Browsing Tag

syahadah

Syaitan takut dengar azan
Isu,

Gagal bersyahadah saat meninggal kerana bercakap ketika azan? Berikut penjelasannya

“JANGAN cakap ketika azan, nanti susah nak mengucap masa tengah nazak…”

Demikian pernyataan yang sering kita dengar daripada insan di sekeliling yang adakalanya mengiringi peringatan mereka sambil menyuakan jari telunjuk pada bibir supaya semua orang diam tatkala seruan suci itu berkumandang.

Ya, sebagai umat Islam, kita sememangnya perlu diam tatkala mendengar laungan azan sebagai tanda menghormatinya.

Apa tidaknya, ia merupakan seruan supaya kita segera meninggalkan segala perkara duniawi yang sedang dikerjakan dan bersiap sedia untuk bersujud kepada ALLAH SWT.

Pun demikian, kita acap kali ditakutkan dengan ancaman bahawa lidah akan berat untuk mengucap dua kalimah syahadah gara-gara bercakap ketika azan berkumandang. Benarkah begitu?

Menjawab persoalan tersebut, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Datuk Seri Dr Mohamad Zulkifli Al-Bakri berkata, dakwaan itu tidak benar sama sekali.

DR ZULKIFLI

Dr Zulkifli selanjutnya menjelaskan berkenaan pengertian dan pensyariatan azan. Ujarnya, ia merupakan zikir khusus yang disyariatkan sebagai pemberitahuan akan masuknya waktu solat fardu dan menyeru orang Islam bersama menunaikan solat.

“Dari segi hukum azan bagi solat fardu dan qada, ia adalah sunat muakkad iaitu sunat kifayah bagi solat berjamaah dan sunat ‘ainiah (solat bersendirian).

Baca juga Tak boleh Masuk Tandas Ketika Sedang Azan?

“Ia disyariatkan pada tahun pertama hijriah,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web www.maktabahalbakri.com.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar RA, katanya: “Ketika kaum Muslimin datang ke Madinah, mereka berkumpul dan menunggu-nunggu waktu solat, tidak ada yang memanggil. Justeru pada suatu hari, mereka berbincang mengenainya, lalu sebahagian daripada mereka berkata: “Gunakanlah loceng sebagaimana loceng orang-orang Nasrani.”

Sebahagian yang lain berkata: “Gunalah trompet seperti trompet orang Yahudi.” Lalu Umar berkata: “Mengapa kamu semua tidak tugaskan seorang lelaki untuk menyerukan solat?” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Bilal, bangunlah dan serukanlah untuk solat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Bercakap ketika azan

TATKALA mendengar azan berkumandang, segeralah meninggalkan segala perkara yang dikerjakan untuk bersujud kepada YANG MAHA ESA.

Menerangkan lebih lanjut berkenaan ‘lidah kelu gagal bersyahadah’, katanya, ia tidak boleh disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW kerana tiada dalil berkaitan dengan perkara itu, ungkapnya.

“Pada masa sama, umat Islam juga tidak boleh meriwayatkan atau menyandarkan kepada baginda SAW kerana ia merupakan satu pendustaan atas nama junjungan besar nabi kita,” katanya.

Menyambung hujah, ujar agamawan itu, sebenarnya bercakap ketika azan dibolehkan dan ia bukan satu kesalahan.

“Namun, perlu diingat bahawa jika percakapan tadi boleh mengganggu seseorang untuk menjawab azan sepertimana yang dilaungkan oleh muazin, maka diam adalah lebih baik. Ini kerana menjawab azan adalah sunnah,” katanya.

Baca juga Jawab azan di radio dan TV, perlu atau tidak?

Kepada mereka yang kurang jelas berkaitan sunah-sunah yang boleh dilakukan ketika azan dilaungkan, Dr Zulkifli ada berkongsi tentang perkara itu. Berikut adalah perinciannya:

  1.  Diam ketika mendengar azan dan menjawabnya sama ada dalam keadaan bersih ataupun berhadas, junub, didatangi haid, hadas besar atau mumaiyiz. Jawapan azan tadi perlulah sama lafaznya dengan apa yang diucapkan oleh muazin kecuali pada lafaz hayya ‘alas solah dan hayya ‘alal falah.
  2. Selawat kepada Nabi Muhammad SAW dengan suara yang perlahan, kemudian mohonlah wasilah dan berdoa kepada ALLAH SWT sebaik selesai azan.
  3. Berdoa untuk diri sendiri kerana waktu tersebut adalah waktu yang mulia, berkat dan mustajab. Disunatkan berdoa selepas azan dan sebelum iqamat.
Bercakap ketika azan

SEBAIKNYA diam ketika mendengar azan dilaungkan dan menjawab lafaz seruan suci yang dikumandangkan oleh muazin.

Seperkara lagi, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berpesan supaya umat Islam tidak bercakap ketika azan.

Baca juga Dosa diampunkan sejauh bunyi azan. Kelebihan tok bilal yang ramai tak tahu

“Walaupun kita dibenarkan berbuat demikian, sebaiknya tinggalkanlah perbuatan itu melainkan apa yang diucapkan itu merupakan hal atau perkara penting.

“Pada masa sama, pastikan ucapan kita itu tidak mengganggu seseorang untuk menjawab azan kerana ia adalah sunnah yang sangat dituntut dalam agama Islam,” nasihat beliau lagi.

Foto: Freepik