Browsing Tag

tabarru’

Iqtisad,

Tolong-menolong diaplikasikan dalam produk takaful

SIKAP saling tolong-menolong merupakan sifat terpuji. Malah sikap begini sangat digalakkan dalam Islam sebagaimana yang dijelaskan dalam firman ALLAH dalam Surah al-Maidah, ayat 2 yang bermaksud:

Dan hendaklah kamu saling tolong-menolong dalam membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu saling tolong menolong dalam melakukan dosa dan permusuhan. Dan bertakwalah kepada ALLAH kerana sesungguhnya ALLAH MAHA BERAT azab seksa-NYA (bagi sesiapa yang melanggar perintah-NYA).

Dalam dunia hari ini, konsep tolong-menolong ini diaplikasi dalam produk-produk takaful. Setiap peserta takaful akan menyumbang sejumlah caruman secara berkala mengikut persetujuan antara pihak peserta dan pengendali takaful.

Sebahagian atau keseluruhan daripada caruman ini akan dimasukkan dalam satu dana yang dinamakan sebagai dana risiko. Sumbangan ke dalam dana risiko ini adalah berdasarkan konsep tabarru’.

Tabarru’ bererti sukarela. Dalam konteks takaful para peserta menderma sebahagian atau keseluruhan wang sumbangan yang dibayar
semasa menyertai skim takaful. Wang sumbangan ini digunakan untuk membantu rakan peserta yang dibebani kehilangan atau kerugian berikutan dilanda musibah tertentu.

Para peserta takaful perlu memahami bahawa apabila mereka menyertai sesuatu skim takaful, mereka tidak boleh beranggapan bahawa wang sumbangan yang telah dimasukkan dalam dana risiko adalah milik mereka. Apabila derma telah dilakukan, maka ia bukan lagi menjadi milik peribadi.

Lebih tepat ia menjadi milik dana risiko itu dan diurus oleh pengendali takaful. Bagi memudahkan untuk kita memahami konsep tabarru’ ini, kita andaikan kita sama-sama menyumbang dalam satu tabung kebajikan yang diwujudkan oleh persatuan penduduk taman kejiranan kita.

Baca juga Ini Kaedah Pelaksanaan Tadbir Urus Syariah Dalam Institusi Kewangan Islam Yang Ramai Tidak Tahu

Peserta takaful boleh merasa lega

Tolong-menolong

BAGI peserta takaful, mereka boleh merasa lega kerana kos perubatan akan sama-sama ditanggung oleh para peserta skim yang sama.

Setelah membuat sumbangan, ia bukan lagi menjadi milik kita kerana kita telah bersetuju sumbangan tersebut adalah satu derma untuk kebajikan penduduk setaman dengan kita. Pihak jawatankuasa yang dilantik akan mengurus tabung berkenaan. Apabila berlaku musibah kepada ahli taman kejiranan, maka wang dalam tabung berkenaanlah yang akan diguna untuk membantu mereka yang berkenaan.

Pada hari ini, kos perubatan misalnya, sangatlah tinggi. Tidak semua orang mampu membayar bil kos perubatan apabila ditimpa penyakit yang memerlukan rawatan yang menelan belanja tinggi terutama apabila melibatkan pembedahan dan sebagainya.

Namun bagi peserta takaful, mereka boleh merasa satu kelegaan kerana kos perubatan mereka akan sama-sama ditanggung oleh para peserta skim yang sama. Bayangkan kita baru sahaja menyumbang sedikit sahaja, tetapi tiba-tiba kita diuji dengan satu penyakit yang memerlukan rawatan dan kosnya sangat mahal.

Baca juga Jauhkan diri daripada riba. Sama-samalah kita sokong perkhidmatan kewangan, produk berkonsepkan Islam

Dengan adanya sumbangan dalam dana risiko tersebut, kita layak menerima bantuan daripadanya. Namun untuk mendapat bantuan, para peserta perlu mengikut proses tuntutan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh pihak pengendali takaful kepada skim takaful yang dia sertai.

Berbalik kepada konsep tabarru’ yang mendasari dana risiko tersebut, para peserta perlu faham bahawa mereka memasuki skim takaful kerana sama-sama ingin menderma dan untuk sama-sama menanggung bantuan kepada peserta yang ditimpa musibah.

Atas asas itu, sekiranya mereka ‘tidak ditimpa’ musibah, mereka tidak akan mendapat apa-apa bantuan atau istilah yang tepat dalam industri takaful ialah mereka tidak boleh membuat apa-apa tuntutan (claim).

Ada sebahagian mereka yang tidak ditimpa musibah merasa RUGI apabila mereka tidak dapat membuat tuntutan sedangkan mereka sentiasa mencarum.

Merasa satu kerugian dalam situasi tersebut adalah satu yang tidak wajar berlaku. Kita menderma bukan bermaksud untuk mendapat balasan balik, tetapi sebagai satu sumbangan untuk saling membantu apabila ditimpa musibah. Wallahu a’lam.

***Artikel ditulis oleh Dr Shamsiah Mohamad yang berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Pexels