Browsing Tag

solidariti

BANTUAN_BANJIR_THAI_MALAYSIA
Berita Semasa,

SOLIDARITI MUSLIM SELATAN THAILAND BANTU MANGSA BANJIR DI MALAYSIA

SALING bantu membantu atau di dalam istilah agama disebut ta’awun adalah gagasan  untuk saling menolong serta bersinergi antara satu pihak dengan pihak yang lain.

Islam menekankan agar sentiasa menghulur bantuan dalam konteks yang positif, iaitu dalam urusan kebaikan dan ketakwaan.

Sejarah telah membuktikan bagaimana sebuah masyarakat madani di Madinah terbentuk hasil daripada nilai ukhuwah (rasa persaudaraan) yang tinggi serta saling tolong menolong dalam kebaikan dan ketakwaan yang terjalin antara kelompok Muhajirin dan Ansar.

Inilah dasar ta’awun yang mampu memupuk nilai-nilai positif dan akhlak terpuji pada diri setiap insan Muslim.

Menjunjung hasrat itu, masyarakat Islam di Selatan Thailand tidak teragak agak untuk turut menyampaikan sumbangan berjumlah 1 juta baht (RM124,751) bagi meringankan beban mangsa banjir di Malaysia.

Kempen kutipan derma dalam talian (online donation drive) merupakan initiatif pendakwah muda Asari Lateh bersama beberapa penceramah bebas di selatan Thailand.

Asari dan penceramah-penceramah bebas menerusi “Babazu Channel” telah mengadakan ceramah dalam talian untuk mengutip derma bagi membantu mangsa banjir di Malaysia.

“Kutipan selama dua hari iaitu Sabtu dan Ahad lalu berjaya mengumpulkan 1 juta baht untuk disumbangkan kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima.

“Kami berharap sumbangan ini dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban mangsa banjir,” katanya kepada Bernama.

 

 

Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Muhammad Ridzuan Abu Yazid mengucapkan terima kepada masyarakat Islam di selatan Thailand yang menghulurkan bantuan kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir besar.

“Sumbangan ikhlas daripada masyarakat Islam selatan Thailand menunjukkan hubungan baik Malaysia dan Thailand yang saling membantu ketika negara dilanda musibah,” katanya.

Sebelum itu, Asari menyerahkan replika cek kepada wakil TV3 Tuwaedaniya Meringing dan disaksikan Muhammad Ridzuan di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

Jumaat lalu, masyarakat Islam di Pattani turut mengadakan solat hajat bagi memohon keselamatan buat rakyat Malaysia susulan musibah banjir yang melanda.

Usaha murni komuniti Muslim Selatan Thailand ini mendapat reaksi Editor Syariah Kumpulan Karangkraf, Ustaz Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamil.

 

Ustaz Mohamad Amiro Safwan

“Begitulah sepatutnya kita sebagai seorang Muslim. Kalau tidak mampu menghulur bantuan secara material, fizikal dan sebagainya, tetapi kebersamaan (tetap dihulur) dari sudut simpati dan rasa dukacita dengan keadaan yang berlaku.

Peristiwa ini amat bertepatan sebagaimana yang dirakam di dalam hadith dari Abu Musa r.a bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

“Seorang Mukmin terhadap mukmin yang lain adalah seperti satu bangunan yang mana bahagian yang satu menguatkan bahagian yang lain”.  Baginda terus menyusupkan antara jari-jarinya.” (Hadith Riwayat al-Bukhari)

Jelas Ustaz Amiro lagi, solidariti  yang ditunjukkan oleh Muslimin Thai ini merentasi batas sempadan negara, mereka bersedia membantu tanpa mengira agama, bangsa atau negara, kerana mereka memahami apa yang dilalui oleh mangsa-mangsa banjir ini sangat dahsyat dan segenap aspek kehidupan turut terjejas.