Browsing Tag

Taat

Taat
Ibadah,

Perlukah isteri taat kepada suami yang tidak solat? Berikut perinciannya

SEORANG wanita perlu taat kepada suami selepas berkahwin. Demikian fakta yang tidak boleh kita nafikan kerana mereka sudah berada di bawah tanggungjawab ‘imam’ masing-masing.

Meskipun kaum Adam bertindak sebagai ketua keluarga, adakalanya mereka juga manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesilapan. Kadangkala culas dan lalai untuk menjalankan kewajipan solat fardu.

Andai seseorang mendapat suami yang tidak solat, bagaimana mereka mahu taat kepada lelaki tersebut?

Pendakwah Ustaz Mohammad Wadi Annuar Ayyub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar menjelaskan, sekalipun suaminya termasuk dalam golongan orang yang fasik, para isteri tetap wajib mentaati mereka.

USTAZ WADI ANNUAR

“Ini termasuklah jika suami kadang-kadang solat dan adakalanya tidak sembahyang.

“Namun, andai kata suami menyuruh isteri melakukan maksiat ketika itu, barulah wanita tadi tidak perlu taat kepada perintahnya pada masa tersebut,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video kemusykilan agama yang disiarkan menerusi laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Baca juga Syurga di bawah tapak kaki suami, tapi ia bukan ‘tiket’ perlakukan isteri sesuka hati

Suami suruh syirik

Perkara itu jelas dinyatakan dalam hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada ketaatan kepada makhluk untuk berbuat maksiat kepada ALLAH SWT…” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hal itu, Ustaz Wadi Annuar mengingatkan, ketidaktaatan itu hanyalah terhad kepada perkara maksiat yang disuruh pada masa berkenaan.

Ia bukanlah bermakna, seorang isteri tidak mentaati suaminya yang fasik selama-lamanya, ungkapnya.

“Jika suami menyuruh isteri untuk melakukan perkara yang harus selagi tidak melanggar syariat Islam seperti memasak, membasuh baju dan mengemas rumah, tetap wajib dilakukan oleh wanita berkenaan.

Baca juga Campur cuci pakaian dengan anak, tak muliakan suami? Ini penjelasannya

“Katakan, suami berkata ‘saya tak izinkan kamu tutup aurat’. Arahan itu tidak boleh ditaati. Bukan maksudnya sekali suami tidak bagi tutup aurat, kemudian kita kata ‘mulai hari ini, saya tak nak taat lagi’. Itu salah,” tegas beliau.

Taat

JALANKANLAH tanggungjawab suami dan isteri mengikut syariat ditetapkan, selain menjaga hubungan dengan ALLAH SWT. -FOTO: PEXELS

Bagi memudahkan kefahaman kita, Sinar Islam Plus kongsikan beberapa contoh perintah suami yang tidak boleh ditaati oleh isteri kerana bertentangan dengan perintah ALLAH SWT, sepertimana dipetik daripada laman web Muslimah.or.id.

Berikut perinciannya:

i. Menyuruh kepada kesyirikan.

Ingatlah, wanita tidak boleh taat kepada suami yang menyuruhnya untuk berbuat syirik seperti mengarahkannya untuk pergi berjumpa bomoh, memakaikan azimat kepada anak-anak dan sebagainya.

Ketahuilah bahawa syirik merupakan dosa yang paling besar.

Firman ALLAH SWT: “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, sewaktu dia memberi pengajaran kepadanya, “Wahai anakku! Janganlah engkau menyekutukan ALLAH, sesungguhnya menyekutukan (ALLAH) itu adalah benar-benar kezaliman yang besar.” (Surah Luqman, ayat 13)

Baca juga Lakukan amalan ini bersama, rahsia suami isteri bina ‘rumah’ di syurga

ii. Memerintahkan supaya melakukan bidaah.

Apabila suami menyuruh melakukan hal sedemikian, isteri hendaklah menolak dengan cara yang baik dan sopan serta menasihatkan imam mereka.

iii. Disuruh menanggalkan tudung.

Taat

JIKA suami mengarahkan isteri tidak menutup aurat di hadapan orang asing, jangan sesekali taat kepada perintah tersebut. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: PEXELS

Semua sedia maklum bahawa menutup aurat adalah kewajiban bagi setiap umat Islam. Andai perkara yang satu itu disuruh untuk ‘digadaikan’ juga, jangan sesekali mematuhinya atas apa jua alasan.

ALLAH SWT berfirman: “Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, “Hendaklah mereka menutupkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.” Yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak diganggu…” (Surah al-Ahzab, ayat 59)

iv. Mendatangi isteri ketika haid atau dari dubur.

Baca juga ‘Bersama’ dengan isteri belum mandi wajib asbab haid, ini yang wajib tahu

Ia perkara yang dilarang dalam Islam.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Berjimaklah melalui depan atau melalui belakang. Jauhi daripada memasukkan zakar ke dalam dubur dan berjimak semasa haid.” (Hadis Riwayat an-Nasai)

Justeru, jangan ambil ringan tentang hal sebegini. Usah semberono taat pada perkara yang jelas dilarang oleh Islam dan bercanggah dengan syariat.

***Foto: Pexels