Browsing Tag

Solat jamak ketika vaksin

Solat jamak ketika vaksin
Isu, Pilihan Editor,

Hukum Solat Jamak Ketika Tiba Giliran Vaksin

no comment

KETIKA ini, ramai yang masih menunggu giliran masing-masing untuk mendapatkan vaksin Covid-19. Ia merupakan satu keperluan untuk melindungi diri daripada teruk dijangkiti wabak berkenaan.

Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali-10 yang bersidang pada 30 Disember tahun lalu bersepakat bahawa hukum pengambilan vaksin Covid-19 adalah harus. Malah, ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Ini kerana, keputusan yang diperhalusi oleh mufti dan ahli-ahli muzakarah yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja mengambil asas pertimbangan berdasarkan beberapa kaedah dalam Islam iaitu sebagai memenuhi prinsip maqasid syariah yang menekankan penjagaan nyawa.

Sehingga jam 11.50 pagi tadi, seramai 1.94 juta orang daripada 12.12 juta yang mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera sudah divaksinasi. Bakinya masih lagi menunggu giliran dalam program vaksinasi berkenaan.

Dalam perihal penggiliran itu, ada sebilangan masyarakat kita yang mendapat jadual penggiliran vaksin pada waktu Maghrib iaitu sekitar jam 7.30 malam. Ramai yang melahirkan kebimbangan kerana khuatir tidak sempat menunaikan kewajipan kepada ALLAH SWT pada waktu berkenaan yang sememangnya begitu singkat.

Malah, ada yang bertanyakan sama ada boleh atau tidak jika kita menunaikan solat jamak takhir kerana tidak sempat menunaikan solat Maghrib disebabkan mahu memenuhi jadual tersebut dan menerima vaksin Covid-19.

Terpanggil menjawab persoalan itu, Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan) Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan, terdapat sebuah hadis yang memerihalkan umat Islam boleh menunaikan solat di mana-mana sahaja atas muka bumi ini.

DR SYED SHAHRIDZAN

Rasulullah SAW bersabda: “…dan bumi ini dijadikan untukku tempat sujud dan alat bersuci (tayamum).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis itu, Dr Syed Shahridzan menjelaskan, para ulama menyatakan, ia menunjukkan antara kelebihan-kelebihan yang ALLAH SWT kurniakan kepada Rasulullah SAW dan umatnya.

Baca juga Penemu vaksin Tetap tadharru’ walaupun sudah kaya 

“Mereka boleh solat di mana-mana sahaja di atas muka bumi ALLAH, asalkan tempat itu suci daripada najis.

“Sedangkan, umat-umat terdahulu tidak boleh mendirikan solat di tempat sembarangan,” katanya dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.

Melihat ungkapan itu, Dr Syed Shahridzan menjelaskan bahawa tiada keperluan untuk kita menunaikan solat jamak ketika menerima vaksin pada jam 7.30 malam. Ini kerana alasan tersebut belum cukup kukuh untuk membenarkan kita berbuat demikian.

“Para ulama tidak bermudah-mudah meletakkan syarat solat jamak bukan dalam situasi musafir. Apatah lagi bagi mereka yang masih berkesempatan untuk mendirikan solat pada waktunya.

“Sebenarnya, pilihan terletak di tangan kita semua. Kita boleh solat di mana-mana, hanya tinggal bawa sejadah atau seumpamanya.

“Kalau tanpa sejadah sekalipun sebenarnya tiada masalah, asalkan tempat itu suci daripada najis. Ini kerana hukum asal sesuatu tempat itu adalah suci melainkan terdapat bukti kukuh bahawa ia kawasan bernajis,” terangnya.

Solat jamak ketika vaksin

WALAUPUN tiba giliran vaksin ketika waktu solat yang pendek seperti Maghrib, tidak keperluan untuk kita menjamakkan solat berkenaan.

Bahkan, ujar beliau, Nabi Muhammad SAW juga menunaikan solat di mana-mana dan adakalanya baginda menunaikannya tanpa lapik.

Banyak sekali hadis yang menunjukkan bahawa baginda SAW hanya menunaikan kewajipannya kepada ALLAH SWT tanpa lapik, jelasnya.

“Malah, ada sahabat yang ternampak baginda SAW mengusap dahinya untuk membuang pasir yang melekat.

“Bukan itu sahaja, ada sebilangan sahabat terlihat tanah basah melekat pada dahi baginda SAW yang mulia kerana sujud di atas tanah yang basah ketika hujan turun di Madinah,” katanya.

Justeru, Dr Syed Shahridzan menegaskan, solat tidak semestinya didirikan di musala, surau dan masjid. Ada banyak riwayat yang membuktikan bahawa Rasululullah SAW solat di merata tempat lain selain dari rumah ALLAH.

Oleh itu, katanya, tidak sepatutnya alasan tiada surau menjadi penghalang untuk melaksanakan tanggungjawab kita terhadap ALLAH.

“Masa atau waktu juga tidak boleh dijadikan alasan. Allah SWT telah menetapkan setiap solat fardu itu yang telah ditentukan waktunya. Jika tidak dapat dilaksanakan awal, boleh dilaksanakan waktu pertengahan dan penghujungnya, asalkan tidak keluar dari waktu solat.

“Bahkan, terdapat hadis yang diriwayat oleh Imam Muslim bahawa Rasulullah SAW pernah mendirikan solat pada penghujung waktu solat (waktu solat hampir tamat) untuk mengajar seorang sahabat tentang waktu solat. Fuqaha menyatakan bahawa hadis ini menunjukkan fleksibiliti mendirikan solat pada waktunya yang ditetapkan,” jelasnya.

Apa-apapun, pendakwah itu menegaskan agar kita melihat pada keadaan dan kesesuaian pada ketika itu. Boleh sahaja kita membuat agakan waktu untuk mendirikan solat.

Baca juga Dilema Terima Duit Raya Daripada Kaki Judi

“Mungkin dijangkakan selepas tamat proses vaksinasi, anda masih ada waktu untuk mengerjakan solat Maghrib. Ada sahabat saya cerita bahawa dia dirikan solat di tepi kerusi menunggu giliran pengambilan vaksin. Dia kata, tak ada masalah. Okey saja, sempat hendak solat di situ dan tiada sesiapa yang mengacau.

Solat jamak ketika vaksin

KEWAJIPAN solat boleh disempurnakan di mana-mana, tidak semestinya di masjid atau surau.

“Perlu diingat, Rasulullah SAW memberi contoh yang wajar kita ikuti dari segala sudut kehidupan, apatah lagi urusan ibadah. Nabi Muhammad SAW amat menitikberatkan solat didirikan pada waktunya.

“Baginda SAW tidak menjamakkan solat melainkan dalam situasi tertentu sahaja. Oleh itu, bagi saya, tidak wajar kita bermudah-mudah dalam ibadah,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau mengakui, budaya solat tepi jalan bukan satu kebiasaan masyarakat kita.

“Saya faham, mungkin ramai yang segan. Sampai bila kita nak segan? Masa inilah kita hendak membiasakan budaya yang baik dan menunjukkan Islam agama yang mudah dan tidak membebankan penganutnya untuk beribadah.

“Mengikut pengalaman saya, budaya solat di jalanan satu perkara yang biasa di negara-negara Arab dan negara-negara Eropah. Insya-ALLAH, boleh amalkan dan tak perlu rasa segan. Masa inilah ia perlu dibudayakan. Wallahuaklam,” katanya mengakhiri perkongsian ilmunya.