Browsing Tag

syukur

Saya lebih bagus
Semarak Patriotik: 65 tahun Malaysia Merdeka,

Hati-hati dengan ‘mindset’ ‘saya lebih bagus’ dan ‘kumpulan saya lebih baik’, ini sebab-sebabnya

PEMIKIRAN ‘saya lebih bagus’, ‘kumpulan saya lebih baik’ dan seumpamanya merupakan ‘gagasan’ iblis yang boleh menyebabkan umat Islam kufur kepada ALLAH SWT.

Sentimen seperti itulah yang mendorong makhluk terkutuk tersebut enggan bersujud kepada Nabi Adam AS.

Begitu juga impaknya andai masyarakat dipengaruhi pemikiran sedemikian bukan berasaskan merit, tetapi bersandarkan keinginan nafsu semata-mata.

Sehingga terdapat segelintir yang sanggup membutakan mata untuk memberikan kredit terhadap orang lain yang melakukan kebaikan.

Baca juga Jernihkan pemikiran kufur kepada syukur, antara formula ampuh bentuk masyarakat berakhlak mulia

Demikian ingatan yang diberikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail ketika diwawancara Sinar Islam Plus baru-baru ini.

FAZRUL

“Bayangkan kalaulah ada orang lain lebih baik (daripada kita) diberi penghargaan dan bila masyarakat penuh dengan sikap menghargai antara satu sama lain, kita akan menaikkan mutu dari segi kerja, kepimpinan dan apa sahaja dalam kehidupan.

“Namun, jika kita sendiri saling menjatuhkan, inilah sebenarnya kaedah yang dibuat iblis. Dia sudah berjanji untuk membawa manusia jatuh bersama-sama dengannya,” katanya.

Lantaran itu, Malaysia #QuranHour yang berlangsung pada Rabu depan dilihat signifikan dalam membentuk kerangka fikiran supaya mensyukuri nikmat fizikal, intelektual, emosi serta sosial tanpa ‘memilih bulu’.

Jelas Fazrul, tujuannya hanya satu iaitu mahu membuang segala landskap pemikiran kufur dalam kalangan masyarakat.

“Usahlah kita memfitnah ataupun mengecilkan segala nikmat yang pada hakikatnya itu datang daripada ALLAH.

“Cuma ia dilaksanakan oleh pelbagai pihak. Ada kelompok yang sama dengan kita, terdapat pula segelintirnya datang daripada kumpulan berbeza, pihak kerajaan mahupun pembangkang. Sikap seperti itu menyebabkan banyak kebaikan yang dibuat tidak dipandang secara objektif,” tuturnya.

Sifat al-Abrar

Menyambung hujah, Fazrul menjelaskan, ada sebab Surah al-Fatihah, al-Insan dan al-‘Asr dipilih untuk menjadi tema pada program berinteraksi dengan al-Quran pada kali ini.

Baca juga Sebut ‘amin’ selepas imam baca al-Fatihah, akan berguguranlah dosa yang telah lalu

Ummul kitab misalnya, ia bagi menghidupkan budaya bersyukur dengan nikmat kemerdekaan dikecapi dan bukannya hanya menghargainya jika ia dilakukan oleh individu atau kumpulan tertentu.

Dalam Surah al-‘Asr pula, kita mengimpikan negara yang sudah 66 tahun merdeka seperti waktu Asar, iaitu pada bila-bila masa sahaja bumi ini akah Maghrib (terbenam), ungkapnya.

“Kita ingin memerah keringat dan usia demi memastikan kemerdekaan negara terus menghasilkan jus-jus manfaat besar kepada rakyat dan seluruh dunia berteraskan surah ini.

Saya lebih bagus

JAUHKANLAH pemikiran ‘saya lebih bagus’ dan seumpamanya hingga menafikan kebaikan yang dilakukan pihak lain yang boleh merosakkan keharmonian, sebaliknya ambillah ibrah daripada al-Quran demi memastikan kemerdekaan negara menghasilkan jus-jus manfaat besar kepada rakyat. -Foto: Bernama

“Sementara itu, Surah al-Insan pula meletakkan beberapa agenda untuk bersyukur dan bukannya bersikap kufur dalam meraikan kemerdekaan. Justeru, penting untuk kita mempunyai pemikiran memberi, membantu ataupun al-Abrar (manusia yang sentiasa berbuat kebaikan).

“Ini kerana apabila mereka sentiasa berbuat kebaikan tanpa mengharap balasan, Malaysia akan diisi dengan pemimpin dan rakyat yang benar-benar berusaha untuk menolong orang lain. Inilah realiti yang diperlukan sebagaimana pada awal kemerdekaan,” hurainya panjang lebar.

Benarkah seseorang tidak akan merdeka kerana enggan mengikut apa yang ALLAH kehendaki?

Menjawab persoalan itu, Fazrul menggunakan analogi formula alam yang mana ia dikuasai oleh ALLAH. Apabila semua mengikut peraturan-NYA, pasti akan berjaya.

“Umpamanya, matahari ikut formula ALLAH, begitu juga dengan air dan sebagainya sepertimana kita belajar dalam ilmu sains.

“Katakan jika hanya satu makhluk yang namanya manusia enggan ikut metode berkenaan, maka sudah tentu kita akan berhadapan dengan satu cabaran iaitu ‘sedang melawan alam’ ini. Ia seakan memberitahu ‘Matahari, jangan keluar pukul 7 pagi’.

Baca juga Ini 4 cara untuk kita menzahirkan rasa syukur kepada ALLAH

“Mengertilah, orang yang merdeka ialah individu yang mengikut aturan ALLAH dan dia mendapat bantuan Tuhan serta Sang Pencipta jualah yang akan membawanya terus sampai ke syurga,” ungkapnya.

Sebelum mengakhiri perkongsiannya, beliau menyarankan rakyat Malaysia untuk terus membaca, mendalami isi, selain perlu ada hubungan personal dengan al-Kitab.

“Maksudnya selepas baca dan faham, kemudian amalkanlah. Mengapa saya kata personal? Ini kerana jika tiada masa peribadi untuk berfikir atau memahami, kita boleh mengikuti majlis ilmu.

“Namun, andai kita sibuk dan tiada masa personal dengan al-Quran, maka ia akan menyebabkan iman jadi ‘lapar’ yang boleh menjerumuskan diri ke lembah kekufuran,” titipnya.

ANEKDOT

Saya lebih bagus

BERDAMPINGLAH dengan al-Quran dan membentuk hubungan personal dengan kitab suci itu agar kita dijauhkan daripada pemikiran ‘saya lebih bagus’ yang boleh menjerumuskan kita dalam perkara tidak baik. -Foto: 123rf

Inti pati Surah al-Fatihah, al-Insan & al-’Asr:

– Dengan menghayati Surah al-Fatihah, kita akan menjadi orang bersyukur. Memahami segala yang dilakukan di dunia, kebaikannya datang daripada ALLAH.

– Pemikiran sebegitu akan membuatkan kita merendah diri dan tidak mudah kufur dengan nikmat yang hadir walaupun dari kumpulan berbeza.

– Orang bersyukur tidak mudah marah. Sebaliknya, yang ada pemikiran kufur akan buntu dari melihat kebenaran.

Baca juga Enam pesanan penting Imam al-Ghazali untuk menghindar rasa marah

– Surah al-Insan mengajar supaya sedar diri. Ia juga mengingatkan bahawa ALLAH yang mewujudkan potensi untuk seseorang menjadi pemimpin dan boleh terus memperjuangkan kemerdekaan. – Salah satu cara yang dicadangkan dalam Surah al-Insan, selalu membaca al-Quran. Dengan demikian, kita akan ingat ALLAH dan tidak mudah berfikir buruk.

– Menerusi Surah al-’Asr, seseorang yang mahu keluar dari pemikiran kufur adalah apabila dirinya tahu bahawa usianya sudah sampai Asar. Maka dia perlu ‘mengerah’ usia untuk hasilkan manfaat terbaik untuk ummah.

– Dia juga tahu andai tidak berbuat demikian, maka dirinya dalam kerugian. Memberi nasihat perlukan kebenaran, kesabaran serta elakkan fitnah apalagi kufur.

***Sumber: Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail

Mina
Istimewa Panggilan Baitullah,

Rehlah haji terjemahkan makna syukur dan sabar yang paling maksimum

Rehlah haji terjemahkan makna syukur dan sabar yang paling maksimum…

APA istimewanya bumi yang hanya luasnya 8.6km persegi ini? Adakah Mina diingat sebagai tempat jemaah diuji dengan kesusahan?

Ya, ada benarnya bagi setiap orang, Mina merupakan medan tarbiah yang paling mencabar dalam menguji keimanan dan kesabaran.

Hakikat sebenar mengenai kisah di Mina ini dikongsi sendiri oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi, seorang figura yang tidak asing lagi namanya dalam dunia penulisan dakwah.

Kongsinya di awal kalam, apa yang kau belajar di Mina wahai diri? Tanpa ragu aku menjawab, aku belajar syukur.

“Mungkin ada yang kurang setuju. Bukankah kita belajar sabar di sana? Ya, Mina memang tempat yang paling menguji. Mencabar sabar semaksimumnya.

“Di sini, kesesakan sudah menjadi satu budaya. Panas membahang adalah perkara yang perlu dibiasakan. Semuanya gara-gara penghawa dingin yang kerap semput ditambah panahan cahaya matahari yang sangat terik.

Baca Juga Kembali ke Rahmatullah di Mina ketika sampaikan tazkirah, sebuah kematian yang menghidupkan jiwa Mukmin 

“Keadaan tambah menguji apabila berlaku kesesakan dalam khemah penginapan. Juga kemudahan tandas yang begitu terhad. Sedangkan penggunanya terlalu ramai.

“Justeru, Mina ialah medan sabar bukan syukur. Kata setengah pihak. Pendapat ini ada benarnya juga. Malah sangat benar. Sifat sabar perlu bila tubuh badan membahang bagai disalai. Ada ketikanya panas seperti mandi wap (sauna).

“Bagi yang tidak biasa rasa panas keterlaluan, Mina memang meresahkan. Tidur tidak boleh, bahkan membaca juga tidak boleh hanya mulut sahaja yang terkumat-kamit berselawat dan berzikir,” tulisnya.

DENGAN ribuan manusia dari setiap pelusuk dunia, Mina tempat yang paling menguji. Mencabar sabar semaksimumnya. -Foto: Ustaz Pahrol

Apa hikmah di sebalik semua ini wahai sahabat?

Kongsi Ustaz Pahrol lagi, marilah kita ungkapkan rasa syukur. Di sini, sabar dan syukur bercampur begitu sebati, sehingga sukar dipastikan lagi sama ada syukur dan sabar itu bersatu atau terpisah?

“Mina mengajar erti syukur bagi hamba ALLAH yang melihat ke bawah. Lihatlah orang lain yang kurang memiliki nilai material dan fizikalnya.

“Kau susah, ada orang lebih susah. Kau panas, ada orang yang lebih panas. Sebaliknya, jika melihat ke atas kau tidak akan puas. kau kata, ada yang lebih kaya. Kau selesa? Ada yang lebih selesa.

Baca Juga Mengapa hari ke-8 Zulhijjah dinamakan Hari Tarwiyah dan apa kelebihan di sebalik hari ini?

“Di sini, sebungkus mee segera dan teh O dalam cawan kertas, sudah mampu membuat dirimu menikmatinya penuh rasa syukur sambil tersenyum bersama teman baru mu, para tetamu ALLAH yang lain.

“Sedangkan, di tanah air dulu, belum tentu sekeping steak wagyu dan segelas kappuccino yang berharga ratusan ringgit mampu memberi kegembiraan dan rasa syukur yang sama, seperti yang sedang nikmatinya kini.

“Rupa-rupanya, kita disusahkan agar kita belajar erti syukur dengan nikmat yang sedikit. Mungkin kerana selama ini kita lupa untuk bersyukur dengan nikmat yang banyak.

DALAM kesusahan bukan sahaja ada sabar tetapi ada syukur. Inilah syukur bila ditimpa ujian. -Foto: Faceboook Shauqi Hasan

“Sesungguhnya, rasa syukur anugerah ALLAH di daerah sempit, panas dan menyesakkan ini lebih mahal daripada harta sesetengah kita yang bertimbun-timbun itu.

“Rasa syukur inilah akan menjemput datangnya barakah kepada rezeki kita. Sehingga dengan itu, jika rezeki itu sedikit ia mencukupi. Jika banyak kita boleh memberi.

“Tanpa syukur, lunturlah barakah. Sedikit tidak cukup, banyak tidak puas. Kita meneguk dunia semacam menegur air laut, semakin diminum semakin tidak puas!

ARTIKEL BERKAITAN 

“Di sini, kita diajar rasa kaya dalam kemiskinan. Untuk kita keluar dari belenggu miskin dalam kekayaan.

“Aneh benar tarbiah ALLAH ini, dalam kesusahan bukan sahaja ada sabar tetapi ada syukur. Inilah syukur bila ditimpa ujian.

“Sesungguhnya, kehilangan sementara mendidik hati kita agar mensyukuri apa yang sudah kita miliki selama ini.

“Bila pulang ke tanah air nanti, Insya-ALLAH, kita akan lihat rumah akan menjadi semakin luas, makanan akan jadi lebih enak, ahli keluarga akan lebih kita sayangi, syukur. Itulah hadiah ALLAH di Mina.

“Teman, maka nikmat ALLAH yang mana lagi hendak kita dustakan?,” titipnya.

 

Sumber: Ustaz Pahrol

Terlalu berkira
Isu,

2 cara elakkan harta hilang menurut Islam

HILANG harta benda memang begitu memeritkan. Apatah lagi jika kita berusaha berhempas-pulas membanting kudrat untuk mendapatkannya.

Malah, adakalanya ia perlu disimpan bertahun-tahun agar supaya segala barang yang berharga semakin membiak untuk kegunaan pada masa hadapan dan tujuan kecemasan.

Walaupun semua tahu bahawa harta itu merupakan rezeki kurniaan ALLAH SWT, namun ia tidak datang bergolek begitu sahaja. Sebaliknya, kita tetap perlu berusaha, bertawakal, bersyukur dan berdoa untuk memperolehnya.

Maka tidak hairanlah mengapa ada orang begitu sedih apabila kehilangan harta benda dalam sekelip mata.

Baca juga Jumpa Harta Benda Tidak Diketahui Pemiliknya Ketika Banjir, Berikut Tatacara Menguruskannya

Menerusi ciapan di Twitter, pendakwah Ustaz Muhammad Fahmi Rusli berkongsi bahawa terdapat dua cara untuk mengelakkan harta kita daripada hilang dan senantiasa dalam lindungan ALLAH SWT.

USTAZ MUHAMMAD FAHMI

“Pertama sekali, kita hendaklah sentiasa mengucapkan alhamdulillah atas nikmat harta tersebut.

“Satu lagi adalah dengan menggunakan harta itu pada jalan ketaatan kepada ALLAH SWT. Misalnya dengan bersedekah, belanja makan, wakaf dan sebagainya,” kongsi beliau.

Baca juga Jangan terlalu lokek, tak kurang sedikit pun harta kita kalau bersedekah atau berwakaf

Ketahuilah bahawa kedua-dua cara yang dianjurkan tersebut juga merupakan manifestasi syukur seorang hamba kepada Sang Pencipta, ungkap Pegawai Hal Ehwal Islam, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan itu.

Masakan tidak, ujar beliau lagi, sifat berkenaan sebenarnya tersirat pebagai kelebihan yang bukan calang-calang.

Perkara tersebut jelas dinyatakan dalam al-Quran yang mana ALLAH SWT berfirman: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memperingatkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya AKU akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-KU), pasti azab-KU sangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Menerusi ungkapan hadis berkenaan, Ustaz Muhammad Fahmi berkata, jelaslah bahawa perbuatan menzahirkan rasa penghargaan dan terima kasih atas segala nikmat yang dikurniakan ALLAH SWT itu sebenarnya akan mendatangkan lagi nikmat lain yang belum kita peroleh.

Harta

ZAHIRKAN kesyukuran kita kepada ALLAH SWT atas segala nikmat kurniaan-NYA yang tidak terhitung jumlahnya.

Baca juga Jangan mendongak atau mengeluh, lihatlah orang yang lebih rendah daripada kita untuk belajar bersyukur

“Ia merupakan antara kelebihan utama kita bersifat sedemikian. Bukan itu sahaja, para ulama berkata, dengan bersyukur juga, nikmat sedia ada akan kekal terpelihara,” ungkapnya.

Namun begitu, kita tidak boleh bersyukur saat diri diulit dengan kesenangan sahaja, tetapi apabila dibadai kesukaran, semua itu dianggap ujian yang pedih.

Ketahuilah bahawa segala kesenangan, kesusahan, kegembiraan waima kesedihan pada hakikatnya merupakan ujian buat orang yang beriman.

Tidak kiralah apa jua aturan yang ditetapkan oleh ALLAH SWT, terimalah dengan hati yang berlapang dada.

Jangan sesekali kita kufur terhadap nikmat tidak terhitung yang telah diberikan oleh ALLAH SWT kepada diri kita.

Harta

IKHLASKAN hati dan diri ketika melakukan sedekah atau pemberian agar ALLAH SWT menambah lagi kurniaan-NYA kepada kita.

Sebaiknya, contohilah sikap Rasulullah SAW yang tidak pernah lupa menzahirkan kesyukurannya kepada ALLAH SWT.

Perbuatan itu dapat dilihat apabila baginda menangis ketika menunaikan solat tahajud. Maka Aisyah RA bertanya: “Mengapakah engkau menangis? Sebenarnya ALLAH SWT sudah mengampunkan dosa engkau yang terdahulu mahupun yang terkemudian. Maka Nabi Muhammad SAW menyatakan: “Adakah tidak patut aku dalam kalangan hamba yang banyak bersyukur?” (Hadis Riwayat Ibn Hibban)

Foto: Freepik & 123rf

Raih bahagia
Gaya Hidup,

2 Sikap Ini Penghalang Kita Meraih Bahagia

MELIHAT orang lain mampu bergelak tawa dan diulit rasa bahagia meskipun sedang diuji dalam kehidupannya, ia benar-benar membibitkan rasa kagum dalam diri kita.

Ya, tidak semua orang mampu tersenyum andai ditakdirkan berada dalam situasi sedemikian. Benarlah, ALLAH SWT memberikan ujian sesuai dengan kemampuan hamba-hamba-NYA. Malah, DIA turut datangkan kekuatan kepada individu berkenaan untuk merentasnya dengan baik.

Ada segelintir orang pula kadangkala sudah melakukan pelbagai perkara untuk menggapai hidup yang aman dan gembira. Namun, entah mengapa ada sahaja rasa serba tidak kena dan kurang enak bertamu dalam dirinya. Seolah-olah sukar benar mereka untuk meraih kebahagiaan walaupun cuba sedaya yang mampu.

Pendakwah Elyas Ismail berkongsikan dua tanda kita tidak bahagia yang sering kali dihadapi oleh kebanyakan daripada masyarakat tanpa mereka sedari.

ELYAS

Pertama, terlalu risaukan perkara yang belum diperoleh dalam kehidupannya, ungkapnya.

“Apa sahaja benda yang diusahakan selama ini termasuklah belum naik pangkat, perniagaan belum berjaya dan seumpamanya, kita terlampau rusuh dengan semua itu.

“Malah, ada yang terlampau bimbang sehinggakan terlalu memikirkannya dan terus runsing. Mengertilah, kita tidak akan bahagia kalau begitulah caranya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video TikTok yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Sementara itu, agamawan itu menambah, satu lagi tanda seseorang itu tidak bahagia adalah apabila kita tidak menghargai dan bersyukur dengan apa yang diperoleh.

“Barangkali kita mendapat isteri atau suami yang baik, anak-anak yang bagus, rumah, harta dan kenderaan yang memudahkan urusan serta dikelilingi rakan-rakan yang memahami, namun langsung semua itu tidak dihargai atau disyukuri.

“Apa yang dirisaukan adalah benda yang tidak lagi diperoleh dan belum ada di depan mata,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan supaya kita senantiasa bersabar dan bersyukur dalam setiap perkara.

Martabat sabar dan syukur

Menjelaskan tentang sifat sabar, pendakwah Mohd Hassan Adli Yahya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan menjelaskan, terdapat pelbagai jenis sabar.

IMAM MUDA HASSAN

Ketahuilah, sifat mahmudah itu bukan sahaja dituntut ketika menghadapi ujian, tetapi juga tatkala mengawal kemarahan dan berdepan dengan situasi yang boleh menyebabkan kita melampiaskan amarah.

Pendek kata, tambah beliau, sifat itu perlu ada pada setiap tempat. Ia termasuklah ketika kita menunaikan ibadah seperti solat.

“Apabila kita solat dengan sifat sabar, ibadah yang ditunaikan pun dalam keadaan tenang dan tidak kelam-kabut. Begitu juga sewaktu berdoa dan apabila berhadapan dengan (berita) kematian,” terangnya.

Baca juga Hidup Kena Banyak Sabar, ALLAH SWT Akan Balas Dengan ‘Ladang’ Pahala Tanpa Batas

Betapa pentingnya sifat sabar itu apabila ia diulangi sebanyak 90 kali dalam al-Quran! Demikian fakta yang dilontarkan oleh pendakwah Mohamed Hanafi Abd Malek.

USTAZ HANAFI

Mohamed Hanafi yang mesra dipanggil Ustaz Hanafi menjelaskan, perilaku mulia itu sebenarnya menjadi benteng supaya kita tidak membinasakan diri dengan dosa dan maksiat serta tidak bergaduh sesama manusia dengan penuh amarah dan dikuasai oleh baran.

“Benar, memang ALLAH memerintahkan kita supaya bersifat sabar. Kemanisannya akan dirasai apabila kita berada dekat dengan ALLAH yang MAHA PENYAYANG. Cuba kita renungkan kisah Bilal bin Rabah RA. Biarpun beliau diseksa dengan seksaan yang amat berat, namun semua itu dapat dilaluinya dengan tenang.

“Percayalah kita akan disayangi ALLAH dan disenangi oleh manusia kerana hidup sentiasa dalam keadaan tenang,” katanya.

Berkongsi perspektif tentang sifat syukur, memetik artikel bertajuk Besarnya nikmat nilai syukur yang disiarkan dalam Sinar Harian pada bulan Julai 2020, Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi, Universiti Malaysia Perlis, Profesor Madya Dr Huzili Hussin menyatakan, martabat syukur begitu tinggi.

Baca juga ALLAH ‘Jumpa’ Kita Apabila Lakukan Perkara Ini

Ia sehinggakan Nabi Sulaiman berdoa kepada ALLAH SWT: “Wahai Tuhanku, ilhamkan aku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku.” (Surah An-Naml, ayat 19)

Raih bahagia

ZAHIRKAN kesyukuran atas segala nikmat yang diperoleh daripada ALLAH SWT. 

Ini kerana ALLAH SWT berfirman: “Dan KAMI akan memberikan balasan pahala kepada orang-orang bersyukur.” (Surah Ali-Imran, ayat 145)

Namun begitu, “…dan sedikit sekali daripada hamba-hamba-KU yang bersyukur.” (Surah Saba’, ayat 13)

Justeru, pasakkan dua sifat mulia yang tersebut dalam diri sebagaimana yang disarankan oleh agama Islam. Ini kerana kemanisannya akan dirasai jika kita benar-benar menghayatinya.

Foto: 123rf & Pexels

cd18cc51-840f-4fb6-a59e-af1a28eb3a97
Gaya Hidup,

Syukurilah Alam Anugerah ALLAH Yang Tak Ternilai

no comment

ALAM sekitar adalah anugerah ALLAH SWT yang amat bernilai kepada kehidupan manusia. Bumi yang luas dijadikan tempat tinggal manusia, gunung-ganang sebagai pasak bumi, tumbuh-tumbuhan sebagai sumber makanan dan ubatan, hujan sebagai sumber rezeki dan pelbagai lagi termasuklah sungai-sungai yang mengalir.

Semua nikmat ini dijadikanNya supaya manusia bertanggungjawab ke atasnya. Firman ALLAH SWT menerusi surah Ibrahim ayat 32 yang bermaksud:

“ALLAH jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan Dialah yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintah-Nya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya).”

Ayat di atas antara intipati yang akan disampaikan dalam khutbah Jumaat hari ini yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan membicarakan topik bertajuk, “Mensyukuri Nikmat, Melestarikan Alam Sekitar”.

ALLAH SWT mengurniakan akal kepada manusia sebagai nikmat yang sangat penting untuk mentadbir dan mengurus alam ini.

Justeru, menjaga alam sekitar adalah amanah daripada ALLAH SWT yang menjadikan alam ini ada sunnatullah dan sistemnya yang tersendiri. Ia mesti dituruti bagi mengelakkan sebarang kerosakan. Semua perkara ini mengandungi hikmah yang sangat besar.

Air merupakan salah satu khazanah alam yang amat bernilai dan menjadi unsur paling penting dalam kitaran kehidupan manusia dan alam sekitar. Sesungguhnya Islam sendiri mengajar umatnya supaya memastikan sumber air sentiasa bersih dan suci apatah lagi ianya sangat berkait rapat dengan ibadah kita.

Menurut teks khutbah itu juga, Islam sangat menegah sebarang perlakuan yang boleh mencemarkan dan merosakkan sumber alam sekitar seperti sungai. Sebagai muslim, kita seharusnya mensyukuri nikmat sumber air sungai yang sangat banyak di negara ini bahkan kualiti air yang baik serta boleh diambil secara berterusan demi menjamin kelestarian alam sekitar sejak bertahun-tahun lamanya.

“Kita mestilah akui bahawa sungai-sungai inilah yang memenuhi keperluan air bagi seluruh rakyat. Namun kita juga seharusnya sedar dan mengambil peduli dengan masalah kekurangan bekalan air akibat pencemaran sungai dan penggunaan sumber air yang tidak terkawal.

“Sememangnya pencemaran sungai di negara ini adalah sesuatu yang sangat merugikan kita semua. Amat malang bagi kita apabila masih ada segelintir masyarakat dan pihak-pihak yang terlibat dengan perindustrian dan perkilangan yang tidak bertanggungjawab apabila melakukan perbuatan mencemarkan sungaisungai di negara kita dengan membuang sisa, bahan kimia dan sampah sarap ke dalam sungai.

“Perbuatan ini jelas suatu kemungkaran yang boleh membawa kepada kemusnahan alam sekitar bahkan ia turut menjejaskan kehidupan orang lain. Ingatlah, sebagai khalifah ALLAH SWT di atas muka bumi ini kita bertanggungjawab terhadap pemeliharaan alam sekitar dan ekosistemnya,” menurut teks dikeluarkan JAWI.

Lantaran itu, ALLAH SWT mengurniakan akal kepada manusia sebagai nikmat yang sangat penting untuk mentadbir dan mengurus alam ini. Apa sahaja yang dilakukan oleh manusia pasti akan memberi kesan kepada alam ini sama ada baik atau buruk.

Inilah intipati firman ALLAH SWT menerusi surah al-Rum, ayat 41 : Bermaksud:

Telah zahir berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangantangan manusia, (timbulnya demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.

“Sempena sambutan Hari Sungai Sedunia yang bertemakan “Alur Air Dalam Komuniti”, khatib mengajak kita mendokong usaha dan tanggungjawab sebagai khalifah ALLAH SWT dan warganegara yang baik untuk terus berusaha melestarikan khazanah sumber alam di negara ini dengan sebaik mungkin.

“Jadilah insan yang prihatin dengan mengamalkan kehidupan yang bersih, mengambil berat tanggungjawab pemeliharaan dan pemuliharaan sungai dan alam sekitar serta menjayakan kempen yang diusahakan oleh pihak kerajaan,” katanya.

 

 

Berita Semasa,

Jangan mendongak atau mengeluh, lihatlah orang yang lebih rendah daripada kita untuk belajar bersyukur

BANYAK atau sedikit rezeki yang dikurniakan, seharusnya kita memanjatkan rasa syukur kepada ALLAH SWT.

Jika boleh, biasakan diri untuk mengucapkan alhamdulillah sebagai tanda rasa syukur kita kepada-NYA.

Namun begitu, entah mengapa sukar benar ucapan mulia itu meniti di bibir kita. Apatah lagi jika rezeki yang diperoleh tidak seberapa atau tidak seperti yang diharap-harapkan.

“Aku dapat RM50 saja hari ni. Sepatutnya aku boleh dapat lebih banyak daripada ini.”

Demikian antara ungkapan yang sering kali kita dengar. Ia seolah-olah kita tidak bersyukur dengan pemberian-NYA.

Berbeza pula jika ditakdirkan pada hari tertentu, kita memperoleh rezeki yang begitu banyak. Ibarat durian runtuh.

“Aku tak sangka boleh dapat RM300 hari ini. Alhamdulillah, ramai pelanggan yang guna khidmat penghantaran aku hari ini.”

Ketika itu, laju sahaja bibir mengungkapkan lafaz syukur ini. Sepatutnya dalam kedua-dua keadaan ini, ucapan alhamdulillah perlu dibiasakan tidak kiralah berapa banyak rezeki yang kita peroleh.

Itulah sebaik-baik perbuatan seorang hamba kepada Sang Pencipta-NYA.

Bagaimanakah untuk melahirkan rasa syukur meskipun rezeki yang diperoleh pada ketika itu tidak seperti diharapkan?

Syukur

Pendakwah Ustaz Don Daniyal Don Biyajid menjelaskan, syukur merupakan satu ibadah.

Firman ALLAH SWT: “…Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti KAMI akan menambah (nikmat) kepadamu…” (Surah Ibrahim, ayat 7)

“Ayat itu jelas memberitahu bersyukur itu merupakan satu saranan daripada ALLAH SWT. Ini bermakna, ia suatu perkara yang perlu dilakukan. Apabila kita lakukannya, ia dikira sebagai satu ibadah.

“Banyak lagi ayat-ayat al-Quran yang menjelaskan tentang syukur ini,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan dalam Instagram miliknya baru-baru ini.

(Artikel berkaitan: ‘Berjaya atau gagal, bersujud syukurlah kepada ALLAH’)

Untuk melatih diri bersyukur meskipun apa yang kita peroleh itu kurang atau tidak seperti yang diharapkan, Ustaz Don berkata, para ulama mengajar kita dengan memandang kepada orang yang lebih rendah daripada kita.

“Ini bermakna, apa sahaja yang kita buat, kita mesti pandang yang rendah daripada kita. Barulah lahirnya rasa syukur.

“Contohnya, jika orang bercerita tentang hasil jualan. Ingatlah rakan-rakan peniaga lain yang mungkin langsung tidak mendapat hasil jualan. Mujurlah kita ini ada juga hasil. Alhamdulillah,” katanya.

Situasi sama juga perlu diaplikasikan apabila kita melayari Facebook atau Instagram, terang beliau.

Syukur

Pendakwah itu menjelaskan, seandainya kita sekadar melihat orang yang lebih baik daripada kita untuk tujuan perbandingan, sukar untuk kita menzahirkan rasa syukur berkenaan.

“Sekiranya matlamat kita untuk memperbaiki diri dan seumpamanya, itu cerita lain.

“Dalam hidup kita, pelbagai jenis manusia yang kita jumpa. Ini termasuklah insan yang lebih rendah atau tinggi daripada (taraf hidup) kita.

“Jadi, kita tengoklah orang yang lagi rendah daripada kita. Ini satu cara yang diajarkan oleh ulama supaya kita jadi manusia yang bersyukur. Bersyukurlah walaupun hanya sedikit (rezeki) yang kita terima,” nasihatnya.

Ingatlah, rezeki bukan sekadar wang. Ia boleh datang dalam pelbagai bentuk. Barangkali keluarga yang bahagia, kesihatan yang sentiasa baik dan lain-lain lagi.

Percayalah dengan rezeki yang dijamin oleh ALLAH SWT. Jangan mendongak hingga kita jadi manusia yang tidak tahu bersyukur. Na’uzubillah.

Sumber: Instagram ddaniyaldbiyajid

Foto: Freepik