Browsing Tag

Sulaiman Al Rajhi

Berita, Berita Semasa,

Mulia sungguh hati hartawan ini. Hidup dilimpahi kekayaan, tapi Sulaiman Al Rajhi rela infak semua wang dalam bank hingga ‘jatuh miskin’

TIDAK ramai yang sanggup berkali-kali jatuh miskin saat diri sedang dilimpahi dengan kekayaan. Apatah lagi membiarkan wang di dalam akaun bank miliknya kosong.

Namun begitu, semua itu tidak berbekas di hati Sulaiman Abdul Aziz Al Rajhi, seorang hartawan yang begitu zuhud demi meraih cinta ALLAH SWT.

Beliau ialah seorang jutawan Arab Saudi terkemuka dunia. Jika pembaca melihat Bank Al Rajhi di Malaysia, Sulaiman inilah pengasasnya. Beliau juga individu paling penting dalam operasi bank Islam terbesar di dunia itu.

Pada tahun 2011, majalah Forbes menganggarkan kekayaan beliau sebanyak AS$7.7 bilion (RM31.6 bilion) sekali gus menjadikannya individu ke-120 terkaya di dunia.

Bayangkan dirinya yang dikurniakan kekayaan yang melimpah-ruah, hidup dalam penuh kesederhanaan. Sifat mulia itu membuatkan ramai orang begitu senang dan menyayanginya.

Bukan itu sahaja, Yayasan SAAR yang diasaskan beliau juga terkenal sebagai organisasi amal tersohor di Arab Saudi. Al Rajhi boleh dikatakan sebagai golongan bukan keluarga diraja yang paling kaya di negara berkenaan.

Namun, bagi Sulaiman, wang bukanlah segalanya. Justeru, sifat kedekut tidak pernah ada dalam kamus hidupnya. Bayangkan hampir seluruh kekayaannya diberikan untuk tujuan wakaf.

Sulaiman Al Rajhi

SULAIMAN (kanan) kini aktif dengan aktiviti amal dan wakaf.

Beberapa tahun lalu, hartawan itu dengan penuh tawaduk berkata: “Saya sudah berusia 80-an. Apa lagi yang saya perlukan? Hakikatnya disebabkan wakaf itulah saya dapat membayar bil, memberi saya penginapan, makanan, perubatan dan pengangkutan. Apa yang saya simpan (wang) hanyalah sedikit. Alhamdulillah, saya dilindungi-NYA dengan baik.

“Saya juga rasa ringan, bebas seperti burung. Ketika ALLAH memanggil saya kelak, insya-ALLAH, saya dapat menjawab panggilan-NYA dengan baik. Leganya,” ungkap Sulaiman sebagaimana dipetik Saudi Gazette.

Menjejaki salasilah peribadinya,Sulaiman dilahirkan di kota kecil Al Bukayriyah berhampiran Buraidah di wilayah Qassim Nejd di tengah-tengah Arab Saudi.

Anak sulung daripada 22 beradik itu bukanlah berasal daripada keluarga yang senang. Ayahnya, Abdul Aziz hanya seorang petani dan peniaga kecil.

Sejak kecil lagi, beliau begitu gigih. Bayangkan ketika umurnya sembilan tahun, dirinya sudah bekerja sebagai pengangkat barang di Pasar Al-Khadra di Riyadh.

“Saya sudah berusia 80-an. Apa lagi yang saya perlukan? Hakikatnya disebabkan wakaf itulah saya dapat membayar bil, memberi saya penginapan, makanan, perubatan dan pengangkutan. Apa yang saya simpan (wang) hanyalah sedikit. Alhamdulillah, saya dilindungi-NYA dengan baik. Saya juga rasa ringan, bebas seperti burung. Ketika ALLAH memanggil saya kelak, insya-ALLAH, saya dapat menjawab panggilan-NYA dengan baik. Leganya.”

Kerja keras

Pada usia 12 tahun, beliau bekerja mengumpulkan buah kurma dengan bayaran kira-kira enam riyal sebulan. Sulaiman akan tidur di tempat kerjanya dengan pakaian sama yang dipakainya semasa bekerja.

Sulaiman Al Rajhi

BANK AL RAJHI yang diasaskan Sulaiman bersama tiga saudaranya kini terkenal sebagai perbankan Islam utama dunia.

Menginjak zaman remaja, Sulaiman melakukan pelbagai pekerjaan. Lelaki berjiwa kental itu pernah bekerja sebagai tukang masak di sebuah hotel di Riyadh, menjadi penjual borong minyak tanah, menjadi budak pelayan di sebuah syarikat kontrak Saudi dan membuka kedai runcitnya sendiri.

Bagaimanapun, pada umur 15 tahun, beliau terpaksa menjual kedainya bagi menanggung belanja perkahwinannya. Beliau menghabiskan semua simpanan khas untuk upacara pernikahan bersama isteri tercinta.

Sebelum meneroka bidang perbankan Islam, Sulaiman sebenarnya sudah berjinak-jinak dalam bidang pertukaran mata wang pada tahun 1957 di sekitar Makkah dan Madinah.

Ketika itu, beliau mengajak tiga orang saudaranya, Saleh Al Rajhi, Mohamed dan Abdullah untuk turut serta. Beliau akhirnya mendapat idea menubuhkan sebuah bank yang berkonsepkan Islamik. Pada masa itu, belum ada perbankan Islam di dunia.

“Saya memulakannya dengan membuka pejabat di Britain. Alhamdulillah percubaan itu berjaya dan mendapat sokongan penuh para sarjana Islam di Arab Saudi.

“Saya masih ingat lagi, permohonan untuk mendapatkan lesen bank mulanya ditolak kerana pegawai di Britain berkenaan tidak tahu tentang perbankan Islam.

“Namun begitu, saya pergi ke London dan bertemu dengan pengurus Bank of England dan dua timbalannya. Kepada mereka, saya mengatakan bahawa orang Islam dan Kristian melihat faedah bank adalah dilarang (haram) dan kedua-dua penganut agama ini tidak mahu melakukan transaksi dengan bank yang berorientasikan faedah.

“Sebaliknya mereka lebih suka menyimpan wang tunai dan barang berharga lain di dalam kotak di rumah masing-masing.

“Jadi, saya cuba meyakinkan pegawai tadi bahawa (jika kita menubuhkan bank Islam), wang ini akan membantu mengkukuhkan ekonomi dunia,” katanya menceritakan detik awal penubuhan Al Rajhi Bank kira-kira 42 tahun yang lalu.

Ditanya mengenai kunci kejayaannya, Sulaiman sering berkata: “Saya biasa menyimpan setiap sen yang saya peroleh untuk keesokan harinya. Inilah yang saya bina untuk masa depan saya.”

Didik anak berdisiplin

Walaupun sudah bergelar tokoh korporat berjaya, Sulaiman tidak pernah lupa tanggungjawabnya sebagai seorang bapa.

Sulaiman Al Rajhi

WALAUPUN memiliki kekayaan, Sulaiman (duduk, kiri) hidup penuh kesederhanaan dan tidak lokek berkongsi rezeki dengan orang lain.

Hartawan yang dibesarkan dalam persekitaran yang praktikal, bebas daripada jenayah, saling mempercayai dan hormat-menghormati itu turut menerapkan nilai yang sama terhadap 26 orang anaknya.

Memetik sebuah penulisan, Sulaiman dikatakan telah mendidik semua cahaya matanya dengan penuh disiplin, sederhana dan takutkan ALLAH SWT.

Disebabkan itulah beliau tanpa jemu merekodkan nasihat-nasihat berguna dalam kaset dan menghantarkannya kepada anak-anaknya tidak kiralah di mana mereka berada.

“Mereka (anak-anak) kena sentiasa ingat untuk solat, berdoa, tidak minum (arak) dan tidak berfoya-foya. Mereka mesti bekerja keras, bersikap tenang dan bermaruah,” katanya dipetik dalam wawancara bersama portal Euromoney.com.

Sulaiman dikenali sebagai seorang yang mementingkan solat sehinggakan orang yang berada di sampingnya akan dipastikan solat bersamanya. Tokoh  itu juga akan menjadi imam solat di pejabatnya.

Sulaiman sentiasa merendah diri. Beliau begitu berhati-hati ketika berbelanja untuk diri mahupun keluarganya.

“Saya bukan jenis orang yang kumpul harta kekayaan dan berbelanja sebanyak mungkin. Sebaliknya, saya selalu berwaspada supaya tidak boros.

“Saya juga selalu berusaha untuk menyampaikan mesej ini kepada mereka yang bekerja dengan saya. Saya lebih prihatin mengenainya apabila ia melibatkan anak-anak saya.

“Disebabkan itulah saya tidak pernah memberikan wang kepada anak-anak saya ketika mereka masih kecil tanpa apa-apa sebab.

“Bila ada antara mereka mendekati saya untuk mendapatkan wang, saya akan meminta mereka melakukan kerja sebagai gantinya,” katanya sambil mengakui dirinya tidak pernah keluar dari negara kelahirannya semata-mata untuk pergi melancong.

Darjah kedermawanannya boleh dilihat apabila beliau memilih untuk menjadi miskin semula buat kali ketiga! Tidak ramai yang sanggup berbuat demikian pada saat diri sedang dilimpahi kemewahan.

Sekitar tahun 2011, Sulaiman memilih untuk memindahkan semua kekayaannya kepada anak-anaknya. Menurut laporan Islamtics.com, figura itu telah memberi dua pertiga daripada semua kekayaannya untuk dan hanya satu pertiga untuk keluarganya.

“Ya, sekarang saya tinggal sehelai sepinggang. Setahu saya, ini bukanlah suatu yang pelik.

“Keadaan kewangan saya pernah dua kali jatuh ke angka sifar. Jadi, saya mempunyai pemahaman (mengenai kemiskinan) yang baik.

“Namun perasaan itu sekarang telah digantikan dengan kebahagiaan dan ketenangan. Fasa sifar (tiada wang) dalam hidup kali ini adalah keputusan dan pilihan saya sendiri,” katanya kepada portal Arab News.

Merendah diri

Hasil pembacaan Sinar Islam, Sulaiman dikhabarkan mempunyai ladang kurma dengan 200,000 batang pokok di kota Al-Qassim, wilayah tengah Arab Saudi.

Sulaiman Al Rajhi

Gambar kiri, ladang kurma milik Sulaiman.

Sekali lagi, ia turut diwakafkan untuk jalan ALLAH. Pendapatan daripada hasil ladang itu juga digunakan untuk membina masjid dan menjalankan kerja-kerja kebajikan.

Laporan portal Islamtics.com juga menyebut, sepanjang hayat pengasas bersama Bank Al Rajhi itu, sebanyak AS$16 bilion atau lebih kurang RM65 bilion adalah jumlah wang yang telah disumbangkan oleh beliau.Jumlah itu dianggap sebagai salah satu anugerah terbesar yang dibuat di dunia Islam yang belum dapat ditandingi oleh sesiapa lagi.

Kata Sulaiman dengan penuh wasatiah, beliau percaya bahawa semua kekayaan adalah milik ALLAH. Sudah menjadi tugasnya menguruskan harta dengan baik, ujar beliau.

“Setiap Muslim perlu menguruskan pemberian-NYA yang dapat memberi manfaat kepada dirinya selepas kita tiada lagi di dunia ini.

“Sepanjang hayat saya, saya telah sedaya upaya memenuhi kehendak saya berkaitan dengan kekayaan.

“Kini yang tinggal hanyalah melibatkan perkara-perkara umum dan peribadi, selain mendorong anak-anak saya untuk menjaga (hubungan) kekeluargaan mereka dan selalu mengingatkan mereka tentang kehidupan selepas kematian,” katanya.

Sulaiman yang juga hartawan yang dermawan kini menghabiskan sisa usianya dengan memberi tumpuan sepenuhnya kepada Yayasan SAAR untuk melakukan aktiviti amal.

Sesungguhnya, hanya insan terpilih yang berhati waja mampu berbuat demikian demi agamanya.

Semoga kisah hartawan yang dermawan itu mampu menjentik inspirasi kepada masyarakat untuk bersama-sama berkongsi rezeki dengan orang lain terutama kepada golongan fakir dan miskin.

PROFIL

Sulaiman Al Rajhi

SULAIMAN AL RAJHI

Nama: Sulaiman Abdul Aziz Al Rajhi

Asal: Wilayah Qassim Nejd, Arab Saudi

Umur: 91 tahun

Sumbangan: Pengasas bersama Al Rajhi Bank, Pengasas Yayasan SAAR, mengasaskan ladang ternakan ayam di Timur Tengah, penternakan udang, projek harta tanah dan pelaburan lain.

Pencapaian:
1. Disenaraikan sebagai antara orang terkaya dunia.
2. Penerima Hadiah Antarabangsa Raja Faisal (KFIP) kerana mendedikasi separuh kekayaannya untuk amal pada tahun 2012.
3. Disenaraikan sebagai Lelaki Arab Terkaya 2010 oleh Projek Mega Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Perniagaan Arab.

EKSTRA tentang Sulaiman Al Rajhi

– Sentiasa membawa buku nota hariannya ke mana-mana kerana terbiasa dengan jadual yang disiapkan sebelumnya.

–  Beliau memulakan kerjanya setiap hari selepas solat subuh dan aktif sehingga solat Isyak.

– Dirinya tidak suka membazir dan sangat hemah berbelanja.

Sumber & Foto: forbesmiddleeast.com, islamtics.com, Arab News, Saudi Gazette, euromoney.com, efsantabarbaranews.com/ dan kingfaisalprize.org