak sembilan belas kali. Dan baginda melaksanakan ibadah haji setelah hijrah sebanyak satu kali dan tidak melaksanakan haji setelah itu. Haji itu adalah haji Wada’.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Turut disyorkan Ini pesanan Rasulullah SAW dalam khutbah terakhir baginda

panggilan haji

HAJI memerlukan persiapan yang rapi sebelum boleh melaksanakannya dengan sempurna. Foto: Google

Mengapa hanya sekali?
Tetapi mengapa Rasulullah SAW hanya berpeluang menunaikan haji sekali seumur baginda sedangkan ia merupakan kemuncak pada segala ibadah yang jelas wajib?

Memetik media tempatan, Prof Madya Dr. Mohamad Sabri Haron, Penyelaras Etika, Ketamadunan dan Kenegaraan, Pusat Citra Universiti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjelaskan bahawa ibadah haji merupakan proses tarbiah yang terbesar bagi umat Islam.

Tambahnya, ibadah haji bukanlah hanya sekadar ibadah badaniah tetapi ia juga melibatkan roh. Oleh itu, persediaan yang sehabis baik amat penting untuk menunaikan ibadah yang menjadi kemuncak pada rukun Islam yang lima.

“Ibadah haji adalah proses tarbiah terbesar bagi umat Islam. Ia memerlukan persediaan yang cukup rapi dalam pelbagai aspek seperti persediaan mental, fizikal, spiritual dan material.

“ALLAH SWT menentukan bahawa Nabi SAW hanya dapat menunaikannya pada tahun yang kesepuluh Hijrah setelah Islam mencapai kegemilangannya khususnya kesatuan dan persaudaraan umat Islam benar-benar utuh,” jelasnya.

Baca juga Sambut orang balik haji, antara sunnah yang dilupakan

Turut disyorkan LIMA amalan yang nilainya seperti menunaikan haji

Kata Sabri, walaupun haji hanya dilaksanakan sekali seumur hidup, namun apa yang penting adalah ia dilakukan dengan sempurna.

“Jangan sesekali hanya memikirkan ibadat haji yang sah sahaja, sebaliknya perlu ada kesempurnaan. Kesempurnaan itu hanya diperoleh dengan rasa keinsafan yang benar-benar memberi kesan dalam hati,” ulasnya.

Jelas pensyarah itu, apabila adanya kesempurnaan haji itu, barulah umat Islam berkualiti dapat dilahirkan. Iaitu mereka yang meneruskan kesinambungan ibadah walaupun selepas musim haji dan pulang ke tanah air.

Sumber: Facebook Noraini Ismail & Hikmah Mengapa Rasulullah SAW Mengerjakan Haji Hanyak Sekali Seumur Hidup

Foto: 123RF, Google & Freepik

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi
Berita Semasa,

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi kagum dengan ilmu dan pembawaan nilai jemaah haji Malaysia

MENTERI Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fauzan Muhammed Al Rabiah melahirkan rasa kagum dengan ilmu dan pembawaan nilai yang ada pada jemaah haji Malaysia.

Perkara itu disuarakan beliau ketika mengikuti lawatan dan mendengar taklimat bagi memahami dengan lebih lanjut tentang operasi haji di negara ini di Pusat Konvensyen Movenpick Sepang pada Ahad.

Ketika ditemui media pada acara berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengharapkan hubungan baik sedia ada di antara Malaysia dan Arab Saudi dapat dipertingkat dan diperkukuhkan.

“Kita harapkan segala urusan yang melibatkan jemaah haji kita dan Lembaga Tabung Haji (TH) akan dipermudahkan.

Baca juga Kuota haji Malaysia kembali penuh, 31,600 jemaah boleh tunaikan Rukun Islam kelima tahun ini

“Dr Tawfiq Fauzan (dalam lawatan) berjanji untuk memberikan bantuan sebaiknya, menambah baik bentuk sokongan yang telah diberikan sebelum ini dan akan diteruskan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) semalam.

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi

MENTERI Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fauzan (dua, kanan)) bersama Dr Mohd Na’im (dua, kiri) ketika mengikuti lawatan kerja meninjau pengendalian siri Kursus Asas Haji di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor pada Ahad. -Foto: Facebook Dato’ Setia Dr Na’im

Pada hari sama, Dr Tawfiq Fauzan turut mengikuti lawatan kerja meninjau pengendalian siri Kursus Asas Haji di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor.

Lawatan di Masjid Negeri turut disertai Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof; Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar; Duta Arab Saudi di Malaysia, Mesaad Ibrahim Al-Sulaim; Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin; Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

TH sebelum ini pernah menerima pengiktirafan daripada kerajaan Arab Saudi apabila merangkul Anugerah Labaittom bagi kategori Perkhidmatan Bimbingan Haji Terbaik Dunia Islam pada Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 di Jeddah, Arab Saudi.

Baca juga Tabung Haji rangkul anugerah Perkhidmatan Bimbingan Haji Terbaik Dunia Islam

Pada sesi lawatan di Masjid Negeri, Dr Mohd Na’im dalam satu kenyataan menjelaskan, Dr Tawfiq Fauzi bersama delegasinya telah diberikan taklimat berkaitan operasi dan pengendalian kursus asas haji yang berlangsung di seluruh negara.

“Ini adalah usaha TH untuk memastikan bakal jemaah haji diberikan pengisian ilmu supaya dapat melaksanakan Rukun Islam kelima dengan ilmu dan kefahaman.

“Kursus ibadah haji merangkumi pelbagai aspek hukum-hakam, tatacara termasuk penjagaan kebersihan kendiri dan sebagainya,” katanya.

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi

KERAJAAN Arab Saudi tidak menetapkan jumlah tertentu untuk para jemaah menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci. -Foto: Pexels

Memetik laporan portal Saudi Gazette, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi tidak menetapkan jumlah tertentu untuk para jemaah menunaikan ibadah umrah.

“Bagaimanapun, mereka wajib mematuhi arahan untuk mengambil janji temu pada masa tertentu untuk menunaikan haji,” katanya pada Ahad.

Di samping itu, kementerian tersebut menegaskan, mereka yang tiba di Arab Saudi atas kapasiti lawatan, pelancong atau visa kerja boleh menunaikna umrah.

“Jemaah haji juga boleh menukar pengangkutan yang digunakan untuk kedatangannya semasa semasa berangkat dari negara berkenaan.

“Pemegang visa umrah boleh melakukan perjalanan antara Makkah dan Madinah serta di antara semua kota di negara tersebut dalam tempoh dibenarkan untuk tinggal di situ. Bahkan, jemaah umrah boleh masuk dan meninggalkan Arab Saudi dari mana-mana lapangan terbang antarabangsa atau serantau di negara berkenaan,” katanya.

Sejak kalendar Islam memasuki tahun baharu pada hujung Julai tahun lalu, sebanyak 4.8 juta jemaah umrah luar negara sudah menunaikan ibadah berkenaan.

pusat rawatan malaysia
Istimewa Panggilan Baitullah,

Pusat rawatan Malaysia di Arab Saudi bertaraf antarabangsa

SEBELUM ini, Malaysia melakar sejarah tersendiri apabila menjadi negara pertama menerima permit operasi pusat perubatan di Arab Saudi menerusi Pusat Rawatan Tabung Haji (TH).

Bagi Pusat Rawatan TH Syisyah dan Pusat Kecemasan di Abraj Al Janadriah yang memperoleh permit yang pertama dan kedua di Makkah, bangunannya kelihatan seperti biasa sahaja dari luar, tetapi apabila berada di dalamnya, pengunjung pasti teruja melihat segala kelengkapan perubatan yang disediakan.

Bukan sahaja mempunyai wad sendiri, tetapi TH juga melengkapkan perkhidmatan mereka dengan menempatkan tenaga pakar dalam pelbagai bidang, 18 ambulan dan peralatan perubatan mencukupi.

pusat rawatan Malaysia

DR MOHAMAD NAZARUDIN BAHARI

Pengarah Operasi Perubatan Makkah Dr Mohamad Nazarudin Bahari berkata lebih membanggakan apabila setiap analisis dan pemantauan pegawai perubatan Malaysia diterima tanpa sebarang keraguan oleh doktor yang bertugas di Hospital Arab Saudi sama ada di Makkah dan Madinah.

Katanya, keadaan sedemikian membolehkan pesakit mendapat rawatan segera dan pegawai perubatan TH mudah melakukan pemantauan berterusan.

Baca juga Malaysia negara pertama dapat pilih waktu melontar

“Pusat Rawatan Syisyah dan klinik kesihatan lain di tempat penginapan jemaah haji sentiasa melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Jika pada 2012 ketika saya baru sampai di Makkah, hanya ada dua pakar sahaja dan ia makin bertambah pada tahun selepasnya. Sekarang ini kita mempunyai 24 orang pakar. Itupun sebenarnya masih ramai doktor pakar lain tetapi mereka berstatus pegawai perubatan di sini,” katanya kepada pemberita.

pusat rawatan

PUSAT rawatan TH berkenaan dilengkapi pelbagai kemudahan perubatan bagi membantu jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengagumi kebolehan dan kepatuhan Malaysia dalam bidang perubatan, malah sebagai memenuhi syarat, kesemua doktor bertugas akan menghantar sijil kelayakan mereka terlebih dahulu sebelum dibenarkan terlibat dalam operasi musim haji.

“Jika dibandingkan dengan negara lain, TH memang menyediakan perkhidmatan terbaik dari pelbagai segi. Ada ketika saya bersama pasukan kecemasan untuk pemeriksaan ambulan di Bulan Sabit Merah Jeddah.

“Apabila datang sahaja ambulans Malaysia, petugas Arab Saudi sangat puji dan mereka melahirkan rasa kepercayaan terhadap Malaysia. Kesemua 18 buah ambulans kita memang bagus dan petugas itu hanya hendak tengok sahaja, ” katanya.

Baca juga Hikmah daripada tarikh-tarikh penting sepanjang Zulhijjah 1443Hijrah

Sementara itu, dalam majlis perhimpunan petugas bersama Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, pasukan perubatan TH menerima pujian kerana berjaya memperoleh permit beroperasi daripada Kementerian Kesihatan Arab Saudi.

Ketika berucap, Syed Saleh berkata pasukan perubatan bukan sahaja membuktikan kebolehan Malaysia dalam memastikan mutu perkhidmatan kesihatan tetapi juga mencipta rekod tersendiri di peringkat antarabangsa.

“Pencapaian yang agak membanggakan kerana kita yang pertama (mendapat permit). Ia membuktikan pasukan perubatan kita membuat kerja tersusun dan komited sehingga memenuhi syarat, termasuk bangunan, peralatan, sistem pembuangan sisa-sisa dan jumlah kakitangan

pusat rawatan Malaysia

SEMEMANGNYA pengiktirafan yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi kepada hospital Malaysia di sana membuktikan fasiliti negara bertaraf antarabangsa.

Itu syarat-syarat yang dikenakan Arab Saudi, dan ini menunjukkan keyakinan Arab Saudi terhadap Malaysia bahawa apabila membuat sesuatu, semuanya akan mengikut peraturan dan terbaik dengan gerak kerja sistematik,” katanya.

Mengikut rekod, pusat rawatan di Madinah dan Makkah menyediakan seramai 254 petugas termasuk 28 pakar, 35 pegawai perubatan serta 158 kakitangan sokongan seperti jururawat dan fisioterapi.

Sumber: Bernama & Berita Harian

Foto: AlHijrah News & Bernama

pastikan kesahihan visa furada
Istimewa Panggilan Baitullah,

Pastikan kesahihan visa furada yang ditawarkan

UMAT Islam di negara ini dinasihatkan supaya lebih teliti dan berhati-hati sebelum menggunakan khidmat mana-mana pihak yang menawarkan visa furada bagi menunaikan ibadah haji.

Memetik laporan Bernama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, ini bagi mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa penipuan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menawarkan pakej haji palsu.

visa furada

DATUK IDRIS AHMAD

“Visa furada adalah visa yang tidak berkaitan dengan Tabung Haji (TH). Kita harapkan biar ‘verify’ (sahkan) elok-elok. Kita tak mahu nanti apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini, bebannya nanti diletakkan pada TH.

Sebab itu kita harapkan supaya apa sekalipun, pastikan supaya visa itu memang tulen dan ada penerbangan dan penginapan di sana. Itu yang kita harapkan kepada mereka kalau ditawarkan dengan visa furada ini,” katanya kepada Bernama.

Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi tanpa melibatkan jumlah kuota yang diperoleh TH.

visa furada

DATUK SERI SYED SALEH

Seperti yang dilaporkan Berita Harian, Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman pula berkata TH sering mengingatkan risiko haji furada, apatah lagi dengan senario musim haji tahun ini yang menyaksikan pelbagai syarat ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

“Saya harap kita faham situasi ini dan Kerajaan Arab Saudi juga telah menyatakan supaya kita harus berhati-hati kerana memang ada pihak tertentu yang menawarkan pakej haji palsu.

Baca juga Wanita UK ini kongsi tip, panduan haji yang beri inspirasi kepada bakal jemaah di Twitter

“Ini berlaku secara peringkat antarabangsa dan di Malaysia, kita juga dapati ada agensi yang bukan dilesenkan dan tidak diiktiraf TH yang menawarkan pakej kononnya visa furada. Jadi saya harap umat Islam di Malaysia tidak seharusnya terpedaya dengan iklan-iklan yang dikeluarkan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di bangunan Abraj Al Janadriyah yang menempatkan ibu pejabat TH dan jemaah haji Malaysia.

visa furada

ADA juga beberapa pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menawarkan khidmat visa furada yang palsu.

Syed Saleh turut mengingatkan individu atau syarikat yang menawarkan visa furada tanpa lesen bahawa mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta TH, iaitu kesalahan mengiklan atau mengendalikan haji tanpa mempunyai lesen daripada TH.

“Kita dapati ramai yang terpedaya dengan skim dan iklan terbabit, jadi berhati-hatilah,” katanya turut menyarankan rakyat Malaysia memilih dalam kalangan 20 agensi pelancongan atau dikenali sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) untuk mengendalikan ibadah haji secara pakej.

Syarikat PJH menyediakan pelbagai pakej dengan harga RM35,000 ke atas dan ia kuota yang sememangnya diperoleh untuk TH dan Malaysia.

Baca juga Warga Indonesia berbasikal 5000 km untuk tunaikan haji

Sebelum ini, Bernama melaporkan hasil tinjauan menerusi media sosial mendapati promosi berkaitan visa furada semakin rancak dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menjanjikan bakal jemaah berlepas pada 5 Julai.

Promosi itu agak meragukan kerana Arab Saudi telah menetapkan penerbangan terakhir bagi haji adalah pada 4 Julai apatah lagi ia semakin hampir dengan Hari Wukuf.

Sumber: Bernama & Berita Harian

Foto: Freepik

Kursus haji
Berita Semasa, Dalam Negara,

Tabung Haji anjur kursus secara berperingkat mulai 15 hingga 29 Mei

MESKIPUN Syawal masih lagi berbaki, namun kehangatan musim haji kian terasa.

Masakan tidak, tahun ini menjadi permulaan kepada Kerajaan Arab Saudi membenarkan jemaah haji dari luar negara tersebut untuk menunaikan Rukun Islam kelima selepas dua musim tidak memberi kebenaran tersebut.

Namun, pada bulan April lalu, Arab Saudi mengumumkan khabar gembira dengan kesediaan mereka menerima sejuta tetamu ALLAH pada musim haji kali ini.

Berita itu amat dinanti-nantikan seluruh umat Islam seantero dunia termasuk di Malaysia.

Pada tahun ini, sebanyak 14,306 kuota haji Malaysia iaitu pengurangan sebanyak 45 peratus daripada kuota biasa yang diterima sebelum ini.

Sebelum ini, seramai 31,600 jemaah haji Malaysia dibenarkan untuk menunaikan ibadah berkenaan pada tahun 2019.

Lazimnya, Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengadakan kursus perdana bagi jemaah yang bakal ke tanah suci sebelum tibanya musim haji.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan TH pada Ahad, Kursus Perdana Haji Musim 1442H / 2022M diadakan secara berperingkat bermula 15 Mei hingga 29 Mei ini di seluruh negara.

Kursus haji

Kursus Perdana Haji bagi Negeri Melaka turut diadakan pada hari Sabtu lalu bertempat di Masjid Cina.

Jelas TH, ia merupakan kursus terakhir kepada bakal jemaah haji sebagai platform untuk mereka mengulang kaji, sekali gus menjadi pelengkap kepada kursus-kursus haji yang dikendalikan pihaknya di seluruh Malaysia.

Ujar Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin, tujuan utama penganjurannya adalah bagi melahirkan jemaah yang berpengetahuan dan berkeyakinan ketika melaksanakan ibadah berkenaan kelak.

“Dalam kursus ini, bakal-bakal haji akan melalui proses praktikal seperti bertawaf, sai, melontar jamrah dan sebagainya secara berkumpulan. Tujuannya adalah bagi memberi gambaran sebenar di tanah suci.

“Menerusi kursus ini, kami tonjolkan suasana sebenar sepanjang ibadah haji dilakukan,” katanya.

Baca juga Jalan kaki lebih 6,000 km ke Makkah untuk tunaikan haji

Dalam pada itu, Amrin menyarankan supaya semua bakal jemaah haji mengikuti kursus berkenaan di negeri masing-masing.

“Peluang itu harus digunakan sebaiknya untuk mengulang kaji. Jika ada sebarang persoalan, boleh bertanyakan terus kepada pegawai TH dan pembimbing ibadah haji yang sentiasa bersama mereka semasa kursus berlangsung,” ungkapnya.

Sebelum ini, Malaysia memohon 5,000 tambahan kuota haji daripada Kerajaan Arab Saudi bagi musim haji tahun ini.

Kursus haji

BAKAL jemaah haji menyertai Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor yang dijalankan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada Sabtu lalu.

Namun, ia bergantung kepada kemampuan negara berkenaan. Sehingga artikel ini ditulis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menjelaskan, Malaysia masih lagi menunggu keputusan Kerajaan Arab Saudi berhubung rayuan kuota tambahan.

Baca juga Perkasa Bimbingan Ibadah Haji, TH Bakal Bangunkan Sistem Hajj E-learning Bulan Ini

Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Makkah dijadualkan pada 31 Mei ini.

Foto: Facebook Official : Lembaga Tabung Haji

Bimbingan ibadah haji
Berita Semasa,

Perkasa Bimbingan Ibadah Haji, TH Bakal Bangunkan Sistem Hajj E-learning Bulan Ini

SEBELUM pandemik Covid-19 membadai dunia dua tahun lalu, banyak kelas bimbingan ibadah haji yang boleh diikuti oleh para jemaah di negara ini.

Tidak kiralah sama ada kursus itu dianjurkan oleh pihak Lembaga Tabung Haji (TH), masjid, syarikat pengendali ibadah haji dan umrah mahupun pihak luar, semuanya boleh dihadiri untuk menambah ilmu di dada.

Bagaimanapun, penangan wabak berbahaya yang masih belum bernoktah ini mengubah segalanya. Ini kerana kursus secara bersemuka sukar untuk dilaksanakan, sekali gus bagi mengelak kesesakan dan  mengekang penularan virus berkenaan.

Bagi memperkasa penyampaian bimbingan ibadah haji, TH bakal membangunkan sistem Hajj e-learning bermula bulan ini. Sistem itu antara lain selaras dengan apa yang terkandung dalam Kerangka Kerja Haji 2021-2025.

Demikian kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad ketika merasmikan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-38 bagi Musim Haji 1443H di Kuala Lumpur semalam.

IDRIS

Jelas beliau, inisiatif tersebut diambil seiring dengan keperluan zaman teknologi kini, selain sebahagian amalan normal baharu masyarakat.

Baca juga Kementerian Haji dan Umrah Batalkan Tempoh Menunggu 14 Hari Untuk Umrah

“Jika dilihat pada musim haji tahun 2019 dan 2020, kerajaan Arab Saudi juga sudah memulakan proses urusan haji mereka secara dalam talian, bermula daripada permohonan haji sehinggalah pemilihan dan saluran makluman terkini kepada bakal haji terpilih.

“Saya percaya sudah tiba masanya bagi bakal haji Malaysia melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi dan terbuka dengan cara baharu menunaikan haji,” katanya sebagaimana dipetik daripada Bernama.

Bukan itu sahaja, pada majlis berkenaan, Idris turut melancarkan inisiatif digitalisasi terbaharu TH iaitu aplikasi Talian Ibadah-Pusat Panggilan atau lebih dikenali sebagai e-TAIB.

Aplikasi berkenaan antara lain bertujuan bagi memudahkan jemaah haji bersoal jawab mengenai hukum dan perjalanan ibadah haji ketika berada di Tanah Suci melalui perbualan secara langsung bersama guru agama.

Bimbingan ibadah haji

IDRIS (dua, kanan) turut merasmikan inisiatif digitalisasi terbaharu TH iaitu aplikasi Talian Ibadah-Pusat Panggilan (e-TAIB) bagi memudahkan jemaah haji bersoal jawab mengenai hukum dan perjalanan ibadah haji ketika berada di Tanah Suci.

Justeru, kepada bakal tetamu ALLAH SWT, andai diizinkan menjejakkan kaki ke sana kelak, tidak perlu risau lagi jika tiba-tiba ada kemusykilan sepanjang menunaikan ibadah di Tanah Suci.

Kemudahan teknologi pada hari ini boleh ‘memandu’ kita di mana-mana sahaja asalkan mempunyai akses kepada capaian internet.

Foto: Facebook Official : Lembaga Tabung Haji