Browsing Tag

syafaat

nabi muhammad hari akhirat
Aqidah,

Tiga tempat ini Rasulullah SAW akan menunggu kita pada hari akhirat nanti

TIGA tempat ini Rasulullah akan menunggu kita pada hari akhirat nanti…

Apabila manusia dihidupkan semula setelah mati di Padang Mahsyar kelak, mereka akan bangkit dalam keadaan keliru dan penuh kacau-bilau tanpa mengira kedudukannya terdahulu atas dunia.

Ramai gentar dengan amalan hisab bakal dihadapi dan masing-masing menjadi kalut tercari-cari sebarang pertolongan yang dapat menyelamatkan mereka.

Baca juga 4 amalan ini akan memberatkan amalan di akhirat

Pada waktu itu, betapa beruntungnya kita menjadi sebahagian daripada umat Nabi Muhammad SAW kerana adanya syafaat baginda khas bagi mereka yang beramal soleh dan tidak henti-henti membasahi lidah berselawat ke atas Rasulullah.

Maka, di akhirat kelak ramailah umat Rasulullah SAW yang berpusu-pusu mencari baginda mengharapkan syafaatnya supaya terlepas daripada azab ALLAH.

Baca juga Nabi Muhammad SAW insan pertama dibangkitkan pada Hari Akhirat

Maka, di akhirat kelak ramailah umat Rasulullah SAW yang berpusu-pusu mencari baginda mengharapkan syafaatnya supaya terlepas daripada azab ALLAH. Foto: 123RF

Turut disyorkan 6 amalan membawa ke syurga. Mungkin anda pernah lakukan tanpa sedar

Ada diceritakan dalam sebuah hadis bahawa Rasulullah SAW akan berada di tiga tempat ini menantikan umatnya pada hari akhirat nanti.

Daripada Anas bin Malik RA berkata: Aku meminta Nabi SAW untuk memberikanku syafaat pada Hari Kiamat. Sabda Nabi SAW: “Aku akan melakukannya.”

“Aku berkata: Wahai Rasulullah, di manakah aku mencarimu? Sabda baginda: “Carilah aku, pada pertama kalinya di al-Sirat”. Aku berkata: “Jika aku tidak menemuimu di al-Sirat?” Sabda Nabi SAW: “Carilah aku di sisi al-Mizan”. Aku berkata: “Jika aku tidak menemuimu di sisi al-Mizan?” Sabda Nabi SAW: “Carilah aku di sisi al-Haudh (telaga), kerana aku tidak akan tersalah pada tiga tempat tersebut.””(Jami’ al-Tirmizi, Abwab: Sifah al-Qiyamah, wa al-Raqaiq wa al-Wara’, Bab: Ma Jaa Fi Syakni al-Sirat, 4/199). Imam al-Tirmizi mengatakan hadis ini adalah hasan gharib.

Baca juga Dalam syurga tiada orang tua, ini sebabnya

Rasulullah hari akhirat

DI akhirat nanti dikatakan ada telaga yang mampu menghilangkan kehausan manusia selama beribu tahun berada di sana. Foto: Pexels

Turut disyorkan Ini maksud sebenar hadis tentang wanita pelacur beri anjing dahaga minum…

Berdasarkan hadis tersebut, tiga tempat Rasulullah SAW akan menunggu kita sewaktu hari akhirat adalah:

1. Telaga al-Haudh.
Pada hari akhirat nanti, keadaan panas melampau menyebabkan manusia menjadi haus dan tercari-cari mata air untuk menghilangkan dahaga.

Memetik pendakwah bebas, Datuk Dr Zahazan Mohamed, ALLAH menyediakan kolam bagi setiap nabi pada waktu itu supaya ia dapat diberikan kepada hamba yang taat dalam kalangan umat mereka.

Paling besar adalah telaga Rasulullah SAW dikenali sebagai al-Haudh yang mana sumber airnya berasal dari al-Kauthar di syurga.

Baginda Nabi bersabda dalam sebuah hadis, “Kolamku luasnya sebulan perjalanan, airnya lebih putih daripada susu, baunya lebih harum daripada bau kasturi dan bekas minumnya sebanyak bintang di langit. Sesiapa yang meminumnya tidak akan dahaga selama-lamanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Baca juga Petanda akhir zaman dan kiamat, surutnya air Sungai Furat

SETIAP amalan yang dilakukan di atas muka bumi akan ditimbang walau sebesar zarah sekalipun. Foto: 123RF

2. Neraca Mizan.
Rasulullah SAW juga akan menunggu kita di Timbangan al-Mizan ketika segala amal pahala dan dosa kita dihitung.

Sabda Nabi SAW, “Sesuatu yang paling berat dalam mizan (timbangan seorang hamba) adalah akhlak yang baik.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Ahmad).

Baca juga Jangan simpan benda tak pakai, koleksi barang dan harta juga akan dihisab

3. Titian sirat.
Titian sirat merupakan satu jambatan melintasi neraka Jahanam yang terletak di antara syurga dan neraka.

Pada hari kebangkitan nanti, semua manusia perlu menyeberangi lintasan ini setelah ditimbang amalannya untuk menuju ke syurga atau neraka.

Rasulullah hari akhirat

SESIAPA yang timbangan amal jahatnya berat akan terjerumus masuk ke Neraka Jahanam yang terletak di bawah titian sirat. Foto: Google

Baca juga 5 ‘Kuasa’ Selawat Yang Ramai Tidak Sedar

Seperti yang digambarkan menerusi beberapa hadis, titian sirat dikatakan lebih halus daripada rambut, lebih tajam daripada pedang, sangat licin dan mempunyai cangkuk seperti duri pohon Sa’dan.

Dalam pada itu, dikatakan satu hari di akhirat bersamaan 1000 tahun di dunia. Walaupun kita sedia tahu keberadaan Rasulullah SAW di sana nanti, namun belum tentu kita dapat sampai kepada baginda, apalagi dengan berbilion manusia lain yang juga mencari Nabi.

Malah tiada kerugian yang lebih besar selain menemui Nabi Muhammad SAW tetapi tidak meraih syafaat baginda.

Oleh itu, mari perbanyakkan selawat buat baginda Rasulullah mulai hari ini supaya kita turut tergolong dalam kelompak yang menerima pertolongan Nabi SAW.

Foto: 123RF, Pexels, Google & Unsplash

Berdamping dengan baginda Nabi Muhammad
Isu, Pilihan Editor,

Umat Islam Berpeluang Berdamping Dengan Baginda Pada Hari Kiamat Kelak. Berikut Adalah Syarat-Syaratnya…

no comment

LEBIH 1,400 tahun Nabi Muhammad SAW wafat meninggalkan kita. Meskipun demikian, kita sebagai umat akhir zaman masih diberi kesempatan untuk mengenali baginda, walaupun hanya berdasarkan sirah-sirah yang dibaca dan dipelajari sejak kecil lagi.

Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, sudah menjadi tanggungjawab kita mengenali kekasih ALLAH SWT itu dengan sebaiknya. Pada masa sama, tetap beramal dengan peninggalan warisan baginda yang paling agung iaitu al-Quran dan as-Sunnah.

Meskipun sela masa kita ‘terpisah’ dengan baginda menjangkau 15 abad lamanya, namun usah kita berdukacita. Ini kerana seluruh umat Islam masih boleh menghampiri pemimpin agung sepanjang zaman itu pada hari akhirat kelak.

Banyak sekali nas yang mengisahkan tentang perkara itu. Apakah kunci atau amalan yang boleh membawa kita untuk berdamping dengan Rasulullah SAW? Sejauhmana umat Nabi Muhammad dikurniakan keistimewaan berbanding umat-umat nabi terdahulu?

Zahirkan rasa cinta

Ketika Sinar Islam Plus melontarkan persoalan itu kepada pendakwah Mustafar Mohd Suki, beliau menjelaskan, perkara pokok yang perlu difahami adalah mencintai dan mengikuti apa sahaja yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.

MUSTAFAR

Ia sebagaimana yang disebutkan dalam firman ALLAH SWT: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi ALLAH maka ikutilah daku, nescaya ALLAH mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), ALLAH MAHA PENGAMPUN, lagi MAHA MENGASIHANI.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 31)

Berdasarkan nas itu, ujar Mustafar, konsep cinta dan ikutan itu tidak boleh berpisah. Ia mesti dizahirkan dengan kesungguhan yang sebenar-benarnya.

“Jika sekadar menyatakan rasa cinta kepada baginda SAW, kita ibarat seperti Abu Talib yang begitu menjaga, mencintai dan mempertahankan baginda walaupun tidak beriman kepada ALLAH.

“Sebaliknya, seandainya kita hanya mengikuti Nabi Muhammad SAW sahaja, ia ibarat seperti Abdullah bin Ubai bin Salul iaitu ketua orang munafik. Banyak perkara yang beliau ikut nabi, tetapi tidak mencintai baginda,” katanya baru-baru ini.

Tatkala bibir dan hati sudah bergerak seiring menyatakan rasa cinta, ujar Mustafar, sudah tentulah ia mesti dizahirkan dengan cara mengamalkan sunah-sunah Rasulullah SAW.

Baca juga ALLAH ‘Jumpa’ Kita Apabila Lakukan Perkara Ini

Menjawab satu soalan, Mustafar yang juga pengasas Tadbir Insan Training & Consultancy menegaskan: “Betapa pentingnya setiap umat Nabi Muhammad SAW berpegang teguh kepada sunah baginda SAW dan menjauhi segala perkara yang dilarang apalagi berselisih dengan apa yang dilakukan oleh nabi.

Berdamping dengan baginda Nabi Muhammad

RUJUKLAH al-Quran dan as-Sunnah peninggalan Nabi Muhammad SAW untuk mengaplikasikan dalam kehidupan kita.

“Terdapat banyak hadis yang memerihalkan tentang golongan yang dibenci oleh Rasulullah SAW gara-gara perbuatan yang terpesong daripada apa yang diajarkan oleh baginda.”

Antaranya, Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Setiap umatku akan masuk syurga kecuali yang enggan.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, siapa yang enggan?” Baginda SAW lantas menjawab: “Siapa yang taat kepadaku masuk syurga dan siapa yang menderhakaiku, dialah orang yang enggan.” (Riwayat al-Bukhari)

Dalam sebuah hadis lain, Nabi Muhammad SAW bersabda: “…Maka sesiapa yang tidak menyukai (berpaling daripada) sunahku, maka dia bukanlah daripada golonganku.” (Sahih al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis berkenaan, pendakwah itu mengingatkan umat Islam agar tidak sesekali menjebakkan diri dalam perilaku yang boleh mengundang kebencian baginda.

“Ia termasuklah perbuatan menipu dalam urusan jual beli, menganggap apa yang nabi lakukan itu adalah perkara biasa dan ingin membuat sesuatu yang luar biasa.

“Paling penting, setiap apa yang dilakukan mengikut nabi itu biarlah kita mengikhlaskan amalan berkenaan kepada ALLAH SWT,” ujarnya.

Perbanyakkan selawat

Menyambung hujahnya, Mustafar kemudian mengajak kita semua untuk memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Masakan tidak, imbalan yang bakal diraih bukan calang-calang.

Katanya, golongan yang tidak jemu membasahkan lidah dengan zikir merupakan antara orang yang paling dekat dengan baginda SAW pada hari akhirat kelak.

“Ketahuilah, selawat yang paling utama di atas muka bumi ini adalah selawat Ibrahimiyah yang sering kali kita lafazkannya pada bacaan tahiyat akhir dalam solat.

“Walaupun kita melihatnya sebagai lafaz selawat yang biasa, tetapi kedudukannya begitu tinggi di sisi baginda SAW,” katanya.

Berkongsi pandangan yang sama, pendakwah Muhammad Hadi Talhah. Beliau menjelaskan, selawat merupakan antara pendekatan untuk memanifestasikan tanda kecintaan kita kepada Rasulullah SAW.

MUHAMMAD HADI

Bahkan, katanya, ia menjadi satu-satunya amalan hebat yang turut dilakukan oleh ALLAH SWT dan juga para malaikat.

Ujar Muhammad Hadi, setiap kali alunan zikir ke atas junjungan besar nabi meniti pada bibir kita, Rasulullah SAW akan menjawab selawat berkenaan walaupun baginda sudah lama wafat.

Bayangkan, Rasulullah SAW juga akan mudah mengenali mereka yang melazimi amalan berkenaan, ungkapnya.

Begitu dekatnya Nabi Muhammad SAW dengan mereka yang memperbanyakkan lafaz mulia itu.

“Sebenarnya, selawat itu menandakan kita mendoakan agar Nabi Muhammad SAW diangkat dan diberikan keberkatan yang lebih banyak.

“Bukan itu sahaja, ALLAH SWT juga akan berselawat kepada kita, sekali gus mengurniakan rahmat-NYA sebanyak 10 kali ganda sebagaimana disebutkan dalam sebuah riwayat yang masyhur,” jelasnya.

Seperkara lagi, begitu beruntungnya orang yang berakhlak mulia, ujar Muhammad Hadi, apabila mereka menjadi antara golongan yang disukai baginda dan bakal menjadi pendampingnya di syurga kelak.

Ya, ia bukan omongan kosong apabila baginda SAW sendiri mengungkapkannya dengan bersabda: “Sesungguhnya antara orang yang paling aku cintai dalam kalangan kamu dan orang yang paling hampir kedudukannya dengan aku pada hari kiamat kelak ialah orang yang paling baik akhlaknya.” (Riwayat at-Tirmizi)

Berdamping dengan baginda Nabi Muhammad

LAZIMKAN diri dengan berselawat ke atas Rasulullah SAW sebagai menifestasi kecintaan terhadap baginda dan menjadi pendamping kepada kekasih ALLAH SWT ketika hari akhirat kelak.

Ditangguhkan azab

Apakah keistimewaan menjadi umat Nabi Muhammad berbanding dengan umat-umat terdahulu daripada zaman para anbia dan rasul sebelumnya?

Menjawab persoalan itu, agamawan itu menjelaskan, terlalu banyak kelebihan yang dikurniakan jika mahu dihitung satu persatu. Antara nikmat paling besar ialah ALLAH SWT menangguhkan azab kepada umat Nabi Muhammad SAW yang melakukan dosa dan maksiat.

“Berbeza dengan umat-umat terdahulu, apabila mereka berbuat demikian, ALLAH akan menurunkan azab dan menghancurkan mereka di muka bumi lagi. Umpamanya, mereka yang tidak beriman dengan ajaran yang dibawakan oleh Nabi Nuh AS, semuanya ditenggelamkan menerusi banjir besar.

“Sebaliknya, kita tidak begitu. Walaupun ALLAH SWT ada menimpakan bala dan musibah, tetapi ia tidaklah begitu kerap. Ini bermakna Sang Pencipta menangguhkan kemusnahan itu dengan harapan kita bertaubat kepada ALLAH dan kembali kepada-NYA sebelum meninggal dunia,” jelasnya.

Satu lagi keistimewaan yang akan dikurniakan kepada umat Nabi Muhammad di padang mahsyar kelak, pastinya menjadi umat pertama sekali yang akan dihitung segala amalan.

Pun demikian, kelebihan paling signifikan dan sangat dinanti-nantikan kita adalah berpeluang meraih syafaat daripada baginda SAW pada hari akhirat.

Berdamping dengan baginda Nabi Muhammad

CONTOHILAH sikap baginda SAW yang begitu pemaaf dan tidak menyimpan dendam terhadap orang lain.

Ketika hari perhitungan nanti, pendakwah itu berkata, kita sebenarnya amat memerlukan dua perkara iaitu keampunan dan rahmat daripada ALLAH SWT untuk melayakkan kita memasuki syurga-NYA serta selamat daripada api neraka.

“Andai maghfirah, keampunan dan rahmat ALLAH itu gagal diraih, kita masih punya talian hayat kedua iaitu syafaat. Dengan kata lain, pertolongan daripada Nabi Muhammad SAW.

“Syafaat itu ada pelbagai bentuk. Barangkali kita tergolong dalam kalangan ahli neraka, namun asbab syafaat nabi tadi, kita diselamatkan untuk masuk ke dalam jannah.

“Bagi mereka yang sudah sememangnya ahli syurga, golongan ini masih boleh mendapat syafaat nabi. Mungkin mereka layak masuk tingkatan syurga keempat atau kelima. Dengan syafaat baginda, mereka mungkin boleh terus masuk ke syurga Firdaus iaitu syurga yang paling tinggi kedudukannya,” katanya.

Fahami perbezaan sunah & sunat

SUNAH Nabi Muhammad SAW merangkumi segala perkataan, perbuatan, pergerakan, perakuan, sifat kejadian dan akhlak yang ditonjolkan oleh kekasih ALLAH SWT itu.

Demikian takrifan sunah mengikut pandangan ulama daripada beberapa cabang ilmu dalam Islam seperti fiqh, sirah dan hadis.

Pendakwah Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Faiz menjelaskan, ia boleh dikategorikan kepada empat sunah iaitu qauliyah (perkataan), fi’liyah (perbuatan), taqririyah (ketetapan) dan hammiyah (dikehendaki oleh baginda, tetapi tidak sempat dikerjakan).

PU FAIZ

Berdasarkan pengertian tersebut, beliau menegaskan, kita tidak boleh sewenang-wenangnya melabelkan orang lain tidak mengikut sunah hanya kerana mereka tidak berserban, berjubah atau berpoligami.

“Ya, sebilangan masyarakat bertanggapan sedemikian. Hakikatnya, terdapat banyak lagi sunah nabi yang lain boleh dilakukan.

“Seperkara lagi, terdapat perbezaan antara sunah dan sunat. Ramai orang yang keliru dengan kedua-dua perkara ini. Di sisi para fuqaha, kedua-dua istilah itu berbeza,” katanya.

Mengulas lanjut, ujar PU Faiz, sunah merupakan perkara yang berkaitan dengan nas dan dalil-dalil syarie. Sementelah, sunat pula melibatkan perkara yang berkaitan hukum-hakam syarie.

“Umpamanya solat berjemaah lima waktu itu merupakan sunah dan bukannya sunat. Menurut ulama fiqh, perbuatan manusia sebagai hamba ALLAH mentakrifkan sunah sebagai suatu yang pasti dituntut melalui dalil syarie. Namun, ia tidaklah sampai kepada perintah wajib ataupun fardu.

“Sunat pula merujuk kepada hukum yang mana satu perbuatan atau percakapan yang disunatkan, jika ia dilakukan, maka kita akan meraih pahala.

“Andai tidak dilakukan, ia tidak berdosa. Contohnya, memulakan anggota kanan ketika berwuduk dan memakai kasut dengan mendahulukan anggota kanan,” katanya.

Kepada satu soalan, PU Faiz menjawab: “Berdosa hukumnya jika kita meninggalkan sunah yang wajib seperti solat fardu, puasa Ramadan dan selainnya.

“Namun, jika hanya melibatkan hukum ibadah atau amalan sunat, tiada masalah sekiranya ia tidak dilakukan.

“Apa-apapun, jangan sesekali kita meremehkan apalagi mengeji sunah Nabi Muhammad SAW. Berdosa kita berbuat demikian sekalipun perkara itu sunat dari segi hukumnya. Jika tidak mahu lakukan, tinggalkanlah dan jangan menghinanya.”

ANEKDOT

TUJUH golongan yang bersama Rasulullah SAW dalam syurga

1. Mereka yang sentiasa mengikuti dan taat kepada perintah ALLAH serta Rasul-NYA dalam kehidupan masing-masing.

2. Mereka yang cintakan Rasulullah SAW.

– Cinta yang dimaksudkan itu adalah cinta yang membawa seseorang itu mengikuti dan mencontohi Rasulullah SAW dalam setiap tindakan serta tingkah lakunya. Ia sama dan sepertimana cinta yang pernah ditunjukkan oleh para sahabat terhadap baginda.

Berdamping dengan baginda Nabi Muhammad

UNTUK menjadi golongan yang menghampiri Rasulullah SAW, lakukanlah segala perkara yang disukai oleh ALLAH dan rasul-NYA.

3. Orang yang banyak mendirikan solat.

– Ia bukanlah terbatas kepada solat fardu sahaja, tetapi diserikan lagi dengan pelbagai solat sunat yang disyariatkan sama ada pada waktu siang atau malam.

4. Sentiasa berdoa kepada ALLAH SWT.

– Antara doa ma’thur yang diamalkan oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA adalah berbunyi; “Ya ALLAH, aku memohon kepada ENGKAU keimanan yang tidak akan murtad, kenikmatan yang tidak terputus dan bersama Nabi Muhammad SAW di puncak syurga al-Khuldi.” (Riwayat Ahmad)

5. Menghiasi pergaulan harian dengan akhlak mulia dan terpuji.

6. Membasahkan lidah dengan zikir selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

– Golongan itu akan mendapat kemuliaan dan syafaat serta kedudukan istimewa bersama baginda SAW ketika hari kiamat kelak.

7. Orang yang menjaga dan menguruskan kehidupan anak yatim.

– Sahal bin Sa’ad RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Aku dan orang yang menjaga anak yatim dalam syurga nanti seperti ini. Baginda mengisyaratkan dengan jari telunjuk dan jari tengah serta membuka-buka kedua-duanya.” (Riwayat al-Bukhari)

Sumber: https://e-masjid.jais.gov. my

Foto: Freepik