Browsing Tag

streaming

Zina
Isu, Pilihan Editor,

Guna Android Box Pintas Siaran Tidak Dilanggan, Ini Hukumnya Yang Ramai Tidak Sedar

no comment

SEBUT sahaja Android Box, ramai sudah terbayangkan peranti khusus untuk mendapatkan siaran televisyen, selain digunakan sebagai platform streaming online.

Alat itu begitu popular pada masa ini. Maklum sahajalah, ia juga membolehkan pengguna mendapatkan akses kepada aplikasi-aplikasi peranti pintar yang lain seperti internet, Play Store dan seumpamanya.

Namun begitu, apa yang menjadi isunya apabila penggunaan Android Box itu disalah guna untuk mengakses siaran berbayar dan hak cipta pihak lain.

Mudah kata, pengguna peranti berkenaan tidak membuat pembayaran untuk mengakses siaran-siaran tersebut.

Menerusi artikel terbaharu yang disiarkan di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, membeli dan menggunakan Android Box pada asalnya dihukumkan sebagai harus.

Pun begitu, perlu diingat bahawa terdapat dua siaran yang diperoleh menerusi peranti berkenaan. Pertama, siaran berbayar dan kedua pula melibatkan siaran percuma.

Android Box

ISU syariah tidak timbul jika penggunaan Android Box menonton siaran percuma yang disediakan.

“Bagi kategori siaran percuma, tidak timbul sebarang isu syariah kerana ia boleh digunakan oleh semua orang.

“Keadaan sebaliknya berlaku apabila melibatkan siaran berbayar. Terdapat keadaan yang mana pengguna peranti tersebut mendapat akses kepada siaran berbayar tanpa melanggannya. Perbuatan itu menyebabkan kerugian kepada syarikat penyiaran.

“Dalam hal ini, permasalahannya adalah sama dengan mengambil hak orang lain dengan cara yang batil dan menzalimi syarikat penyiaran serta pihak-pihak berkaitan dengannya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Irsyad al-Fatwa Siri ke-649: Hukum Membeli dan Menggunakan Android Box.

Baca juga Bukan Sahaja Makanan Dan Minuman, Pendapatan Haram Juga Tidak Boleh Digunakan Untuk Keperluan Rutin Dan Tuntutan Wajib

Bukan itu sahaja, menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, isu tersebut juga mempunyai perkaitan rapat dengan hak cipta dan lesen penyiaran.

“Ketahuilah bahawa hak cipta, penyiaran dan seumpama dengannya merupakan hak yang diiktiraf oleh syarak.

“Ia dapat dilihat menerusi kenyataan Dr Abu Ghuddah dalam Majalah Majma’ Fiqh al-Islami; Fiqh Nawazil yang menyatakan bahawa cap dagangan, nama syarikat, tulisan atau ciptaan seseorang dalam konteks semasa dianggap mempunyai nilai di sisi syarak.

Android Box

HAK cipta, penyiaran dan seumpama dengannya adalah hak yang diiktiraf oleh syarak.

“Menurut sarjana Islam itu lagi, disebabkan itulah seseorang dilarang mencerobohi hak tersebut dengan cara yang salah seperti mencetak tanpa kebenaran, menggodam atau menggunakannya tanpa membayar atau melanggannya,” jelasnya.

Berdasarkan kepada fakta dan hujah disebutkan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyimpulkan, andai tujuan pembelian dan penggunaan Android Box adalah untuk mengakses siaran berbayar dan hak cipta lain dengan cara yang salah, ia adalah diharamkan.

“Ini kerana perbuatan tersebut telah mencerobohi hak dan menzalimi pihak lain,” tegasnya.

Foto: Usplash & Pexels