Browsing Tag

Solat bergilir di masjid

Solat bergilir di masjid
Berita Semasa, Pilihan Editor,

Ini Sebabnya Mengapa Kita Tidak Boleh Solat Bergilir-Gilir Di Masjid

no comment

SEJAK dunia bergelut dengan wabak Covid-19 lebih setahun yang lalu, mahu atau tidak, kita terpaksa menjalani kehidupan norma baharu dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Begitu jugalah yang terpaksa kita hadapi hinggakan masjid dan surau terpaksa ditutup, mengehadkan bilangan jemaah dan seumpamanya. Misinya hanya satu iaitu demi memerangi wabak yang meragut nyawa kira-kira 3.7 juta orang di muka bumi setakat artikel ini ditulis.

Namun begitu, masih ada suara-suara sumbang yang berbunyi mempertikaikan mengapa institusi masjid dihadkan dari segi bilangan jemaah dan tidak boleh menunaikan solat berjemaah atau solat Jumaat sebanyak dua atau tiga kali secara bergilir-gilir dalam sesebuah masjid.

Ini kerana golongan itu membandingkan prosedur berkenaan dengan negara jiran yang boleh melaksanakan solat berjemaah lebih daripada sekali mengikut jemaah yang ditetapkan.

Misalnya, memetik fatwa berkaitan penyempuraan solat Jumaat dalam konteks penularan wabak Covid-19 di Singapura, Majlis Ugama Islam Singapura membenarkan solat Jumaat ditunaikan lebih daripada sekali dalam sebuah masjid.

Menjawab persoalan tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, pihaknya tidak berbuat demikian pada masa ini demi memastikan pematuhan SOP yang lebih utama demi mengekang penularan penyakit.

DR ZULKIFLI

“Ia mungkin akan berubah. Persoalannya bukanlah kita hendak solat dua atau tiga kali. Masalahnya ialah kita hendak suruh orang jaga jarak, jangan berkumpul dan sebagainya supaya terselamat daripada wabak.

“Mungkin ada sesetengah tempat masjidnya berkapasiti kecil dan sempit, maka ijtihad mereka adalah dengan menunaikan solat dua atau tiga kali.

“Namun, kita di sini bukan masalah masjid yang sempit. Ia berkaitan dengan wabak yang mana kita mahu sebaiknya biarlah masyarakat teruslah berada di rumah masing-masing dalam keadaan mematuhi SOP. Itulah isunya,” katanya pada sesi Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk Takut ALLAH atau Takut Covid-19 yang disiarkan secara langsung di TV1 malam Khamis.

Jelas Dr Zulkifli, walaupun kepentingan untuk menunaikan solat berjemaah itu ada, namun, mendirikan fardu kifayah itu boleh sahaja dilakukan di rumah masing-masing bersama keluarga.

“Kalau kita lihat secara positif, maka inilah peluang untuk kita mendidik, mertarbiah dan berjemaah bersama anak, isteri dan kaum keluarga.

Solat bergilir di masjid

SOLAT berjemaah boleh dilakukan di rumah bersama ahli keluarga yang lain.

“Ketahuilah, niat kita untuk ke masjid itu insya-ALLAH akan diganjari dengan pahala,” katanya.

Baca juga Pahala Duduk Rumah

Rasulullah SAW bersabda: “Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan daripada ALLAH pada hari kiamat apabila tidak ada naungan melainkan naungan ALLAH. Mereka adalah: pemimpin yang adil; pemuda yang sejak kecil sudah beribadat kepada ALLAH yang MAHA BESAR lagi MAHA PERKASA; orang yang hatinya terpaut pada masjid; dua individu yang saling mengasihi kerana ALLAH, kedua-duanya berkumpul kerana ALLAH dan berpisah pun kerana ALLAH; lelaki yang dipikat wanita yang mempunyai status dan kecantikan tetapi dia berkata: “Percayalah, saya takut kepada ALLAH”; orang yang bersedekah dan merahsiakan sedekahnya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanannya dan orang yang ingat kepada ALLAH dalam keadaan sunyi lalu menitis air matanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Melihat ungkapan hadis itu, Dr Zulkifli berkata, salah satu golongan berkenaan ialah seorang lelaki yang sentiasa hatinya terpaut pada masjid.

“Ia bukan sekadar pergi ke rumah ALLAH itu, tetapi juga hatinya bergantung dan ingat untuk ke masjid. Maka individu itu akan meraih pahala dan mendapat perlindungan Arasy ALLAH SWT,” katanya.

Solat bergilir di masjid

TERDAPAT sebahagian masjid yang ditutup untuk para jemaah dan hanya dibuka untuk ahli jawatankuasa untuk mengimarahkan rumah ALLAH itu sepanjang PKP ketika Covid-19.

Dalam pada itu, mantan Mufti Wilayah Persekutuan itu turut memperbetulkan tanggapan masyarakat berhubung hukum yang dikeluarkan dalam sesuatu isu termasuk wabak Covid-19.

Sejujurnya, ujar beliau, bukan hanya dirinya seorang yang mengeluarkan hukum sebegitu, tetapi semua keputusan besar itu adalah selepas perbincangan yang dilakukan bersama mufti-mufti negeri dan ahli-ahli Majlis Muzakarah Fatwa yang dilantik.

“Bukan itu sahaja, kita juga akan memanggil pakar yang berkaitan seperti pakar kesihatan. Ini penting kerana kita memerlukan olahan pandangan mereka untuk menjatuhkan suatu hukum itu. Sejuzuk daripada cabang itu kena digambarkan dengan sejelasnya, barulah keputusan diambil.

“Bahkan, kita akan sediakan kertas kerja, berdiskusi dan semua bebas memberi pandangan satu persatu dengan hujah masing-masing, barulah hukum dikeluarkan.

“Setelah itu, ia akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja. Ini bermakna, hukum berkenaan melalui proses demi proses supaya ia tidak bercanggah dan ia bukanlah dilakukan dalam keadaan kita kelam-kabut,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa syukur apabila semua keputusan yang diambil adalah hampir sama dengan hukum yang dikeluarkan oleh badan-badan fatwa berautoriti negara lain.

“Inilah yang diajar dalam ilmu kefatwaan yang mana kadang-kadang tidak sesuai untuk kita cedok satu pandangan apabila suasana dan keadaan berbeza.

“Begitu juga halnya dengan di negara kita, keadaannya berbeza. Jadi, apa yang kita putuskan sebenarnya melihat kepada kesesuaian dengan kita sambil meraikan mazhab yang diamalkan di negara ini, Mazhab Syafie dan ulama-ulama mazhab berkenaan. Kita mungkin akan keluar jika maslahah berlaku, itulah tertibnya,” jelasnya.

Bukan bidaah

Benarkah menjarakkan saf ketika solat adalah bidaah?

Ketika menjawab persoalan itu, Dr Zulkifli menjelaskan, dalam hal itu, kefahaman dan makrifah begitu penting.

Solat bergilir di masjid

PENJARAKAN saf solat demi mengekang penularan wabak Covid-19 yang boleh membawa maut.

Beliau kemudian memetik pandangan Dr Nuruddin Mukhtar al-Khadimiy dalam karyanya al-Ijtihad al-Maqasidiy, antara lain menyebut bahawa kita tidak boleh melihat suatu perkara itu begitu sahaja. Sebaliknya, ia perlu dilihat juga berdasarkan pertimbangan akal yang berpandukan nas-nas syarie.

“Namun begitu, akal akan menjadikan sesuatu pandangan itu sama ada kita berasa jumud atau kita rasakan itu dan ini tidak betul umpamanya,” katanya.

Sedangkan, jelas Dr Zulkifli, kita perlu faham bahawa Islam sesuai dengan semua masa dan tempat. Ketahuilah, Islam agama yang mana sifatnya ada dua iaitu tsawabit (tetap dan tidak boleh berubah) dan mutaghayyirat (boleh berubah).

“Sebagai contoh, tsawabit adalah satu keadaan yang mana ALLAH suruh kita solat, maka kita wajib tunaikannya. Itulah yang penting. Apa yang menjadi mutaghayyirat adalah keadaan yang mana ALLAH suruh kita lakukan solat berjemaah (fardu kifayah), tetapi dalam situasi tertentu, kita sembahyang berjemaah di rumah. Begitu juga halnya, dalam situasi tertentu, kita menjarakkan saf kerana penyakit, keuzuran-keuzuran atau wabak-wabak yang berlaku.

“Semua ini bukan perkara yang janggal dalam kalangan ulama. Bahkan, (pendapat ini) ia diterima kerana mereka juga melakukan kajian dengan hujahan masing-masing,” katanya.

Sebab itulah dalam perkara yang melibatkan isu sebegini, keputusan diambil tidak boleh ‘rempuh’ begitu sahaja, ungkapnya.

Solat bergilir di masjid

SEGALA tindakan yang diambil adalah sesuai dengan keadaan semasa berpandukan nas al-Quran dan hadis, selain ijtihad yang dibenarkan oleh syarak.

“Apabila kita melihat sesuatu, lihatlah dengan penuh keinsafan. Lihat bagaimana Saidina Umar al-Khattab RA, berapa banyak pandangan yang diberikan sesuai dengan zamannya. Begitu juga dengan Saidina Uthman bin Affan RA, berapa banyak perubahan yang dilakukan.

“Di situ, kita dapati bahawa para ulama dan ahli ilmu sentiasa melihat maslahah. Apabila mereka hendak berikan suatu hukum, banyak isu-isu yang akan diperhalusi,” katanya.

Justeru, Dr Zulkifli mengajak masyarakat supaya tidak mudah melabel dengan kalimah bidaah dan elakkan perkataan itu daripada kamus hidup kita.

“Paling penting, tanya suatu isu itu kepada orang yang mengetahui. Kita ada mufti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), laman web jabatan mufti negeri dan sebagainya yang masing-masing ada fatwa.

“Itulah tindakan yang diajarkan oleh agama Islam supaya bertanyakan kepada ahli zikir (ahli ilmu) untuk mendapatkan maklumat yang sebaiknya.

“Mudah-mudahan kita sama-sama jelas apabila bercakap bab agama atas kenyataan, hujah, dalil dan pandangan yang kukuh. Insya-ALLAH, kita semua akan selamat,” jelasnya.

Foto: Facebook Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, Bernama & Freepik