Browsing Tag

Surah al-Maidah

Surah al-Maidah
Isu, Pilihan Editor,

Amalkan surah al-Maidah pada waktu duha, ada 45 nasihat bernilai terkandung di dalamnya

APABILA berbicara tentang Surah al-Maidah, barangkali ramai yang masih samar-samar dengan fadilat, mahupun manfaat yang terkandung di dalamnya.

Masakan tidak, surah tersebut tidak begitu menonjol bagi sesetengah individu jika dibandingkan dengan surah-surah terkemuka lain seperti Yasin, al-Mulk dan al-Waqiah.

Kepada mereka yang beranggapan sedemikian, nyahkan jauh-jauh pandangan tersebut. Ingatlah bahawa setiap bait-bait kalam ALLAH SWT itu begitu berharga dan tersemat hikmahnya tersendiri untuk dijadikan pedoman hidup kita sepanjang zaman.

Sesungguhnya, Surah al-Maidah sarat dengan panduan untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita di bumi yang fana ini.

Apakah inti pati dan pengajaran yang boleh diambil daripada Surah al-Maidah? Benarkah ia merupakan surah terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW?

45 nasihat bernilai

Sebagai tanda pengenalan, Timbalan Pengarah Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mohd Nasir Masroom mengajak kita menyelami latar belakang Surah al-Maidah.

DR MOHD NASIR

Jelas beliau, surah kelima dalam al-Quran itu dikategorikan sebagai surah Madaniyyah iaitu diturunkan selepas hijrah Nabi Muhammad SAW.

Namun begitu, katanya, terdapat pandangan menyatakan, Madaniyyah bermaksud surah berkenaan diturunkan di Madinah.

“Dinamakan sebagai al-Maidah (hidangan) kerana pada ayat 112 dalam surah berkenaan, terdapat kisah Nabi Isa AS dan para pengikutnya yang mendapat nikmat hidangan makanan.

“Sajian itu diturunkan oleh ALLAH SWT sebagai rezeki kepada mereka dan sebagai bukti kenabian Nabi Isa AS,” katanya baru-baru ini.

Begitu istimewanya Surah al-Maidah itu apabila ia diturunkan sebanyak 120 ayat sekali gus, ungkapnya.

Perkara tersebut, dijelaskan dalam Kitab Tafsir al-Quran Ibn Kathir yang mana terdapat riwayat daripada Asma’ binti Yazid mengatakan: “Pada ketika aku sedang memegang tali ikatan unta Nabi Muhammad SAW, tiba-tiba turun kepada baginda Surah al-Maidah secara keseluruhan. Kerana beratnya surah ini, sehingga berdetak kaki hadapan unta tersebut.”

Jelas ahli akademik berkenaan, riwayat itu mengambarkan bahawa betapa beratnya wahyu yang diturunkan kepada baginda SAW sehingga unta yang ditunggangi berjalan dalam keadaan yang payah.

“Hal yang demikian kerana surah ini mengandungi 120 ayat yang agak panjang setiap satunya. Selain itu, mesej-mesej yang terkandung di dalam setiap ayatnya juga mempunyai pelbagai tema dan tajuk yang utama dan penting yang perlu diambil berat mengenainya,” katanya.

Surah al-Maidah

CARILAH guru yang benar-benar muktabar dan faqih dalam bidangnya apabila kita ingin menuntut ilmu berkaitan dengan al-Quran.

Dalam Hadis Riwayat al-Hakim, Aisyah RA berkata bahawa: “Surah al-Maidah adalah surah yang terakhir diturunkan kepada Nabi Muhammmad SAW. Apa sahaja yang kalian temukan dari yang halal, maka halalkanlah. Dan apa sahaja yang kalian temukan dari yang haram, maka haramkanlah.”

Berdasarkan hadis itu, Dr Mohd Nasir menjelaskan, sebahagian ulama berpendapat, ia merupakan surah terakhir diturunkan kepada baginda SAW yang melengkapkan kesempurnaan Islam.

“Begitupun, terdapat pandangan lain mengatakan bahawa surah terakhir diturunkan ialah Surah at-Taubah atau Surah an-Nasr,” katanya.

Baca juga Surah ar-Rahman Menyingkap Sifat Pemurah ALLAH SWT

Amalan ayat tertentu

Sesungguhnya, kelebihan al-Quran sebagai mukjizat agung dan wahyu daripada ALLAH SWT memang tidak dapat disangkal lagi.

Surah al-Maidah


AMALKANLAH membaca Surah al-Maidah yang mempunyai kelebihan tersendiri untuk menjadikan kita manusia yang tidak tergelincir daripada cara hidup Islam.

Jelas pensyarah itu, kitab paling suci tersebut terkandung pelbagai fadilat dan kurniaan yang tidak terhingga.

“Kalamullah itu antaranya memberitahu kepada semua hamba-NYA, untuk kita hampir kepada ALLAH adalah dengan cara berdoa, ruqyah dan mengamalkan ayat-ayat tertentu.

“Malah, mengamalkan bait-bait suci itu juga sebenarnya termasuk dalam amal ibadah dan zikir yang dituntut dalam Islam. Ketahuilah bahawa zikir dan doa daripada al-Quran mempunyai kelebihan tersendiri. Ia boleh memberikan ketenangan jiwa kepada mereka yang melazimkannya,” terangnya.

Begitupun, Dr Mohd Nasir memberi peringatan mesra dalam hal itu. Sebelum mengamalkan ayat-ayat tertentu sebagai doa dan ruqyah, rujuk dahulu kepada sumber serta dalil yang sahih.

“Semua itu perlu dirujuk kepada ahlinya iaitu mereka yang kuat akidahnya, sahsiah, akhlak dan amalan yang selari dengan Islam. Ia bagi mengelakkan penyalahgunaan ayat-ayat al-Quran untuk tujuan dan cara yang salah walaupun kelihatan seperti baik dan betul.

“Secara umumnya, umat Islam diharuskan untuk mengguna dan mengamalkan ayat-ayat al-Quran sebagai doa dan ruqyah. Terdapat banyak dalil yang menjelaskan tentangnya,” tegasnya.

Sementara itu, pendakwah Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da’i Fuad menjelaskan, menurut Tafsir Ibn Kathir, istimewanya Surah al-Maidah apabila ia mengandungi 45 nasihat berbeza yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW menerusi wahyu daripada ALLAH SWT.

DA’I FUAD

Ia termasuklah perintah ALLAH SWT yang menyuruh hamba-hamba-NYA agar tolong-menolong dalam melakukan kebaikan dan bertakwa kepada-NYA, ungkapnya.

Terdapat juga ayat-ayat yang mengandungi jawapan ALLAH SWT kepada ahli kitab apabila mereka mendustai Nabi Muhammad SAW.

“Antara isi pentingnya merujuk tentang larangan pembunuhan, merompak waima mengambil hak orang lain termasuk nyawa dan menjaga maqasid syariah.

“Apa yang kita dapat lihat daripada keseluruhan kandungan dalam Surah al-Maidah adalah ia banyak berkait rapat dengan kehidupan seharian manusia, hubungan dengan haiwan, sesama insan, kewajipan dalam menjalankan tanggungjawab, membersihkan harta dengan melakukan infak serta larangan berlaku zalim kepada manusia lain,” katanya.

Sempurnakan perjanjian

Mengapakah Surah al-Maidah begitu sinonim dengan nama lain iaitu al-Uqud yang bermaksud perjanjian?

Baca juga Jangan Khianati Amanah, Ia Prasyarat Menilai Keimanan

Menjawab persoalan itu, Da’i Fuad menjelaskan, kalimah al-Uqud disebut pada ayat pertama surah berkenaan.

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatangbinatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu. (Halalnya binatang-binatang ternak dan sebagainya itu) tidak pula bererti kamu boleh menghalalkan perburuan ketika kamu dalam keadaan berihram. Sesungguhnya ALLAH menetapkan hukum apa yang Ia kehendaki.” (Surah al-Maidah, ayat 1)

Mengulas mengenai firman berkenaan, Dai’e Fuad berkata, sebagai seorang manusia yang berpegang kepada sesuatu perjanjian, ingatlah ia merupakan satu indikator besar untuk menafikan diri kita daripada menjadi orang munafik.

“Justeru, wajib kita melunaskan janji yang dibuat sepenuhnya. Tidak kiralah janji sebagai seorang ayah dan ibu, walaupun hanya sekadar janji membelikan manisan untuk anak-anak.

“Begitu juga dengan janji daripada pemimpin kepada orang pimpinannya dan orang bawahan ataupun rakyat terhadap kesetiaan kepada para pemimpin dan juga negaranya,” katanya.

Surah al-Maidah


ANTARA inti pati penting Surah al-Maidah, ia berkait rapat dengan kehidupan seharian manusia, hubungannya terhadap haiwan, sesama insan, kewajipan dalam menjalankan tanggungjawab membersihkan harta dengan melakukan infak serta larangan berlaku zalim kepada manusia lain.

Pun demikian, ujar pendakwah itu, janji yang paling besar bagi umat Islam adalah janji yang sering kali diucapkan tatkala membaca doa iftitah ketika solat.

“Itu merupakan janji kita kepada ALLAH SWT. Bayangkan sekurang-kurangnya lima kali sehari kita melafazkan ungkapan ‘Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk-MU serta tidak mensyirikkan-MU, ya ALLAH’. Justeru, perjanjian itu mesti ditunaikan dengan sedaya upaya,” katanya.

Kepada satu soalan, Da’i Fuad menjawab: “Mengamalkan ayat 114, Surah al-Maidah (agar rezeki tidak akan pernah habis) sebenarnya merupakan amalan para alim ulama, tetapi ia bukanlah datang melalui dalil yang khusus.

“Sebaliknya, ia diambil dari sudut mujarrabat iaitu kemujaraban yang diamalkan oleh para alim ulama yang mana ia dapat mengambil kelebihan daripadanya.”

Meskipun tiada nas yang menyatakan waktu tertentu untuk membaca Surah al-Maidah, namun Da’i Fuad menyarankan agar kita mengamalkannya pada waktu duha.

“Ia berdasarkan kepada kesesuaian pesanan dan kandungan surah berkenaan yang membawa kepada turunnya rezeki daripada ALLAH SWT, nasihat tentang pekerjaan dan hubungan tentang keimanan.

“Kepada mereka yang mahu menyusun atur jadual harian masing-masing, boleh selitkan bacaan Surah al-Maidah pada waktu duha. Semoga kita beroleh manfaat dengan mengamalkannya,” katanya.

Wuduk didik umat Islam ke arah sifat mahmudah, gugurkan dosa

DALAM Surah al-Maidah terkandung pensyariatan berwuduk menerusi ayat keenam. Ia merupakan satu cara untuk bersuci dan membersihkan manusia daripada kekotoran sebelum menghadap ALLAH SWT dan melakukan apa sahaja jenis ibadah.

Dari segi istilahnya, pendakwah Mohd Fauzi Mustaffa menjelaskan, wuduk bermaksud membasuh dan menyapu anggota-anggota tertentu dengan niat tertentu.

MOHD FAUZI

“Terdapat bahagian anggota tubuh yang kita sapu saja, basuh atau gosok. Semuanya dilakukan dengan niat-niat tertentu sama ada untuk menunaikan solat, membaca al-Quran, tawaf dan seumpamanya.

“Mudah kata, dalam bab amal ibadah, kita diwajibkan untuk berwuduk supaya diri berada dalam keadaan elok dan bersih. Kajian saintifik menyatakan, manusia sentiasa terdedah dengan kekotoran terutama pada anggota wuduk.

“Justeru, apabila anggota-anggota wuduk seperti muka, tangan, kaki dibasuh, ia membersihkan bahagian tersebut. Seterusnya mengelakkan jangkitan kuman bukan sahaja kepada diri, malah orang yang menunaikan ibadah berhampiran kita,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, agamawan itu menambah, dari segi manfaatnya kepada rohani, mengambil air sembahyang sebenarnya berupaya menggugurkan dosa-dosa kita menerusi anggota wuduk.

“Ulama tasawuf berkata, anggota wuduk hakikatnya merupakan zon ataupun daerah yang sering berdosa. Umpamanya, tangan banyak memegang, mengambil rasuah dan seumpamanya.

“Apabila kita mencucinya dengan wuduk, maka keluarlah dosa-dosa kita melaluinya. Begitu juga dengan anggota wuduk yang lainnya. Malah, ada seorang ulama tafsir menyatakan bahawa wuduk mendidik kita dengan sifat mahmudah.

“Maka sebab itulah Nabi Muhammad SAW menyuruh kita berwuduk apabila sedang marah kerana ia mampu menangkis sifat berkenaan,” jelasnya.

Kepada satu soalan, Mohd Fauzi menjawab: “Wuduk merupakan satu terapi terbaik untuk kesihatan manusia waima dari segi jasmani dan rohani.

“Dalam satu kajian di Arab Saudi yang dilakukan untuk menguji sampel bekas basuhan air wuduk, hasilnya mendapati air berkenaan terdapat kandungan bakteria kolon yang tinggi. Asbab berwuduk menyebabkan gugurnya bakteria berkenaan.

“Bahkan, dalam perubatan akupuntur dan kaedah urutan yang dilakukan oleh masyarakat kita, kebanyakannya menggunakan titik rawatan pada bahagian anggota wuduk seperti kaki dan bahagian wajah.”

ANEKDOT

IBRAH daripada Surah al-Maidah

Surah al-Maidah

JANGAN pernah sesekali meninggalkan al-Quran yang menjadi mukjizat teragung Nabi Muhammad SAW.

– Surah al-Maidah mempunyai keistimewaannya tersendiri kerana mengandungi pelbagai tema dan tajuk.

– Antara tema yang terkandung dalam surah itu adalah berkaitan dengan hukum-hakam makanan, kisah para anbia dan umat terdahulu, hari kiamat, larangan bersikap berlebihan (ghuluww) serta perihal akidah.

– Banyak pengajaran dan ibrah yang dapat diambil daripada surah tersebut. Antaranya adalah mengenai larangan minum arak, berjudi, menyembelih haiwan untuk berhala dan menenung nasib.

– Kisah al-Maidah itu sendiri mempunyai banyak pengajarannya. Disebutkan dalam ayat ke-112 bahawa para pengikut Nabi Isa AS telah meminta untuk mendapatkan makanan daripada ALLAH SWT dengan menurunkannya dari langit bagi memenuhi keperluan mereka akibat kemiskinan.

– Seterusnya dengan makanan itu juga, mereka mempunyai tenaga untuk terus beribadah kepada ALLAH SWT.

– Namun Nabi Isa AS meminta agar mereka bertawakal kepada-NYA ketika mencari rezeki jika benar-benar beriman kepada-NYA.

– Akhirnya, ALLAH SWT menurunkan makanan dari langit sebagai bukti kenabian dan kebenaran risalah yang dibawa oleh Nabi Isa AS.

Sumber: Timbalan Pengarah Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mohd Nasir Masroom

Foto Sinar Harian & 123rf