Browsing Tag

suhbah

Jauhi maksiat dan dosa
Gaya Hidup,

Jauhi Maksiat Dan Dosa Dengan 3 Amalan Ampuh Ini

Oleh AZHARI HAMZAH

KEHIDUPAN Muslim di era digital sangat mencabar iman dan amal. Namun mahu atau tidak, ia tetap perlu didepani. Tidak sedikit yang terjerumus ke lembah maksiat kerana termakan godaan syaitan.

Benarlah seperti yang pernah diceritakan oleh baginda Rasulullah SAW bahawa ujian umat akhir zaman umpama kegelapan malam. Mereka tidak mampu membezakan perkara hak dan batil. Kesemuanya bercampur aduk.

Tidak kurang juga ramai yang setelah bermaksiat, ingin bertaubat dan mahu hidup tenang setenang air di sumur desa. Ingin mendakap reda ALLAH SWT dan masuk ke syurga.

Justeru, mereka meraba mencari tali untuk berpaut. Ada yang bermula dengan solat dan belajar al-Quran. Segelintir daripada mereka pula mengikut jemaah tabligh dan sebagainya.

Berzikir dekatkan diri kepada ALLAH

Sheikh Dr Khaleel Ismail Elyas, seorang ulama tafsir dan ahli sufi dari Iraq memberi nasihat tentang tiga perkara jika ingin kembali kepada ALLAH SWT. Tiga perkara tersebut adalah berzikir, bersuhbah (berdamping) dengan ulama serta menghadiri majlis ilmu.

Jauhi maksiat dan dosa

LAZIMKAN diri membasahkan lidah dengan zikrullah kerana ia amalan paling mudah dan berpahala besar.

Imam al-Ghazali RH turut menyebut, andai tiga perkara ini diamalkan dengan konsisten akan mengubah diri daripada kemaksiatan kepada ketaatan, dengan izin ALLAH kehidupan Muslim akan sentiasa di dalam perlindungan-NYA dan tidak lagi ingin bermaksiat.

Jika ingin bertaubat, meninggalkan maksiat dan mendekatkan diri kepada ALLAH SWT, mulakanlah dengan berzikir atau dengan istilah lain, berwirid. Ia amalan paling mudah dan ringan untuk dibuat. Sekadar menggerakkan lidah, maka zikir dapat dimulakan.

Ramai yang tidak tahu kepentingan berzikir kerana tidak sedar keberkesanannya yang mampu mengubah diri dan menjauhkan hawa nafsu daripada terdorong melakukan maksiat. Sebagaimana firman ALLAH SWT: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang tenteram dengan mengingati ALLAH, ingatlah, hanya dengan mengingati ALLAH hati menjadi tenang, tenteram.” (Surah al-Ra’d, ayat 28)

Pasti syaitan tidak mampu menguasai hati orang yang istiqamah berzikir dengan menyebut nama-nama ALLAH atau membaca zikir-zikir yang diajar oleh baginda Rasulullah SAW. Dengan berzikir, jiwa menjadi damai dan syaitan akan menjauhkan diri. Secara tidak langsung, godaan untuk bermaksiat dapat dihindar.

Ada banyak hadis Rasulullah SAW yang menyebut tentang kepentingan zikir. Bahkan, baginda SAW pernah menyebut, tidak ada amalan yang dapat menyelamatkan manusia daripada azab neraka melainkan dengan berzikir kepada ALLAH SWT. Antara zikir yang popular di Malaysia ialah al-Ma’thurat. Bacalah dan amalkan dengan istiqamah.

Baca juga Kedudukan Zikir Sangat Tinggi Berbanding Amalan Lain, Tapi Ramai Yang Pandang Remeh

Bersuhbah dengan orang soleh

Amalan kedua yang perlu diamal adalah bersuhbah dengan para ulama. Bersuhbah bermaksud berdamping dan bersahabat. Jelas Sheikh Dr Khaleel, jika melihat ulama yang beramal dengan ilmunya, maka bersuhbahlah dengan beliau.

Jauhi maksiat dan dosa

SENTIASALAH menggali ilmu dengan menghadiri majlis-majlis ilmu dan sebagainya.

Orang yang istiqamah berdamping dengan ulama pasti mendapat tempias daripada nilai-nilai positif yang ditunjukkan. Selain ulama, bersuhbah dengan para auliya’ dan orang soleh juga amat digalakkan. Mendampingi mereka sudah pasti membangkitkan rasa ingin bertaubat dan mendekatkan diri kepada YANG MAHA ESA.

Pernah diceritakan oleh baginda Rasulullah SAW, ketika para ahli syurga sedang berbahagia, mereka akan mencari sahabat yang pernah didampingi semasa di dunia.

Apabila melihat sahabat mereka diseksa di neraka, mereka akan berdoa kepada ALLAH agar diselamatkan. Lalu ALLAH kabulkan dan semuanya dimasukkan ke syurga.

Hadiri majlis ilmu

Perkara ketiga yang perlu dilakukan adalah menghadiri majlis ilmu secara konsisten. Majlis ilmu merupakan taman-taman syurga dan dapat menghidupkan hati yang mati, mencergaskan minda yang buntu dan merangsang jiwa untuk beribadah. 

Carilah majlis ilmu yang membicarakan tentang ilmu Tauhid (Sifat 20 atau sifat-sifat ALLAH), hal ini kerana untuk mendekatkan diri kepada ALLAH perlulah terlebih dahulu mengenali zat ALLAH.

Selain itu, perlahan-lahan mantapkan pula diri dengan ilmu fiqh, al-Quran dan hadis. Antara cabang ilmu fiqh adalah memperbaiki cara beribadah agar setiap amalan menjadi sah dan diterima ALLAH.

Menerusi pengajian al-Quran dan hadis, anda dapat mengikuti huraian tafsir al-Quran dan hadis. Ilmu-ilmu ini akan mendidik jiwa menjadi lebih tenang seterusnya memberi kesedaran tentang hakikat hidup yang fan aini.

***Azhari Hamzah ialah Pensyarah Akademik, Jabatan Bahasa Arab, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darulaman

Foto: Pexels & Freepik