Browsing Tag

solat isyak

Solat tarawih
Ibadah,

Sahkah solat Isyak pukul 5 pagi?

JAM menunjukkan pukul 5 pagi. Diri termangu-mangu seketika melihat jarum jam berpusing mengikut arahnya.

Apabila sudah sedar sepenuhnya, mata terbuntang melihat alat mengukur waktu itu. Masakan tidak, baru tersedar rupanya diri sendiri masih belum menunaikan solat Isyak lagi!

Satu persatu ingatan semalam menerpa dalam ruang fikiran. Pulang ke rumah malam tadi, badan terlalu letih dan fikiran pula seakan terbejat kerana kepenatan bekerja dan menguruskan rutin kehidupan.

Bolehkah solat Isyak tersebut ditunaikan pada jam 5 pagi? Apakah status solat berkenaan?

Sebelum menjawab tanda tanya itu, lebih elok seandainya kita fahami terlebih dahulu waktu bermulanya solat Isyak.

Baca juga Selalu tertinggal solat Subuh dan Isyak termasuk ciri-ciri orang munafik?

Memetik artikel bertajuk Solat Isyak di Penghujung Malam Sebelum Subuh yang disiarkan dalam laman web Maktabah al Bakri, waktu solat Isyak bermula apabila mega merah telah hilang di atas langit.

“Adapun, para ulama berselisih pendapat dalam perihal tempoh berakhirnya waktu solat berkenaan. Terdapat tiga pandangan dalam hal itu.

5 pagi

PARA ulama berbeza pandangan dalam tempoh berakhirnya waktu solat Isyak, tetapi pendapat muktamad dalam Mazhab Syafie menyatakan, ia tamat apabila terbitnya fajar sadiq. -FOTO: 123RF

“Pendapat pertama menyatakan, solat Isyak tamat pada hujung satu pertiga malam pertama, manakala pendapat kedua pula mengatakan, ia berlaku pada separuh malam. Sementara itu, satu lagi pendapat menyatakan, waktu Isyak tamat sehingga terbit fajar sadiq,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web maktabahalbakri.com.

Bagaimanapun, pendapat muktamad dalam Mazhab Syafie menyatakan, waktu Isyak tamat apabila terbitnya fajar sadiq.

“Waktu ikhtiyar (terbaik dan terpilih) untuk menunaikan solat Isyak adalah pada sehingga satu pertiga malam dan terdapat pendapat lain mengatakan, sehingga pertengahan malam.

Baca juga Mahu Berjaya Dalam Hidup, Bersolatlah Di Awal Waktu

“Selain itu, waktu diharuskan adalah sehingga sebelum waktu Subuh.

“Terdapat sebahagian ulama berpandangan, makruh melewatkan solat Isyak melepasi separuh malam kerana keluar daripada khilaf. Kenyataan itu dikuatkan lagi dengan pandangan al-Syeikh Abu Hamid dalam Fath al-Qarib al-Mujib bahawa waktu makruh bagi solat Isyak adalah di antara dua fajar iaitu fajar sadiq dan kazib,” katanya.

Berdasarkan hujah tadi, Maktabah al Bakri menyimpulkan, solat Isyak yang ditunaikan sebelum terbit fajar sadiq iaitu sebelum masuknya Subuh tidak kiralah pada jam 5 pagi atau selainnya adalah sah.

“Ia selagi mana masih belum masuknya waktu Subuh kerana masa berkenaan masih lagi berada dalam waktu yang diharuskan untuk solat Isyak sebagaimana pendapat dalam Mazhab Syafie.

J5 pagiam 5

SOLAT Isyak jam 5 pagi dikira sah jika ditunaikan sebelum terbit fajar sadiq iaitu sebelum masuknya waktu Subuh. -FOTO: PEXELS

“Bagaimanapun, terdapat sebahagian ulama yang berpandangan makruh melewatkan solat Isyak melepasi separuh malam kerana keluar daripada khilaf,” katanya.

Seperkara lagi, lebih baik andai solat didirikan pada awal waktu secara berjemaah kerana banyak nas yang menyebutnya.

Baca juga Berdosakah melewat-lewatkan solat fardu? Ini penjelasannya

Antaranya, dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah, beliau berkata: “Aku bertanya kepada Nabi Muhammad SAW: “Apakah amalan yang paling disukai oleh ALLAH SWT?” Baginda menjawab: “Menunaikan solat pada waktunya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Justeru, peliharalah solat kita dan tunaikannya sebaik sahaja masuk waktu.

***Foto: Pexels

solat subuh isyak
Hukum,

Selalu tertinggal solat Subuh dan Isyak termasuk ciri-ciri orang munafik?

SELALU tertinggal solat Subuh dan Isyak? Berhati-hatilah agar kita tidak termasuk dalam golongan orang munafik.

Antara lima waktu solat yang diwajibkan ke atas umat Islam, ada dua masa yang agak sukar dilaksanakan, iaitu solat Subuh dan Isyak.

Hakikatnya ramai juga yang ‘terbabas’ untuk melakukan kedua-dua solat tersebut disebabkan terlelap di awal pagi atau pada akhir malam.

Pun begitu, jangan biarkan perkara itu menjadi tabiat kerana ada hadis yang mengatakan bahawa antara ciri orang munafik termasuk meninggalkan solat Subuh dan Isyak.

Baca juga Kalau orang curi barang depan mata, kena berhenti solat ke?

SOLAT sebagai tiang agama adalah penyokong kepada segala amalan lain yang dilakukan. Maka, laksanakan ibadah itu walau di mana anda berada. Foto: 123RF

Turut disyorkan Ini Perkara Makruh Ketika Wuduk Yang Sering Dilakukan Tanpa Sedar

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik ialah solat Isyak dan Subuh. Jikalau mereka mengetahui pahala yang terdapat pada keduanya nescaya mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Jelas portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, apa yang dimaksudkan dalam hadis tersebut adalah setiap waktu solat dikira berat bagi orang munafik dan ia tidak tertumpu kepada waktu Isyak dan Subuh sahaja.

Perkara ini dijelaskan oleh agamawan Mesir, al-Imam al-Munawi yang berkata: “Setiap solat bagi orang-orang munafik itu adalah paling berat.” (Rujuk Faid al-Qadir. Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 1/63)

Baca juga Sahkah sujud syukur pemain bola Piala Dunia sedangkan kepala lututnya terjojol?

solat subuh isyak

SABDA Rasulullah SAW, “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.” (Hadis Riwayat Muslim). Foto: 123RF

Dalam pada itu, hadis berkenaan memberi galakan kepada umat Islam agar melaksanakan solat berjemaah pada kedua-dua waktu iaitu Isyak dan Subuh.

Kata ulama Islam, Muhammad Amin al-Harari ketika mensyarahkan hadis tersebut berkaitan solat al-‘atamah (solat Isyak),

“Hadis ini memberikan galakan hebat untuk solat berjemaah pada dua solat tersebut (Isyak dan Subuh). Terdapat ganjaran yang besar kerana waktu tersebut merupakan waktu yang susah ke atas jiwa (manusia) seperti mengurangkan tidurnya di awal malam dan akhirnya (sebelum Subuh). Solat-solat inilah merupakan solat yang paling berat bagi orang-orang munafik.” (Rujuk Al-Kaukab al-Wahhaj. Dar al-Minhaj, 7/ 245)

Turut disyorkan Solat berjemaah dengan mulut bau durian, apa hukumnya?

Hal ini yang demikian kerana pada awal pembentukan Islam, terdapat kewajipan solat berjemaah bagi tujuan mencegah golongan munafik daripada meninggalkan solat.

Kewajipan tersebut telah pun kini dimansuhkan dalam Islam. Pun begitu, amalan solat berjemaah di masjid sangat dituntut oleh agama kerana ganjarannya yang melebihi solat secara bersendirian.

Justeru, sekalipun kita tertinggal solat Subuh atau Isyak gara-gara kepenatan disebabkan tuntutan dunia, cepat-cepatlah memohon keampunan ALLAH SWT serta menqadakan ibadah yang ditinggalkan sebaik sahaja bangun daripada tidur.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: 123RF