Browsing Tag

solat tarawih awal pagi

Solat tarawih
Ibadah,

Solat tarawih beberapa jam sebelum Subuh kerana terlalu sibuk bekerja, sah atau tidak?

Solat tarawih beberapa jam sebelum Subuh kerana terlalu sibuk bekerja, sah atau tidak?

SOLAT tarawih menjadi antara ibadah yang begitu dinanti-nantikan saat masuknya bulan Ramadan.

Masakan tidak, datangnya hanya sepurnama sahaja. Apabila bulan teragung dalam Islam itu berlalu, maka solat tarawih juga akan pergi meninggalkan kita.

Ramai yang menyimpan impian untuk bertarawih di masjid atau surau. Seronok rasanya apabila kita dapat berjemaah beramai-ramai.

Solat tarawih

JANGAN lepaskan peluang bertarawih tidak kiralah sama ada secara berjemaah di masjid mahupun bersendirian di rumah. -Foto: Bernama

Namun begitu, ada juga yang terpaksa menunaikan solat sunat itu di rumah sahaja kerana terpaksa menjaga anak kecil dan mempunyai rintangan lain.

Segelintirnya pula perlu bekerja ketika solat tarawih sedang berlangsung di rumah ALLAH. Individu tersebut kadangkala berasa rendah diri kerana tidak dapat bertarawih dengan umat Islam yang lain.

Bagaimanapun, hati mereka adakalanya bagaikan tertarik-tarik mahu menunaikan solat tarawih juga biarpun bukan pada waktu berkenaan.

Baca juga Mudah sahaja rupanya solat tarawih di rumah. Ini caranya

Bolehkah solat tarawih dikerjakan pada awal pagi, beberapa jam sebelum Subuh atau waktu lain?

Ketika diajukan tanda tanya itu, pendakwah Ustaz Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Aran lantas memberitahu, tiada masalah untuk menunaikan solat berkenaan pada waktu tersebut.

IMAM MUDA ARAN

Lebih-lebih lagi buat mereka yang terpaksa bekerja dan tidak boleh meninggalkannya begitu sahaja serta hanya pulang pada awal pagi.

Ini kerana, katanya, waktu tarawih sebenarnya bermula dari solat Isyak hingga sebelum Subuh!

“Malah, sepanjang malam Ramadan merupakan waktu afdal tarawih. Rasulullah SAW dan para sahabat mengerjakan solat sunat tarawih sepanjang malam dan hampir Subuh, barulah mereka berhenti.

“Paling penting, tarawih itu mesti dimulakan selepas solat fardu Isyak. Tidak boleh tunaikan solat sunat berkenaan selagi seseorang itu tidak menunaikan yang fardu terlebih dahulu.

“Jika tidak, maka tidak diterima amalannya (solat tarawih yang ditunaikan) itu. Mana boleh kita dahulukan yang sunat, tetapi tinggalkan yang wajib,” katanya ketika ditemu bual Sinar Islam Plus.

Etika solat tarawih

Sepertimana ibadah yang lain, bertarawih juga ada etikanya yang tersendiri. Tidak boleh dilakukan secara semberono.

Memperincikan lebih lanjut, ujar agamawan itu, umat Islam terlebih dahulu perlu menetapkan niat bertarawih ikhlas kerana ALLAH SWT untuk mendapatkan keampunan-NYA, bukan terpaksa kerana manusia.

Solat tarawih

USAH tunaikan solat tarawih kerana terikut-ikut orang lain, sebaliknya niatlah ia dikerjakan kerana ALLAH SWT untuk meraih keampunan-NYA. -Foto: 123rf

Ketahuilah, andai kita bertarawih kerana terikut-ikut orang lain yang berjemaah di masjid, maka keampunan ALLAH tidak akan diraih, ungkapnya.

Baca juga Raih Keampunan Dengan Bertarawih, Rugi Jika Tinggalkan Begitu Sahaja

“Ini kerana niat asal seseorang beribadah itu sudah tersasar iaitu kerana ikut orang lain,” katanya.

Seperkara lagi, Imam Muda Aran mengingatkan agar jangan ‘membawang’ (mengata) imam yang membaca ayat al-Quran yang panjang ketika solat tarawih. Perbuatan itu dikhuatiri akan jadi berdosa.

“Mengikut kebiasaan, imam di Malaysia tidak membaca ayat al-Quran terlalu panjang jika dibandingkan dengan imam di Makkah dan Madinah, apatah lagi ketika zaman Nabi Muhammad SAW dan para sahabat.

“Ketika imam sedang membaca bait-bait kalamullah, sebaiknya diam dan dengarkan bacaannya. Semoga ALLAH akan merahmati kita,” ujarnya.

Kepada mereka yang tidak mampu berdiri, pendakwah itu menjelaskan, golongan itu dibolehkan untuk bertarawih dalam keadaan duduk atau baring andai tidak larat berdiri walaupun dalam keadaan sihat.

Solat tarawih

SOLAT sunat berkenaan boleh dilakukan secara bersendirian atau berjemaah. -Foto: 123rf

“Bagaimanapun, suka saya ingatkan, ganjaran pahala yang diterima akan berkurangan jika kita solat dalam keadaan duduk kecuali mereka yang diberi keuzuran oleh ALLAH SWT dan tidak boleh berdiri,” terangnya panjang lebar.

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Imam Muda Aran menitipkan pesan agar kita menyempurnakan semua tuntutan solat.

Baca juga Ramadan ‘Pesta’ Lakukan Ibadah, Menyulam Kesabaran, Berjihad Melawan Nafsu

“Walaupun kita hanya menunaikan solat sunat, tetapi buatlah sebagaimana kita mengerjakan solat fardu iaitu dilakukan secara tartil (perlahan, jelas dan tidak tergesa-gesa),” pesan beliau.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.