Browsing Tag

sunah Aidilfitri

Sambut Aidilfitri
Isu, Pilihan Editor,

Usah Bermewah-mewah, Melaram Dan Berlebih-lebihan Ketika Sambut Aidilfitri

no comment

PERASAAN sebak dan sayu mula mencengkam sanubari apabila Ramadan bakal pergi sedikit masa lagi. Demikianlah emosi yang menjentik hati mereka yang begitu menghargai bulan agung itu.

Namun begitu, hakikat kehidupan tetap perlu diteruskan seperti sedia kala. Ya, hanya beberapa hari lagi Syawal bakal menjengah. Itulah saat untuk meraikan hari kemenangan selepas sebulan menunaikan Rukun Islam ketiga dan menahan godaan nafsu sepanjang berpuasa pada bulan Ramadan.

Begitupun, ia bukanlah bermaksud kita menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh kegembiraan sehingga mengetepikan bab hukum-hakam agama. Apatah lagi, kita baru sahaja melalui madrasah Ramadan yang begitu menginsafkan dan memberikan kedamaian.

Sempena ketibaan Aidilfitri yang bakal membuka tirainya lima hari lagi iaitu dijangka pada hari Khamis depan, Sinar Islam Plus berkongsi sekali lagi tentang adab menyambut Syawal.

Bagaimana cara meraikan Aidilfitri mengikut syariat agama? Dalam musim pandemik Covid-19 ini, bolehkah kita menolak kehadiran tetamu begitu sahaja disebabkan ketakutan kita terhadap virus itu?

Pakaian baharu

Membuka bicaranya, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Siti Fatahiyah Mahamood menjelaskan, kedatangan Syawal disambut sebagai tanda kemenangan setelah sebulan kita berpuasa dan menunaikan ibadah lain semata-mata untuk mendapat magfirah dan barakah daripada ALLAH SWT.

SITI FATAHIYAH

“Di samping itu, Aidilfitri juga memberi ruang untuk kita merapatkan silaturahim sesama keluarga dan para sahabat. Namun, apabila kita masih berada dalam musim wabak Covid-19 yang belum reda, perlu untuk kita mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi menghapuskan pandemik ini dan menghalangnya daripada merebak.

“Hikmah di sebalik perayaan ini sebenarnya menjadikan kita lebih dekat dengan ALLAH SWT apabila kita sedar bahawa hanya DIA sahaja yang boleh membantu dan menyelamatkan kita daripada penyakit berbahaya ini,“ katanya yang turut mengingatkan semua tentang tanggungjawab untuk membayar zakat fitrah sebelum menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

Saat tibanya Syawal nanti, ujar beliau, antara adab utama yang perlu kita lakukan adalah memperbanyakkan takbir. Waktunya bermula setelah berakhirnya bulan Ramadan dan tamat ketika selesainya solat sunat Aidilfitri.

“Takbir dilaungkan tidak kira di mana kita berada sebagai tanda mengagungkan kebesaran ALLAH SWT, memuji kebesaran-NYA dan sebagai tanda kesyukuran kita,“ katanya.

ALLAH SWT berfirman: “Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan ALLAH kerana mendapat petunjuk-NYA, dan supaya kamu bersyukur.“ (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Sambut Aidilfitri

HIDUPKANLAH Hari Raya Aidilfitri dengan perkara bermanfaat dan tidak melakukan perbuatan yang sia-sia dalam meraikan hari kemenangan umat Islam.

Dalam pada itu, Siti Fatahiyah turut memperbetulkan tanggapan masyarakat tentang pakaian baharu ketika lebaran. Ujarnya, memang benar umat Islam disunatkan untuk mandi sunat Aidilfitri dan digalakkan memakai pakaian baharu yang bersih serta bau-bauan bagi menunjukkan sisi penampilan kita yang gembira pada hari kemenangan tersebut.

“Namun, maksud baju baharu di sini tidak semestinya pakaian yang baru disiapkan untuk hari istimewa tersebut, tetapi ia sebenarnya merujuk kepada baju biasa yang lama kita pakai dan ia merupakan pakaian yang paling terbaik. Paling penting, ia baru dibasuh dan bersih. Suka untuk saya ingatkan kepada kaum Hawa, mereka tidak dibolehkan untuk memakai bau-bauan sehingga menarik perhatian atau menimbulkan fitnah,“ katanya.

Baca juga Sedekah Benteng Diri Daripada Api Neraka

Ikut syariat

Menyambung hujahnya, Siti Fatahiyah menjelaskan, ketibaan Syawal sepatutnya disambut untuk merayakan kejayaan kita beribadah pada bulan Ramadan, bukannya menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah dengan kemewahan yang jelas bertentangan dengan kehendak agama.

“Justeru, sambutlah secara sederhana mengikut kemampuan masing-masing. Ketahuilah, setiap amalan kita akan dipertanggungjawabkan mengikut niat kita. Jadi kawallah setiap perbuatan dengan perbetulkan niat kita,“ katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan golongan wanita agar berfesyen mengikut syariat dan tidak memakai pakaian yang menzahirkan aurat.

Fakta yang dilontarkan Siti Fatahiyah itu turut dipersetujui oleh pendakwah Abu Bakar Ali As-Sudani. Beliau menambah, terdapat dua cara yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika meraikan Syawal.

ABU BAKAR

Pertama, ia melibatkan perbuatan baginda SAW pada malam Syawal yang merupakan kesinambungan daripada bulan Ramadan.

“Jika dilihat pada 10 hari terakhir Ramadan, Nabi Muhammad SAW beriktikaf. Begitu juga dengan isteri-isteri baginda SAW. Menjelang malam Syawal, baginda tanpa jemu meneruskan lagi iktikaf dan menghidupkan malam tersebut dengan qiamullail,“ katanya.

Ia sebagaimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah al-Bahili bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menghidupkan dua malam Hari Raya (Aidiladha dan Aidilfitri) kerana mengharapkan ganjaran kerana ALLAH. Maka hatinya tidak akan mati pada hari di mana matinya hati-hati (manusia).“ (Riwayat Ibnu Majah)

Walaupun kita dibuai keseronokan pada malam raya, Abu Bakar mengingatkan bahawa kita masih lagi dalam rentetan bulan Ramadan. Semangat beribadah pada bulan mulia itu perlu diteruskan dengan qiamullail sebagaimana ibadah lazim yang dilakukan ketika Ramadan.

“Satu lagi cara nabi meraikan Syawal adalah pada keesokan harinya dengan mandi sunat Hari Raya Aidilfitri, solat sunat hari raya dan sunah-sunah selainnya,“ jelasnya.

Dalam pada itu, pendakwah tersebut turut mengingatkan semua umat Islam supaya melaungkan takbir sendiri, bukannya hanya membiarkan televisyen, radio dan platform lain berbuat demikian kerana ia tidak mengikut sunah nabi.

Sambut Aidilfitri


SEBAIKNYA, laungkanlah takbir Hari Raya sendiri sebagai mengikuti sunah Rasulullah SAW dan jangan membiarkan corong radio dan televisyen sahaja yang bergema dengan ungkapan memuji kebesaran ALLAH SWT itu.

Kekalkan amal soleh

Dalam kita bergembira dengan ketibaan Syawal, paling penting tegasnya, jangan sesekali melakukan maksiat dan perkara-perkara yang melalaikan.

Sebaliknya, Abu Bakar mengingatkan agar kita kekal melakukan amalan soleh yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan sama ada berzikir, solat sunat, selawat dan istighfar. Ini kerana sikap lalai akan menjadikan diri manusia tidak stabil dalam menjalani kehidupan harian.

“Hakikatnya, Nabi Muhammad SAW menyuruh kita menyambut Hari Raya sebagai tanda menyambut kemenangan dan bersyukur kepada ALLAH SWT. Maka, tanda syukur kita kepada-NYA bukanlah dengan menzahirkan cara yang lalai, berbuat maksiat dan sebagainya. Sebaiknya, teruskan beramal soleh.

“Ketahuilah pada pagi hari raya, manusia akan menjadi dua kelompok iaitu pertama, mereka yang mendapat ganjaran pahala di sisi ALLAH SWT dan ibadah puasa mereka diterima oleh-NYA.

“Kedua, kelompok yang rugi dan menyesal kerana ibadah mereka tidak diterima oleh ALLAH SWT. Demikian peri pentingnya kita untuk mengikuti sunah Nabi Muhammad SAW,“ katanya.

Kepada satu soalan, Abu Bakar berkata, “Ya, memang kita disuruh untuk menyambut tetamu sama ada diundang ataupun tidak. Dalam situasi Covid-19 yang masih belum reda, kita kena ingat bahawa bukan semua orang boleh menerima kedatangan tetamu.

Sambut Aidilfitri

JIKA ada tetamu yang datang tanpa diundang ketika musim Covid-19, berlapang dadalah menerima kehadiran mereka dan pada masa sama, berserah kepada ALLAH SWT agar dijauhi segala keburukan dan didatangkan kebaikan, di samping menjaga SOP yang digariskan oleh pihak berkuasa.

“Untuk menjaga hati tuan rumah, pada pandangan saya, lebih elok seandainya tetamu tadi memaklumkan terlebih dahulu kepada tuan rumah jika mereka berhasrat untuk datang ziarah.

“Jika diizinkan, bolehlah kita datang. Andai kata, tuan rumah seperti mengelak, kita kena faham bahawa mereka tidak selesa bukan disebabkan keengganan menyambut tetamu, tetapi disebabkan kes Covid-19 yang boleh menular. Tuan rumah boleh menolak tetamu dengan meletakkan alasan-alasan yang wajar.“

Seandainya tetamu sudah pun tiba di depan pintu rumah, Abu Bakar menasihatkan agar kita menerima mereka dengan hati yang terbuka dan berlapang dada.

“Berserahlah kepada ALLAH SWT agar kedatangan tetamu ini akan membawa kebaikan dan dibuang segala keburukan. Itu sahajalah yang kita boleh harapkan daripada ALLAH, di samping mematuhi prosedur yang disarankan,“ katanya.

Jangan abaikan sunah Hari Raya Aidilfitri

Dalam keriangan menantikan ketibaan Syawal, usah sesekali mengabaikan sunah ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri sebagaimana dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Pendakwah Nor Zahirah Mohd Johari atau lebih dikenali sebagai Da‘i Zahirah menjelaskan, terdapat banyak sunah yang boleh kita lakukan dan boleh mendatangkan pahala jika dikerjakan pada 1 Syawal nanti.

DA’I ZAHIRAH

Seperti yang diriwayatkan oleh Said bin al-Musayyib berkata: “Sunat-sunat hari raya ada tiga: Berjalan ke tempat solat, makan sebelum keluar rumah dan mandi.“

Melihat ungkapan itu, jelaslah bahawa kita disunatkan untuk menjamah makanan sebelum keluar menunaikan solat sunat Aidilfitri sebagaimana yang dilazimkan oleh Rasulullah SAW, kata Da’i Zahirah.

Daripada Anas RA, beliau berkata: “Rasulullah SAW tidak akan keluar pada waktu pagi pada Hari Raya Aidilfitri sehingga baginda makan buah tamar dan makan dalam bilangan yang ganjil.“ (Riwayat al-Bukhari)

“Apabila kita ingin keluar mendirikan solat sunat Aidilfitri, sebaiknya ikutlah jalan yang berbeza ketika pergi dan balik dari masjid. Demikian antara sunah yang dilakukan oleh baginda SAW,“ katanya.

Dalam pada itu, Da‘i Zahirah turut menegur ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir batin yang sering diungkapkan.

“Memang tidak salah kita mengucapkannya, tetapi sebaiknya, gantikan atau ungkapkanlah terlebih dahulu ucapan tahniah dan mendoakan antara satu sama lain kerana ia antara perkara yang disunatkan. “Ucapkan tersebut berbunyi, Taqabbalallahu minna wa minkum (Semoga ALLAH menerima puasa dan amal kami serta puasa dan amal daripada kalian), barulah kita ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri sesama kita,“ nasihatnya.

Sambut Aidilfitri

ANDAI tidak dapat pulang ke kampung halaman, boleh sahaja kita menghubungi insan tersayang menggunakan kemudahan teknologi yang ada sebagai pengganti kepada amalan ziarah-menziarahi.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan umat Islam mengerjakan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal nanti kerana sesiapa yang mengamalkannya selepas berpuasa Ramadan, mereka akan meraih ganjaran seumpama berpuasa sepanjang tahun sepertimana yang disebutkan dalam hadis Riwayat Muslim.

“Tidak salah untuk kita bergembira pada Aidilfitri, namun sambutlah hari kemenangan umat Islam ini dengan kesempurnaan jiwa-jiwa yang diabadikan hanya untuk ALLAH SWT dan agama suci ini,“ ujarnya.

ANEKDOT

KESILAPAN yang kerap dilakukan ketika meraikan Aidilfitri

1. Dosa yang bertempoh

Ketika Ramadan, maksiat tertangguh. Namun, tatkala tibanya Syawal, kita kembali kepada perangai asal dan melakukan maksiat yang mendatangkan dosa. Hancurlah seluruh kebaikan yang baru sebati dengan hati kita ketika Ramadan tempoh hari.

2. Meninggalkan solat fardu

Sambut Aidilfitri

JANGAN terlalu seronok beraya hinggakan terlupa menunaikan solat fardu.

Ketahuilah, ibadah kita selama sebulan pada bulan Ramadan hanya akan menjadi sia-sia jika ia langsung tidak memberikan keinsafan ketika hari raya. Meninggalkan solat adalah suatu kelalaian yang begitu serius.

3. Adab menziarahi kubur

Walaupun tiada nas atau hadis yang melarang menziarahi kubur pada hari raya, namun usahlah kita datang berziarah dengan berkumpul beramai-ramai sehingga menyebabkan kubur orang lain dipijak, menyandar pada binaan kubur orang lain dan sebagainya.

4. Pakaian wanita yang berlebih-lebihan.

Umum mengetahui aspek pemakaian wanita sering kali menjadi perhatian terutama ketika musim perayaan. Usahlah terlalu menonjolkan penampilan dengan pakaian yang mendedahkan bentuk tubuh. Ia sangat dilarang keras dalam agama Islam.

5. Berwangi-wangian

Kebanyakan wanita suka kepada penampilan yang cantik, perhiasan dan wangian. Namun, usahlah melaram berlebih-lebihan ketika memakainya, kemudian mendedahkan diri kita kepada lelaki yang bukan mahram.

6. Aurat dengan ipar-duai

Apabila berkumpul satu keluarga besar di rumah, jagalah aurat dengan sebaiknya antara ipar-duai. Jangan memperlihatkan aurat kepada ipar-duai secara terbuka.

7. Bersentuhan dengan bukan mahram

Ini antara kesilapan yang sangat besar dilakukan ketika Syawal. Kaum wanita dan lelaki yang bukan mahram bebas bersalam-salaman sesama ahli keluarga mahupun tetamu kerana bimbang ada yang berkecil hati. Sebaiknya, elakkanlah perkara ini. Ketika pandemik Covid-19, barangkali ramai yang akan mengambil langkah berhati-hati dengan tidak berjabat tangan dengan sesiapa. Itu adalah lebih baik.

Sumber: Pendakwah Nor Zahirah Mohd Johari (Da‘i Zahirah)

Foto: Freepik

Berita Semasa,

Jangan tinggalkan amalan sunah Aidilfitri walau hanya beraya di rumah

DETIK masa berlalu begitu pantas. Ramadan bakal mengucapkan selamat tinggal kepada kita kurang lagi dua hari. Mengenangkan bulan mulia dan penuh keberkatan ini bakal meninggalkan kita, mengundang rasa sayu dalam diri.

Masakan tidak, tiada siapa yang tahu apakah dia bakal bertemu sekali lagi dengan Ramadan al-Mubarak bulan penuh rahmat dan maghfirah. Apa sekalipun, panjatkanlah rasa syukur andai kita diberikan peluang menamatkan puasa dalam bulan ini dan meraikan hari kemenangan umat Islam yang bakal tiba.

Sana sini orang bercakap tentang normal baharu. Ya, lebaran kali ini juga turut terkena tempiasnya. Ada yang kata Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut insya-ALLAH pada hari Ahad ini sedikit suram kerana tidak dapat berkumpul bersama kaum keluarga, tak boleh balik kampung dan sebagainya.

Tidak kurang juga mereka yang berduka tidak dapat beraya dan meneruskan tradisi ziarah-menziarahi seperti tahun-tahun sebelum ini kerana masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk sama-sama membendung penularan wabak Covid-19.

Andai rasa ‘sesak’ itu yang terbuku di hati, usahlah terlalu bersedih sehingga merosakkan ‘nikmat’ hari raya itu sendiri. Sebaliknya, terimalah dengan hati yang terbuka untuk kebaikan kita bersama. Hakikatnya, kita masih boleh menghidupkan raya dengan suasana yang gembira dan ceria dalam kebiasaan baharu.

Paling penting, ada banyak lagi sunah lain yang boleh dilakukan untuk memeriahkan Aidilfitri kali ini. Apakah sunah yang dimaksudkan? Bolehkah menolak tetamu demi keselamatan pada Syawal ini?

Pendakwah, Ustaz Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau Imam Muda Aran berkata, Aidilfitri itu mempunyai maksud yang perlu difahami. Ia membawa makna kembali kepada fitrah. Dalam erti kata lain, kembali kepada ALLAH SWT.

IMAM MUDA ARAN

Dalam keadaan ketika negara sedang bergelut dengan wabak Covid-19, kita masih boleh mengamalkan beberapa sunah hari raya untuk meraikan Aidilfitri.

“Antaranya, pada malam raya, bangun qiamullail di rumah masing-masing. Perkara yang biasa kita lakukan adalah bertakbir, bertahmid, tahlil dan taqdis. Lazimnya kita akan ke masjid atau surau untuk berbuat demikian.

“Jangan disebabkan kita tak boleh ke masjid atau surau ketika musim PKPB ini, langsung kita tak buat apa-apa. Itu bukanlah raya namanya. Jika tak tahu bertakbir, gunakanlah teknologi yang ada pada hari ini untuk melakukan sunah yang satu ini,” jelasnya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Pada pagi raya, jangan lupa mandi sunat Aidilfitri. Tunaikan juga solat sunat hari raya, saran Imam Muda Aran.

“Andai kata tidak boleh ke rumah ALLAH, buatlah di rumah sendiri sama ada secara seorang diri atau berjemaah. Yang penting, kita kena ada ulang kaji cara bagaimana untuk melakukan solat sunat hari raya ini.

“Waktu yang sesuai adalah bila terbit matahari iaitu selepas Subuh hingga sebelum Zuhur. Paling afdal dilakukan ketika waktu duha,” katanya.

(Artikel berkaitan: Solat sunat Aidilfitri di rumah? Ketahui hukum-hakam dan panduan mudah untuk tunaikannya)

Buat mereka yang tidak hafal akan surah yang sering Nabi Muhammad SAW lafazkan pada solat sunat Aidilfitri, baca apa saja surah lazim yang dihafal.

Tiada masalah jika membaca Surah al-Ikhlas pada rakaat pertama dan kedua, yang mana tetap akan dapat pahala sunat, ujarnya.

“Usai menunaikan solat sunat Aidilfitri, disunatkan untuk membaca khutbah. Bagaimanapun, ia tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri masing-masing,” katanya.

Ziarah vs keselamatan

Mengulas situasi kekal duduk di rumah dan menolak tetamu yang bertandang pula, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah berkata, hal itu dibolehkan dalam Islam.

USTAZAH SHARIFAH FADYLAWATY

“Ia bertepatan dengan cara Rasulullah SAW. Jangan dedahkan diri kita kepada mudarat dan pada masa sama tidak memudaratkan orang lain selari dengan kaedah fiqh; ‘Tiada mudarat dan tidak memudaratkan‘.

“Dalam Islam, maqasid syariah turut meliputi penjagaan nyawa. Islam mengharamkan seseorang memudaratkan diri sendiri dan orang lain,” katanya.

Jelas beliau, seandainya ada pertembungan antara menghubungkan silaturahim dengan menjaga nyawa, maka tidak salah jika memilih untuk tidak melakukan ziarah. Faktor melindungi keluarga dan masyarakat daripada dijangkiti wabak sebagai keutamaan.

Firman ALLAH SWT: “Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan…” (Surah al-Baqarah, ayat 195)

“Paling penting, matlamat menghubungkan silaturahim dan ukhuwah itu tercapai walau apa jua bentuk pendekatan yang kita ambil. Insya-ALLAH, ziarah ini boleh diteruskan pada masa-masa akan datang sekalipun bukan pada musim perayaan,” katanya.

Kepada satu soalan, ahli akademik itu berkata, memuliakan tetamu adalah akhlak yang mulia. Jumhur ulama berpandangan, melayan tetamu adalah sunah. Bagaimanapun, tuan rumah mempunyai hak mengehadkan waktu ziarah atas pelbagai faktor seperti privasi, kesihatan, keselesaan dan sebagainya.

Sunah Aidilfitri

JIKA ingin melakukan ziarah, patuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia. -Gambar hiasan

Menurutnya, Islam menggariskan adab-adab yang wajar diikuti ketika berziarah.

“Sekiranya tuan rumah mempunyai kesulitan dan tidak bersedia, maka tak boleh datang ke rumahnya. Hal ini sepertimana yang dijelaskan dalam Surah an-Nur, ayat 27 dan Surah al-Ahzab, ayat 53 serta hadis Rasulullah SAW.

“Bagi pihak tuan rumah, Islam memberikan hak kepadanya untuk tidak menerima tetamu. Namun, perlu dimaklumkan secara beradab dan penuh hikmah agar tidak mengguris hati pihak lain kerana Islam menyarankan untuk kita berkomunikasi dengan cara yang baik,” jelas beliau.

Bagaimanapun, sekiranya ada pihak yang ingin melakukan ziarah ke rumah ahli keluarga terdekat, Ustazah Sharifah Fadylawaty mengingatkan agar semua pihak mematuhi prosedur standard operasi yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Antaranya tidak melebihi 20 orang dalam satu masa. Sebetulnya, penjarakan sosial itu lebih utama. Jadi, perlu melihat juga kepada kesesuaian rumah yang dikunjungi bagi mengelakkan kesesakan. Amalkan penjagaan kebersihan dan kesihatan, pakai pelitup muka dan gunakan pensanitasi tangan.

“Selain itu, elakkan kontak fizikal seperti bersalaman dan berpelukan bagi mengekang penularan Covid-19. Warga emas juga perlu dilindungi sewaktu aktiviti ziarah-menziarahi kerana mereka merupakan golongan yang paling berisiko dijangkiti Covid-19. Begitu juga dari segi tempoh masa, sebaiknya dipendekkan dan tertakluk kepada garis panduan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan,” pesan beliau mengakhiri perkongsian ilmunya.

ANEKDOT

Amalan sunah ketika Aidilfitri

  • Mandi sunat Aidilfitri
  • Menyediakan juadah istimewa mengikut kemampuan
  • Berpakaian indah
  • Menjamah makanan sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri