Browsing Tag

Solat taubat dan istighfar

Masalah
Isu,

Tangani tiga masalah ini dengan solat taubat dan istighfar

MANUSIA sememangnya tidak lari daripada pelbagai masalah. Masakan tidak, ia merupakan rencah dalam kehidupan supaya hidup kita tidak terlalu statik dan hambar untuk direntas.

Maklum sahajalah, dunia ini merupakan pentas ujian buat setiap makhluk yang diciptakan oleh Sang Pencipta untuk kita menuju ke alam akhirat yang kekal abadi.

Siapa yang berjaya menempuhnya dengan sabar dan reda, maka balasan syurga akan menanti. Sementelah, mereka yang tergelincir daripada landasan kebenaran akan menerima balasannya kelak.

Ya, setiap daripada kita mempunyai masalah yang berbeza. Begitu juga dengan ujian yang terpaksa dilalui.

Semua orang begitu mendambakan kebahagiaan dalam hidup, tetapi adakalanya ia sukar benar untuk digapai. Ada sahaja masalah atau perkara lain yang timbul.

Ketahuilah, kunci yang menjadi solusi kepada permasalahan tersebut ialah kita perlu kembali kepada ALLAH SWT.

Pakar motivasi terkemuka, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah menjelaskan, antara punca hidup tidak bahagia adalah disebabkan hati yang kotor.

MOHD FADZILAH

Baca juga Bukan saja kena bersih daripada kekotoran, tetapi hati juga kena bersih. Itu cerminan orang bertakwa

Malah, Rasulullah SAW pernah mengingatkan tentang perkara itu dalam sebuah riwayat yang masyhur.

Daripada Nu’man bin Basyir berkata, aku mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda: “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).” (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)

“Dalam hadis berkenaan, Nabi Muhammad SAW sudah jelaskan bahawa jika seketul daging (hati) itu kotor, maka seluruh badannya akan sengsara,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video bertajuk ‘Hidup tak bahagia kerana hati kotor’ yang dikongsikan di YouTube.

Menyambung bicaranya, Mohd Fadzilah kemudian menceritakan kisah ulama tersohor, Hassan Al-Basri yang dihujani tiga pertanyaan berkaitan masalah kehidupan ketika sedang mengajar.

Baca juga Halaqah Hassan Al-Basri Yang Menusuk Jiwa, Ramai Yang Menangis Apabila Dengar Butir Bicaranya

Seorang lelaki menghampirinya dan mengadu tentang pergaduhan yang berlaku dalam rumah tangganya.

Lalu, Hassan Al-Basri berkata kepadanya: “Baliklah engkau, lakukan solat taubat setiap malam dan banyakkan istighfar, insya-ALLAH rumah tanggamu akan bahagia.”

Masalah

SEBAGAI hamba, kita tidak pernah terlepas daripada kesilapan. Justeru, tunaikanlah solat sunat taubat dan beristighfar untuk memohon keampunan ALLAH SWT.

Kemudian, datang pula seorang lagi mengadu bahawa dirinya belum dikurniakan zuriat walaupun sudah lama berumah tangga.

Lantas, Hassan Al-Basri menjawab: “Baliklah engkau, lakukan solat taubat setiap malam dan banyakkan istighfar, insya-ALLAH kamu akan dikurniakan zuriat.”

Tidak lama selepas itu, datang pula orang ketiga iaitu seorang petani. Kali ini, beliau mengadu tentang tanamannya yang tidak menjadi.

Jawapan yang diberikan oleh Hassan Al-Basri tetap sama iaitu: “Baliklah engkau, lakukan solat taubat setiap malam dan banyakkan istighfar.”

Baca juga Banyak rupanya kelebihan istighfar yang ramai tak sedar…

Mendengarkan semua permasalahan berbeza dan jawapan yang sama diutarakan oleh Imam Hassan Al-Basri, membuatkan anak muridnya tertanya-tanya.

Akhirnya Hassan Al-Basri berkata: “Aku tidak menjawab berdasarkan fikiranku sendiri, tetapi ALLAH SWT telah menyatakan jelas dalam Surah Nuh, ayat 10-12.”

Firman ALLAH SWT: “Maka aku berkata (kepada mereka), “Mohonlah keampunan kepada Tuhanmu, sesungguhnya DIA MAHA PENGAMPUN. Nescaya DIA akan menurunkan hujan yang lebat dari langit kepadamu, dan DIA berikan harta dan anak-anak yang banyak, dan diadakan kebun-kebun serta sungai-sungai untukmu.” (Surah Nuh, ayat 10-12).

Melihat nas berkenaan, penceramah itu menjelaskan, apabila kita memohon keampunan daripada ALLAH SWT menerusi solat sunat taubat dan istighfar, maka DIA akan menurunkan hujan, memberikan anak bagi yang tiada, harta, tanaman dan sungai yang mengalir.

Baca juga Utamakan Tuntutan Agama, Rezeki Akan Datang Dari Jalan Tidak Disangka-Sangka

“Sedangkan Nabi Muhammad SAW yang maksum dan tiada dosa boleh beristighfar dan memohon ampun kepada ALLAH SWT lebih 70 kali sehari, inikan diri kita yang merupakan seorang pendosa.

“Justeru, ayuh sama-sama kita melakukan solat taubat dan beristighfar sebanyak-banyaknya. Itulah asas untuk mengelakkan bahaya daripada hati yang kotor,” pesannya.

Di samping itu, beliau turun menyarankan agar kita memaafkan semua orang sebelum tidur.

Masalah

UMAT Islam disarankan supaya memaafkan semua orang sebelum tidur.

“Begitu mulianya perbuatan itu kerana Rasulullah SAW pernah meriwayatkan sesiapa yang berbuat demikian, maka pintu syurga akan dibuka, pintu neraka pula ditutup. Pada masa sama pintu-pintu rezeki akan terbuka,” ungkapnya lagi.

Foto: 123rf, Freepik, Pexels & Unsplash