Browsing Tag

solo travel

pexels-tima-miroshnichenko-7010104
Hukum,

Wanita ‘solo travel’ apakah hukumnya di sisi Islam?

APA hukumnya wanita mengembara sendirian? Adakah Islam mengizinkan kaum hawa melakukan ‘solo travel’ atau mengembara tanpa ditemani mahram daripada kalangan ahli keluarganya?

Hari ini amalan itu bukan lagi luar biasa. Namun tetap menimbulkan kerisauan dalam kalangan Muslimah sama ada agama melarang atau mengizinkan.

Asas hukumnya memang terdapat larangan daripada dilakukan. Ia bagi menjaga dan menjamin hak kepentingan golongan wanita daripada diganggu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab selain menutup lubang-lubang fitnah yang mungkin dilontarkan terhadap seseorang Muslimah.

Namun hal ini dikecualikan daripada wanita Muslimah yang berhijrah dan juga tawanan. Para ulama telah bersepakat bahawa sekiranya seseorang Muslimah yang berada di negara bukan Islam maka dibolehkan ke atasnya untuk berpindah ke negara Islam tanpa perlunya kepada mahram.

DIBOLEHKAN ASAL DITEMANI MAHRAM

WANITA dibolehkan ‘travel’ jika ditemani oleh sekumpulan lelaki dan wanita yang dipercayai dan bebas dari fitnah.

Islam sendiri menggariskan bahawa haram bagi wanita bermusafir sendirian. Hal ini termasuk juga dengan keluar sendirian di perantauan. Tetapi ia dibolehkan apabila ditemani mahram, atau sekumpulan wanita dan lelaki yang dipercayai, dan bebas daripada fitnah.

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda “tidak halal yakni haram bagi seseorang wanita yang beriman kepada ALLAH dan hari pembalasan, jika ia pergi sejauh jarak sehari semalam, melainkan wajib disertai orang yang menjadi mahramnya.” (Muttafaq ‘alaih)

Di antara alasan tidak membenarkan wanita untuk bermusafir tanpa mahram adalah untuk menjaga keselamatan, memelihara kehormatan serta menjauhkan para wanita daripada fitnah sekiranya tiada mahram yang menemaninya.

Namun jika perjalanan tersebut aman dan selamat, maka sebahagian para ulama membenarkannya. Inilah pandangan yang dikemukakan oleh Imam an-Nawawi ketika mensyarahkan hadis tersebut.

Baca juga Hukum menyertai perayaan hantu lapar

Seorang pelajar telah bertanya kepada Syeikh Ahmad Muhammad As-Syarnubi, pensyarah Dakwah dan Thaqafah Islam Kuliah Usuluddin di dalam satu majlis berkenaan hukum pelajar perempuan bermusafir untuk menuntut ilmu:

“هل يجوز للمرأة أن تسافر لطلب العلم ؟

Maka jawab syeikh :

أباح الإسلام للمرأة أن تسافر بشرط أن تكون لها صحبة آمنة. و صحبة آمنة تعني وجود معها المسؤول و الفتيات أخرى و الإخوة…”

Maksudnya : Islam mengharuskan bagi perempuan untuk bermusafir dengan syarat hendaklah ada baginya orang yang dipercayai yang menemaninya. Dan maksud صحبة آمنة ialah ada bersamanya mas’ul, perempuan-perempuan lain dan lelaki.

SELAMAT DARI FITNAH

Hukum ‘solo travel’ bagi wanita adalah harus (dibolehkan) namun mestilah merujuk kepada beberapa syarat dan ketetapan.

MENGEMBARA atau ‘solo travel’ yang digariskan oleh Islam adalah sebaiknya wanita yang bermusafir itu ditemani oleh sekumpulan wanita yang diyakini agamanya atau sekurang-kurangnya ahli keluarga sendiri.

Yang pertama, mestilah keadaan aman dirinya, agamanya, maruahnya selamat dari fitnah dan maksiat sepanjang musafir sama ada dalam perjalanan ketika di destinasi dan juga ketika pulang.

Kedua perlu mendapatkan keizinan daripada mahram dan juga wali yang terdekat.

ketiga, tidak musafir ke tempat-tempat yang boleh membawa kepada fitnah atau memberikan mudarat terhadap dirinya.

Wanita dan ‘solo travel’ itu dibolehkan mengikut islam namun sebaiknya wanita yang bermusafir itu ditemani oleh sekumpulan wanita yang diyakini agamanya atau sekurang-kurangnya ahli keluarga sendiri.