Browsing Tag

sombong

Dosa
Gaya Hidup,

3 sifat ini penyebab dosa

WALAUPUN sudah tahu tidak boleh berbuat dosa, tetapi diri tetap gagal mengawalnya. Masakan tidak, kita bukan bersifat maksum sepertimana para nabi dan rasul.

Justeru memang mustahil andai kita bersih tanpa sebarang cela dan noda biarpun sekecil hama.

Sebagaimana perkara lain, perbuatan pincang itu pasti ada sebab musababnya. Tinggal lagi kita perlu mencari penyebab dosa tersebut.

Apabila sudah dikenal pasti, mudahlah untuk kita berwaspada. Pada masa sama sentiasa beringat dan menghindari diri daripada punca-punca berkenaan.

Pendakwah Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki berkongsi bait mutiara daripada Ibnul Qayyim Rahimahullah yang boleh dijadikan buat pedoman kita bersama, menerusi video Kapsul Imarah Masjid yang disiarkan di YouTube Jabatan Agama Islam Selangor.

USTAZAH ISFADIAH

Ulama tersohor itu menyatakan: “Barang siapa yang terbebas daripada tiga sifat ini, maka dia akan terlindung dari segala macam kehinaan. Ketahuilah, kekafiran itu berasal daripada sifat sombong. Maksiat berasal daripada sifat tamak. Sikap melampaui batas berasal daripada sifat hasad.”

Melihat ungkapan tersebut, Ustazah Isfadiah mengingatkan agar umat Islam menjauhi tiga perkara yang disebutkan oleh Imam Ibnul Qayyim itu kerana ia penyebab bagi segala dosa atau lubuk dosa iaitu:

1. Sifat sombong.

Apabila ada sifat sombong dalam diri, maka boleh timbul perkara-perkara yang berkait dengan kekufuran. Orang yang sombong tidak mungkin akan meminta maaf, tidak mahu bekerjasama dan hanya hendak menang sahaja.

Baca juga Sifat riak, sombong boleh membuatkan manusia mudah lupa kepada YANG MAHA ESA

Mahu atau tidak, kita sendiri kena keluar daripada sifat sombong, takabbur, riak dan ujub kerana disebabkan itu jugalah syaitan terkeluar dari syurga.

2. Sifat tamak.

Orang tamak, selalunya rugi. Demikianlah pernyataan yang acap kali kita dengar. Memang ada benarnya kerana sifat tamak boleh menyebabkan dosa-dosa yang lain. Misalnya berlaku rasuah, kezaliman dan sebagainya.

Baca juga Utamakan sedekah pada keluarga dahulu, berikut 10 fadilat melaksanakannya

Lihatlah dalam sejarah Islam, Nabi Adam AS dikeluarkan dari syurga kerana sifat itu iaitu tamak hendak memakan buah terlarang.

3. Sifat hasad dengki.

Dosa

USAHLAH menyimpan perasaan hasad dengki pada orang lain kerana ia mendorong kepada perilaku jelik yang lain. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: 123RF

Dan kerana sifat hasad itulah, anak kepada Nabi Adam AS sendiri telah melakukan pembunuhan pertama di atas muka bumi ini. Qabil telah membunuh Habil lantaran korbannya tidak diterima oleh ALLAH SWT kerana ketidaktulusan dengan mempersembahkan hasil pertanian yang agak busuk.

Lantaran itu, Ustazah Isfadiah mengajak seluruh umat untuk berjuang dan berjihad membersihkan diri daripada sifat berkenaan.

Baca juga Tak guna buat baik kalau ada sifat hasad dengki

“Tiga sifat itu bukan sekadar kudis dan penyakit, tetapi ia juga akan mengumpan kita untuk melakukan dosa,” tegas beliau.

Amalan penghapus dosa

Sesungguhnya, memang benar kita hanya manusia biasa yang melakukan kesilapan, tetapi yang luar biasanya apabila kita mengambil pelajaran dan sempadan.

Sebesar mana pun dosa kita, ketahuilah ALLAH SWT MAHA PENGAMPUN dan menerima taubat.

Justeru, segeralah bertaubat dan jangan pernah berhenti untuk memohon keampunan ALLAH SWT.

Selain itu, ada lima perkara yang boleh dilakukan kerana ia berupaya menjadi penghapus dosa-dosa kita sebagaimana yang dipetik menerusi portal news.detik.com iaitu:

1. Berbuat baik.

Firman ALLAH SWT: “Dan dirikanlah solat pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan baik itu menghapuskan amalan-amalan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang selalu mengingati (ALLAH).” (Surah Hud, ayat 114)

Rasulullah SAW bersabda: “Iringilah perbuatan dosa dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan menghapusnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

2. Solat lima waktu.

Dosa

PELIHARALAH waktu solat dengan sebaik mungkin kerana ia merupakan tiang agama. -FOTO: 123RF

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Antara solat lima waktu, antara Jumaat yang satu dan Jumaat berikutnya, antara Ramadan yang satu dan Ramadan berikutnya, di antara amalan-amalan tersebut akan diampuni dosa-dosa selama seseorang menjauhi dosa-dosa besar.” (Hadis Riwayat Muslim)

3. Zikir.

Baginda SAW bersabda: “Barang siapa yang mengucap Subhanallah wa bihamdihi (Maha Suci ALLAH dan dengan segala pujian bagi-NYA) sebanyak 100 kali, maka akan dihapus dosa-dosanya sekalipun sebanyak buih lautan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Baca juga Kedudukan Zikir Sangat Tinggi Berbanding Amalan Lain, Tapi Ramai Yang Pandang Remeh

4. Berpuasa Ramadan.

Dalam hadis riwayat Imam al-Bukhari, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa yang puasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan pahala, akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”

5. Solat taubat.

ALLAH SWT berfirman: “Dan (juga) orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, (segera) mengingat ALLAH, lalu memohon keampunan atas dosa-dosanya, dan sesiapa (lagi) yang dapat mengampunkan dosa-dosa selain daripada ALLAH? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu, sedangkan mereka mengetahui.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 135)

Lakukanlah semua itu secara istiqamah. Semoga segala amal yang dilakukan diterima oleh ALLAH SWT.