Browsing Tag

solat sunat witir

Solat witir
Isu,

Jangan abaikan solat sunat witir. Walaupun ringkas, tetapi besar ganjarannya

JIKA berhajatkan suatu perkara, solat hajat akan segera dilakukan. Begitu juga apabila keliru membuat pilihan, solat sunat istikharah pantas sahaja ditunaikan.

Usai bangun tidur pula, solat sunat tahajud tidak lekang daripada ingatan, lantas laju sahaja ia dikerjakan. Apabila datangnya bulan Ramadan pula, semua orang berebut-rebut mendirikan solat sunat tarawih kerana datangnya hanya sebulan dalam tempoh setahun.

Demikianlah begitu banyaknya ibadah sunat yang boleh dilazimkan dalam kehidupan seharian kita, di samping melunaskan apa yang difardukan oleh ALLAH SWT kepada setiap hamba-hamba-NYA.

Walaupun ramai yang mengerjakan solat sunat tersebut, adakalanya solat sunat witir dipinggirkan kerana menganggapnya sebagai kurang penting.

Masakan tidak, ia tidak seperti solat-solat sunat lain yang memang mempunyai tujuan dan matlamat jelas untuk mendirikannya.

Meskipun ia dianggap oleh ibadah sunat ‘biasa-biasa’ oleh sebilangan orang, namun ketahuilah fadilatnya bukan calang-calang bagi mereka yang menunaikannya.

Apakah kelebihan-kelebihan yang dimaksudkan itu? Bolehkah ia dilakukan tanpa kita menunaikan solat-solat sunat yang lain?

Tiada had rakaat

Ketika ditemubual Sinar Islam Plus baru-baru ini, pendakwah Ustaz Mustafar Mohd Suki menjelaskan, witir bermaksud ganjil. Sesuai dengan namanya, maka disebabkan itu solat sunat berkenaan didirikan dalam bilangan rakaat yang ganjil.

USTAZ MUSTAFAR

Meskipun ia dilihat sama sama seperti ibadah-ibadah sunat yang lain, namun ketahuilah bahawa ALLAH SWT begitu menyukai hamba-hamba-NYA melazimkannya, terangnya.

Ia sebagaimana disebutkan dalam Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Sesungguhnya ALLAH itu witir (ganjil) dan DIA menyukai yang witir (ganjil).”

Lazimnya, ujar pendakwah itu, solat witir dilakukan pada penutup kepada penghujung amalan kita pada satu malam.

Baca juga Rugi tinggalkan solat sunat Isyak kerana ia lebih afdal dari solat tarawih.

“Mudah kata, ia dikerjakan selepas kita melakukan ibadah seperti solat sunat tahajud, qiamullail dan sebagainya. Dari segi bilangan rakaat, tiada hadis mahupun nas yang memerihalkan tentang jumlah paling maksimum,” katanya.

Begitupun, ujar pendakwah tersebut, paling sedikit solat sunat witir dikerjakan adalah sebanyak satu rakaat.

Perkara itu ada dinyatakan dalam sebuah hadis masyhur yang mana Rasulullah SAW sendiri paling sedikit melakukan solat berkenaan sebanyak satu rakaat.

“Terdapat juga riwayat lain menyatakan baginda SAW mengerjakan tiga, lima, tujuh rakaat dan sebagainya ketika melakukan solat witir.

“Maka, para fuqaha dan alim ulama menyatakan, tidak ada bilangan maksimum untuk solat witir dan ia boleh dilakukan sebanyak mana, asalkan dalam jumlah yang ganjil,” jelas beliau.

Baca juga Bolehkah tunaikan solat sunat jika masih ada sembahyang fardu yang belum sempat qada?

Berbicara lanjut tentang waktu sesuai mengerjakan solat witir, Ustaz Mustafar menjelaskan, ia sememangnya sunah yang bukan sahaja dilakukan pada bulan Ramadan semata-mata, tetapi juga dalam bulan-bulan yang lain.

Solat witir

SOLAT witir hanya boleh dilakukan sekali sahaja pada satu malam.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Jadikanlah akhir solat (sunat) malam kalian dengan melakukan solat sunat witir.” (Sahih al-Bukhari dan Muslim)

Jika diteliti, katanya, para sahabat juga mempunyai waktu kesukaan masing-masing untuk mengerjakan solat witir.

Sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadis, misalnya, Saidina Umar al-Khattab RA dan Saidina Abu Bakar as-Siddiq, ada yang gemar menunaikan solat witir pada awal malam dan terdapat pula yang mengakhirkannya pada lewat malam.

“Tidak kiralah bila saja dilakukan, asalkan kita hanya menunaikan solat witir sekali saja pada satu malam. Demikianlah yang dilakukan oleh para sahabat. Ya, ada yang kerjakannya sebelum tidur dan begitu juga sebaliknya,” ungkapnya.

Kelebihan besar

Seperkara yang menarik perhatian Sinar Islam Plus apabila Ustaz Mustafar yang juga Pengasas Tadbir Insan Training & Consultancy memperincikan tentang ganjaran buat mereka yang melazimkan solat witir.

Jelas beliau, terdapat beberapa hadis sahih yang memerihalkan tentang kelebihan tersebut. Antara lain, disebutkan bahawa solat witir merupakan wasiat Nabi Muhammad SAW kepada Abu Hurairah RA.

Solat witir


SOLAT witir dikategorikan sebagai sunat muakkad yang dituntut ke atas umat Islam untuk menunaikannya.

“Baginda telah mewasiatkan kepada Abu Hurairah supaya melakukan solat witir sebelum tidur. Apabila disebut sahaja sebagai wasiat, maka sudah tentulah pahala yang sangat besar menanti. Ia bukan sahaja wasiat untuk sahabat baginda, tetapi juga kepada kita selaku umatnya.

“Menurut Dr Syeikh Marzuk at-Tarifi, solat witir ialah solat sunat yang paling afdal dalam solat-solat sunat harian kita. Meskipun terdapat hadis tentang kelebihan solat Subuh sepertimana dunia dan seisinya, tetapi itu dalam rangka kelebihan yang paling besar di antara solat sunat rawatib yang mengiringi solat fardu.

“Begitupun, kalau dalam bab solat sunat harian yang paling besar, solat witir lebih besar kelebihan-kelebihannya daripada solat sunat rawatib,” katanya sambil menegaskan bahawa Rasulullah SAW tidak pernah sekalipun meninggalkan witir walaupun baginda bermusafir. Bolehkah solat sunat witir dilakukan tanpa kita mengerjakan solat sunat lain sebelum itu?

Menjawab persoalan tersebut, Ustaz Mustafar menjelaskan, dari segi hukum-hakam fikah, tiada masalah jika kita tunaikan witir tanpa mengerjakan solat-solat lain.

“Cuma paling terbaik adalah lakukanlah solat sunat lain terlebih dahulu seperti tarawih, tahajud dan sebagainya, kemudian barulah diakhiri dengan witir,” jelasnya.

Rugi tinggalkan witir

Bagi mengupas perihal kerugian meninggalkan solat witir, Sinar Islam Plus kemudian mendapatkan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor, Prof Dr Arieff Salleh Rosman.

DR ARIEFF SALLEH

Beliau menjelaskan, individu yang sengaja enggan menunaikan solat sunat berkenaan telah melakukan satu kerugian besar.

Masakan tidak, katanya, witir merupakan antara solat yang dikategorikan sebagai solat sunat muakkad.

“Menurut para ulama usul fiqh, perbuatan yang dikategorikan sebagai sunat muakkad bermaksud perbuatan itu tidak wajib, namun Nabi Muhammad SAW sentiasa melazimkannya. Bahkan, baginda bukan hanya sentiasa melaksanakan solat witir pada malam bulan Ramadan, bahkan pada setiap malam sepanjang tahun.

“Istiqamahnya Rasulullah SAW melaksanakan solat witir pada setiap malam, bukan hanya ketika baginda berada di rumah sendiri, bahkan ketika baginda sedang bermusafir pun, solat sunat yang satu itu tidak pernah ditinggalkan.

“Oleh sebab itu, Nabi Muhammad SAW sangat menggalakkan umatnya untuk melaksanakan solat witir pada setiap malam secara konsisten,” ungkapnya.

Baca juga Tunaikan solat duha akan diberi ganjaran emas? Berikut penjelasannya

Bukan itu sahaja, individu yang sengaja mengabaikan solat witir juga mendapat ancaman daripada baginda SAW, terangnya.

Ia sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis yang mana Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa yang tidak melakukan solat witir, maka dia bukan daripada kalangan kami.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Bahkan, Imam Ahmad pernah menyatakan: “Barang siapa yang meninggalkan solat witir, maka dia merupakan seorang yang buruk akhlaknya, dan tidak boleh diterima kesaksiannya.”

Dr Arieff Salleh yang juga Pengarah Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia kemudian mengemukakan pandangan Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi dalam al-Syarh al-Kabir ‘ala Matn Muqni’ bahawa pernyataan tersebut bukanlah bermaksud solat witir itu wajib.

“Oleh sebab itu, Nabi Muhammad SAW menyuruh orang yang meninggalkan solat witir untuk menqadanya pada waktu lain,” katanya.

Ia bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang tertidur sehingga tidak dapat melakukan solat witir atau dia terlupa melakukannya, maka hendaklah dia lakukan solat witir itu pada waktu pagi atau pada waktu lain dia mengingatinya.” (Hadis Riwayat al-Hakim)

Solat witir


BANYAKKAN berdoa agar kita sentiasa istiqamah untuk terus menunaikan ibadah kepada-NYA.

ANEKDOT

KEMUSYKILAN tentang solat witir ketika Ramadan

1. Benarkah tidak boleh melakukan dua kali solat witir pada satu malam?

Daripada Talq bin Ali bahawa Nabi Muhammad saw bersabda: “Tiada dua witir dalam satu malam.” (Hadis Riwayat Abu Daud, at-Tirmizi dan an-Nasa’i)

Imam at-Tirmizi ketika menjelaskan hadis ini, beliau berkata, “Menurut para ulama dalam kalangan para sahabat Nabi Muhammad dan lain-lain, jika seseorang sudah melakukan solat witir pada awal malam (sebelum tidur), kemudian dia tidur, lalu dia bangun pada akhir malam (sebelum masuk waktu subuh), maka dia boleh terus melakukan solat sunat yang lain (seperti tahajud), tanpa perlu membatalkan solat witirnya yang telah dilakukan. Solat witir yang telah dilakukan sebelum tidur itu sudah sempurna. Ini juga pendapat Sufyan al-Thawri, Malik bin Anas, Abdullah bin Mubarak dan Ahmad. Ini adalah pendapat yang paling tepat.” (Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, jilid 2, halaman 333)

Menurut Imam al-Nawawi, ia juga pendapat muktamad dalam Mazhab Syafie.

2. Bolehkah makmum meniatkan solat sunat mutlak ketika imam mendirikan solat witir untuk mendapatkan ganjaran pahala seumpama beribadah sepanjang malam?

Abu Zar al-Ghifari yang melaporkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mendirikan solat (solat tarawih) bersama-sama imam sehingga Imam selesai, dituliskan bagi orang itu ganjaran orang yang beribadah sepanjang malam.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Namun begitu, andai seseorang hendak menggabungkan dua fadilat, iaitu fadilat menyempurnakan solat tarawih bersama imam seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Zar al-Ghifari dengan hadis fadilat melakukan solat witir pada hujung malam sebelum waktu Subuh, maka dibenarkan untuk dia berniat solat sunat mutlak ketika imam menunaikan solat witir.

Dalam hal ini, Imam al-Nawawi menukilkan dalam kitabnya al-Majmu’ bahawa: “Jika merujuk pendapat ulama yang mengatakan solat tarawih sunat dilakukan secara berjemaah, maka solat witir juga sunat dilakukan berjemaah dengan imam yang sama. Pendapat ini disepakati oleh para ulama Mazhab Syafie. Jika seseorang itu mahu melakukan solat tahajud pada malam itu, maka dia tidak perlu lakukan solat witir bersama jemaah tersebut, bahkan dia perlu melakukan solat witir pada hujung waktu malam. Jika dia mahu juga solat bersama mereka (iaitu ketika imam solat witir), maka dia niat solat sunat mutlak, kemudian di hujung malam, barulah dia lakukan solat witir.”

3. Katakan seseorang itu telah melakukan solat witir selepas selesai tarawih sebanyak dua rakaat, bolehkah dia menyambung solat witir tadi dalam jumlah rakaat yang ganjil sebelum sahur?

Mengikut sunah Nabi Muhammad SAW, solat witir dilakukan secara serentak tanpa dipisahkan sebelum dan selepas tidur.

Justeru, kita perlu memilih, sama ada hendak melakukan solat witir dengan sempurna sebelum tidur atau pada akhir malam sebelum Subuh.

Sumber Pengarah Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia, Prof Dr Arieff Salleh Rosman

Foto: Bernama, 123rf, Freepik, Pexels & Unsplash