Browsing Tag

sumber nutrien

eiliv-sonas-aceron-YlAmh_X_SsE-unsplash
Berita Semasa, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Pilihan Editor,

Makanan Paling Lazat Di Dunia dan Syurga

no comment

Pandangan agama dan sains, seolah-olah bercanggah berhubung pemakanan daging merah. Namun jika diteliti lebih mendalam kedua-dua pandangan ada asasnya dari segi penjagaan kesihatan.

Daging merah atau laham dalam bahasa Arab (daging daripada binatang berkaki empat) dalam konteks umat Islam selalunya merujuk kepada daging lembu dan kambing.

Manakala daging putih merujuk kepada daging ayam, itik, burung dan ikan. Dalam Islam, daging merah disyorkan dalam diet seseorang tapi tidak secara berlebih-lebihan dan disediakan mengikut kaedah tertentu. Manakala dalam banyak kajian sains, daging merah harus dielakkan kerana didakwa menyumbang kepada pelbagai penyakit termasuk kanser.

Pandangan sudut Islam berdasarkan kepada beberapa hadis, antaranya sabda Rasaulullah S.A.W.
Penghulu segala makanan penduduk di dunia dan di syurga ialah daging (laham).”
Manakala dari hadis Buraidah meriwayatkan, “Sebaik-baik lauk di dunia adalah daging (laham).

Nikmati daging secara sihat.

Ini membuktikan daging merah adalah makanan terlazat di atas dunia juga di syurga dan hadis-hadis ini menggambarkan bahawa manusia memang gemar memakan daging merah.

Sebaliknya, banyak kajian sainstifik membuktikan dan memperakui pengurangan pengambilan daging merah boleh memanjangkan usia seseorang.

Malah menikmati daging merah, seseorang itu berisiko untuk mati lebih awal.

Pengarah kajian Dana Kajian Kanser Sedunia, Dr Giota Mitrou menyatakan kajian yang diterbitkan di dalam NHS Eatwell membuktikan pemakanan daging merah dan makanan diproses meningkatkan lagi risiko kanser.

Pengarah kajian Dana Kajian Kanser Sedunia, Dr Giota Mitrou

“Hasil kajian menunjukkan mereka yang menambah pengambilan daging merah sekurang-kurangnya setengah saiz hidangan selama lapan tahun berisiko 10 peratus kematian awal.

“Bagi yang mengurangkan pengambilan daging merah dan menukarkannya kepada ayam, ikan dan telur, risiko peratus kematian mampu dikurangkan,” katanya.

Kajian terdahulu juga menunjukkan pemakan daging merah dan makanan diproses berkait rapat dengan kencing manis, penyakit jantung dan kanser usus.

“Kita akui kandungan makanan mungkin dipengaruhi persekitaran tempat tinggal dan kemampuan seseorang. Berikutan itu, kami menggesa kerajaan mengambil langkah dan memperkenalkan polisi seperti subsidi harga ke atas makanan sihat seperti sayur dan buah-buahan yang membolehkan mereka mengubah gaya pemakanan masing-masing.

“Kami cadangkan jangan ambil lebih dari tiga hidangan daging merah setiap minggu. Ini memberikan keseimbangan antara kelebihan daging merah sebagai sumber nutrien.

Bagaimanapun, kami mencadangkan jangan makan langsung daging diproses,” kata Dr Mitrou.

Memang terdapat banyak kajian yang dijalankan pelbagai pihak yang memperakui pengurangan pengambilan daging merah dan digantikan dengan daging putih seperti ayam dan ikan boleh memanjangkan usia seseorang.

Kajian dikeluarkan Universiti Harvard, misalnya mendakwa menghentikan pengambilan daging merah lebih memberi banyak manfaat kepada kesihatan.

Hanya menggantikan satu hidangan daging merah setiap hari dengan kepingan ikan risiko kematian awal disebabkan pelbagai penyakit dapat dikurangkan sebanyak 17 peratus.

Jika digantikan dengan ayam tanpa kulit atau sayuran dapat mengelakkan kematian sebanyak 10 peratus, daging kepada telur (8 peratus) dan daging kepada bijirin penuh (12 peratus).

Manakala kajian yang diterbitkan Jurnal Perubatan British yang menilai tabiat diet lebih 81,000 penduduk turut mencadangkan pengurangan makanan daging merah.

Kajian itu memantau perubahan tabiat makanan selama lapan tahun dan tambahan lagi lapan tahun untuk mengesan impak diet ke atas tahap kesihatan subjek.

Kajian itu mendapai jika sosej dan kepingan sandwic daging ditukar dengan ikan boleh memanjangkan usia subjek sebanyak 25 peratus, manakala tukar kepada ayam 17 peratus dan sayur-sayuran 18 peratus.

Profesor Frank Hu

Ketua kajian berkenaan, Profesor Frank Hu, mencadangkan diet ‘mediterranean’ yang menjurus kepada ikan, kekacang dan sayur sebagai kaedah terbaik memanjangkan usia.

Kajian jangka panjang itu menawarkan bukti bahawa mengurangkan daging merah dengan sumber protein lain dan sayuran mungkin menghentikan kes kematian pramatang.

Untuk membaiki tahap kesihatan sangat penting mengamalkan diet mediterranean yang menekankan pemakanan sihat,” katanya.

Kajian demi kajian yang tidak berpihak kepada pemakanan daging merah itu membuat Ketua Eksekutif Persatuan Pemproses Daging British, Nick Allen mengeluh.

Menurut Allen permintaan terhadap daging merah menurun sejak beberapa tahun lalu, dan kini pemakanan daging merah oleh penduduk Britain berada di bawah saranan garis panduan pihak berkuasa negara itu.

Nick Allen

“Sejak berjuta tahun, daging merah membekalkan nutrien, protein, zat besi dan vitamin. Pengguna perlu berfikir sejenak sebelum beralih meninggalkan produk yang memainkan peranan penting dalam tumbesaran tubuh,” katanya.

Sebenarnya, pandangan dalam Islam tidak bercanggah dengan hasil penemuan kajian saintifik berkenaan.

Apa yang ditekankan dalam Islam ialah pemakanan daging merah harus tidak berlebihan dan penyediaannya harus mengikut kaedah tertentu.

Begitupun jelas, di dalam beberapa hadis dan al-Quran telah menerangkan, Islam yang menjadi panduan dan gaya hidup menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W sendiri memakan daging merah serta hasil tenusu daripada haiwan ternakan.

Daging perlu diambil dalam nisbah yang secukupnya.

Baginda juga tidak melarang umat Islam mengambil daging merah sesuai dengan syariat yang menghalalkan daging, melainkan khinzir dan beberapa kategori lain, misalnya daging bangkai, haiwan yang tidak disembelih, haiwan mati tersepit, mati kemalangan, haiwan liar dan sebacainya menurut ilmu fikah.

Islam menetapkan panduan dan cara menikmati daging secara sihat dan memberi manfaat kepada pemakan. “… makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan…” (Surah al-A’raf, ayat 31). Baginda Rasullulah S.A.W. juga di dalam Hadis Riwayat Bukhari “Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu”.

Terdapat beberapa cara dan panduan yang diajar mengikut pandangan Islam yang di sebut dari hadis dan al-Quran, antaranya:

* Cara memakan daging

Daging perlu diambil dalam nisbah yang secukupnya, tidak lebih dan tidak kurang. Begitu juga cara masakan dan kuantiti daging yang diambil turut mempengaruhi kesihatan seseorang. Mengikut panduan piramid makanan, daging perlulah diambil secara sederhana, iaitu sebanyak dua hingga tiga hidangan sehari. Elakkan pengambilan secara berlebihan kerana kewujudan penyakit amat berkait rapat dengan apa-apa yang dimakan.

* Kurangkan daging dalam menu

Makanlah apa-apa jua daging yang disukai selagi halal, tetapi jangan makan berlebihan kerana daging mengandungi banyak lemak, terutamanya lemak tepu. Semasa hendak memasak, lapisan lemak harus dibuang terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam kuali. Menanggalkan kulit ayam juga mengurangkan kandungan lemak yang masuk ke dalam badan anda. Untuk mengambil zat daripada daging, sebaik-baiknya pilihlah daging tidak berlemak.

* Utamakan yang lebih baik

Islam mengutamakan makanan yang baik berbanding dengan yang kurang baik. Contohnya, antara ayam, burung dan itik, burung lebih diutamakan berbanding dengan itik manakala itik lebih diutamakan berbanding dengan ayam. Burung haiwan yang cergas dan bijak. Daging itik dan angsa lebih baik berbanding dengan ayam kerana haiwan ini lebih banyak bersenam. Daging haiwan ini mempunyai lebih banyak lemak mono tepu dan lemak tidak tepu. Mereka juga jauh daripada suntikan hormon dan antibiotik berbanding dengan ayam daging yang diternak semata-mata untuk dipasarkan. Di samping itu, ada juga ayam yang diternak dengan menggunakan bahan-bahan organik seperti penggunaan herba habbatus-sauda’. Namun, jumlahnya masih berkurangan.

* Gilirkan karbohidratdan protein

Otak kita mempunyai tiga jenis bahan kimia utama untuk berfungsi dengan baik. Salah satu bahan kimia yang diperlukan ialah serotonin yang membantu meningkatkan mood, menguatkan ketahanan badan, meningkatkan kualiti tidur dan mengawal selera makan.

Pengambilan karbohidrat dan protein mempengaruhi jumlah triptofan, iaitu bahan yang menghasilkan serotonin. Kajian yang dijalankan ke atas pesakit stres menyimpulkan, mengambil lebih karbohidrat dan kurang protein membantu meningkatkan jumlah serotonin dan menyebabkan emosi bertambah baik dan pesakit mudah tidur. Kaedah ini sebaik-baiknya diambil semasa makan malam.

Berbeza dengan makan tengah hari, sebaik-baiknya mengambil rendah karbohidrat dan tinggi protein. Cara makan begini membantu menghasilkan dopamin yang berperanan mengatur pergerakan, menjadikan kita aktif dan bermotivasi serta berada dalam mood yang baik.”

* Cara masak yang sihat

Di samping memberikan kesan baik, daging juga boleh menyebabkan kanser. Cara masak memainkan peranan utama, sebaik-baiknya daging direbus atau dikukus. Gantikan masakan berlemak seperti santan kepada masakan sup. Daging bakar dan panggang mengandungi karsinogen yang menyebabkan kanser. Permukaan daging bakar atau panggang yang hangus terdapat hidrokarbon poliakrilamida (PAH). PAH ialah karsinogen yang boleh merosakkan DNA serta merangsang kanser. Oleh itu, makanlah daging bersama-sama sayur dan buah yang banyak bertindak sebagai antioksida yang menentang sel-sel kanser.
Menurut Karen Collins, R.D., daging banyak menyumbang kepada kanser kolorektal. Kajian itu dilakukan ke atas warga Eropah dengan cara mereka diberi makan daging selama lima tahun. Hasilnya dirumuskan, seorang individu yang banyak makan daging berisiko 36 kali ganda mendapat kanser berbanding dengan mereka yang kurang memakan daging.

* Makan Kurang Daging untuk Menjaga Bakteria Perut

Jumlah daging yang anda makan mempengaruhi bakteria yang hidup di dalam perut. Bakteria ini bertugas memfermentasikan sisa makanan yang tidak dicerna sama ada untuk menghasilkan zat ataupun toksik. Pengambilan daging yang banyak meningkatkan kadar bakteria bahaya yang menghasilkan toksin.

Info

—–
• Makanlah pelbagai buah-buahan dan sayur-sayuran segar setiap hari untuk mengekalkan kecerdasan tubuh badan.

• Makanan asas pada kentang, roti, nasi, pasta atau karbohidrat secara keseluruhannya sangat baik untuk kesihatan.

• Makan 30 gram serat sehari sama seperti makan semua lima bahagian buah-buahan dan sayur-sayuran termasuk bijirin gandum, dua keping tebal roti gandum dan kentang panggang berkulit.

• Cari alternatif untuk memilih tenusu (seperti minuman soya) untuk mendapatkan lemak rendah dan pilihan gula rendah.

• Ambil sumber protein lain seperti ikan, telur atau daging setiap minggu dan salah satunya perlu berminyak.

• Pilih minyak tak tepu untuk dimakan setiap hari.

• Minum enam hingga lapan gelas air putih sehari

• Orang dewasa harus mempunyai kurang daripada enam gram garam dan 20 gram lemak sehari.