Browsing Tag

sumber ekonomi

Wakaf
Muamalah,

Wakaf Sumber Ekonomi Terpendam Umat Islam, Ramai Yang Masih Belum Sedar Tentangnya

no comment

Oleh PROF MADYA DR IBRAHIM @ ATAN SIPAN & DR NOOR AZIMAH GHAZALI

WAKAF merupakan perkara yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat Islam. Mereka yang mewakafkan harta benda akan mendapat ganjaran berterusan di akhirat kelak selagi mana ia diguna dan dimanfaatkan.

Firman ALLAH SWT: “Bandingan (pahala) orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan ALLAH seumpama sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan tiap-tiap tangkai itu pula terdapat seratus biji. Dan ingatlah ALLAH akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-NYA dan ALLAH MAHA LUAS (Kurnia-NYA) lagi MAHA MENGETAHUI.” (Surah al-Baqarah, ayat 261)

Jika diteliti dari segi sifat-sifatnya, wakaf mempunyai ciri-ciri kekal, tidak boleh dipindah milik dan tidak boleh diwarisi. Hal itu membuatkan harta wakaf begitu istimewa dan terpelihara sepanjang zaman.

Secara asasnya, harta wakaf boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu harta alih dan tidak alih. Harta alih adalah seperti buku, kitab dan peralatan yang boleh dimanfaatkan. Sementelah, harta tidak alih pula melibatkan sesuatu yang penting dan lazimnya dibangunkan seperti tanah serta kepentingan di atasnya.

Bercerita tentang tanah wakaf, ia sebenarnya sudah diperkenalkan sejak zaman Nabi Ibrahim AS lagi apabila Kaabah didirikan di Tanah Suci Makkah. Sehingga kini, ia kekal menjadi tempat untuk umat Islam beribadah dan menunaikan Rukun Islam kelima.

Secara umumnya, tanah wakaf ditadbir dan diurus oleh nazir (pemegang amanah). Ia digunakan sebagai tanah perkuburan, tapak masjid atau tapak madrasah.

Wakaf


TANAH wakaf yang dibangunkan dengan lebih progresif dan menyeluruh mampu meningkatkan sumber pendapatan dan pegangan hartanah milik orang Islam di negara ini.

Kini, tanah wakaf boleh didirikan pelbagai jenis bangunan yang patuh syariah seperti perumahan, pelancongan, pendidikan, kesihatan seperti hospital dan pusat rawatan yang mana hasil pendapatannya terus disalurkan kepada penerima manfaat dalam kalangan umat Islam.

Dengan inovasi penyelidikan dan pembangunan, projek-projek pembangunan itu berjaya ditampung daripada sumber janaan wakaf itu sendiri seperti dana kutipan wakaf tunai, hasil pelaburan saham wakaf dan sukuk serta pelbagai pembiayaan lain daripada kerajaan dan perbankan Islam yang patuh syariah.

Sumber ekonomi terpendam

Ketahuilah bahawa tanah wakaf merupakan sumber ekonomi terpendam umat Islam. Pengurusan tanah wakaf yang baik mampu mewujudkan limpahan ekonomi dan seterusnya memperkasa ekonomi Muslim di negara ini.

Tanah wakaf yang dibangunkan dengan lebih progresif dan menyeluruh mampu meningkatkan sumber pendapatan dan pegangan hartanah milik orang Islam di negara ini.

Namun begitu, masih banyak lagi tanah wakaf yang belum dimanfaatkan sepenuhnya. Sejak tahun 2017, didapati kira-kira 30,888 hektar tanah wakaf di Malaysia belum dibangunkan.

Baca juga Wakaf antara cara ‘ubati’ impak ekonomi

Bukan itu sahaja, sistem wakaf juga belum dieksploitasikan sepenuhnya kerana pembangunan tanah wakaf lazimnya hanya tertumpu kepada pembinaan masjid, surau, madrasah dan tanah kubur.

Oleh yang demikian, terdapat keperluan untuk mewujudkan rangka kerja mengenai tatacara pembangunan harta tanah wakaf. Tujuannya adalah untuk memberi kefahaman kepada sektor pentadbiran dan pembangunan bagi menjawab pelbagai soalan berkaitan hartanah wakaf.

Soalan yang acap kali berlegar-legar dalam kalangan masyarakat adalah tentang sumbangan tanah wakaf di dunia maju, syarat dan sekatan di tanah wakaf, senario dan trend semasa dalam negara, perbezaan tanah wakaf daripada hartanah lain, peranan dan rangka kerja perkongsian antara kerajaan tempatan, sektor swasta dan organisasi wakaf serta faedah perkongsian itu kepada negara.

Kewujudan rangka kerja tersebut sebenarnya berpotensi untuk diguna pakai oleh Unit Perancang Persekutuan dan Negeri, Majlis Agama Islam Negeri dan pemaju dari sektor swasta.

Wakaf


HASIL sumbangan dan pembangunan tanah wakaf dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat berdapatan rendah dan sederhana.

Pada masa sama, ia dapat membantu organisasi wakaf dan kepakaran sektor swasta bekerjasama untuk pembangunan tanah wakaf. Selain itu, ia juga mampu melestarikan undang-undang Islam dan pembangunan tanah di Malaysia secara optimum.

Malaysia sebenarnya berupaya menyediakan sumber kewangan yang mapan dan menjana ekonomi melalui sistem wakaf. Sumbangan dan pembangunan tanah jenis itu dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat berdapatan rendah dan sederhana.

Bahkan, projek-projek berkaitan dengan wakaf akan memberi peluang pekerjaan kepada pelbagai lapisan masyarakat dalam fasa-fasa pembangunan dengan cara yang mampan.

Oleh yang demikian, usaha mengeksploitasinya (tanah wakaf) haruslah digiatkan dengan mewujudkan kerjasama dan penglibatan pelbagai pihak termasuklah kerajaan, swasta dan masyarakat.

Baca juga Tuai Hasilnya Di Dunia Dan Akhirat

Selain itu, kajian penyelidikan ke atas pembangunan tanah wakaf juga menjadi satu keperluan pada masa kini.

Akhir kata, projek wakaf adalah aset penting negara yang harus dibangunkan sejajar dengan matlamat Belanjawan 2021. Ia untuk mengimbangi kemapanan kewangan, keseimbangan pembangunan antara wilayah dan bandar serta mengangkat nilai murni membentuk ekonomi yang kita idamkan.

***Prof Madya Dr Ibrahim @ Atan Sipan & Dr Noor Azimah Ghazali merupakan Pensyarah & Penyelidik Pusat Kajian Hartanah, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia

Foto: Freepik