Browsing Tag

Surah al-Buruj

Surah al-Buruj
Isu, Pilihan Editor,

4 Sumpah ALLAH SWT Dalam Surah Al-Buruj, Berikut Penjelasannya

Oleh SYAHIDATUL AKMAL DUNYA

SEBAGAIMANA hebat pun dunia sains, tiada satu cabang ilmu yang dapat menandingi kehebatan pengetahuan dan ciptaan ALLAH. Hal yang paling mudah, pernah atau tidak kita terfikir bagaimana seekor burung dengan lancar dapat terbang di angkasa? Semuanya itu atas izin daripada-NYA.

Seandainya kita dengan penuh tawaduk melihat putaran alam, penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang belayar di laut, ia juga sudah cukup menunjukkan betapa hebat kebesaran dan keesaan ILAHI.

Sebaik mendongak ke langit pada waktu malam pula, kita boleh melihat taburan bintang bergemerlapan yang selalu menghiasi langit dengan cahaya dan keindahannya.

Bintang juga sering dijadikan petunjuk di dalam kegelapan sama ada di darat, mahupun di laut. Keberadaan ‘lampu dari langit’ itu juga secara jelas membuktikan kekuasaan-NYA yang tidak terhingga. Sesungguhnya, ALLAH YANG MAHA BERKUASA telah memerihalkan tentang bintang menerusi Surah al-Buruj yang bermaksud gugusan bintang.

Apakah inti sari pengajaran dan pedoman yang boleh kita raih daripada surah berkenaan? Benarkah Surah al-Buruj ini diturunkan demi untuk menghiburkan hati Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang berada dalam keadaan tertekan akibat dihina, diseksa sepanjang menyebarkan dakwah di bumi Makkah? Benarkah ia merupakan satu surah sumpahan ALLAH?

Sumpah ALLAH

Kepada pendakwah Amly Asenar, Sinar Islam Plus melontarkan soalan-soalan itu. Menerusi surah ke-85 dalam al-Quran itu, beliau berkata, ALLAH SWT menjelaskan kepada manusia tentang empat sumpah yang terkandung banyak teladan kepada semua umat manusia.

AMLY ASENAR

Antara empat sumpah ALLAH itu adalah:

  1. Berkenaan dengan langit yang mempunyai buruj.
  2. Hari yang dijanjikan.
  3. Apa yang bersaksi.
  4. Apa yang disaksikan.

Kesemuanya itu secara jelas menunjukkan betapa luasnya ilmu ALLAH, kesempurnaan hikmah dan kekuasaan-NYA, ujar pendakwah berkenaan. Firman ALLAH dalam Surah al-Buruj dalam ayat 1 hingga 3: “Demi langit yang mempunyai tempat-tempat peredaran bintang-bintang; Dan hari (pembalasan) yang dijanjikan; Dan demi apa yang bersaksi dan apa yang disaksikan.”

Berdasarkan setiap ayat tersebut, Amly mahu kita semua merenung sejenak empat sumpah yang dimaksudkan.

“Sumpah yang pertama adalah bersumpah dengan buruj iaitu tempat-tempat peredaran bintang. Perkara berkaitan bintang ini tidak asing dalam kehidupan manusia kerana aktiviti kehidupan kita sentiasa berubah mengikut peredaran bintang-bintang ini. Dengan teknologi terkini juga kita semakin mengetahui pelbagai hikmah yang menunjukkan kekuasaan ALLAH di sebalik peredarannya,” katanya.

Mengulas lanjut, penceramah tersebut menjelaskan, ALLAH bukan sahaja mengatur kehidupan manusia dengan bintang-bintang, malah apabila DIA hendak menamatkan dunia ini juga, akan merujuk kepada perubahan cakerawala itu.

Surah al-Buruj

BERLAKUNYA perubahan di
alam cakerawala, begitulah juga
berubahnya kehidupan manusia.

Mengenai sumpah kedua, Amly berkata, fungsi dunia hanyalah sebagai tempat persinggahan dan tempat ujian bagi manusia. Ia tidak akan kekal selama-lamanya.

“Sesungguhnya, ALLAH telah menyediakan tempat yang kekal abadi. Oleh itu, ALLAH bersumpah dengan hari yang telah DIA janjikan melalui al-Quran dan junjungan besar Nabi Muhammad SAW iaitu hari kiamat. Ketika itu, kita akan kembali kepada-NYA bagi dinilai setiap amalan yang dilakukan,” katanya.

Justeru, ungkap pendakwah itu, jika umat Islam memandang keunggulan bintang-bintang yang berkerdip di langit dan menggunakannya sebagai panduan menguruskan kehidupan, sudah pasti mereka dapat memikirkan betapa hebatnya hari akhirat yang kekal abadi.

Baca juga Subhanallah, 70,000 Malaikat Akan Memohon Keampunan Untuk Mereka Yang Amalkan Surah Ad-Dukhan

Kisah ashabul ukhdud 

Sinar Islam Plus kemudian mendapatkan pandangan pendakwah Mohd Hasrul Wahab bagi mengupas perkara ini.

Katanya, terdapat satu lagi inti pati terbesar dan signifikan dalam Surah al-Buruj yang tergolong dalam surah Makkiyyah yang mempunyai 22 ayat itu.

Ya, tidak lain tidak bukan adalah mengenai cerita ashabul ukhdud (para pembuat parit) yang boleh diperincikan dalam ayat ke-4. ALLAH SWT berfirman: “Binasalah orang-orang yang membuat parit (ashabul ukhdud).”

Mohd Hasrul memberitahu, terdapat pelbagai tafsiran oleh ahli tafsir tentang makna ayat tersebut.

Sesetengahnya mengaitkan dengan kisah daripada hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada sahabat Suhaib al-Rumy RA. Dalam hadis itulah dijelaskan kisah ghulam (remaja) dan orang buta yang disembuhkan penglihatannya.

“Secara ringkasnya (hadis tersebut) menceritakan mengenai seorang raja yang mempunyai ahli sihir tua dan meminta dikirimkan seorang remaja untuk diajarkan ilmu sihir.

“Ketika dalam perjalanan, remaja ini bertemu dengan rahib dan berasa takjub dengan nasihat-nasihatnya. Perkara ini berlaku berulang kali.

“Pada suatu hari, remaja tersebut sampai di suatu tempat dan terdapat seekor binatang yang besar menghalangi jalan. Lalu dia mengambil batu kemudian berkata, ‘Ya ALLAH, apabila urusan rahib lebih dicintai di sisi-MU daripada tukang sihir itu, maka bunuhlah binatang ini sehingga orang ramai boleh melintas.’ Lalu dia melempar kepada binatang tersebut dan ia terbunuh,” katanya.

Mohd Hasrul yang juga Editor Buku Agama Karya Bestari berkata, pengkisahan remaja terbabit yang mampu menyembuhkan orang buta dan penyakit kulit itu akhirnya sampai ke pengetahuan teman raja yang telah lama buta, lalu meminta agar diubati.

Remaja itu berkata, sekiranya teman raja tersebut mahu beriman kepada ALLAH SWT, maka dia akan berdoa kepada ALLAH agar diberi kesembuhan. Lalu dia pun beriman kepada ALLAH dan disembuhkan oleh-NYA.

Surah al-Buruj

SURAH al-Buruj sarat dengan pengajaran yang memberi motivasi kepada golongan mukmin supaya terus berpegang dengan agama Islam.

Kemudian, teman raja itu mendatangi raja. Raja bertanya: “Hai fulan, siapa yang menyembuhkan matamu?” Orang itu menjawab: “Tuhanku.” Raja bertanya lagi: “Kamu ada Tuhan lain selainku?” Teman raja itu berkata: “Tuhan aku dan Tuhan kamu ialah ALLAH SWT.”

Raja itu kemudian menyeksa temannya dan rahib dengan digergaji kepala mereka. Sementara, remaja tersebut cuba dibunuh dengan cara melemparkannya dari gunung dan dibuang ke tengah laut. Namun usaha-usaha tersebut gagal.

Remaja itu kemudian memberitahu raja dia tidak boleh dibunuh kecuali dengan dikumpulkan semua orang lalu menyalibnya di atas pelepah, dan memanahnya sambil membaca Bismillahi rabbil ghulam (dengan nama ALLAH, Tuhan kepada remaja ini).

Baca juga 5 Bayi Yang Boleh Bercakap Menurut Al-Quran dan Hadis

Selepas itu, barulah remaja itu mati. Mereka yang menyaksikan peristiwa itu terus beriman.

Melihat situasi tersebut, raja berkenaan memerintahkan agar parit digali dan dinyalakan api bagi menghukum sesiapa yang menentangnya.

Mereka pun melakukannya sehingga ada seorang wanita bersama bayinya yang tidak berani masuk ke dalam parit. Namun, atas izin-NYA, bayi itu lantas berkata-kata: “Wahai ibu, bersabarlah kerana engkau berada di jalan yang benar.

“Lihat, betapa berani dan hebatnya tahap keimanan golongan yang diceritakan tadi. Mereka sanggup mempertahankan ketauhidan kepada ALLAH SWT walaupun dicampak ke dalam parit dan dibakar hidup-hidup,” katanya mengakhiri kisah yang cukup terkenal itu.

ALLAH SWT sentiasa mendengar doa hamba-hamba-NYA yang beriman

PENDAKWAH Muhamad Fitri Abdul Razak berkata, kisah ashabul ukhdud yang membabitkan seorang ghulam atau remaja lelaki yang berumur dalam lingkungan umur 11 hingga 14 tahun itu perlu dijadikan teladan dan iktibar kepada anak muda hari ini.

MUHAMAD FITRI

Ini kerana katanya, usia bukanlah faktor untuk menghalang seseorang menuntut ilmu dan mendalami agama yang suci ini.

Muhamad Fitri yang juga Penolong Pendaftar Pusat Islam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata, walaupun seseorang itu masih kecil, namun apabila diajak untuk mengenal ALLAH SWT, mereka akan dapat memahami dan segala yang diajar akan mudah melekat dalam mindanya.

Seperti kata pepatah arab, innal ‘ilma fish shighor kan-naqsyi fil hajar yang bererti sesungguhnya menimba ilmu ketika kecil seperti memahat pada batu. Kata mudahnya, ilmu yang diraih ketika masih mentah lebih kukuh.

Kisah para pembuat parit tersebut juga kata pendakwah itu, menunjukkan kesungguhan seseorang dalam mempertahankan keimanan dan memohon perlindungan daripada ALLAH SWT supaya dijauhkan daripada kekufuran.

“Bayangkan, pada saat berhadapan dengan seksaan, remaja tersebut tetap berpegang teguh dengan ALLAH SWT dan bersungguh-sungguh berdoa: ‘Ya ALLAH, selamatkanlah aku dengan apa cara yang KAMU sukai’.”

“ALLAH SWT sentiasa mendengar doa hamba-hamba- NYA yang beriman dan akan membantu mereka di dalam kesusahan. Apabila kita menjadi hamba-NYA yang taat dan menegakkan agama, maka doa kita semakin didengari,” ujar beliau.

Dalam ayat 8 hingga 9, Surah al-Buruj, ALLAH berfirman: “Dan mereka tidak menyeksa orang-orang Mukmin itu melainkan kerana orang-orang Mukmin itu beriman kepada ALLAH YANG MAHA PERKASA LAGI MAHA TERPUJI, yang mempunyai kerajaan langit dan bumi dan ALLAH YANG MAHA MENYAKSIKAN SEGALA SESUATU.”

Sesungguhnya, iman tidak memerlukan waktu yang lama untuk bersemayam di dalam sanubari kita. Justeru, berpegang teguhlah dan terus bersabar walaupun disakiti. Sama-samalah kita mencontohi perjuangan golongan yang dikisahkan dalam cerita ashabul ukhdud.

Surah al-Buruj

DIDIK anak-anak dengan al-Quran sejak kecil lagi supaya mereka dapat mempelajari inti pati yang terkandung di dalamnya.

ANEKDOT

8 fakta menarik yang terkandung dalam Surah al-Buruj

  1. Surah al-Buruj merupakan surah yang ke-7 daripada 15 surah yang bermula dengan sumpah iaitu as-Saaffaat, adz-Dzaariyaat, at-Tuur, an-Najm, al-Mursalaat, an-Naazi’aat, al-Buruj, at-Taariq, al-Fajr, asy-Syams, adh-Dhuha, at-Tiin, al-‘Aadiyaat dan al-‘Asr.
  2. Surah ini mempunyai dua objektif utama iaitu mengancam penjenayah dan pembunuh kaum mukminin zaman-berzaman. Ia juga memberi motivasi kepada mukminin yang sedang diseksa.
  3. Surah al-Buruj turun pada permulaan fasa tiga iaitu ketika umat Islam sudah diseksa dan dipukul, bahkan ada yang telah syahid seperti Sumayyah dan beberapa sahabat yang lain.
  4. Surah yang menggambarkan betapa dahsyatnya ujian yang diterima oleh orang yang beriman dan beramal soleh pada zaman dahulu berbanding umat Islam selepasnya.
  5. Ia juga memberi motivasi kepada para sahabat Nabi Muhammad SAW bahawa masyarakat Quraisy akan menerima nasib yang sama dengan raja yang zalim.
  6. Memberikan semangat kepada para sahabat supaya kekal dengan tauhid kepada ALLAH SWT walaupun teruk diseksa.
  7. Memberi dorongan kepada para sahabat supaya yakin kepada ALLAH SWT YANG MAHA MENYAKSIKAN setiap kekejaman yang dilakukan oleh kafir Quraisy.
  8. Sungguhpun masyarakat kafir Quraisy hebat dari sudut kekuatan dan ketenteraan, tetapi tetap ditumpaskan oleh ALLAH SWT dengan mudah sekali. Maka, yakinlah dengan kekuasaan-NYA.

Sumber: Ustaz Syaari Ab Rahman

Foto: 123rf, Freepik & Unsplash