Browsing Tag

srebrenica

Anadolu Agency
Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Pemimpin Dunia Bersama Memperingati Ulang Tahun ke-26 Peristiwa Pembunuhan Srebrenica

no comment

TOKOH politik terkemuka di seluruh dunia, termasuk Presiden Turki turut memperingati upacara yang diadakan di Tanah Perkuburan Potocari, Bosnia Timur bagi memperingati peristiwa pembunuhan beramai-ramai Srebrenica 1995 yang berlangsung Ahad lalu.

Seramai 19 lagi mangsa pembunuhan yang baharu dikenali pasti selepas 26 tahun peristiwa itu dikebumikan pada Ahad lalu. Gambar: DW

Bosnia dan Herzegovina memperingati ulang tahun ke-26 peristiwa tragis sekali gus mengucapkan selamat tinggal kepada 19 lagi mangsa pembunuhan yang baharu dikenali pasti pada upacara pengebumian itu.

Pada 11 Julai setiap tahun tanah perkuburan yang menjadi lokasi peringatan akan dihadiri oleh ribuan masyarakat termasuk keluarga, saudara-mara dan rakan mangsa pembunuhan beramai-ramai oleh militan Serb Bosnia pada tragedi 1995.

Ahli keluarga, rakan dan orang ramai hadir menyempurnakan solat jenazah dan memberi penghormatan terakhir kepada 19 lagi mangsa pembunuhan yang baharu dikenali pasti. Gambar: Daily Sabah.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dalam ucapannya berkata, negaranya tidak akan membiarkan pembunuhan beramai-ramai yang menjadi titik hitam dalam sejarah Eropah dan umat manusia dilupakan begitu saja,” katanya dalam nada tegas.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan. Gambar: ExBulletin

Setiausaha Luar Negeri Inggeris, Dominic Raab, dalam satu kenyataan berkata, “Hari ini kami berhenti untuk mengingati mangsa dan memberi penghormatan kepada mangsa Srebrenica yang masih hidup.”

Presiden Majlis Eropah Charles Michel dalam pesanan video menyatakan, pihaknya bersatu dalam kesedihan. Tetapi sangat mengharapkan untuk tidak lagi mahu melihat kekejaman seperti itu berlaku di Eropah.

Ahli keluarga yang hadir tidak mampu menahan sedih dan hiba apabila berada di sisi keranda salah seorang ahli keluarga mereka. Gambar: DW

“Kami ingin memberi penghormatan kepada ahli keluarga dan orang tersayang mangsa. Kesatuan Eropah akan tetap berdiri di sebelah anda, Bosnia dan Herzegovina. Anda sentiasa mendapat sokongan kerana ia adalah persahabatan,” katanya.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken mengatakan bahawa rakyat Amerika bergabung dengan rakyat Bosnia dan Herzegovina untuk mengenang lebih 8,000 mangsa yang dibunuh 26 tahun yang lalu.

“Kami berdiri bersama keluarga orang-orang yang kehilangan insan tersayang dan dengan mereka yang tanpa penat mencari keadilan buat mangsa yang terkorban.

“Kejadian tragis pada masa lalu mengingatkan kita akan perlunya bekerja dalam kesatuan untuk masa depan yang lebih baik stabil dan makmur khususnya semua warga di Bosnia dan Herzegovina,” kata Blinken dalam satu kenyataannya.

Duta Besar AS di Sarajevo, Eric Nelson, berkata bagi pihak semua orang Amerika Syarikat, saya bergabung dengan semua yang berada di Bosnia dan Herzegovina yang turut bersedih dengan kematian lebih 8,000 mangsa pembunuhan Srebrenica.

Sementara Duta Besar Majlis Kesatuan Eropah (EU) di Bosnia dan Herzegovina, Johann Sattler berkata, komuniti antarabangsa menyedari peristiwa bersejarah yang menjadi tugas mereka akan diperbaiki kesalahan masa lalu.

“Kami berhutang ini kepada mangsa dan keluarga mereka. Apa yang terjadi di sana 26 tahun yang lalu adalah fakta yang tidak boleh dilupakan,” katanya.

UNESCO, di akaun Twitter rasminya, mengatakan, penghormatan terbaik kepada semua mangsa adalah memperbaharui komitmen kita hari ini untuk menggunakan kekuatan pendidikan untuk melestarikan sejarah dan untuk mencegah pembunuhan beramai-ramai berulang.

Oliver Varhelyi, pesuruhjaya EU mengatakan bahawa Eropah tidak melupakan tanggungjawabnya sendiri kerana tidak dapat mencegah pembunuhan Srebrenica, salah satu jenayah terburuk dalam sejarah moden Eropah.

“Adalah tugas bersama kita untuk selalu mengingati pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica. Hari ini 19 lagi mangsa dikebumikan. Kami menghormati mereka dan semua mangsa termasuk mereka yang masih hilang, ”katanya.

Peristiwa Pembunuhan Srebrenica 1995 tidak akan dapat dilupakan rakyat Bosnia. Gambar: Pinterest

Pembunuhan beramai-ramai Srebrenica
Pada Julai 1995, lebih 8,000 rakyat Bosnia yang majoritinya adalah lelaki Muslim dibunuh ketika pasukan Serb Bosnia menyerang Srebrenica.

Peristiwa itu berlaku apabila pasukan Serbia berusaha merebut wilayah dari Muslim Bosnia dan Kroasia untuk membentuk sebuah negara.

Majlis Keselamatan PBB telah mengisytiharkan Srebrenica sebagai ‘kawasan selamat’ pada musim bunga 1993. Namun, pasukan Serb Bosnia yang diketuai oleh Jeneral Ratko Mladic yang didapati bersalah atas jenayah perang, kejahatan terhadap kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai, kerana telah menguasai zon PBB.

Pasukan Belanda juga gagal bertindak ketika pasukan Serb menguasai kawasan itu dan membunuh lebih 2,000 lelaki Muslim Bosnia termasuk kanak-kanak pada 11 Julai 1995.

Kira-kira 15,000 penduduk Srebrenica melarikan diri ke pergunungan berdekatan, tetapi tentera Serb memburu dan membunuh 6,000 daripada mereka.

Mayat mangsa telah dijumpai di 570 tempat berbeza di negara itu. Pada tahun 2007, Mahkamah Internasional di Den Haag memutuskan bahawa pembunuhan beramai-ramai telah dilakukan di Srebrenica.

Pada 8 Jun 2021, hakim pengadilan PBB menjatuhkan keputusan dalam sidang kedua keputusan untuk menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada Mladic kerana melakukan pembunuhan beramai-ramai, penganiayaan, kejahatan terhadap kemanusiaan, pembasmian dan jenayah perang lain di Bosnia dan Herzegovina.

Sumber: The Muslim News