Browsing Tag

Surah al-Insan

World #QuranHour
Berita Semasa,

6,000 orang sertai World #QuranHour di Masjid UIAM

6,000 orang sertai World #QuranHour di Masjid UIAM

Oleh NURULFATIHA MUAH, SARRAH MOHSIN & FATIN FATIHAH HUSSIN

LAUNGAN Surah al-Insan bergema di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Gombak, Kuala Lumpur dalam majlis World #QuranHour pada Khamis.

Program berinteraksi dengan al-Quran itu disertai kira-kira 6,000 orang di masjid berkenaan, selain diadakan serentak di 5,490 lokasi seluruh Malaysia dan 235 kawasan hotspot melibatkan 23 buah negara yang berdaftar.

Majlis diserikan lagi dengan kehadiran Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mencemar duli berangkat ke program berkenaan.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, selepas tiga tahun hanya ke udara menerusi studio TV Alhijrah, World #QuranHour kembali bersiaran secara fizikal di ‘tempat asal’.

World #QuranHour

HUSSAMUDDIN

“Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan-NYA. Kami hanya menjangkakan 3,000 orang datang, tetapi rupanya angkanya lebih daripada itu.

“Malah program kali ini disiarkan serentak di lima buah stesen televisyen dengan Astro Oasis sebagai penyiar utama dan rakan media lain iaitu TV9, TV Alhijrah, Radio Televisyen Malaysia dan Bernama TV,” katanya pada sidang media selepas majlis.

Bukan itu sahaja, Hussamuddin yang juga Penasihat Kumpulan Karangkraf berkata, program berkenaan juga berjaya membentuk masyarakat Islam yang membudayakan bacaan al-Quran.

Buktinya, jumlah umat Islam yang membaca kitab suci itu kian meningkat dengan ketara, ungkapnya.

“Dulu, kita anggap ramai dalam kalangan kita (masyarakat Islam) yang tidak baca al-Quran, maka sebab itulah kita wujudkan program atau lebih tepat lagi kempen ini.

“Alhamdulillah, kita berjaya menarik minat sedikit demi sedikit untuk umat Islam membaca al-Quran kerana konsep tadabbur yang kita terapkan ini,” ungkapnya.

Malah, beliau juga menjangkakan trend pembacaan al-Quran di Malaysia akan meningkat beratus peratus menjelang tahun 1500 Hijrah.

World #QuranHour

RAJA Permaisuri Agong, Tunku Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli berangkat ke majlis World #QuranHour di Gombak pada Khamis. -Foto: ROSLI TALIB

Hadir sama pada program itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Rektor UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff.

Baca juga 137 ‘duyufurrahman’ hayati ibadah umrah dengan nilai syukur dan sujud daripada Surah al-Insan

Sementara itu, Marhaini menjelaskan, World #QuranHour yang bersiaran langsung selama sejam bermula jam 12 tengah hari tadi telah menerima lebih 1.14 bilion capaian di media sosial.

“Paling tinggi pencapaian dicatatkan pada tahun 2019 dengan jumlah 1.46 bilion capaian di media sosial,” katanya.

Mengulas lanjut, Surah al-Insan diangkat sebagai tema pada tahun ini sesuai dengan misi ‘Memanusiakan Ummah’ melalui agenda memanusiakan diri, keluarga, masyarakat dan negara dalam merealisasikan misi Masuk Syurga Sekeluarga.

“Tujuannya untuk menanamkan nilai memanusiawikan ummah dengan 11 karakter insan al-Abrar (orang berkebajikan).

“Ia mencakupi tanggungjawab manusia kepada ALLAH SWT dan sesama manusia iaitu bersifat amanah, takwa, infak, ikhlas, berorientasikan akhirat, teguh, sabar, kawalan diri, taat, membina jiwa dan bersyukur,” katanya.

World #QuranHour

ORANG ramai membaca ikrar al-Quran pada program World #QuranHour di Gombak pada Khamis. -Foto: ROSLI TALIB

Bagi Dzulkifli pula, beliau menganggap program World #QuranHour sebagai ‘punca’ barakah kepada institusi berkenaan.

“Kami berharap aktiviti ini akan berterusan di UIAM yang mempunyai 30,000 pelajar.

“Bayangkan apabila semua boleh berdampingan al-Quran, pasti misi memanusiakan manusia boleh dicapai,” katanya.

Baca juga Surah al-Insan penawar sifat manusia yang mudah lupa diri

Bertemakan Misi Surah al-Insan: Memanusiakan Ummah, World #QuranHour yang memasuki edisi ke-8 dipelopori WUIF sejak tahun 2015 selepas kejayaan kempen #NgajiMalaysia (Malaysia #QuranHour) dan Aktifkan #RumahNgaji.

Program itu turut dinaungi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan kerjasama UIAM, Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia, Rumah Ngaji, Sahabah Al-Quran, badan kerajaan dan bukan kerajaan di dalam dan luar negara serta penaja Wardah dan Kahf.

Duyufurrahman
Berita Semasa,

137 ‘duyufurrahman’ hayati ibadah umrah dengan nilai syukur dan sujud daripada Surah al-Insan

137 ‘duyufurrahman’ hayati ibadah umrah dengan nilai syukur dan sujud daripada Surah al-Insan

SERAMAI 137 peserta duyufurrahman Umrah Legasi 2 Kota menghayati ibadah umrah dengan membawa nilai syukur dan sujud daripada Surah al-Insan, dengan tema ‘Memanusiakan Ummah’ sebagai tema perjalanan kerohanian pada 28 Februari hingga 10 Mac lalu.

Program umrah anjuran Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd (ASISB) dengan kerjasama Hi-Fly Travel Tours Sdn Bhd mengangkat Surah ke-76 yang menjadi surah pilihan bagi World #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) pada 22 Ramadan 1444H bersamaan 13 April ini.

Baca juga Surah al-Insan penawar sifat manusia yang mudah lupa diri

Pengerusi ASISB, Fazrul Ismail berkata jemaah melihat legasi yang dibina oleh Nabi Ibrahim AS di Makkah dan dikembangkan oleh Nabi Muhammad SAW di Madinah. Mereka membina legasi keluarga dalam mewujudkan insan bersyukur dan bersabar yang ditinggalkan di Makkah dan Madinah.

FAZRUL

“Inilah yang perlu diberi perhatian oleh semua jemaah bahawa setiap kehidupan ada ujian dan cabaran. Jika ia diuruskan dengan syukur dan sabar, kita akan mencapai misi dan menjadi legasi.

“Legasi adalah satu perjuangan misi membina insan berjiwa hamba kepada Tuhannya. Jika tiada misi tersebut, akhirnya dia menjadi manusia autopilot yang hanya makan tidur.

“Jika orang Islam itu solat tetapi tidak faham, maka dia tidak menjiwai syukur dan sabar. Perlu ditekankan solat bukanlah tujuan, tetapi ia merupakan medium untuk membina syukur dan sabar,” katanya.

Tambahnya, kehidupan adalah sekitar solat, bukan solat sekitar kehidupan. Perkara tersebut perlu difokuskan agar sekembali daripada umrah, mereka dapat mencapai objektif dengan menjadikan tabiat yang penuh kesedaran. Ini bermaksud, solat menjadikan seseorang itu semakin bersyukur, bersabar dan tidak pentingkan diri sendiri.

“Pihak ASISB menyasarkan lebih banyak organisasi selain individu dan keluarga kepada umrah yang bermodul dan memfokuskan Legasi 2 Kota pada masa akan datang. Harapan saya agar jemaah terus melihat diri sendiri ke dalam kerangka al-Quran ketika dalam perjalanan ini,” katanya.

Sementara itu Pengarah Urusan Hi-Fly Travel & Tours Sdn Bhd, Ustaz Mohd Shazmizan Shahrom berkata, jemaah ditempatkan di hotel berdekatan dengan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi dengan jarak kurang 100 meter.

USTAZ MOHD SHAZMIZAN

“Perjalanan rohani jemaah yang bermula di Tanah Suci Kota Suci Makkah, Taif dan Madinah meninggalkan kesan yang mendalam untuk menjadi hamba ALLAH yang bersyukur dan bersabar serta menyantuni orang di sekeliling kita.

“Perbetulkan niat ibadah umrah kerana ALLAH SWT. Syarat diterima ibadah ada dua perkara iaitu ikhlas dan niat ikut sunnah Rasulullah SAW,” ujar beliau.

Para jemaah umrah berpeluang bersedekah dan infak melalui pengurusan pihak Hi-Fly kepada golongan sabil di Kota Suci Makkah, selain wakaf al-Quran dan kerusi. Selain itu, para jemaah berpeluang menziarahi pelbagai lokasi yang bersejarah seperti Jabal Uhud, Jabal Rahmah, Jabal Nur, Masjid Quba, Masjid Hudaibiah, ladang kurma, Taif, Muzdalifah, Mina, Perkuburan Baqi’ dan Muzium Haramain.

Layari facebook : akademisinergi untuk info lanjut program ASISB.

***Artikel & Foto oleh Fouziah Amir

Surah al-Insan
Berita Semasa,

Surah al-Insan penawar sifat manusia yang mudah lupa diri

Surah al-Insan penawar sifat manusia yang mudah lupa diri

“SURAH al-Insan menjadi penawar bagi sifat manusia yang mudah lupa diri. Penyakit besar iaitu lupa diri perlu ada penetapan semula diri untuk jadi lebih baik.”

Demikian kata Jurulatih Utama Akademi Sinergi Ikhlas, Coach Mohd Jamil Abdul Wahab ketika memberi pengisian dalam program Melaka River Cruise #QuranHour di Sungai Melaka, Melaka pada 24 Februari lalu.

Seramai 40 peserta yang terdiri daripada penggerak dan ahli Pertubuhan Rumah Ngaji Ummah Ikhlas Melaka mengikuti program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal di atas bot sepanjang Sungai Melaka.

Program selama sejam itu julung kali dianjurkan oleh Rumah Ngaji Ummah Ikhlas Melaka dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF). Sesi tersebut dimulakan dengan alunan bacaan Surah al-Insan dan terjemahannya yang dibimbing Coach Jamil.

COACH JAMIL

“Dalam surah al-Insan, ALLAH SWT mengingatkan siapa diri kita yang sebelum ini tidak pernah disebut atau dikenali. Kemudian ALLAH menjadi manusia daripada setitis mani, dan kehidupan manusia sentiasa diuji untuk mentaati-NYA.

“ALLAH memberi nikmat pendengaran dan penglihatan kepada manusia untuk dimanfaatkan sebagai orang yang bersyukur dalam mendapat petunjuk dan hidayah atau sebaliknya, iaitu orang kufur yang mengingkari nikmat ALLAH.”

Baca juga Surah ar-Rahman Menyingkap Sifat Pemurah ALLAH SWT

“Kita perlu bersyukur melalui lisan, kalbu, perbuatan dan berusaha menjadi orang yang abrar atau berbuat kebaikan yang banyak dan berterusan,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Rumah Ngaji Ummah Ikhlas Melaka, Nooratikah Amir berkata, Melaka River Cruise #QuranHour bertujuan memberi pengisian kerohanian untuk mengingatkan kita mengenai kehidupan di dunia dan akhirat, sambil berlibur.

NOORATIKAH

“Melaka River Cruise menjadi tarikan para pelancong dari dalam dan luar negara untuk melihat keindahan di Melaka Bandaraya Bersejarah.

“Pihak kami bercadang untuk memperluaskan penganjuran program tersebut secara berkala dengan menjemput Rumah Ngaji lain pada masa akan datang.”

Ketua Seksyen Unit Dakwah dan Tarbiah, Jabatan Agama Islam Melaka, Ustaz Murad Ahmat yang juga peserta berkata, pendekatan program tersebut dapat melihat kebesaran ciptaan ALLAH (ayat kauniyah) dan mendegaran ayat al-Quran (ayat qauliyah).

“Konsep pembelajaran secara tidak rasmi, santai tapi santai mampu menarik minat pelbagai golongan sasaran dalam berdakwah. Walaupun masa agak terhad untuk mengikuti tadabbur al-Quran di atas bot, namun peserta dapat ambil pengisian untuk dibawa balik dan dipraktikkan dalam kehidupan.

Baca juga Memang mudah baca al-Quran tulisan rumi, tapi elakkanlah. Ini sebabnya…

Pihak JAIM sentiasa memberi sokongan dan kerjasama dengan Pertubuhan Rumah Ngaji Ummah Ikhlas dalam menjalankan pelbagai program yang menyuburkan al-Quran di Melaka.

USTAZ MURAD

Kata beliau, kepentingan surah al-Insan adalah mengingatkan manusia yang mudah lupa. Surah tersebut sunnah dibaca pada Jumaat.

“Manusia sentiasa diuji untuk bukan untuk mengeluh, tetapi untuk kita bersabar dan mensyukuri atas nikmat yang ALLAH berikan,” ujarnya.

Surah al-Insan menjadi surah pilihan yang membawa tema Memanusiakan Ummah bagi program #QuranHour termasuk World #QuranHour yang diadakan pada 22 Ramadan 1444H bersamaan 13 April 2023.

Untuk maklumat lanjut, sila layari Facebook World QuranHour.

***Artikel dan foto disediakan oleh Fouziah Amir