Browsing Tag

sunah

jam tangan
Gaya Hidup,

Tangan kanan atau kiri, mana lebih afdal untuk pakai jam tangan?

KETIKA ini, walaupun masih ramai memilih menjadikan telefon bimbit untuk melihat masa, namun penggunaan jam tangan masih lagi relevan.

Bercakap tentang jam tangan, ada yang lebih selesa untuk memakainya pada tangan kiri, tidak kurang juga yang menggayakannya pada bahagian kanan. Semuanya mengikut keselesaan si pemakai.

Namun, tangan manakah sebenarnya yang lebih baik untuk pemakaian jam tersebut? Tangan kanan atau kiri? Adakah ia dilihat tidak elok atau ‘gagal’ menepati sunnah andai dipakai pada tangan kiri?

Menjawab persoalan tersebut, agamawan terkemuka, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, menjelaskan, pemakaian jam tangan adalah diharuskan secara ringkasnya.

Pun demikian, beliau mengajak umat Islam untuk memahami bahawa jam tangan yang dipakai pada hari ini tidak dikenali pada zaman dahulu.

Baca Juga Jumpa wang di tepi jalan, ambil atau biarkan. Ini penjelasan Dr Zulkifli

“Justeru, kita hendaklah melihat perhiasan yang serupa atau mirip kepada jam tangan dan secara zahirnya, ia dilihat menyerupai perbuatan memakai cincin,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web Maktabah Albakri.

Agamawan itu kemudian menukilkan pandangan Syeikh Ibn Soleh al-‘Uthaimin yang menyatakan, memakai jam tangan pada tangan kanan tidak ada masalah dan tidak juga ada keutamaan (afdhaliyyah) padanya. Malah, seseorang itu boleh memilih untuk memakai jam tangannya pada mana-mana tangan, sama ada kanan atau kiri.

SESEORANG lelaki dibenarkan atau diharuskan untuk memakai jam tangan dan tidak ada masalah memakainya kerana tidak syak lagi bahawa pemakaian jam tangan itu pada asalnya adalah kerana keperluan mengetahui waktu. Foto: Pexels

“Sesungguhnya telah sabit daripada Nabi Muhammad SAW bahawasanya Baginda kadang-kadang memakai cincin pada tangan kanannya, dan kadang-kadang memakainya pada tangan kirinya. Pemakaian jam tangan termasuk dalam jenis cincin (dari segi hukumnya).

“Berdasarkan perkara itu, Syeikh Ibn Soleh al-‘Uthaimin berpendapat, tidak mengapa seseorang itu memakai jam tangan pada tangan kirinya. Begitu juga tidak mengapa memakainya pada tangan kanan, dan tidak ada sebarang kelebihan mahupun keutamaan dalam pemakaiannya ke atas yang lain (sama ada kanan atau kiri),” terangnya.

Artikel Berkaitan 

Dalam pada itu, mantan Mufti Wilayah Persekutuan tersebut mengakui, ramai orang pada hari ini mengenakan jam pada tangan kiri lantaran tangan kanan lebih banyak digunakan dalam kehidupan seharian berbanding tangan kiri.

“Jika dia memakai jam tangan pada tangan kanannya, berkemungkinan ia akan menghalang atau mengganggu aktiviti sehariannya atau kemungkinan juga akan mendedahkannya kepada kerosakan,” katanya.

“Oleh sebab itu, tidak menjadi masalah mereka berbuat demikian,” katanya.

TIDAK menjadi masalah memakai jam tangan pada mana-mana tangan sama ada kanan atau kiri. Kedua-duanya adalah diharuskan. -Foto: Pexels

Bagaimanapun, Dr Zulkifli menjelaskan, para ulama Mazhab Syafie berpandangan bahawa pemakaian cincin pada tangan kanan adalah lebih afdal dan utama.

Ia sebagaimana pendapat Imam al-Nawawi yang menyebutkan, dibolehkan bagi seorang lelaki untuk memakai cincin perak pada jari kelingking tangan kanannya dan sekiranya dia mahu, individu tersebut boleh memakainya pada jari kelingking tangan kirinya.

Turut Disyorkan Islam izin kongsi kisah rumahtangga selagi tidak aibkan pasangan

“Kedua-duanya sahih dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Akan tetapi, pendapat yang sahih lagi masyhur adalah lebih afdal untuk memakainya pada tangan kanan kerana ia merupakan perhiasan dan tangan kanan adalah lebih mulia,” titipnya.

Berdasarkan kepada kenyataan itu, agamawan tersebut berpendapat, tidak menjadi masalah memakai jam tangan pada mana-mana tangan sama ada kanan atau kiri. Kedua-duanya adalah diharuskan.

Namun, jika seseorang itu memakai jam pada tangan kanan dengan tujuan untuk mengikuti sunnah Nabi Muhammad SAW (ittiba‘ al-Nabi) dalam hal mendahulukan anggota kanan, maka tidak syak lagi ia adalah lebih afdal dan mendapat pahala.

Sumber : maktabahalbakri 

mimpi
Gaya Hidup,

Hembus ke kiri, antara sunah Nabi SAW apabila mendapat mimpi buruk

HEMBUS ke kiri, antara sunah Nabi SAW apabila mendapat mimpi buruk…

Setiap manusia pasti pernah mengalami mimpi. Mimpi itu boleh hadir dalam pelbagai jenis. Adakalanya ia menyenangkan, menakutkan, membosankan, atau benar-benar aneh.

Yang kurang enak adalah apabila kita terjaga gara-gara mimpi yang buruk. Jika perkara itu berlaku, pendakwah terkenal, Ustaz Salman Maslori atau PU Salman memberitahu ada beberapa sunah Nabi SAW yang boleh kita amalkan.

Menerusi sebuah hantaran di media sosial Facebook, beliau menyenaraikan tujuh perlakuan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW setelah kita terjaga daripada suatu mimpi buruk:

Baca juga Jangan cerita kepada sesiapa, kalau didatangi 3 jenis mimpi ini…

mimpi

SEBELUM tidur, berdoalah kepada ALLAH SWT terlebih dahulu agar diri dihindari daripada diganggu syaitan. Foto: Freepik

1. Meludah atau hembus ke kiri sebanyak tiga kali.

Dari Abu Qatadah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda: “Mimpi yang baik datang dari ALLAH dan mimpi buruk dari syaitan. Maka bila kamu bermimpi buruk, meludahlah ke kiri tiga kali, kemudian berlindung kepada ALLAH dari bahaya kejahatannya, nescaya dia tidak membahayakan.” (Hadis Riwayat Muslim)

Namun, sekadar menghembus tanpa mengeluarkan air ludah juga sudah memadai seperti yang dijelaskan Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Adzkar.

Turut disyorkan 12 amalan ringkas Rasulullah SAW. Rupanya senang nak dapat pahala

2. Baca ta’awwuz.
Untuk memohon perlindungan daripada ALLAH SWT, Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita untuk membaca ta’awwuz sebanyak tiga kali selepas mengalami mimpi buruk, iaitu:

أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

A’uzubillahi minas Syaitonir Rajim

Ertinya: “Aku berlindung dengan ALLAH dari syaitan yang direjam.”

Baca juga Amal zikir ringkas ini, dosa akan berguguran seperti daun

mimpi

BACALAH ta’awwuz sebanyak tiga kali jika terjaga daripada tidur akibat mimpi buruk. Foto: Pexels

Baca juga Baca al-Quran sebelum tidur tanpa menutup aurat, ini hukumnya yang wajib kita tahu

3. Mengubah posisi tidur.
Dari Jabir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang kamu bermimpi dengan mimpi yang tidak disenanginya, maka hendaklah dia meludah ke kiri tiga kali, kemudian berlindung kepada ALLAH dari gangguan syaitan tiga kali, sesudah itu merubah posisi tidur dari posisinya semula.” (Hadis Riwayat Muslim)

Turut disyorkan Solat sunat wuduk, antara amalan ahli syurga

4. Solat.
Jika sampai terbangun akibat mimpi, maka sebaik-baiknya ambil peluang untuk melaksanakan solat malam juga.

Sabda Nabi SAW: “…Maka kerana itu, jika kamu bermimpi yang tidak kamu senangi, bangunlah, kemudian solat, dan jangan menceritakan kepada orang lain.” (Hadis Riwayat Muslim)

mimpi

ELAKKAN bercerita tentang mimpi buruk yang dialami kepada orang lain. Foto: 123RF

Baca juga Awas ‘kaki sembang’, ia antara perilaku yang dibenci Rasulullah SAW

5. Tidak menceritakan kepada orang lain.
Jika kita bermimpi buruk, maka seelok-eloknya jangan diceritakan mimpi tersebut kepada orang lain.

Dari Jabir RA, beliau berkata Nabi SAW bersabda: “Bila salah seorang di antara kalian bermimpi buruk, maka janganlah dia mengkhabarkan kepada orang lain perihal permainan syaitan pada dirinya dalam tidurnya“. (Hadis Riwayat Muslim)

6. Berdoa.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ، وَسَيِّئَاتِ الْأَحْلَامِ، فَإِنَّهَا لَا تَكُونُ شَيْئًا

Ertinya: “Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung denganMU dari kerja syaitan dan mimpi-mimpi yang buruk, sesungguhnya ia tidak memberi apa-apa kemudaratan.”

Turut disyorkan Rasulullah SAW ajarkan doa ini sebelum bersurai dari suatu majlis

mimpi buruk

JANGAN terlalu fikirkan mimpi buruk yang dialami kerana mungkin akan menyebabkan pentafsiran negatif. Foto: 123RF

Baca juga Ustazah Asma’ Kongsi Doa Elak Daripada Gangguan Syaitan

7. Yakin mimpi itu tidak membawa kemudaratan.
Jika mendapat mimpi buruk, usah terlalu memikirkannya sehingga menimbulkan kerisauan. Sebaliknya, yakinlah bahawa mimpi tersebut tidak membawa apa-apa kemudaratan.

Agamawan terkemuka, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri juga pernah memberi peringatan agar tidak sewenang-wenangnya mentafsirkan mimpi, sama ada mimpi sendiri mahupun orang lain.

Jelas beliau, perkara tersebut adalah kerana dikhuatiri mimpi berkenaan disalah tafsir dan disalah anggap oleh masyarakat sehingga menjadi fitnah.

Justeru, tidak kiralah apa jenis mimpi buruk yang dialami, sebaik-baiknya mintalah keampunan kepada ALLAH agar kita sentiasa dilindungi daripada gangguan syaitan.

Sumber: Facebook PU Salman & Dalamislam.com

Foto: Freepik, Pexels & 123RF

Rasulullah lakukan ini ketika bermusafir
Hukum,

Bercuti atau balik kampung, jangan lupa sunnah Rasulullah SAW ini ketika bermusafir.

FIRMAN ALLAH “DIA-lah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya..”(Surah al-Mulk, ayat 15)

Islam sangat menggalakkan umatnya mengembara. Sambil-sambil meneroka alam ciptaan ALLAH, dapat juga memahami gaya hidup serta budaya masyarakat lain.

Rasulullah SAW juga banyak bermusafir untuk urusan perniagaan dan dakwah Islamiah. Mungkin kaedah pengangkutan yang ada pada hari ini berbeza dengan Nabi SAW yang menunggang unta dan berkuda namun amalan Baginda kekal relevan sehingga kini.

Tatkala bermusafir ada beberapa tatacara yang elok untuk diamalkan sebagaimana anjuran Rasulullah, berikut perinciannya:

1. Menunaikan solat sunat dua rakaat sebelum bermusafir
Daripada Jabir bin Abdullah RA berkata: “Rasulullah mengajar kami beristikharah dalam semua perkara sebagaimana satu surah al-Quran.

Pesan Nabi:Jika kamu memikir-mikirkan tentang sesuatu, maka solatlah dua rakaat yang bukan solat wajib. Kemudian berdoa (doa istikharah).” (Hadis riwayat al-Bukhari)

2. Cari peneman atau berkonvoi
Nabi bersabda: “Kalaulah manusia tahu apa yang aku tahu tentang seseorang apabila berseorangan, pasti tiada siapa pun yang akan menunggang pada waktu malam seorang diri.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW lakukan perkara ini ketika bermusafir

WALAUPUN kaedah pengangkutan kini tidak serupa zaman Nabi SAW dahulu, namun ajaran baginda tetap dapat kita praktikkan.

3. Memulakan perjalanan pada hari Khamis atau pada waktu malam
Kaab bin Malik berkata: “Rasulullah keluar ke perang Tabuk pada hari Khamis. Baginda memang suka keluar pada hari Khamis.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW juga gemar melakukan perjalanan pada malam hari kerana suasananya yang lebih baik dan sejuk berbanding waktu siang yang panas.

Daripada Anas bin Malik RA, Nabi SAW juga bersabda:
Berjalanlah berjalan malam, sesungguhnya bumi ‘dilipat’ pada waktu malam.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Menurut Imam al-Munawi, keadaan malam yang tenang juga boleh membuatkan perjalanan terasa lebih cepat jika dibandingkan dengan waktu siang.

4. Membaca doa safar (musafir) sebelum memulakan dan setelah pulang daripada permusafiran

Mulakan doa safar dengan bertakbir sebanyak tiga kali اَللهُ أَكْبَرُ

Kemudian diikuti dengan doa berikut:

سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا، وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ، وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ، اللهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى، وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى، اللهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا، وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ، اللهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ، وَالْخَلِيفَةُ فِي الْأَهْلِ، اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ، وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ، وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالْأَهْلِ

Ertinya: “Maha Suci ALLAH yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali. Ya, ALLAH! Sesungguhnya kami memohon kebaikan dan taqwa dalam perjalanan ini, dan dengan amalan yang ENGKAU redhai. Ya ALLAH! Permudahlah perjalanan kami ini, dan dekatkanlah bagi kami jarak yang jauh. Ya ALLAH! Sesungguhnya ENGKAU adalah teman dalam perjalanan, dan ketua bagi ahli keluarga. Ya ALLAH! Sesungguhnya aku berlindung denganMU dari kesukaran perjalanan ini, dan pemandangan yang buruk. Dan dari kejahatan yang boleh menimpa harta dan ahli keluarga sekembalinya kami.”

 

Rasulullah lakukan perkara ini ketika bermusafir

HIASI perjalanan kita dengan doa dan kalamullah supaya diberkati ALLAH SWT.

5. Mendoakan orang yang ditinggalkan

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW berpesan:

Sesiapa yang hendak bermusafir, hendaklah dia mendoakan orang yang dia tinggalkan:

أَسْتَوْدِعُكُمُ اللَّهَ الَّذي لا تَضِيعُ وَدَائِعُهُ

Aku mengamanahkan kamu kepada ALLAH yang tidak pernah hilang simpanan-Nya.” (Hadis riwayat Ahmad)

6. Bertakbir (Allahuakbar) apabila melalui tempat tinggi dan bertasbih (Subhanallah) ketika melewati tempat rendah

Daripada Jabir RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Sesungguhnya kami apabila menaiki tempat yang tinggi, maka kami bertakbir dan apabila kami menuruni tempat yang rendah, maka kami bertasbih.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Baca juga Boleh ke tunaikan solat jamak qasar ketika mulakan perjalanan musafir lepas masuk waktu solat?

7. Segera kembali kepada keluarga apabila urusan sudah selesai
Rasulullah bersabda: “Perjalanan satu keratan daripada azab. Kamu tidak boleh makan, minum dan tidur (seperti biasa). Maka apabila urusan musafir kamu selesai, segeralah kembali kepada keluarga.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

8. Balik daripada musafir membawa hadiah
Tidak semestinya hadiah yang mahal-mahal tetapi cukup sebagai tanda kita ingat akan mereka.

Hendaklah kamu saling memberi hadiah, nescaya kamu akan saling berkasih sayang.” (Hadis riwayat al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad)

Rasulullah lakukan perkara ini ketika bermusafir

PELIHARA adab ketika memandu dan patuhi undang-undang jalan raya tatkala bermusafir.

9. Zikir dalam perjalanan pulang

آيِبُونَ تَائِبُونَ عَابِدُونَ لِرَبِّنَا حَامِدُونَ

Anas pernah bermusafir bersama Nabi. Tatkala kota Madinah kelihatan, Baginda pun mengucapkan (bacaan di atas).

Baginda ulang-ulang sehinggalah kami tiba di Madinah.” (Hadis riwayat Muslim)

10. Solat di masjid berdekatan
Kaab bin Malik berkata: “Ketika pulang daripada perjalanan, Baginda akan singgah di masjid dahulu untuk solat dua rakaat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Semoga perkongsian ini dapat dijadikan amalan setiap kali anda melakukan sesuatu perjalanan. Sambil berjalan, sambil beramal. Barulah perjalanan menjadi lebih mudah dan diberkati ALLAH SWT.

Foto: Unsplash