Browsing Tag

Surah ar-Rahman

Surah ar-Rahman
Gaya Hidup, Isu,

Surah ar-Rahman Menyingkap Sifat Pemurah ALLAH SWT

no comment

KALIMAH ar-Rahman sering kali meniti pada bibir kita hampir setiap waktu. Masakan tidak, boleh dikatakan dalam setiap inci kehidupan kita, ungkapan mulia yang juga merupakan antara nama-nama ALLAH itu akan disebut menerusi lafaz bismillah dan Surah al-Fatihah.

Ar-Rahman bermaksud yang MAHA PEMURAH. Ia merupakan antara sifat-sifat ALLAH SWT yang wajar kita ikuti.

Dalam kitab suci al-Quran, terkandung Surah ar-Rahman. Malah, ia sering kali menjadi bacaan pilihan oleh kebanyakan masyarakat kita kerana bait-bait terjemahannya banyak memerihalkan sifat ALLAH yang MAHA PEMURAH dan tidak boleh ditandingi sesiapa pun.

Bayangkan, hampir setiap saat, Sang Pencipta tidak pernah jemu mengurniakan nikmat yang tiada tolok bandingnya kepada hamba-hamba-NYA waima ada dalam kalangan kita yang kufur dengan pemberian-NYA.

Sesungguhnya, Surah ar-Rahman sarat dengan ibrah. Malah, surah itu juga dikatakan ada keunikan tersendiri yang tiada pada surah-surah lain.

Apakah istimewanya Surah ar-Rahman? Kenapa ada satu ayat yang sentiasa diulang-ulang dalam surah berkenaan?

Sifat ALLAH MAHA PEMURAH

Memperincikan lanjut tentang surah berkenaan, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah menjelaskan, Surah ar-Rahman diambil daripada ayat pertama surah tersebut.

SHARIFAH FADYLAWATY

Ujar beliau, jumhur ulama bersepakat bahawa ar-Rahman tergolong surah Makkiyyah yang terdiri daripada 78 ayat.

“Ar-Rahman adalah salah satu daripada nama-nama ALLAH SWT. Sebahagian besar kandungan surah itu menerangkan tentang sifat pemurah ALLAH SWT kepada hamba-hamba-NYA. DIA telah mengurniakan pelbagai nikmat yang tidak terhitung di dunia dan di akhirat,” katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Beliau menambah, inti pati utama kandungan surah ke-55 dalam al-Quran itu berkisarkan tentang persoalan akidah (keimanan).

Antara lain, katanya, ALLAH SWT mengajarkan manusia kemahiran berbicara atau berkomunikasi. Selain itu, ALLAH SWT mengisyaratkan kepada manusia dan jin bahawa semua jenis pohon-pohonan dan tumbuh-tumbuhan tunduk kepada hukum ALLAH SWT.

“Surah ini turut menceritakan bahawa pada hari kiamat kelak, semua makhluk akan hancur kecuali ALLAH SWT sahaja yang terus kekal.

“Dalam surah itu turut dijelaskan mengenai asal kejadian manusia daripada tanah, manakala jin diciptakan daripada api. Satu aspek yang perlu sentiasa dihayati dalam surah itu, ALLAH mengingatkan kepada kita bahawa seluruh alam yang diciptakan merupakan nikmat yang dikurniakan untuk manfaat manusia dan jin,” katanya.

Sharifah Fadylawaty menjelaskan, ada beberapa keunikan dalam Surah ar-Rahman yang berbeza dengan surah-surah yang lain.

Masakan tidak, katanya, surah berkenaan bermula dengan satu kalimah sahaja dan bukan huruf muqata’ah (seperti alif lam mim dan yasin).

“Ia jelas menunjukkan bahawa surah itu ditujukan khas bukan sahaja kepada manusia, tetapi juga kepada jin sama ada Muslim atau bukan Muslim.

“Selain itu, surah itu merupakan satu-satunya surah yang bersandar kepada nama Tuhan yang MAHA PENGASIH (ar-Rahman) bagi menggambarkan sifat ALLAH SWT yang MAHA HEBAT kasih sayang-NYA kepada makhluk.

Surah ar-Rahman

DIDIKLAH anak-anak membaca Surah ar-Rahman dan surah-surah lain dalam al-Quran sejak kecil lagi
supaya mereka sentiasa berpegang teguh kepada mukjizat teragung Nabi Muhammad SAW.

“Dari segi segmentasi pula, ada sembilan ayat memerihalkan tentang keagungan ALLAH SWT, 26 ayat penciptaan alam, perihal kiamat, mahsyar dan neraka (lapan ayat), nikmat syurga (15 ayat) serta nikmat syurga bertaraf orang kenamaan VVIP (16 ayat),” katanya.

Baca juga Saham Dunia dan Akhirat

Refleksi diri

Mengapakah ada satu ayat yang bermaksud ‘Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan’ diulang sebanyak 31 kali dalam Surah arRahman?

Menjawab persoalan itu, Sharifah Fadylawaty menjelaskan, pengulangan ayat berkenaan sebenarnya menggambarkan kasih sayang ALLAH SWT yang luar biasa kepada manusia dan jin yang mempunyai tabiat lupa terhadap segala nikmat yang telah berikan-NYA.

“Ayat itu seperti satu bentuk sentakan dan penegasan supaya kita melakukan refleksi diri dan merenung kembali segala nikmat dan kekuasaan-NYA.

“Bentuk-bentuk pengulangan sebegini juga sebagaimana kelaziman oleh orang Arab pada syair-syair mereka. Menurut al-Alusi, pengulangan yang berjumlah sebanyak itu bukan untuk ta’kid (memperkuat makna kalimah), tetapi untuk taqriri (penetapan kandungan makna),” jelasnya.

Ujar ahli akademik itu, begitu istimewanya surah berkenaan apabila mereka yang sering melazimkannya akan sentiasa mengingati bahawa ALLAH SWT memiliki sifat MAHA PENGASIH.

“Ia juga mengingatkan kepada kita atas semua nikmat-NYA yang telah dan akan dianugerahkan sama ada rezeki yang bermanfaat untuk kita di dunia mahupun rezeki yang diperoleh di akhirat kelak iaitu ganjaran syurga, selain sentiasa disayangi dan diredai ALLAH SWT atas segala
kenikmatan yang telah DIA berikan.

“Bukan itu sahaja, menjadikan Surah ar-Rahman sebagai rutin akan memberi suntikan motivasi dan inspirasi untuk terus semangat beribadah kepada-NYA kerana ALLAH SWT banyak memberikan gambaran keindahan syurga sebagai balasan buat hamba-NYA yang beramal soleh,” ujar beliau.

Fakta yang dilontarkan Sharifah Fadylawaty turut dipersetujui oleh pendakwah Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da’i Fuad.

DA’I FUAD

Ujar beliau, dalam Kitab Misbahud Duja, ada dinyatakan bahawa ar-Rahman ALLAH adalah bermaksud sesuatu nikmat dan kurniaan yang ALLAH SWT berikan kepada orang beriman dan bertakwa.

“Ia menjadikan seseorang itu beriman dan bertakwa kepada ALLAH SWT serta mengharapkan agar mereka mendapat keredaan ALLAH SWT dengan berkat menzikirkan ar-Rahman.

“Bahkan, Surah ar-Rahman juga mengingatkan agar kita tidak mengkufuri nikmat yang dianugerahkan oleh ALLAH SWT sehinggakan ayat berkaitan dengannya diulang banyak kali dalam surah berkenaan,” katanya.

Malah, ALLAH SWT dalam firman-NYA menyatakan: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya AKU akan tambah nikmat-KU kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-KU amatlah pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Berjiwa teguh

Kepada satu soalan, Da’i Fuad menjelaskan: “Membaca Surah ar-Rahman sebagai rutin akan membolehkan kita mendapat syafaat di akhirat kelak.

“Bahkan membaca ayat-ayat daripada al-Quran merupakan perkara yang mendapat ganjaran dan pahala daripada ALLAH SWT.”

Disebabkan itu, ujar Da’i Fuad, mereka yang beramal dengan al-Quran sebenarnya telah mendapat anugerah dan nikmat daripada ALLAH SWT.

Surah ar-Rahman

JADIKANLAH Surah ar-Rahman sebagai bacaan rutin bersama keluarga sebagai tanda kita bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan-NYA.

“Pastinya seseorang memerlukan peneman sepanjang permusafiran mereka ketika berada di alam akhirat yang kekal. Maka al-Quranlah sebaik-baik peneman. Ia akan menjadikan mereka tenang dan bahagia ketika berada di dalam alam akhirat yang kekal abadi,” katanya.

Dalam pada itu, Da’i Fuad turut menyarankan agar umat Islam melazimkan diri membaca Surah ar-Rahman kerana ia menjadikan jiwa seseorang itu teguh kepada ALLAH SWT.

Bahkan, ujar beliau lagi, al-Imam Jaafar al-Sadiq pernah menyatakan: “Janganlah kamu meninggalkan baca Surah al-Rahman kerana surah ini menjadikan orang munafik tidak tenteram dan memberikan ketenangan kepada orang yang beriman dan kamu akan berjumpa dengan Tuhanmu dalam keadaan bau yang harum dan sesungguhnya mereka yang beramal dengan Surah ar-Rahman akan berdiri paling dekat dengan ALLAH SWT.”

Al-Quran pembela umat Islam di akhirat, alam barzakh

Al-Quran merupakan sumber pahala yang bukan calang-calang. Sewajarnya kita sebagai umat Islam perlu merebut ganjaran berkenaan untuk bekalan di akhirat kelak.

Pendakwah Muhammad Hadi Talhah menjelaskan, ia boleh diraih apabila kita melazimkan diri dengan membaca kalam ALLAH SWT itu sebagai rutin.

MUHAMMAD HADI

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa membaca satu huruf daripada al-Quran maka dia melakukan satu kebajikan. Dan satu kebajikan itu dilipat gandakan sepuluh kali. AKU tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, melainkan Alif itu satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Riwayat at-Tirmizi)

“Apabila kita membaca al-Quran, satu huruf itu dapat 10 ganjaran. Bayangkan jika kita membaca satu halaman al-Quran atau lebih, sudah tentu semakin banyak ganjaran yang diperoleh.

“Imbalannya akan bertambah apabila kita membaca kalam ALLAH tadi dengan penuh penghayatan dan memahami apa yang dibaca, selain mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Sudah tentu beramal dengan al-Quran akan mendapat ganjaran pahala yang bukan calang-calang,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Dalam pada itu, Muhammad Hadi turut mengingatkan agar kita tidak memperlekehkan mereka yang merangkak-rangkak membaca al-Quran.

“Ketahuilah, golongan itu juga akan meraih sebanyak dua ganjaran iaitu disebabkan dirinya masih belajar dan usaha mereka untuk membaca kitab suci al-Quran itu sendiri.

“Cuma, jika individu itu tidak berguru dan membacanya sesuka hati, mereka akan dapat dosa,” tegasnya.

Menyambung bicaranya, pendakwah itu menyarankan agar kita sentiasa mendampingi al-Quran dan melazimkannya saban hari.

Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya.” (Riwayat Muslim)

“Melihat ungkapan hadis berkenaan, kitab suci itu akan menjadi pembela kita di akhirat kelak.

“Jika kita sering membaca, menghayati dan mengamalkannya, ia akan menjadi pembela atau penyelamat bukan sahaja di alam akhirat, tetapi di alam barzakh juga daripada seksaan kubur.

“Namun, jika kita mengabaikan kalam ALLAH itu, kelak al-Quran yang akan menjadi pendakwa kita di akhirat,” ujarnya.

ANEKDOT

KEINDAHAN Surah al-Rahman

Surah ar-Rahman

BARANG siapa yang berdamping dengan al-Quran, kitab suci itu akan menjadi pembela mereka di akhirat kelak dan memberikan syafaat kepadanya.

– ALLAH SWT menggambarkan alam dan syurga dalam nada memujuk agar hamba-NYA tidak leka dan menyedari nikmat yang dikurniakan.

– Sang Pencipta juga banyak menyebut dan mengingatkan kita tentang kemurahan nikmat dan kebesaran rahmat-NYA yang pelbagai sehingga manusia dan jin tiada alasan untuk mengingkarinya.

– Gambaran alam tersebut dijelaskan secara terperinci berkaitan buah-buahan, pepohon dan bijian, alam semesta, laut serta langit.

– ALLAH menggambarkan juga dedaunnya, harumannya, warnanya dan penghasilan mutiara daripada pertembungan laut dan sungai. Begitupun, akhirnya ALLAH SWT akan mengembalikan semula kita kepada satu realiti bahawa segala nikmat dan kehebatan tersebut akan hancur binasa dan hanya DIA sahaja kekal selamanya.

– Selain itu, ALLAH SWT sebagai pemilik kerajaan langit dan bumi menzahirkan kasih sayang-NYA yang melimpah-ruah kepada hamba-NYA dengan pelbagai gambaran nikmat syurga melalui lebih 10 ayat dalam Surah ar-Rahman dan apa yang dilakukan oleh ahli syurga.

– Bukan hanya satu syurga. Sebaliknya ALLAH SWT gambarkan dengan dua jenis syurga sebagai satu inspirasi kepada
manusia. Pada masa sama, ALLAH SWT hanya menyentuh dua ayat sahaja berkaitan neraka.

– Surah ar-Rahman membawa kita bertafakur dan mengembara dengan alam, permusafiran serta pemerhatian kita kepada setiap sisi alam.

– Ia membawa kita kepada gambaran indahnya bahasa dan gambaran syurga yang hakikatnya berkali ganda lebih indah daripada gambaran keindahan di dunia.

Sumber: Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah

Foto: Freepik