Browsing Tag

stadium

DCCzTukW0AE5-93
Berita Semasa, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Demimu al-Quran Aku Datang…

no comment

RAMADAN juga dikenali sebagai bulan al-Quran, bulan penuh keberkatan buat umat Islam di mana ayat al-Quran pertama diturunkan sebagai wahyu oleh Allah SWT sebagai panduan umat manusia.
Al-Quran diturunkan kepada nabi junjungan kita, Muhammad SAW secara beperingkat selama 23 tahun.

Lokasi stadium yang besar memaksa penganjur meletakkan skrin besar untuk penonton yang jauh dari pentas.

Pada bulan inilah kesempatan diambil umat Islam untuk perbanyakkan bacaan ayat suci itu kerana setiap bacaan itu akan digandakan pahalanya berbanding bulan-bulan lain di dalam kalender Islam.

Kesempatan itu juga diambil ramai pihak untuk menganjurkan tadarus di rumah Allah sama ada di masjid atau surau di seluruh dunia.

Namun lebih menarik apa yang diperlihatkan di Tanzania – sebuah negara di Afrika Timur di mana 35 peratus penduduknya beragama Islam.

Sejak lebih dua dekad negara itu telah menganjurkan pertandingan menghafal al Quran pada bulan Ramadan.

Pertandingan digelar The Holy Qur’an Memorization Charitable Trust Of Tanzania dihadiri puluhan ribu manusia yang memenuhi Stadium Nasional Benjamin di Dar es Salaam yang mampu memuatkan penonton bola sepak seramai 65,000.

Pada edisi ke-21 tahun ini yang berakhir Isnin lalu, seramai 23 qari dan qariah dari negara Afrika Timur menyertai pertandingan yang menjadi pentas bagi mereka menunjukkan kemahiran dalam menghafal al-Quran dan untuk mengkaji semula kefasihan mereka dalam berpegang pada ketetapannya dengan bacaan dan intonasi.

Peserta tuan rumah, Hassan Abdullah menjuarai pertandingan pada tahun ini.

Pertandingan itu dianjurkan Yayasan pendidikan Al-Hikma dan berlangsung di hadapan Perdana Menteri Tanzania, Kassim Majaliwa serta Presiden Zanzibar, Hussein Ali Mwinyi sempena upacara penutup dan penyampaian hadiah.

Komuniti muslim di Tanzania tertumpu di kawasan muka bumi berpasir yang majoriti muslim tinggal di kawasan pedalaman terutama di sepanjang laluan kafilah yang membawa hasil dagangan menghubungkan antara kawasan Eropah dengan Asia Timur. Lebih daripada 99 peratus penduduk masyarakat di kepulauan Zanzibar pula adalah beragama Islam.

Cuaca panas tidak menghalang mereka untuk hadir ke stadium.

Tidak ketinggalan, menerusi hantaran Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut memaklumkan bahawa negara turut menghantar seorang wakil ke Pertandingan Hafazan al-Quran di Tanzania hanya secara maya.

Malaysia diwakili oleh Mohammad Zulhanif Mohd Rosdi dari negeri Kelantan yang juga merupakan Naib Johan Majlis Hafazan al-Quran kategori 30 Juzuk Peringkat Kebangsaan Tahun 2020 di Sabah.

Pada pertandingan yang berlangsung 24 hingga 26 April lalu, peserta tuan rumah, Tanzania berjaya mendapat tempat pertama. Tempat kedua dimenangi peserta dari Sudan dan ketiga peserta dari Niger. Manakala hadiah sagu hati keempat dan kelima dimenangi peserta dari Ivory Coast dan Nigeria.

Penganjuran pertandingan Hafazan al-Quran di Afrika dilihat sebagai satu-satunya acara tahunan yang dapat mengeratkan tali persaudaraan antara masyarakat Islam Afrika, malah ia sebagai platform memperkenalkan budaya Islam Afrika yang menjadi acara tahunan itu dikenali di mata dunia.

Sanggup bersesak untuk masuk ke stadium.

Islam adalah agama kedua terbesar di Tanzania selepas agama Kristian. Tidak ada statistik tepat yang pernah dicatat, namun anggaran masyarakat Islam di Tanzania sebanyak antara 35 peratus dan hampir separuh penduduk Tanzania adalah Islam.

Menurut Pusat Penyelidikan Pew (The Pew Research Center), dua pertiga daripada populasi muslim di Tanzania bermazahab Sunni, sementara selebihnya adalah Syiah (20 peratus) atau Ahmadi (15 peratus) selain sebahagian kecil yang tidak mempunyai pegangan beragama.