Browsing Tag

sutrah

sutrah
Isu,

Sutrah, penghadang daripada orang ramai ketika solat

SUTRAH, penghadang daripada orang ramai ketika solat

“Seluas-luas masjid ini, kenapa depan aku juga kau nak lalu…”

Mungkin persoalan itu pernah melintasi benak fikiran kita tatkala khusyuk berqiam di masjid, tetapi tiba-tiba sahaja ada hamba ALLAH lalu di hadapan sehingga hilang fokus yang tertumpu pada ibadah tersebut.

Bagi memenuhi tuntutan solat lima waktu sebagai umat Islam, adakalanya kita perlu melaksanakan rukun Islam kedua itu di tempat awam seperti masjid dan sebagainya.

Memang sukar untuk fokus apabila bersolat di ruangan yang dipenuhi orang ramai yang lalu lalang. Lagi-lagi jika ada yang melintas  secara tidak sengaja di kawasan kita bersujud.

Dalam hal ini, kita boleh menggunakan pendekatan sutrah seperti yang dianjurkan oleh Islam supaya solat yang dilaksanakan lebih tenang dan khusyuk.

sutrah

SUTRAH berguna apabila sedang solat bersendirian di kawasan yang dipenuhi orang awam.

Sutrah dan hukumnya

Sutrah (سُترَةٌ) adalah sekatan atau tanda pemisah di antara orang yang bersolat dengan orang yang lalu-lalang di hadapannya.

Perkara ini pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW ketika melaksanakan solat sebagaimana dalam sebuah hadis daripada Ibnu Umar RA:

Rasulullah SAW apabila pergi menunaikan solat hari raya, Baginda meminta sebatang tombak pendek (حَربَةٌ) diletakkan di hadapannya, lalu Baginda menghadapnya manakala orang ramai pula di belakang Baginda ketika bermusafir.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Baca juga Terlelap ketika solat. Batal atau tidak?

Dari segi hukum meletakkan sutrah di hadapan sewaktu bersolat, ada ulama yang mengatakan wajib, manakala sebahagian lain berpendapat ia hanya sunnah.

Namun, pendapat umum adalah sebaik-sebaiknya kita menggunakan sutrah ketika bersolat, tidak kira berjemaah atau bersendirian.

Baca juga Menunaikan solat tanpa telekung, ini tip yang anda perlu tahu

Objek boleh dijadikan sutrah

Antara objek yang boleh dijadikan sutrah ketika solat bersendirian adalah seperti tiang, dinding, pohon, tongkat, beg, orang dan sebagainya. Bagi solat berjemaah pula, sutrah makmum adalah imam.

Malah, kata pendakwah bebas, Ustaz Shahul Hamid, sejadah juga boleh dikira sebagai sutrah asalkan orang yang lalu-lalang boleh memahaminya sebagai suatu benteng.

Dalam situasi seperti di masjid yang mempunyai banyak sejadah, seelok-eloknya alatan yang agak tinggi (sekitar 1 kaki) digunakan sebagai sutrah.

sutrah

Jangan melintasi sutrah

Selain itu, sutrah perlu diletakkan berhampiran dengan tempat sujud. Ilmuwan Islam, al-Imam al-Nawawi berpendapat jarak antara sutrah dan orang yang bersolat itu tidak melebihi tiga hasta.

Dalam mazhab Syafie, hukumnya haram bagi seseorang untuk lalu di hadapan orang yang bersolat jika kawasan tersebut sudah ditandakan dengan sutrah. Bahkan, orang yang solat itu dibenarkan menahan individu yang lalu di hadapan menggunakan tangannya.

Baca juga Jangan lakukan kesilapan ini ketika solat

Daripada Abu Said al-Khudri RA, bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Jika salah seorang daripada kalian bersolat dalam keadaan mengadap sutrah yang boleh menghalangi manusia, lalu ada orang yang ingin melintasi hadapannya, hendaklah dia menahannya. Dan jika dia enggan juga, hendaklah dia diperangi (yakni ditolak dengan keras) kerana dia adalah syaitan (yakni bersamanya syaitan).” (Hadis riwayat Muslim)

Sebaliknya, seseorang yang tidak meletakkan sutrah di hadapannya tidak berhak menghadang orang lain daripada melintasi hadapannya. [Rujuk al-Mu’tamad (1/222-223)].

Baca juga Fahami lima waktu diharamkan solat

Namun, dalam keadaan yang terdesak seperti individu yang terbatal wuduk ketika solat berjemaah dan tiada jalan lain melainkan terpaksa lalu di hadapan makmum lain untuk mengambil wuduk semula, maka jemaah tidak boleh menghalangnya.

Semoga perkongsian kali ini dapat dimanfaatkan supaya anda lebih khusyuk dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan ibadah kepada ALLAH SWT.

Sutrah, penghadang daripada orang ramai ketika solat

Sumber: Al-Kafi #556: Hukum meletakkan sutrah di dalam solat

Foto: Discover Islam Kuwait & Unsplash