Browsing Tag

solat sunat gerhana

gerhana bulan
Antarabangsa,

Dari Indonesia hingga Australia, umat Islam tunai solat sunat gerhana

RAKYAT Malaysia di beberapa kawasan, terutamanya Sabah dan Sarawak berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh bermula pada jam 4.02 petang hingga jam 9.56 malam, semalam.

Gerhana bulan penuh berlaku apabila orbit bulan melintasi masuk ke dalam bayang-bayang Bumi yang dipanggil umbra, menyebabkan bulan berwarna kemerah-merahan.

Selain Malaysia, kejadian berkenaan turut dapat dilihat secara keseluruhan di Asia, Australia serta Amerika Utara dan Selatan, jelas Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) menerusi laman sosialnya.

Sehubungan itu, masjid di negara berbeza telah mengadakan solat khas sempena gerhana yang berlaku sebagai tanda memuliakan kebesaran ALLAH SWT.

Baca juga Esok gerhana matahari separa, ini dia cara mudah tunaikan solat sunat kusuf

gerhana

SUASANA solat gerhana bulan di Masjid Al Markaz Al Islami di Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia. Foto: ANTARA/Darwin Fatir

Tetap laksana solat walau gerhana tidak kelihatan

Memetik laporan agensi berita, ANTARA, gerhana bulan penuh tidak dapat disaksikan di Makassar, Indonesia akibat dilindungi awan mendung setelah hujan beberapa jam sebelumnya.

Perkara itu bagaimanapun tidak menghalang warga tempatan untuk tetap melaksanakan solat gerhana bulan secara berjemaah di Masjid Al Markaz Al Islami di bawah pimpinan Imam H Mursidin Hamid.

gerhana

PENDUDUK Makassar, Indonesia kecewa tidak dapat mencerap sepenuhnya fenomena gerhana bulan akibat ditutupi awan. Foto: ANTARA/Darwin Fatir

“Gerhana adalah tanda kebesaran ALLAH SWT yang menciptakan matahari dan bulan. Bila terjadi gerhana, ucapkanlah takbir, beristighfar, solat dan bersedekah.

“Fenomena gerhana adalah bukti nyata bahawa bumi tidak datar dan ada yang mengaturnya,” ujar khatib Ustaz Raswan melalui khutbah khas disampaikan selepas solat.

gerhana bulan penuh

CERAPAN gerhana bulan di Brunei turut disertai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof. Foto: Media Permata

Hayati keagungan ALLAH melalui ilmu falak

Di Brunei, cerapan gerhana bulan yang diadakan oleh Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISSHB) memberi peluang kepada orang ramai untuk bersama-sama menghayati salah satu tanda kekuasaan ALLAH SWT.

Turut hadir memeriahkan acara tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Lapor Media Permata, pencerapan berkenaan disaksikan sejurus saja bulan terbit pada jam 5.56 petang, diikuti dengan solat fardu Maghrib, sunat gerhana bulan dan fardu Isyak berjemaah di Surau BKISHHB.

gerhana bulan penuh

TIMBALAN Menteri Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim ketika menyempurnakan solat sunat gerhana. Foto: Media Permata

Solat sunat gerhana turut dilaksanakan di semua masjid dan surau seluruh negara, termasuk Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

Dalam pada itu, cerapan yang diadakan dengan kerjasama Persatuan Astronomi Brunei Darussalam (PABD) tersebut merupakan suatu inisiatif bagi menjadikan BKISHHB sebagai pusat warisan ilmu Islam menggunakan pendekatan ilmu falak.

gerhana bulan penuh

SOLAT sunat gerhana yang dianjurkan Masjid As-Sunnah Lakemba di Sydney, Australia turut disiarkan secara langsung melalui platform Facebook. Foto: Facebook Masjid As-Sunnah Lakemba, Sydney Australia

Solat sunat gerhana di benua lain

Selain itu, solat sunat gerhana secara berjemaah juga dilaksanakan oleh komuniti orang Islam di sekitar benua Australia dan Amerika Utara.

Di Amerika Syarikat, pusat Islam seperti Persatuan Islam Raleigh, Carolina Utara mengadakan solat khusuf secara berjemaah seawal 4.40 pagi disebabkan fenomena gerhana bulan yang berlaku pada waktu Subuh.

Manakala, Masjid As-Sunnah Lakemba di Sydney, Australia turut menyampaikan khutbah khas sempena gerhana bulan di samping mendirikan solat sunat bagi penduduk Muslim setempat.

gerhana bulan penuh

POSTER yang disiarkan di laman sosial Persatuan Islam Raleigh mengajak orang ramai melaksanakan solat sunat gerhana. Foto: Facebook Islamic Association of Raleigh

Sumber dan Foto: ANTARA, Media Permata, Facebook Masjid As-Sunnah Lakemba, Sydney Australia, Facebook Islamic Association of Raleigh