Browsing Tag

syeikh ahmad yassin

Khamenei.ir 2
Jendela Dunia, Personaliti, Pilihan Editor,

Lelaki Lumpuh Digeruni Zionis

no comment

“Kenapa kamu suruh saya solat di rumah? Hanya kerana pesawat dan helikopter itu? Kalau memang saya harus mati syahid malam ini, malam inilah yang saya tunggu-tunggu seumur hidup. Insya Allah, saya akan mati syahid malam ini”, kata-kata terakhir pejuang pembebasan Palestin yang juga pemimpin Hamas, Sheikh Ahmad Yassin kepada isterinya pada subuh 22 Mac 2004.

Wajah syahid, Sheikh Ahmad Yassin

Tarikh keramat itu tidak akan dilupakan seluruh rakyat Palestin di mana kembalinya sosok perjuang menghadap Maha Pencipta angkara kegerunan tentera zionis Israel terhadap jihad beliau yang menuntut pembebasan Palestin dari penjajahan kaum Yahudi, Israel di tanah airnya.

Langit Gaza ketika itu tidak seperti hari biasa, bumi Palestin tiba-tiba bergegar dengan kemunculan jet perjuang F-16 tentera zionis yang berlegar-legar di ruang udara masjid di mana tempat beliau dan anaknya berjemaah setiap hari. Malah larangan isterinya yang meminta beliau berjemaah di rumah juga tidak diendahkan.

Tiga peluru berpandu jenis Hellfire dari helikopter AH-64 milik Israel seperti inilah telah membedil Sheikh Ahmad Yassin.

Saat beliau keluar dari masjid selepas menunaikan solat subuh, tiga peluru berpandu jenis Hellfire dari helikopter AH-64 milik zionis menyambut beliau di pintu masjid sehingga berkecai jasadnya.

Tindakan bacul dan kekejam zionis menggunakan tiga peluru berpandu untuk membunuh seorang lelaki yang lumpuh dan hanya menghabiskan sisa-sisa hidupnya diatas kerusi roda tidak boleh diterima masyarakat dari seluruh dunia.

Kejadian itu turut mengorbankan enam termasuk dua pengawal dan seorang anak lelakinya, manakala 17 lagi cedera. Media Israel mengesahkan pembunuhan itu adalah diarahkan kerajaan Israel yang dipimpin Ariel Sharon.

Lokasi kejadian di mana Syeikh Ahmad Yassin dibedil peluru berpandu milik Zionis Israel. Imej Buletinonline.net

Palestin berkabung, air mata mengalir dari pencinta jihad sampailah kanak-kanak, golongan kaya, marhaen dan semua rakyat dari seluruh Gaza hingga ke serata pelusuk dunia. Ia antara serangan berprofil tinggi Israel ke atas pemimpin Palestin dalam tempoh 16 tahun.

Tangisan rakyat Palestin mengiringi jenazah Sheikh Ahmad Yassin : Imej-gettyimages

Siapa Sheikh Ahmad Yassin yang digeruni Zionis?
Ketokohan beliau memang tiada galang ganti, pengorbanannya dalam perjuangan pembebasan bumi kelahirannya memang perlu diangkat menjadi inspirasi keturunan dan waris masyarakat Palestin.

Syeikh Ahmad Yassin atau nama sebenarnya Sheikh Ahmed Ismail Hassan Yassin dilahirkan di kampung al-Jora, daerah Majdal wilayah Asqalan (Ashkelon) pada tahun 1938. Dia dibesarkan di sana sehingga tahun 1948 ketika pendudukan pengganas Yahudi ke atas bumi Palestin sehingga memaksa beliau dan keluarga berhijrah ke Semenanjung Gaza.

Membesar sebagai seorang pelajar yang cemerlang, beliau amat disayangi oleh guru. Beliau juga aktif bersukan sehingga ditimpa kemalangan ketika beriadah menyebabkan beliau mengalami lumpuh pada bahagian kakinya.

Keadaannya yang lumpuh tidak menghalang beliau meneruskan kecemerlangan dalam pelajaran hingga diterima melanjutkan pelajaran ke Universiti Ain Shams di Kaherah pada 1964. Pengajiannya tidak sempat tamat kerana beliau telah dipenjarakan selama sebulan oleh pihak berkuasa Mesir kerana terlibat dalam pertubuhan Ikhwanul Muslimin pada tahun 1966.

Lebih dahsyat lagi beliau telah dihantar pulang ke Gaza oleh pihak berkuasa Mesir tanpa sempat menamatkan pengajiannya. Ujian yang getir ini tidak sedikit pun membunuh semangatnya untuk terus bergerak aktif memperjuangkan Islam dan dakwah Islamiyyah.

Syeikh Ahmad Yassin turut disayangi kanak-kanak kerana sifat keperibadiannya yang ramah dan cepat mesra: Imej -Islampos

Kepulangannya ke Gaza menyaksikan beliau lebih aktif memperjuangkan Islam sebagai guru bahasa Arab dan juga khatib di masjid Gaza. Dalam tempoh yang singkat sahaja beliau telah menjadi terkenal di kalangan penduduk Gaza terutamanya selepas penjajahan rejim Zionis ke atas Gaza pada tahun 1967.

Selain daripada dua tugas utama, beliau juga aktif melakukan kerja kebajikan dan pendakwah yang gigih mendidik anak-anak Gaza. Hasil dari usaha tersebut sekitar tahun 1969 dan 1970 pertubuhan Ikhwanul Muslimin mula berkembang di Gaza. Hasilnya pada tahun 1973 dengan bantuan anggota pertubuhan itu, Syeikh Ahmad Yassin berjaya menubuhkan sebuah pertubuhan kebajikan yang menjaga kebajikan pelarian Palestin diberi nama Mujamma al-Islam.

Beliau disanjungi ramai masyarakat Palestin kerana ketokohannya serta perjuang pembebasan Palestin.

Usahanya tidak terhenti setakat itu sahaja. Memandangkan keadaan di Palestin lebih memaksa umat islam di sana untuk berjihad, beliau dan beberapa anggota Ikhwanul Muslimin yang lain telah menubuhkan sebuah gerakan jihad yang dinamakan sebagai al-Mujahidun al-Filastiniyun pada tahun 1982 sebagai kesinambungan perjuangan Kataib Syuyukh yang mengambil wasilah jihad sebagai landasan perjuangan mereka.

Bagi Ahmad Yassin kelumpuhan dirinya tidak mengahalang dirinya dari usaha mendidik dan membina generasi mujahidin Palestin untuk berhadapan dengan penjajah Zionis yang telah menjajah bumi mereka dan juga Masjid al-Aqsa.

Pada tahun 1983, ketika beliau menjawat jawatan sebagai pengarah Pusat Islam di Gaza, beliau ditangkap dan dipenjarakan oleh pihak rejim Zionis di atas tuduhan memilki senjata api dan cuba untuk menggugat kerajaan Zionis Israel.

Dia telah dijatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun melalui mahkamah tentera Israel, namun pada tahun 1985 hasil dari proses pertukaran tawanan di antara pihak PLO dengan rejim Zionis, beliau dibebaskan setelah menjalani hukuman penjara selama 11 bulan.

Logo HAMAS diperkarangan Masjid Al-Aqsa: imej-Anadolu Agency

Melihatkan kepada situasi negara-negara Arab tidak lagi berminat untuk memerdekan bumi Palestin dan Masjid al-Aqsa, begitu juga dengan gerakan PLO yang semakin bersikap tutup mata terhadap rejim Zionis, Yassin dan juga rakan- rakannya di dalam pertubuhan Ikhwanul Muslimin telah menubuhkan gerakan pembebasan Islam yang dikenali sebagai HAMAS pada tahun 1987.

HAMAS telah memulakan corak baru penentangan dengan mengadakan demonstrasi jalanan dan pertempuran secara bersemuka dengan pihak tentera Zionis. Kebanyakan ahli pergerakan ini dipilih dari kalangan ahli masjid dan menggelarkan diri mereka Atfal Hijarah, (kanak- kanak batu) kerana menggunakan batu untuk berhadapan dengan tentera Zionis.

Intifada pertama diketui Syeikh Ahmad Yassin: Imej – twitter Malek Hussin.

Penentangan yang memberi impak yang besar terhadap rejim Zionis ini dikenali sebagai Intifadah. Kesan amat hebat, di mana pihak tentera Zionis terpaksa mengambil tindakan drastik sebagai tindak balas terhadap kemaraan gerakan HAMAS.

Sebagai natijahnya, pada bulan Ogos 1988 pihak tentera Zionis telah merobohkan rumahnya dan membuangnya ke sempadan Lebanon. Tidak cukup sekadar itu sahaja, pada 18 Mei 1989 beliau bersama ratusan anggota pergerakan HAMAS yang lain telah dipenjarakan kerana kejayaan operasi yang telah dilancarkan oleh gerakan itu dalam usaha membunuh tentera dan komando Israel.

Sekali lagi mahkamah tentera Israel pada 16 Oktober 1991 telah menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara ke atas Syeikh Ahmad Yassin di atas sembilan pertuduhan yang disabitkan ke atasnya, termasuk tuduhan membunuh, menculik dan juga menyerang tentera Zionis.

Sahabat baiknya, Presiden Palestin, Yasser Arafat turut menziarahi Syeikh Ahmad Yassin ketika beliau terlantar sakit.

Kesan daripada penahanan tersebut beliau telah mengalami lumpuh seluruh tubuh kecuali kepalanya sahaja. Beliau juga mengalami kehilangan penglihatan mata kanannya dan juga kekaburan penglihatan pada mata kirinya selain daripada masalah pendengaran akibat tekanan dan deraan yang dikenakan ke atasnya.

Sepanjang tempoh itu juga beliau dihidapi jangkitan pada paru-paru dan bahagian perut. Keadaan kesihatannya semakin parah itu telah memaksa pihak penjara membawanya berulang- alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Pada 13 Disember 1992 kumpulan komando HAMAS yang dikenali sebagai Kataib al-Qassam telah berjaya menculik seorang tentera Zionis dan menawarkan pertukaran tawanan dengan pihak rejim. Mereka menawarkan pertukaran di antara tentera tersebut dengan pembebasan Syeikh Ahmad Yassin dan beberapa tawanan HAMAS lain yang sakit dan yang telah berumur.

Pihak rejim Zionis bagaimanapun menolak permintaan itu malah cuba menyerbu masuk ke rumah di mana tenteranya ditawan dengan harapan untuk membebaskannya. Percubaan mereka gagal, tentera Zionis yang ditawan itu mati dibunuh berserta dua tentera Zionis yang lain dan juga tiga pejuang Palestin telah syahid di tempat kejadian. Kejadian itu berlaku di Bir Nabala berdekatan dengan kota Baitul Maqdis.

Syeikh Ahmad Yassin sering ditolak oleh anaknya untuk ke mana-mana. Imej – Bayyraq.com

Pada 1 Oktober 1997, hasil dari perundingan pertukaran tawanan di antara kerajaan Jordan dengan rejim Zionis, Syeikh Ahmad Yassin berjaya dibebaskan. Kerajaan Jordan berjaya memberkas dua anggota perisikan rejim Zionis ketika mereka gagal dalam percubaan untuk membunuh ketua biro politik HAMAS, Khaled Mishaal di Amman, Jordan.

Demi untuk mendapatkan kembali dua perisik tersebut, pihak rejim Zionis telah bersetuju dengan tawaran yang diberikan oleh Raja Jordan, Raja Hussin yang meminta Syeikh Ahmad Yassin dibebaskan.

Sejurus pembebasannya Syeikh Ahmad Yassin kembali memainkan peranan sebagai pemimpin agama bagi gerakan HAMAS yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Palestin dan juga semakin digeruni oleh rejim Zionis.

September 2000 telah menyaksikan tercetusnya Intifadah kali kedua selepas perdana menteri rejim Zionis, Ariel Sharon telah mencemarkan Masjid al-Aqsa bersama 200 tenteranya.

Sekali lagi Syeikh Ahmad Yassin telah berjaya membangkitkan rakyat Palestin untuk bangun berjuang menentang kegilaan rejim Zionis. Impaknya amat besar kepada rejim Zionis. Kerugian harta dan nyawa yang dialaminya adalah yang paling teruk dalam 50 tahun penubuhan negara haram Israel.

Penentangan berlaku tiap- tiap hari tanpa menunjukkan rasa menyerah kalah. Hasilnya pelbagi usaha dilakukan oleh pihak rejim demi mengekang kemaraan rakyat Palestin.

Antaranya menyerang bandar-bandar, membunuh orang awam, membina tembok pemisah, membunuh pejuang Palestin dan pemimpin-pemimpin mereka.

Hasil dari kegilaan itu, beberapa pemimpin pejuang Palestin ditemui syahid dibunuh oleh rejim Zionis dengan menggunakan jet pejuang, helikopter dan juga kereta kebal mereka. Antara yang syahid ialah Salah Shahadah, Ismail Abu Shanab dan ramai lagi.

Syeikh Ahmad Yassin juga tidak terlepas dari usaha jahat tersebut, seperti yang berlaku pada 6 September 2003 bila mana sebuah helikopter Apache milih tentera Zionis telah membedil dan merobohkan rumah Ahmad Yassin, mujurlah beliau selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan di tangan kanannya.

Begitu juga apa yang dialami oleh Abdul Aziz Rantisi, orang nombor dua HAMAS yang telah dibedil keretanya ketika beliau di dalam perjalanan.

Namun, pada subuh 22 Mac 2004, mereka sekali lagi menyerang Syeikh Ahmad Yassin ketika beliau dalam perjalanan pulang dari masjid setelah selesai solat subuh secara berjemaah. Tiga roket telah dilancarkan ke atas Syeikh yang lumpuh itu telah berjaya mengorbankan diri Ahmad Yassin dan lima yang lain termasuk anaknya.

Inna lillahi wa inna ilayhi rojiun…

Syeikh Ahmad Yassin (1937-2004) Inna lillahi wa inna ilayhi rojiun… Imej-PIC

Sumber: PalestinKini