Browsing Tag

solat awwabin

pexels-fw-lm-7181224
Gaya Hidup, Uncategorized,

Penjelasan Status Hadis Solat al-Awwabin Diberi Ganjaran Istana Emas

no comment

SEPERTI semua sedia maklum, fadilat dan kemuliaan menunaikan solat duha atau alAwwabin sangat bererti dalam kehidupan umat
Islam.

Daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang solat duha sebanyak 12 rakaat, maka ALLAH akan membina baginya sebuah istana daripada emas di syurga.“ (Hadis Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Menjawab pertanyaan tentang riwayat hadis berkenaan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (WP) menerusi Irsyad Al-Hadith Siri ke-223: Solat Duha Mendapat Istana Emas memberi penjelasan dengan merujuk beberapa pendapat ulama.
Imam al-Tirmizi menilai hadis itu sebagai gharib (ganjil) kerana tidak diketahui. (Rujuk Sunan al-Tirmizi, 337/2)
Imam Ibn Mulaqqin mengatakan hadis daripada Anas bin Malik telah dimuatkan oleh Ibn al-Sakan di dalam kitab sunannya
yang sahih. (Rujuk Tuhfah al-Muhtaj, 416/1)                                                                                                                                                                          •  Imam al-Nawawi menghukum hadis berkenaan sebagai daif. (Rujuk Khulasah al-Ahkam, 571/1)
Imam Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan dalam sanad itu tidak terdapat perawi yang dikatakan lemah. (Rujuk Fath al-Bari)
Syeikh al-Albani menilai hadith tersebut sebagai daif. (Rujuk Dhaif Jami‘ al-Tirmizi dan Dhaif Ibn Majah, 380/3)

Justeru, berdasarkan semua pandangan tersebut, Pejabat Mufti WP lebih cenderung mengatakan bahawa hadis berkenaan bersifat
daif.

“Pun demikian ia boleh diangkat ke tahap hasan apabila ia disokong oleh beberapa riwayat lain,“ kata mereka.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang dihubungi turut senada dengan Pejabat Mufti WP.

 

WAN SALIM

“Ya, walaupun status hadis ini dikatakan lemah, tetapi maknanya dikuatkan dengan hadis-hadis lain seperti Hadis Riwayat Buraidah. Ini kerana fadilat bersedekah adalah besar dan apabila solat duha disamakan dengan sedekah, maka inilah yang menunjukkan kelebihan solat duha,“ jelas pendakwah itu.

Tatkala diajukan pertanyaan tentang sesetengah pendapat bahawa ibadah itu berupaya menyembuhkan penyakit, Dr Wan Salim berkata, berdasarkan pengetahuannya, kesahihannya belum dapat dipastikan lagi.

Dalam pada itu, ujar beliau, para fuqaha berbeza pandangan sama ada solat duha boleh dilakukan setiap hari secara berterusan atau dilakukan berselang hari atau secara berkala.

“Bagaimanapun, majoriti jumhur fuqaha berpandangan, solat berkenaan digalakkan (mustahab) supaya dilakukan secara berterusan pada setiap hari,“ katanya.

Sandaran itu, beritahu agamawan tersebut adalah merujuk kepada Hadis Riwayat Muslim yang bermaksud: “Amalan yang paling disukai ALLAH ialah yang kekal walaupun sedikit.“