Browsing Tag

surah

surah dibaca Nabi
Berita Semasa,

Surah-surah yang dibaca Nabi SAW pada hari Jumaat, jom amalkan

JOM amalkan surah-surah berikut yang pernah dibaca oleh Rasulullah SAW pada hari Jumaat.

Sebaik-baik hari dalam seminggu adalah hari Jumaat. Penghulu segala hari ini juga diibaratkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai hari raya mingguan buat umat Islam.

Bagi menghormati hari mulia ini, para fuqaha sering mengingatkan kita memperbanyakkan ibadah dan amalan sunat seperti bersedekah dan berjalan kaki ke masjid untuk solat Jumaat.

Baca juga 8 amalan yang boleh dilakukan pada hari Jumaat 

Tambahan pula, hari Jumaat termasuk antara waktu ALLAH SWT mengabulkan doa hamba-hamba-NYA seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW,

Pada hari jumaat itu (terdapat) dua belas (masa, di mana ada satu masa) yang tiada seorang Muslim pun yang berdoa kepada ALLAH kecuali ALLAH akan mengkabulkan doanya, maka bersegeralah untuk mendapatkannya pada waktu-waktu akhir setelah Asar.” (Hadis riwayat Abu Daud)

surah dibaca nabi

SELAIN melafazkan kalimah ALLAH, ambil juga peluang berdoa kepada TUHAN YANG MAHA ESA pada hari yang mulia ini.

Selain itu, tahukah anda bahawa ada beberapa surah yang sering dilazimi oleh Nabi SAW pada hari Jumaat?

Bukan itu sahaja, anda juga boleh mengamalkan surah-surah tersebut untuk meraih pahala hari Jumaat:

1. Surah al-Kahfi

Surah pertama ini sudah pun dikenali dalam kalangan umat Islam untuk dibaca pada Hari Jumaat. Fadhilat membaca surah al-Kahfi ada disebutkan dalam sebuah hadis daripada Abu Sa’id Al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda,

Barangsiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka akan dipancarkan cahaya untuknya di antara dua Jumaat.” (Hadis riwayat Hakim dan Baihaqi).

Baca juga 5 nikmat dan janji ALLAH SWT kepada pencinta al-Quran

2. Surah as-Sajadah dan al-Insan

Kedua-dua surah as-Sajadah dan al-Insan termasuk surah yang biasa dibaca oleh Rasulullah SAW pada Hari Jumaat, khususnya sewaktu solat Subuh.

Kata Abu Hurairah RA, “Sesungguhnya pada solat Subuh hari Jumaat, Rasulullah membawa Surah al-Sajadah (Alif lam mim, tanzil) dan Surah al-Insan (Hal ata ‘alal insan”).” (Hadis riwayat Bukhari)

surah dibaca Nabi

PERBANYAKKAN ibadah pada hari Jumaat seperti yang dianjurkan para fuqaha. Antara amalan lain yang boleh dilakukan termasuklah bersedekah.

Baca juga Mengapa Rasulullah membaca surah al-Sajadah hari Jumaat?

3. Surah al-Jumuah dan al-Munafiqun
Dari Ibnu Abu Rafi’ RA, katanya: “Pada suatu ketika, Khalifah Marwan pernah meminta Abu Hurairah supaya menggantikannya di Madinah, sementara Marwan pergi ke Mekah. Maka pada suatu hari Jumaat, Abu Hurairah mengimami kami solat Jumaat.

“Dia membaca surah Jumaah pada rakaat pertama, dan surah Munafiqun pada rakaat kedua. Setelah selesai solat, ku temui Abu Hurairah lalu ku katakan kepadanya: Kedua surah yang anda baca tadi pernah dibaca oleh Ali bin Abi Thalib ketika dia berada di Kufah.

Jawab Abu Hurairah, “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW membacanya dalam solat Jumaat.” (Hadis riwayat Muslim).

Baca juga Hindari 3 niat ini ketika baca al-Quran

4. Surah al-A’laa dan al-Ghasyiyah

Sebuah hadis daripada Nu’man bin Basyir menyebut: “Biasanya Rasulullah SAW membaca surah al-A’laa dan surah al-Ghasyiyah di waktu solat Jumaatnya. Demikian pula jika hari raya bertepatan dengan hari Jumaat, maka beliaupun membaca kedua-dua surah itu di waktu solat raya dan solat Jumaat.” (Hadis riwayat Nasai)

Baca juga Subhanallah, 70,000 Malaikat Akan Memohon Keampunan Untuk Mereka Yang Amalkan Surah Ad-Dukhan

Hanya kerana wujud beberapa surah yang biasa dibaca oleh Nabi SAW pada hari Jumaat, ini tidak bermakna kita dilarang membaca surah yang lain.

Hakikatnya, sebagai umat Islam, tiada pendamping yang lebih baik melainkan kitab al-Quran. Bukan sekadar hari Jumaat, bahkan ayat-ayat suci ALLAH sepatutnya meniti di bibir kita sepanjang masa dan di mana-mana sahaja

Foto: Unsplash

Fikiran
Hukum,

Bolehkah membaca surah yang sama dalam solat?

MUNGKIN ada antara kita pernah membaca surah yang sama dalam solat tanpa sengaja. Tidak hairanlah kerana sifat pelupa sememangnya termasuk fitrah manusia.

Begitu juga halnya seorang mualaf yang baru memeluk Islam. Masih sedang mengenali agama dan kebanyakan surah belum banyak dihafal, maka ada yang terpaksa mengulangi surah tertentu pada rakaat berbeza.

Persoalannya, apakah hukum di sebalik perbuatan tersebut?

surah sama

RASULULLAH SAW sendiri pernah membaca surah yang sama dalam rakaat solat.

Sebenarnya tidak ada masalah untuk membaca surah yang sama dalam solat, demikian kenyataan artikel al-Kafi #1394: Hukum membaca surah yang sama dalam solat yang disiarkan di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Hukumnya sunat untuk membaca surah selepas bacaan al-Fatihah pada dua rakaat yang awal.

Dalam solat berjemaah, makmum tidak disunatkan membaca surah bahkan digalakkan untuk mendengar bacaan surah yang dibaca oleh imam. (Lihat al-Iqna’ fi Hal Alfaz Abi Syuja’, 1/142)

Namun apabila menunaikan solat secara bersendirian, boleh sahaja membaca mana-mana surah selepas bacaan al-Fatihah.

Baca juga Terlelap ketika solat. Batal atau tidak?

Hal ini berdasarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Muaz bin Abdillah al-Juhaniy, bahawa seorang lelaki dari Juhainah mengkhabarkan kepadanya:

Maksudnya: “Bahawa dia mendengar Nabi SAW membaca di dalam solat Subuh ‘إِذَا زُلْزِلَتْ الْأَرْضُ’ pada kedua-dua rakaat. Aku tidak tahu sama ada Nabi terlupa ataupun sengaja membacanya di dalam kedua-dua rakaat.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

surah sama

DALAM solat berjemaah, makmum lebih digalakkan mendengar surah yang dibacakan oleh  imam.

Menurut perbahasan ulama Islam, Sheikh Syamsul Haq Al-‘Azim, pada awalnya sahabat berasa ragu kerana Rasulullah SAW jarang sekali mengulangi ayat yang sama dalam rakaat solat. Jadi, para sahabat tidak pasti sama ada perbuatan tersebut disyariatkan atau tidak.

Baca juga Fahami lima waktu diharamkan solat

Pendapat ulama adalah jika ia adalah perkara yang menimbulkan keraguan tetapi dilakukan oleh Nabi, maka ia adalah sesuatu yang disyariatkan dan tiada masalah untuk mengikutinya. Hal ini kerana asal daripada perbuatan Baginda adalah untuk pensyariatan, manakala lupa adalah keluar dari perkara asal.” (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 3/23)

Maka, perbuatan membaca surah yang sama dalam rakaat solat adalah dibolehkan.

Pun begitu, pihak Pejabat Wilayah Persekutuan menggalakkan membaca surah yang berlainan kerana perbuatan ini lebih afdal berdasarkan kebanyakan amalan Rasulullah ketika membaca selepas Fatihah dalam solat.

Foto: Pexels